Saturday, 30 January 2010

Indahkan Tutur Katamu

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PENCIPTAAN manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah dan khalifah di muka bumi mempunyai tujuan yang ditetapkan.

Antaranya, menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah yang mengakui sejak awal penciptaannya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Al-Quran yang tiada sebarang keraguan di dalamnya, memaparkan panduan bagi membantu umat manusia mencapai kehidupan bahagia di dunia dan akhirat.

Oleh sebab itu, wajarlah setiap perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perlakuan sukar dikawal manusia.
Manusia boleh menuturkan apa saja bentuk kata-kata tanpa had berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Tanpa iman yang mantap, kata-kata yang dikuasai nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan hati yang lemah akan sentiasa membasahi lidah mereka.

Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada yang baik atau sebaliknya. Keadaan umat Islam saling menghina dan memperlekeh sesama mereka, anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua dan keruntuhan moral di kalangan remaja.

Semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Sebagai manusia, kita harus ingat setiap apa yang kita katakan, ia tidak terlepas daripada catatan malaikat. Hal ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan serta kesilapan manusia tetapi memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir” (Surah Qaaf, ayat 18). Tutur kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, masyarakat mudah terpikat dengan Islam.

Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak angkuh.

Firman Allah bermaksud: ” Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut” (Surah Toha, ayat 43-44).

Dakwah sedemikian tidak berjaya menambat hati Firaun, tetapi dengan perintah Allah, ia menunjukkan cara dan kaedah yang harus diikuti dalam proses dakwah hari ini. Selain itu, dalam al-Qur’an dengan jelas Allah menyatakan di antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran (‘ ibad ar-Rahman ) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik dan indah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik” (Surah al-Furqan, ayat 63).

Justeru adalah amat menyedihkan jika dilihat orang-orang yang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan yang lebih teruk lagi merasakan dirinya sahaja betul.

Sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita harus berasa rendah diri dan memilih kata-kata yang terbaik apabila berhadapan dengan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman khalayak pendengar.

Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan setiap anggota kita adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak. Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah diri kita daripada terus menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, basahi lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: “Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

Semoga entri ini menyedarkan kita betapa perlunya berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata atau penulisan di alam maya terutama ketika berinteraksi diruang forum atau chatbox umum. Nasihat ini bukan sahaja ditujukan kepada pembaca budiman yang sudi melayari laman ummi, tetapi utama ditujukan buat diri ummi sendiri sebagai peringatan di dalam mendidik diri agar terus berhikmah bila berinteraksi dengan orang lain.

Betapa lemahnya jiwa bila sedikit diberiakn ujian melalui kata-kata,hati dan jiwa terus mahu kecil hati dan merajuk. Ya Allah , sucikan hatiku dan bersihkan jiwaku,ikhlaskan aku melakukan apa sahaja kerana MU.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,

No comments:

Post a Comment