Wednesday, 23 December 2009

Kisah Pembantu Rumahku


Hari ini, selepas solat dhuha terus bersiap-siap pergi bank untuk membuat beberapa pembayaran seperti bil-bil kad kredit, bil elektrik, air, celcom, tmnet, dan  membuat bank draf untuk pembayaran levi pembantu rumah kepada Pengarah Imigresen Negeri Johor. Selesai urusan di Bank Rakyat, bergegas dengan angah menuju ke Johor Bahru untuk membaharui permit serta menyerahkan pembayaran secara belian cek di Bank Rakyat tadi tu di Jabatan Imigresen. Adalah pula sketsanya terlakar di sini. Boleh baca di Forum Halaqah.net "Birokrasi Jabatan Perkhidmatan Awam".

Permit pembantu rumah ummi baharui untuk setahun lagi hingga 1 Januari 2011. Bibik Sugiharti ini dah hampir 6 tahun bersama ummi. Bermakna dengan pembaharuan permit, masuk 7 tahun lah. Memang lama juga Sugiharti tinggal dengan ummi.

Ummi mulai bersara pada 1 Jun 2010. Ummi telah diberikan cuti sakit sejak 23 Julai 2009. Dah 6 bulan ummi di rumah. Tahun lepas, ummi sakit, diberikan cuti lebih 6 bulan juga.Tahun depan pun, mulai 1 Januari 2010, ummi diberikan lagi cuti sakit sebagai persediaan untuk pembedahan yang akan dilakukan pada bulan Februari. Ramai juga bertanya, kenapa ummi masih perlukan pembantu rumah, sedangkan anak-anak ummi dah besar-besar.

Pembantu rumah diperlukan untuk membantu ummi buat kerja rumah. Menguruskan kerja-kerja rumah tangga yang ummi tidak mampu buat kerana keterbatasan ummi  bergerak.

Ummi telah memiliki 3 orang pembantu rumah dalam tempoh 12 tahun kebelakang ini. Sejak tahun 1997, ummi telah mula mengambil pembantu rumah Indonesia.Bermula selepas kelahiran anak ke 7, Omar Abdul Aziz.

Pembantu pertama bernama Saodah berkhidmat sehingga tahun 2000. Pada tahun ini ,ummi pergi mengerjakan haji kali pertama dan ummi amanahkan pembantu rumah ini untuk menjaga anak-anak ummi. Dia sangat baik dan menghargai jasanya, semasa di tempat mustajab doa, ummi sentiasa mendoakan dia agar di murahkan rezeki. Semasa bekerja dengan ummi, waktu ummi keluar bekerja , dia buat kerja  di rumah ummi, pada waktu petang , ummi telah ada di rumah, ummi carikan kerja part time untuk dia, membersihkan rumah kawan-kawan ummi. Setiap hari ada saja permintaan dari kawan-kawan untuk mengambil dia bekerja. Pendapatannya sebulan sahaja mencecah RM 1000. Ummi tak usik mana-mana pendapatan dia bekerja luar. Semua ummi berikan kepada dia. Setelah tamat tempoh, dia balik ke Indonesia dan telah mampu membeli sawah padi, membina rumah yang baik dan memiliki lembu kerbau.

Pembantu yang kedua, bernama Raudatul Jannah cuma sempat bekerja setahun sahaja kerana sakit. Semasa sakit, ingatkan cuma demam biasa, ummi hantar ke hospital swasta( hospital pakar puteri), namun bila penyakit yang dihidapi dapat dikesan, doktor hospital ini telah memanggil ummi supaya dipindahkan ke hospital kerajaan kerana kos rawatan amat tinggi. Selama 2 hari berada di hospital ini, kosnya mencecah RM 4500, dan ditanggung oleh ummi.

Bila dipindahkan ke hospital kerajaan, oleh kerana warga asing, walaupun ditempatkan di wad kelas 3, charge yang dikenakan adalah kadar kelas 1 , maka  kos sehari mendapat rawatan di hospital kerajaan juga jadi tinggi. Nak buat macamana dia sakit. Setelah tinggal dihospital Sultanah Aminah selama 56 hari, arahan kementerian kesihatan, pembantu rumah ini, perlu dihantar pulang ke Indonesia. Sebaik sahaja selesai pembedahan plastik, setelah semua dokumen perjalanan disediakan , pembantu ini dihantar ke imegresen untuk urusan balik ke Indonesia. Sebenarnya sekiranya diizinkan oleh kerajaan Malaysia ummi masih lagi ingin membantu rawatan sakitnya, namun undang-undang Malaysia telah mengarahkan Raudatul Jannah dihantar pulang ke negara asal atas sebab faktor keselamatan kesihatan. Jumlah kos rawatan di hospital HSAJB juga tinggi , melebehi RM 5000. Semua kos hospital dan penghantaran pulang ditanggung oleh ummi. 8 bulan dia balik ke Indonesia, ummi mendapat khabar dia meninggal dunia di sana.

Ummi juga mendapat khabar dari saudara nya bahawa sepanjang dia sakit, dia tidak putus-putus berdoa dan bersyukur atas pertolongan ummi membayar kos rawatan di Malaysia yang mencecah RM10,000 dan layanan baik ummi sepanjang masa di sakit menerima rawatan. Sentiasa dia mendoakan kemurahan rezeki ummi. Syukur, doa orang sakit di kabulkan oleh Allah SWT.

Setelah itu, ummi ambil seorang lagi pembantu rumah menggantikan Raudatul Jannah. Pembantu ini  bernama Sugiharti telah bekerja dengan ummi dari tahun 2004 hingga kini , sudah masuk tahun ke 7. Walaupun ummi tidak ada anak kecik, tapi ummi tetap perlukan pembantu untuk menguruskan rumah ummi disebabkan keadaan kesihatan ummi kini.

Semua pembantu rumah ummi baik-baik dan berakhlak mulia. Walaupun ketika mereka datang, bersolat pun mereka tidak tahu, apatah lagi bab menutup aurat, namun, bila tinggal bersama ummi, perkara pertama ummi tanya ialah solatnya. Ummi sediakan telekong, dan ajar bersolat. Ummi sediakan semua keperluan diri dan ajar dia agar sentiasa bertudung, menutup aurat ketika suami dan anak-anak bujang ummi berada di rumah. Ummi ajar cara penyediaan makanan ikut feqah, seperti semua ikan atau sayur, selepas di cuci, perlu ditos. Ajar cara mencuci air kencing jika ada anak-anak yang terkencing di lantai jubin. Tunjukkan juga cara mencuci pakaian menggunakan mesin cuci agar kesucian pakaian terjaga.

Kesemua mereka bersifat amanah dan jujur serta memantuhi arahan serta peraturan. Mereka juga tidak mengambil kesempatan di atas layanan baik ummi pada mereka. Ramai kawan-kawan ummi bertanya, macamana ummi boleh memiliki pembantu rumah dalam jangkamasa yang lama dan tidak berlaku sesuatu yang buruk kepada keluarga dan harta benda ummi. Ummi jawap senang saja, " jangan anggap pembantu rumah seperti orang gaji, tapi anggap pembantu rumah seperti saudara sendiri." Setiap kali ummi bercuti atau berziarah, atau balik kampung, ummi tidak pernah tinggalkan meraka. Ummi bawa kemana saja ummi pergi. Pembantu rumah ummi jadi macam  kawan ummi.

Setiap tahun mereka dapat bonus juga. Dapat elaun tambahan. Mereka bekerja di rumah mengikut masa yang mereka senangi, jadi mereka tidak merasa sebarang tekanan. Yang pasti kerja mesti siap, rumah mesti kemas dan bersih. Sejak mula pembantu bekerja di rumah ummi, mereka akan bangun setiap hari sebelum jam 5:00 pagi. Mereka bijak mengatur masa, jadi bila petang jam 2:30 masa menonton Sinetron, kerja rumah dah selesai. Kadang ummi lihat, sambil menonton TV, mereka melipat pakaian.

Tahun 2008, sekali lagi ummi pergi menunaikan haji. Ummi hanya amanahkan pembantu rumah ini sahaja untuk menjaga rumah dan anak-anak ummi. Syukur semuanya selamat.

Sekarang pembantu inilah yang akan menolak kerusi roda (wheele chair) jika ummi ingin bershopping ke Jusco atau Gaint. Ummi mampu memandu kereta, tapi untuk berjalan, jarak yang ummi mampu berjalan agak terbatas. Setelah anak-anak ke sekolah, ummi tinggal di rumah bersama pembantu dan cucu sahaja lagi. Inilah secebis kisah pembantu Indonesia yang baik, dimana pembantu itu jadi baik apabila majikan nya melayan dia dengan baik juga.

Oleh kerana pembantu ini, melakukan tugas-tugas yang sepatutnya ummi lakukan , maka gajinya ummi yang bayar. Memang benar, suami sepatutnya sediakan pembantu untuk isteri, maka gajinya suami yang bayar, tetapi ummi lebih suka membantu meringankan beban tanggungan suami, maka gaji pembantu rumah ummi yang bayar. Keluarga ummi besar, maka perbelanjaan juga besar. Suami isteri perlu saling bantu membantu antara satu sama lain demi keharmonian dan kebahagiaan yang sama-sama nikmati.

Semoga rumah tanggaku, suamiku,anak-anakku serta sesiapa yang tinggal bersama-samaku di dalam rumah ini sentiasa dilimpahi rahmat, kasih sayang dan redha Allah SWT.


Impianku menjadi isteri solehah

No comments:

Post a Comment