Saturday, 9 January 2010

Permata Ilmu


Ilmu pengetahuan

“Menuntut ilmu adalah suatu kewajiban atas setiap muslim.” (riwayat Ibnu Majah)

Ilmu bagaikan cahaya. Ilmu menerangi jalan seseorang untuk menelusuri kehidupan di muka bumi. Imam Ahmad pernah mengungkapkan : “ Peranan ilmuwan di atas bumi laksana bintang, sebagai pedoman di malam gelap bila cahaya bintang itu redup, akan kesasarlah para pengembara.”

Ilmu pengetahuan juga suatu kekuatan besar.Dengan ilmu ini manusia mengembangkan kehidupannya; bukan hanya terbatas pada dirinya sendiri, pada generasi sezamannya, dan tidak pula pada tujuan yang sempit dan dekat. Bahkan tidak hanya terbatas di bumi ini saja, malah mencakupi semua jagat atau lebih dari itu.

Ilmu pengetahuan adalah pemberian Allah yang amat berharga untuk manusia.Dengan ilmu ini Allah memuliakan dan meninggikan darjat manusia.Ia juga termasuk salah satu mu’jizat ciptaan Allah.Namun begitu, kita sering meremehkannya dan tidak membuka mata untuk itu. Hati kita tidak bergetar, kecuali ketika ilmu pengetahuan menyingkapkan salah satu rahsia alam raya atau apabila ilmu pengetahuan membukakan pintu baru kepada ummat manusia. Sedangkan ilmu adalah ilmu baik yang mudah mahupun yang sukar.


TERDAPAT beberapa sebab untuk mendapatkan ilmu pengetahuan serta di dapati pelbagai cara untuk meraihnya serta menghafalnya. Yang terpenting adalah:

1. Bahawa seseorang itu memohon kepada Allah ilmu yang bermanfaat serta meminta kepadaNya. Allah S.W.T. telah memerintahkan kepada NabiNya S.A.W.dengan selalu memohon kepadaNya untuk ditambah ilmu yang bermanfaat yang banyak. Allah S.W.T. berfirman: "Dan katakanlah (Wahai Muhammad): "Ya Tuhanku tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."

Rasulullah S.A.W. selalu berdoa kepada Allah dengan doanya:
"Ya Allah! berikanlah kepadaku manfaat terhadap apa yang telah Engkau berikan pelajaran kepadaku, berikanlah ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepadaku dan tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.”

2. Bertungkus lumus dalam menuntut ilmu pengetahuan.Selalu merindukannya dan kemahuan yang benar untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. serta mencurahkan segala daya upaya untuk menuntut ilmu pengetahuan mengenai Al-Quran dan hadith.

Datang seorang lelaki kepada Abu Hurairah r.a,lantas lelaki itu berkata: Sesungguhnya aku berkeinginan untuk belajar ilmu pengetahuan dan aku takut untuk mensia-siakannya. Maka Abu Hurairah berkata: Cukuplah engkau meninggalkan ilmu pengetahuan itu sebagai tindakan menyia-nyiakan kepadanya.

Oleh sebab itu, sebahagian para ahli hikmah mengatakan ketika mereka ditanya: Apa sebenarnya sebab untuk meraih ilmu pengetahuan itu? Ahli hikmah itu menjawab: Keinginan yang kuat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tersebut. laitu dengan cara mengikutinya, mencintainya dengan cara mendengarkannya dan mengumpulkannya.

Ajarkanlah ilmu mu itu kepada orang yang jahil, belajarlah engkau kepada orang yang berpengetahuan, sebab jika engkau melakukan yang demikian, nescaya engkau akan mendapatkan ilmu daripada perkara-perkara yang engkau belum ketahui dan engkau akan hafal terhadap apa yang engkau ketahui.

Oleh sebab itu Imam Syafie mengatakan dalam syairnya:
Saudaraku! engkau tidak akan meraih ilmu melainkan dengan enam Selagi aku akan beritahukan penjelasannya dengan terperinci. Pintar, keinginan, bersungguh dan bekal. Berteman dengan guru dan masa yang lama.

3. Menjauhkan seluruh maksiat dengan cara bertakwa kepada Allah S.W.T. Sebab yang demikian tersebut merupakan cara atau wasilah yang paling tepat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Sebagaimana firman Allah S.W.T.

"Dan bertakwalah kepada Allah: Allah mengajarkan kamu: dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Allah S.W.T. juga berfirman di tempat lain:
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan furqan.”

Ini sangatlah jelas bahawa orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T. nescaya Allah akan memberikan ilmu pengetahuan yang dapat membezakan antara yang hak dan yang bathi1. Oleh sebab, Abdullah bin Mas'ud r.a mengatakan: Sesungguhnya Aku yakin bahawa seseorang yang telah lupa dengan ilmu dan sebelumnya ia telah mengetahuinya dengan dosa yang ia ketahui.

Umar bin Abdul Aziz mengatakan: Lima perkara jika seorang hakim bersalah maka ianya akan mendapatkan keaiban. Ianya hendaklah seorang yang memiliki pemahaman, tidak pemarah, menerima apa adanya, kuat pendirian dalam mempertahankan kebenaran dan seorang alim yang selalu bertanya tentang masalah ilmu.

Imam Syafie mengatakan dalam sebuah syairnya: Aku mengadu kepada Waki’ tentang buruknya hafalunku Maka ianya memberikan saranan kepadaku untuk meninggalkan maksiat.

Ianya juga memberitahu kepadaku bahawa ilmu Allah adalah cahaya, dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang bermaksiat.Imam Malik berkata kepada Imam Syafie: Allah telah memperlihatkan kepadaku bahawa Dia telah menjadikan sebuah cahaya di dalam hati kamu, maka janganlah engkau padamkan dengan kegelapan maksiat.

4. Tidak bersikap sombong dan malu dalam hal menuntut ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu Aisyah r.a berkata: Sebaik-baik perempuan adalah perempuan orang Ansar. Mereka tidak pernah malu untuk mendalami ilmu dalam masalah agama.Ummu Sulaimah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah tidak merasa malu untuk menanyakan hal kebenaran, maka apakah wajib bagi seorang wanita mandi apabila ianya bermimpi? Nabi S.A.W. bersabda: Ya, apabila melihat air mani.

Mujahid mengatakan: Orang yang tidak mahu belajar ilmu iaitu orang yang pemalu dan orang yang sombong.

5. Ikhlas di dalam menuntut ilmu pengetahuan dan mengamalkannya. Rasulullah S.A.W. bersabda: Seseorang yang menuntut ilmu di jalan Allah sedangkan ianya hanyalah mempelajari untuk mendapatkan bahagian daripada kepuasan dunia sahaja, nescaya ianya tidak akan mendapatkan bau harum syurga pada hari Kiamat.

Maka jelaslah daripada keterangan di atas bahawa ilmu pengetahuan harus dilaksanakan dengan ikhlas dan tekun.


Diriwayatkan dalam satu hadith bahawa menuntut ilmu semata-mata kerana Allah سبحانه وتعالى adalah termasuk dalam pengertian takut kepada Allah سبحانه وتعالى. Menuntut ilmu dan pergi ke mana-mana saja untuk mencari ilmu adalah ibadat. Menghafal ilmu adalah tasbih (mensucikan Allah سبحانه وتعالى ). Perbincangan dalam mengkaji ilmu adalah jihad. Membaca dan mentelaah kitab adalah sedekah dan mengajar ilmu kepada orang-orang yang layak diajar adalah penghampiran diri kepada Allah. Sesungguhnya melalui ilmu, halal dan haram dapat dibezakan. Ilmu adalah tanda arah jalan ke syurga, penghibur hati ketika gelisah, teman dalam perjalanan, guru ketika keseorangan, memberi petunjuk dalam kesenangan dan kesusahan dan senjata ketika melawan musuh untuk membela kawan.

Dengan ilmu dapat dieratkan lagi tali persaudaraan, dan dengan ilmu juga dapat mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu adalah imam kepada amal, dan amal adalah pengikut ilmu. Ilmu hanyalah diilhamkan kepada orang-orang yang berbahagia sahaja sedangkan orang-orang yang malang adalah jauh daripada ilmu.



Impianku menjadi isteri solehah,mencintai, 
mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA.

No comments:

Post a Comment