Saturday, 17 October 2009

Pahala Yang Berterusan

Jika kita baca akan hadeeth di bawah ini, kita akan dapati pahala berpanjangan yang diperolehi oleh orang yang telah mati ada 3, iaitu dari harta yang dijariahkan, ilmu yang diajar dan dimanafaatkan serta anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada ibu bapanya. Kenapa dari susunan itu, anak yang soleh terletak di tempat ke 3? Ini kerana bukan semua orang boleh mendapatkan anak yang soleh. Ada orang tidak berkahwin, dari mana datangnya anak yang soleh? Ada orang berkahwin, tetapi tidak dapat anak. Ada yang dapat anak, tetapi belum tentu menjadi anak yang soleh.


Maka itu, ganjaran pahala yang berterusan dari amal yang dijariahkan boleh di lakukan oleh semua orang. Beramal jariah itu tidak semsetinya dengan harta sahaja tetapi dengan masa , dengan tenaga dan idea dan fikiran. Contohnya , jika ada orang mahu mendirikan surau, perlukan pertolongan, maka kita dengan ikhlas hati membantu mendirikan suaru dengan tenaga yang ada, dengan kemahiran yang ada. Selagi surau itu didirikan solat, walaupun kita telah meninggal ganjarannya tetap diperolehi..


Bagaimana yang dikatakan beramal jariah dengan idea dan fikiran. Contohnya untuk membina jambatan, yang dilalui dan digunakan oleh orang ramai, mungkin ada idea yang bagus dan bermanafaat, dituruti oleh orang yang membina dan jambatan itu kukuh selama berpuluh tahun, walaupun kita telah meninggal dunia, ganjarannya tetap ada. Oleh itu pahala, untuk orang yang meninggal dunia tetap ada selagi jariahnya digunakan.


Sebab itu kepada sesiapa yang tidak berkahwin, yang tidak mempunyai anak, usah merasa gundah tentang bekalan pahala apabila telah meninggal dunia kerana banyak pahala boleh diraih melalui amal jariah..,

عَن اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال : إِذَا ماَتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يَنْتَفَعُ بِهِ

أَوْ وَلَدٍ صَالِعٍ يَدْعُوْلَهُ ( رواه مسلم )




Maksud: Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'an bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. (Hadith riwayat Imam Muslim)

Seperti mana yang dapat difahami daripada hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, apabila seseorang telah meninggal dunia, maka terputuslah baginya semua peluang untuk menambah amalan kebajikan dan pahalanya. Sebanyak mana amalan yang telah dilakukan semasa seseorang itu hidup dahulu, maka sebanyak itu sahaja pahala yang akan diterimanya. Dia tidak akan dapat menambah lagi pahalanya setelah dia meninggal dunia melainkan daripada tiga sumber yang terdapat di dalam hadith di atas.

Justeru, jika kita lihat perkara yang pertama yang disebutkan dalam hadith tersebut ialah sedekah jariah iaitu segala wakaf dan infaq yang pernah dijariahkan semasa hidup dahulu, antaranya seperti mewaqafkan tanah untuk tujuan kebajikan anak yatim, membina masjid, surau, sekolah dan sebagainya. Selama mana dan selagi mana harta benda ini diguna pakai oleh orang lain selama itulah seseorang yang mewaqafkannya secara ikhlas kerana Allah SWT akan mendapat pahala yang berterusan kepadanya.

Selain itu, perkara yang kedua ialah mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan dimasukkan ke dalam catitan amalan kebajikannya. Antara lain, seperti apabila seseorang yang mengarang kitab untuk rujukan orang lain, maka selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Begitu juga dengan perkara yang ketiga iaitu mengenai anak soleh yang mendoakan kepada kedua ibu bapanya. Sebenarnya, menjadi impian yang besar bagi semua ibu bapa yang dapat melahirkan anak soleh yang dapat mendoakan kesejahteraan untuk mereka di dunia dan di akhirat. Namun, persoalannya di manakah hendak melahirksan anak yang soleh sekiranya ibu bapa sendiri yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna seperti mana yang telah diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Insan yang soleh adalah buah hasil dari didikan yang berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ia merupakan hasil kegigihan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, dan masyarakat.

Menurut pandangan di kalangan para ulama’, mereka berpendapat di sebalik hikmah apa yang telah dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengenai amalan sedekah, ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakan untuk kedua ibu bapanya sebenarnya hadith ini memberikan galakan supaya umat Islam mengamalkan amalan bersedekah, belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat mengajar dan memberi manfaat kepada orang lain dan supaya ibu bapa dapat mendidik anak-anaknya dengan didikan Islam agar dapat melahirkan anak yang soleh. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran dan pahala yang berterusan walaupun setelah dipanggil pulang ke rahmatullah.

Bagi kita yang kasih dan sayang kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam tidak dapat tidak marilah sama–sama kita cuba mengaplikasikan dan mempraktikkan apa yang telah di sarankan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Sesungguhnya, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam diutuskan Allah SWT sebagai utusanNya untuk memberikan rahmat kesejahteraan dan petunjuk kepada seluruh umat Islam. Inlah keistimewaan dan keagungan Islam kerana mempunyai Rasul sebagai penyelamat ummah. Agama Islam itu tinggi dan tidak ada agama yang lebih tinggi daripada agama Islam. Islam agama rahmat kepada semua.



Impianku menjadi isteri solehah

No comments:

Post a Comment