Sebenarnya banyak perkara yang melintas difikiran ini untuk diluahkan dan ditulis di sini, namun kekangan masa yang selalu cemburu membuatkan idea-idea yang ada ini terus tersimpan di dalam otak. Ingin aku menulis cerita pertemuan dengan sahabat-sahabat lama semasa di sekolah rendah menengah dan universiti. Syawal 1430 H kali ini mempertemukan aku dengan sahabat-sahabat lama ini.
Rupanya walaupun masa telah berlalu hampir 30 tahun, tetapi kenangan ketika sekolah rendah dan menengah tidak pernah luput. Syawal kali ini, aku bertemu dengan Fatimah Ahmad dan Siti Aminah Abd Halim, sahabat dari darjah 1 hingga darjah 6 di SKJB, dan di sekolah menengah dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3 SMK Seri Perak,Parit Buntar.
Pertemuan ini telah mengimbas semula cerita-cerita lama semasa remaja dan alam persekolahan. Aku telah berkunjung ke rumah Fatimah di Taman Angerik, Perak. Seperti biasa setiap tahun, bila berziarah di Hari Raya, semua anak-anak mesti ikut.Memang aku didik anak-anak, bila hari raya, selagi belum berkahwin, mereka mesti ikut kemana sahaja aku berziarah mengunjung saudara mara dan sahabat.Tujuan aku adalah untuk aku memperkenalkan saudara mara dan sahabat-sahabat lama ku kepada anak-anak.
Mahabbah dan ukhuwah (ikatan persaudaraan) terjalin apabila ziarah dilakukan. Anak-anak mendekati ibu bapa, yang muda ingat pada si tua, kawan sekerja mengenang teman seperjuangan, orang sihat menziarahi yang sakit, yang kaya menziarahi si miskin, dan jiran tetangga kunjung-mengunjungi.
Ziarah membawa kegembiraan kepada mereka yang diziarahi, terutamanya orang tua, warga miskin, anak yatim dan yang terpaksa merayakan perayaan di dalam keadaan yang serba kekurangan. Bayangkan jika kita sudah berumur dan tidak berdaya, tinggal keseorangan menyambut hari lebaran, tentunya kita mengharapkan ada orang yang sudi melawat dan bertanyakan khabar. Sekurang-kurangnya menjadi pengubat kesepian.
Aku perkenalkan semua saudara mara , mak ayah saudara, sepupu, tok-tok saudara kepada anak-anak, supaya mereka kenal dan tahu susur galur kerabat mereka.Secara tidak langsung ia telah merapatkan ukhuwwah sesama saudara yang mempunyai hubungan darah dan nasab. Pada waktu hari raya inilah mudah untuk diperkenalkan siapa tok saudara mereka, berapa dan siapa anak-anak dan cucunya, sebab semuanya ada ketika itu. Kalau bukan hari raya, tentu anak cucu mereka tidak ada, dan susah untuk diceritakan dan memperkenalkan.
Aku memang mempunyai ramai saudara yang agak rapat, moyang ada 9 beradik(aku sempat jumpa moyang, moyang meninggal ketika aku dah pun berkahwin), nenek ada 8 beradik, datok ada 7 beradik, arwah mak ada 9 beradik, abah ada 9 beradik, aku ada 9 beradik, zauj ada 9 beradik. Keluarga zauj pun sama, dari moyang, nenek, datok , mak dan ayah, semuanya mempunyai ramai adik beradik kandung. Ini belum disenaraikan adik beradik tiri. Untuk bercerita pun susah sebab panjang dan ramai, maka jalan termudah ialah bawa anak-anak menziarahi mereka yang dah tua ini setiap tahun.
Anak-anak perlu dididik agar suka menziarahi saudara mara, supaya bila kita telah tiada mereka kenal dan tahu siapa sepupu, mak dan nenek saudara. Kalau dengan sipulan ini, apa kaitan hubungannya...
Aku tak mahu anak-anak tidak kenal sepupu sendiri. Aku suka cara saudara mara aku yang telah menjadi warga Arab Saudi menjaga hubungan keluarga. Walupun mereka telah berhijrah ke Arab Saudi lebih 40 tahun lalu, tetapi mereka masih ingat keluarga dan susur galurnya, mereka juga kerap berkunjung ke Malaysia untuk bertemu saudara mara yang paling dekat hubungannya hanyalah sepupu. Mak dan ayah saudara semuanya telah meninggal dunia.
Mereka berpesan, jika sesiapa sahaja yang pergi ke Makkah samada untuk mengerjakan haji atau umrah agar, meluangkan sedikit masa untuk menziarahi mereka. Tujuan utama adalah agar hubungan kekeluargaan tidak putus dan anak-anak kenal sepupu mereka.
Masa aku pergi mengerjakan haji tahun 2000 dan 2008, aku sempat lagi bermalam di rumah mereka. Memang aku kena meluangkan sedikit masa untuk bermalam di rumah mereka. Kalau ikut hati yang cintakan Baitullah, sedikit pun aku tidak ingin meninggalkan solat berjamaah di Masjidil haram walau satu waktu, tetapi bila teringat kan menghubung dan mengeratkan silaturahim kerana Allah seperti yang Rasullulah sukai, maka aku tetap menziarahi mereka ini.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesiapa yang menjenguk (menziarahi) orang sakit atau menziarahi saudara Islamnya kerana Allah, dia akan diseru oleh penyeru (malaikat): Kamu bagus (malaikat mendoakannya supaya dapat hidup di dunia dan akhirat dengan baik), perjalanan kamu juga baik dan kamu telah menyediakan rumah untuk kamu di dalam syurga.
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).
Hijrah kaum muslimin di atas bumi ini mengandungi dua tujuan iaitu menjauhkan diri daripada sesuatu dan memenuhi sesuatu tuntutan. Dalam melakukan hijrah demi memenuhi tuntutan agama, maka menziarahi saudara seislam semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah akan memperolehi hikmah paling besar. Dengan melaksanakan tuntutan ziarah ini, akan membuahkan benih kemesraan dan pengorbanan dalam membela sesama insan.
Ziarah yang dilakukan dikalangan kaum muslimin menjanjikan ganjaran yang banyak dari Allah SWT, disamping merupakan amalan sunnah Rasulullah SAW. Keutamaan ziarah melahirkan rasa kasih sayang dan mengukuhkan jalinan persaudaraan. Jika dilakukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan agama, menghidupkan amalan sunnah, nasihat menasihati serta berpesan dengan kebenaran dan kesabaran, maka akan memperoleh keredhaan Allah SWT yang sangat luas.
Setiap kali kunjungan aku ke rumah saudara mara di Arab Saudi, aku diraikan oleh mereka.Mereka benar-benar mengamalkan sunnah Rasullulah dalam menghormati tetamu seperti yang dituntut di dalam Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menghormati tetamu, maka ia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku, maka dia memuliakan Allah dan sesiapa memarahi tetamu, maka dia marah kepadaku dan sesiapa yang marah kepadaku, maka dia memarahi Allah."
Photo kenangan semasa menziarahi saudara mara di Arab Saudi.
No comments:
Post a Comment