Friday, 6 November 2009

Jangan Tuan Menjadi Hamba

Omar, Abdullah, Imran....bangun mandi, cepat , nanti lambat. Bergegas Imran, yang umur 7 tahun bangun dulu, masuk ke bilik air. Memang Imran tak suka lambat-lambat,kalau boleh dia yang siap dulu. Diikuti dengan Abdullah dan Omar. Depa ni selalu tidur berhampiran dengan ummi. Jika hari tu,ummi tertidur di sofa ruang tamu, maka mereka pun tertidur di ruang tamu juga. Sejak setahun lalu, ummi sakit dan tidak boleh naik tangga (tahun lepas ummi menggunakan kerusi roda) ummi hanya tidur diruang tamu, (maknanya peralatan kamar tidur di bawa ke bawahlah), maka anak-anak yang bertiga ni setia tidur berhampiran dengan ummi.

Mereka tidak tega mahu membiarkan ummi tidur berseorangan. Begitu juga zauj pun sama lah dengan anak-anak, menemani ummi hinggakan kalau ummi tinggal di wad pun mereka akan bermalam temankan berramai-ramai. Sekarang ummi gagahkan diri, naik tangga sehari sekali untuk tidur di kamar atas. Anak-anak pun sama, akan tidur di kamar atas ,masih mahu sama level bilik ummi.

Gambar semasa ummi di wad, anak-anak berkampung di tepi katil ,
sambil lepak-lepak teman ummi.


Lepas saja mandi, mulut ummi tak pernah senyap, mesti sebut perkataan, "sidai tuala lepas mandi". Sejak kecik lagi dah lebih 20 tahun , ummi kena sebut perkataan tu hari-hari sebab, mahu displinkan anak-anak, supaya lepas mandi tuala yang digunakan itu, disidai semula,jangan biar berlonggok di mana suka. Nanti jadi kebiasaan, sampai ke hari tua dan di mana jua lepas mandi tuala tidak sidai. Dari anak sulong, sekarang dah berumur 24 tahun, nak tunggu pula Imran berumur sehingga 12 tahun, rasanya baru agaknya mulut ummi berenti sebut "sidai tuala".

Sama juga dengan menyuruh mereka solat, mengingatkan mengaji quran, hari-hari, tiap waktu kena tanya "dah solat?". Jika lepas solat maghrib, kena sebut "mengaji dulu, baru makan". Dah jadi sebutan hari-hari dalam proses pendidikan anak-anak. Sebagai ibu, kita tidak boleh sekali-kali jemu untuk mendidik walaupun kena sebut perkataan itu berulang kali. Seorang ibu tidak boleh jemu untuk mengingatkan anak-anaknya bersolat, membaca quran, belajar, ulangkaji pelajaran...

Begitu juga dalam pendidikan harian, kata-kata seorang ibu doa, walaupun tidak terlafaz dilidah, hanya berkata-kata di hati , ia ibarat doa. Sebab itu, seorang ibu,perlu berhati-hati bila bercakap dengan anak-anak terutama di kala ada rasa marah. Bukan seorang ibu tidak boleh marah, sebab itu adalah fitrah, bila anak buat salah, namun kata-kata yang ingin dilafaz tu perlu berhati-hati supaya tidak timbul penyesalan di kemudian hari.

Masa anak kecik dulu,ummi lebih rela pukul anak tu, dari memarahi dengan mengeluarkan kata-kata yang keterlaluan. Bila dah besar macam ni,ummi memang tidak pukul, sebaliknya ummi nasihati sahaja. Jika ummi tidak mampu menasihati, mungkin bercampur emosi marah, lebih rela ummi minta tolong orang lain saja menasihati bagi pihak ummi.

Kalau anak buat silap atau melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan ummi, ummi lebih banyak berdoa,minta Allah memberikan hidayah,membuka hati dan melembutkan hatinya agar sentiasa terbimbing dalam akhlak mulia. Ummi tidak pernah jemu untuk berdoa, setiap hari dan masa. Hingga setiap detik nafas pun ummi tetap ingat dan minta pada Allah agar anak ummi ini sentiasa di dalam rahmat Allah. Ditambah lagi ketika ummi sakit dan kesakitan, doa yang ummi lebih dahulu lafazkan ialah mengampunkan dosa anak-anak, mohon hidayah untuk anak-anak agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Selepas itu barulah detik hati berdoa, "Ya Allah, ringankanlah rasa sakit ku ini dengan Rahmat dan Kasih SayangMU".

Ingatlah wahai ibu-ibu, jika kita mempunyai anak soleh, kita akan berbahagia hingga diakhirat. Ingat doa seorang ibu tidak ada hijabnya, hanya cepat atau lambat sahaja untuk Allah sampaikan. Selagi ada waktu, ada usia, berdoalah untuk anak-anak, sebabnya,kala di dunia ini,kita masih ada masa untuk beramal, ganjaran Allah itu dalam rahsiaNya, tetapi bila kita dah mati, kita dah tidka boleh berbuat amal dan menambah amal, melainkan dari jariah kita, ilmu dan anak-anak yang soleh.

Rasulullah SAW bersabda, "Bila seorang anak Adam wafat, maka amalnya terputus kecuali tiga hal:

[1] Shadaqah jariah,

[2] Ilmu yang bermanfaat dan

[3] Anak sholih yang mendoakannya.

(HR. Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa'i dan Ahmad)


Pada sesiapa yang ada anak tu, hargai amanah Allah ini, jika boleh berkorban, berkorbanlah apa sahaja kepada anak-anak dalam usaha mendidik mereka . Kita ini sebenarnya sedang berjalan menuju sesuatu matlamat. Matlamat ummi berjalan menuju Allah. Maka dalam perjalanan menuju Allah ini,banyak yang kita harus lalui, dan kita mesti bersikap jujur amanah, yakin dan tabah. Setiap tindakan, pekerjaan, perbuatan itumesti tanya,adakah apa yang akan aku buat ini, Allah suka,Allah redha? Jika Allah larang dan tidak redha, maka tinggalkan. Contohnya, menuruti perintah anak.

Memang kebiasaan ummi, sewaktu makan tengah hari atau malam, air tidak dihidangkan bersama-sama, masih di dapur atau didalam peti sejuk, jika anak minta tolong ambikkan air sewaktu makan, kita memang dah duduk semeja, bukan kita tidak boleh bangun untuk ambikkan air tu, tapi kita tidak mahu membiasakan anak itu menyuruh ibu atau bapa melakukan perkara yang paling mudah. Kita kan sama-sama sedang makan, semua dah selesa duduk, tiba-tiba anak nak air, maka anak tu lah yang kena bangun sendiri ambik. Tak kiralah anak itu kecik atau pun besar. Tujuannya melatih dia tidak senang-senang memerintah seorang ibu atau bapa. Mungkin orang anggap perkara ini kecik, tapi jika dihalusi, dari perkara yang remeh dan kecik inilah yang boleh jadi kebiasaan dan bila dah besar tanpa segan dan silu suka memerintah atau menyuruh mak ayah itu ini.

Didiklah anak dengan cara yang betul penuh kasih sayang. Bukan bila kita suruh mereka buat kerja, buat sendiri tu, kita tidak sayang, tetapi kita mendidik dan mengasuh mereka sebenarnya. Kita suruh mereka melakukan apa sahaja sendiri dengan asuhan, bimbingan dan tunjuk ajar, membiarkan mereka selalu rasa susah adalah kerana sayangkan mereka , kerana jika suatu hari musibah datang, mereka boleh berakal panjang untuk memikirkan hidup dan kehidupan di dalam keredhaan Allah.

Rasulullah s.a.w. ketika menggambarkan tanda-tanda kiamat ada menyatakan bahawa akan sampai suatu masa apabila “Ibu-ibu akan melahirkan tuan-tuan”.

Ada zaman sekarang ini, anak-anak mengajak ibu datang tinggal bersama-sama di rumah mereka, jika tujuan kerana demi menjaga kebajikan ibu , memudahkan ibu beribadah, tidak mengapa, tetapi apa yang banyak terjadi ialah, mula-mula anak tadi tu meminta tolong (konon tu tu minta tolong) tetapi sebenarnya suruh bantu jaga anak mereka ketika mereka keluar bekerja, buat kerja rumah, masak dan sebagainya. Ibarat orang gaji. Ini yang tidak betul. Jika ibu mereka tu lambat buat kerja, siapkan makanan, mereka dengan suara lantang , tergamak untuk menengking pula. Itu yang tidak kenanya. Kalau minta tolong, bukan selamanya, bukan senang mengarah itu ini...

Bila anak tadi kata prinsip nya tolong, 5 sen pun wang tidak dibayar, sedangkan jika anak tadi tu dihantar ke 'baby sitter' atau pengasuh atau taska, dah pasti kena bayar. Sedikit ummi sedut satu luahan hati seorang ibu yang nasibnya menjadi hamba kepada anaknya ...

" Tetapi bila Izah tak ada pembantu, dia suruh saya duduk dengan dia jaga anak-anaknya. Sekarang dah lebih enam tahun.

”Saya rasa saya adalah pembantu rumahnya, tapi tak bergaji, dapat makan dapat tempat tidur. Tapi masalahnya saya dah berusia dekat 50 tahun, badan saya sudah tak kuat lagi. Kerana hidup susah sejak muda, saya memang kelihatan tua.

”Saya fikir bila dia ambil saya tinggal di rumahnya, dapatlah saya ke surau, buat amal ibadah dengan selesa, malangnya sembahyang tarawih pun jarang dapat pergi, di rumah aja menguruskan anak cucu.

”Mengapa menantu saya terlalu berkira tentang duit dan membuat saya macam hamba abdi? Kalau saya pembantu rumah orang lain tentu dapat imbuhan tetapi duduk di rumah anak sendiri saya benar-benar terhina. Saya perlukan masa sendiri untuk membuat amal ibadah yang banyak saya tinggalkan semasa bekerja dahulu. Tetapi semuanya tersekat kerana menguruskan empat orang cucu pergi sekolah rendah, sekolah agama, tadika dan sebagainya.

Sudahlah hidup saya susah semasa membesarkan anak-anak, dah tua begini pun saya terpaksa jaga cucu. Saya rasa terhina kerana duduk menumpang di rumah mereka. Kerana saya tidak punya apa-apa, miskin dan tak berharta saya dibuat macam hamba."

Kata Sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama ‘Urwah, “Tunduklah kamu di hadapan ibu dan bapa kamu sebagaimana tunduknya seorang hamba abdi di depan tuannya”. Berkata pula ‘Atha bin Rabah, “Janganlah kamu mengangkat tangan apabila kamu sedang bercakap dengan kedua ibu bapa kamu”. Sementara Imam al-Hasan pula menyebut, “Hendaklah si anak itu bercakap
kepada kedua orang tuanya, “Wahai ibu, wahai ayah, dan jangan sekali-kali memanggil dengan menyebut nama mereka”.

Firman Allah swt: “Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua ibu bapamu dan hanya kepada-Kulah tempatmu kembali”. (Luqman: 14).

Firman Allah swt: “Dan berdoalah, ‘Wahai Tuhanku kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani diriku sewaktu kecil dahulu.” (Al-Israk: 24)

Impianku menjadi isteri solehah

1 comment:

  1. Komen dari Mawaddah dichatbox
    6 Nov 09, 05:54
    mawaddah: harap ummi dapat kongsikan banyak lagi amalan2 hidup ummi sebagai panduan buat diri ini.
    6 Nov 09, 05:54
    mawaddah: terima kasih ummi..ummi buat saya rasa seronok dgn kerjaya saya sebagai isteri dan ibu.
    6 Nov 09, 05:53
    mawaddah: salam..ummi.sehari tak tengok blog ummi rase tak lengkap hidup ini.

    ReplyDelete