Monday, 29 March 2010

3 Hari Perjalanan bersama anak-anak


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat,19 Mac 2010, Selesai solat subuh, ummi dah kejutkan Omar, Abdullah dan Imran agar mandi dan bersiap-siap untuk bermusafir. Setelah mereka solat subuh, bersarapan dan terus masuk kereta untuk menuju ke Sabak Bernam.

Tujuan ummi ke Sabak Bernam adalah untuk menghantar Inang belajar kembali ke Institute Latihan Dakwah Selangor (ILDAS) yang dikhaskan untuk mualaf baru mendalami ilmu-ilmu Islam disamping latihan pentarbiyyahan.

Tiba di R & R Ayer Keroh jam 8:30 pagi, anak-anak sebuk nak pergi ke bilik air.Aqbar dan Inang yang tidak sempat bersarapan di rumah, mencari makanan untuk mengisi perut. Ummi dengan zauj dan anak-anak hanya duduk berehat menanti mereka siap makan sebab kami semua masih kenyang lagi.

40 minit kemudian perjalanan diteruskan dan singgah di Bandar Seremban untuk menurunkan Aqbar yang ingin pergi ke Port Dickson, untuk menghantar surat kebenaran bernikah di luar kawasan ke rumah bakal mertuanya.. Proses pernikahan Aqbar hampir selesai, hanya menunggu tarikh majlis pernikahan dan walimah di rumah pihak perempuan berlangsung. Pihak perempuan telah menetapkan pada 22 May 2010 sebagai tarikh akad nikah dan walimah.

Kami meneruskan perjalanan ke Sabak Bernam dan singgah sekejap di Shah Alam untuk menjemput Amiratun Nazihah yang sudah tamat menduduki peperiksaan akhir semester 2. Jam 1:00 tengah hari, kami tiba di Kuala Selangor dan berhenti di rumah abang Muhamad Razali untuk bersolat Jumaat. Kami yang perempuan berehat di rumah sahaja untuk mengerjakan solat jamak takdim zohor asar.

Kakak Jamilah masih sempat menyediakan makanan tengah hari buat kami sekeluarga. Rupanya rezeki kami di situ untuk tengah hari itu. Sedap dapat makanan ikan segar dari laut. Abang Muhammad memang suka membeli ikan segar terus dari nelayan-nelayan di kawasan sekitar Sg Besar. Lagi pun Kakak Jamilah memang dari kecik hanya makan ikan segar kerana bapanya seorang nelayan pantai.

Usai makan,perjalanan diteruskan hingga ke Sabak Bernam, dan berpandukan papan tanda kami cari dimana ILDAS. Rupanya ILDAS terletak jauh pendalaman di Sg Lang menuju ke laut pantai Laut China Selatan, masuk melalui Sg Ayer Tawar. Zauj kata, selama dia tinggal di Selangor, bersekolah di sekolah agama batu 38,Sabak Bernam pun dia tak pernah sampai ke Sg Lang ini. Tepat jam 5:00 petang kami sampai di kompleks ILDAS. Menuju ke asrama Fatimah Az-Zahra, di dapati masih belum berpenghuni. Pelajar lain belum balik lagi ke asrama. Jadi kami cuma turunkan barang-barang Inang dan masukkan kedalam bilik, lepas tu kami hantar Inang ke rumah seorang sahabat yang tinggal di Tebuk Mufrad. Jauh Tebuk Mufrad dengan ILDAS sekitar 20 km juga.

Setelah berpusing-pusing mencari rumah sahabat tu, baru kami jumpa dan turunkan Inang di situ. Keluarga tu akan hantar semula Inang ke ILDAS pada 21 Mac nanti ke asrama.Kami teruskan perjalanan balik ke KL semula.

Jam 6:30 petang, kami singgah di Parit 5 Barat, Sg Besar untuk jumpa mak mertua dan mak saudara yang tinggal di situ. Rumahnya di tengah-tengah sawah padi. Masalah, seronoknya, indah pemandangan waktu senja di tepi sawah padi. Bau harum padi lepas di tuai semerbak menghimbau dihidung kami. Ikan dalam parit yang kering airnya terlompat-lompat mencari air. Haruan besar 'berudak' kuat ditelaga.

Mak Ngah jemput masuk, tak lama duduk dah mak ngah ajak makan nasi berlaukkan ikan haruan bakar dan ikan haruan masak kicap. Anak-anak yang memang jarang jumpa ikan haruan, makan tanpa bunyi. Sedap sangat rasanya ikan haruan bakar tu di cecah dengan air asam jawa ,bawang dan cili api padi.

Oleh kerana esok, zauj mengajar dan anak-anak pun plan nak ke zoo negara, lepas makan terus berangkat balik ke KL. Sampai rumah Najdah hampir jam 10:30 malam. Nampak sangat zauj kepenatan kerana memandu dari jam 7:00 pagi lagi tanpa rehat.rasanya jika tak ada kelas hari Sabtu tu, mahu saja zauj dan ummi tidor di Sg Besar, di rumah mak ngah tengah sawah tu. Memang ummi suka tidor di situ.

Hari Sabtu, pagi lagi,ummi dah masak untuk sarapan anak-anak yang merancang pergi ke Zoo Negara. Najdah dan Nasrum yang teringin sangat nak bawa Omar, Abdullah dan Imran ke sana. Naimah pun ikut juga. Nu'man ummi minta ditinggalkan,buat teman ummi dan makton di rumah. Jadi tak lah kami sunyi sangat. Macam-macam pengalaman yang anak-anak dapat pergi ke zoo. Memang sejak anak-anak ni meningkat remaja, ummi tak pernah bawa ke zoo. sebabnya ummi tak larat nak jalan. Mujur ada abang dan kakak yang sudi bawa mereka. Mulanya Amiratun nak ikut juga pergi tapi, bila dia teringatkan ummi keseorangan, tu yang tak jadi.

Tengah hari tu , ummi masak ikan haruan yang mak ngah berikan semalam. Isinya ummi goreng je. Kepala ikan haruan tu ummi buat masak lemak cili api. Zauj tiba-tiba teringat nak makan sesangan kepala haruan.Lama tak makan lauk ni, sebab ikan haruan susah nak dapat. Berselera zauj ku makan masakan air tangan isterinya ini.

Selepas makan tengah hari zauj pergi ke kelas di Yayasan Selangor untuk mengajar.Kelas zaj mula dari jam 2:00 petang hingga 6:00 petang. Takutkan lewat tiba di kelas, zauj niat solat zohor di sana sahaja. Jam 2:00 petang anak-anak yang pergi ke zoo balik rumah. Nampak sangat mereka semua keletihan berjalan kaki. sampai di rumah kelaparan, tenaga banyak digunakan untuk berjalan melihat-lihat binatang.

Lepas solat zohor, makan, semuanya tidor. Ummi masak pula untuk makan malam. Kat rumah Najdah ni, ummi suka masak sebab dapurnya tak luas mana. Jadi ummi tak perlu bergerak jauh untuk memasak. Untuk makan malam, ummi masak kari kepala ikan siakap pula. Ikan-ikan ni semua ummi bawa dari rumah kat Johor semalam. Ikan tu dibekukan dan masukkan dalam kotak polistrin putih. Walaupun seharian diperjalanan, ikan tu tak cair pun,tetap keras dan beku. Jadi masih segar bila ummi nak masak.

Petang jam 5:00 anakku Ariff sampai untuk jumpa maknya. Dah seminggu Ariff tak jumpa ummi. Jadi bila ummi datang ke KL, dia pun datang untuk ziarah ummi di rumah Najdah. Ariff pula memang suka makan ikan haruan,dihidangkan ikan haruan,memang berselera Ariff makan. Rupanya semua anak-anak ummi sama je, suka makan masakan ummi.

Berbual-bual dan bercerita dengan ummi, adik-adik dan Naimah, dekat jam 10:00 malam baru Ariff balik ke rumahnya di Bangi.Sedih dan hiba pun ada dihati ni bila melihatkan Ariff yang hidup berseorangan tanpa sesiapa yang disayangi di sisi. Nak buat macamana, urusan jodoh adalah urusan Allah, tak ada manusia yang tahu apa yang telah Allah rancangkan untuk manusia. Hanya doa sahaja mampu ummi panjatkan setiap waktu agar Ariff di berikan keteguhan Iman, kesabaran dan kebersihan hati di dalam menjalani kehidupan ini.

Esok paginya, setelah sarapan, ummi dan zauj berangkat seklai lagi menuju ke Rawang, untuk menghantar Omar balik asrama. Cuti pertengahan penggal di bulan Mac dah habis. Naimah yang di ambil oleh ayahnya awal cuti hari tu pun ikut ummi balik Johor. Lepas Omar turun di asramanya, ummi pergi ke Shah Alam pulak. Singgah ambik barang-barang Amiratun yang dah tamat kelas Asasi Sains di UiTM.

MasyaAllah, punyalah banyak barang-barang Amiratun...puas menyusun agar muat dimasukkan ke dalam kereta Naza ni. dah siap semuanya terus berjalan balik ke rumah di JB. Sampai di Plaza Tol Skudai jam 4:15 petang. Berhenti di surau untuk solat jamak takhir zohor asar. Sampai di rumah jam 5:00 petang. Penatnya...

Zauj terus terlena kepenatan...3 hari perjalanan tanpa rehat memang melelahkan bagi ummi dan zauj yang usia makin meningkat . Stamina dah berkurang. Semoga kami terus diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran meniti usia -usia emas ini. Yang utama aqeedah mantap, iman sempurna dan meningkat , akhlak bertambah mulia, hati bertambah murni. Semoga rumah tanggaku sentiasa dikurniakan kerukunan, kedamaian, kesejahteraan, keselamatan dan kebahagiaan hingga akhir hayat ku di dunia dan akhirat. Moga anak-anakku menjadi anak-anak yang soleh dan solehah termasuk anak menantu dan anakku Muhammad Ariff.


Gambar terbaru ummi stelah jalani pembedahan. 
Baru saja pandai bertatih guna 'walk frame'



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment