Kenapa masih berkata-kata? Antara ketetapan hati dan ketentuan hati...
Di pagi yang syahdu ini, aku segar melihat keindahan yang semula jadi daripada Jendelaku yang menghadap ke kawasan lapang tidak memperlihatkan kelibat manusia. Inilah waktu yang tepat untuk aku berhadapan dengan Yang Maha Pecipta keindahan ini. Aku mengambil wudhu’, kemudian masuk ke bilik aku semula. Aku atur elok-elok kain sajadahku. Aku memulakan solat dhuha dengan bisikan takbir. “Allahu akbar”.
Tidak pernah aku berasa nikmat yang lebih indah selain berhadapan dengan Al-Khalik tanda bersyukur atas “hadiah” yang diberikanNya. Hadiah yang berbentuk keindahan, keharmonian, dan ketenangan yang diberikanNya kepada hambaNya. Tidak cukup rasanya kalau aku hanya melakukan amalan yang wajib dan meninggalkan perkara yang dilarangNya, kerana amalan yang wajib itu hanya melahirkan rasa abdiku kepadaNya, bukan rasa kecintaanku kepadaNya. Tidak ada cinta yang lebih indah berbanding cinta yang hakiki, yakni mencintai Allah s.w.t. Yang Maha Agung. Dengan itu aku berusaha menambah amalanku dengan amalan-amalan sunat dan meninggalkan segala yang makhruh, yang pasti, perkara wajib aku wajib laksanakan. Ya Allah, alhamdulillah, aku merasai cintaMu. Kelopak mataku dilinangi air jernih yang mengaburkan pandangan aku ketika itu.
Aku menjadi isteri kepada suami, penolong ketua keluarga, dan ibu kepada anak-anak aku.Cita-citaku ingin menjadi isteri yang baik kepada suami, juga terhadap tetangga suami, dan terhadap saudara mara suami. Apatah lagi pada anak-anak aku, aku ingin menjadi ibu yang terbaik buat mereka.
Meletakkan segala-galanya pada Yang Maha Penyayang merupakan kunci kebahagian keluarga. Dialah yang memberi “hadiah” maka aku hargai hadiah itu, dan yang pasti, si Pemberi hadiah lebih aku hargai. Aku jaga, lindungi, kasihi, sayangi, dan mencintai hadiah itu . Ini menunjukkan bahawa aku sungguh menghargai si pemberi hadiah. Sesungguhnya, dengan lahirnya cinta , maka akan lahirlah rasa mahu bertanggungjawab pada diri aku untuk menjaga, melindungi, dan sebagainya. Dengan cinta juga, mampu untuk aku menambah rasa malu pada suamiku. Malu pada suamiku? Sudah jadi suami masih mahu berasa malu?
Aku mengidamkan perasaan malu sepanjang hidup bersama suamiku sama seperti aku malu ketika baru berkenalan di awal perkahwinan. Aku sungguh takut untuk tidak berasa malu. Aku takut sekiranya aku menjadi isteri yang malu tidak bertempat. Di dalam rumah tidak berhias untuk suami, di luar rumah baru aku mahu berhias. Di dalam rumah aku seperti biasa, di luar semerbak kasturi, itu aku tidak mahu.
Tetapi aku yakin dengan kecintaan yang sebenarnya kepada Maha Pencipta, aku akan berjaya mengekalkan rasa malu aku sama seperti aku malu ketika baru mula berkenalan dengan suamiku dulu.
Dengan wujudnya iman maka terdoronglah untuk aku berasa malu, dan terdorong pula aku untuk mencintai Maha Pencipta, dan dengan cintaku terhadapNya, maka aku akan ikhlas dalam melakukan semuanya, aku tidak akan berharap apa-apa balasan dari suamiku (atas kebaikan aku padanya), sebaliknya aku menyerahkan segala hikmah hanya pada Yang Maha Esa.
Oh indahnya hidup berumahtangga. Ada suami, ada anak-anak, ada macam-macam, oh indahnya.Insan yang menemani aku di dunia ini dan di akhirat nanti, alam akhirat yang tiada penghujung harinya.
Suami yang memimpin aku untuk mencintai Allah s.w.t., suami yang memimpin aku untuk menyuburkan aqidah dalam keluarga , suami yang memimpin aku untuk menegakkan syariat dalam keluarga , suami yang memimpin aku untuk membudayakan akhlak dalam keluarga .
Ya Allah, kurniakanlah hambaMu ini suami yang bertakwa, iaitu sekiranya dia membenciku, dia tidak akan menyakiti aku, dan sekiranya dia suka pada aku, maka dia menyukai aku keranaMu sahaja. Dialah pemimpin sejati dalam hidupku, subhanAllah! Selepas Allah dan RasulNYA, hanya dia yang ku cintai, semenjak aku mengenali lelaki.
Impianku menjadi isteri solehah
Selepas Allah dan RasulNYA,
cinta, kasih dan sayangku hanya pada zaujku ini.
No comments:
Post a Comment