Wednesday, 17 March 2010

Anekdot Perjalanan Baitul Muslim


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Mesej pertama dalam memulakan ta'aruf Baitul Muslim.

"Assalamualaikum Inang..., apa khabar? Ini ummi Munaliza."
"w'salam ummi, inang baik. Ummi apa khabar?"
"Alahmdullilah, ummi sihat. Inang, ummi nak tanya, inang dah ada calon suami?"

Memang orang dah tahu kerjaya ummi, kalau seseorang itu dihubungi oleh ummi mesti berkaitan Baitul Muslim.Jadi ummi tidak perlu untuk memulakan mukadimmah atau berbasa-basi yang panjang lebar. Ummi akan terus kepada point utama seseorang itu dihubungi.

"Inang tak ada calon lagi lah ummi."
"Oh...belum ada calon, ok, sekiranya ummi ingin perkenalkan dengan seseorang lelaki yang ingin berkahwin, setuju ke?"
"Tak tahulah lagi ummi."
"Tak apa inang, inang boleh fikirkan dahulu samada nak berkenalan atau tidak, nanti hubungi ummi semula."

Selepas 2 hari pertanyaa ummi tu, Inang mesej ummi semula.
"Boleh ummi hantar gambar lelaki tu? Inang nak tengok dulu."
"Nak hantar melalui apa ya? Inang boleh terima email?"
"Inang tak ada laptop dan intenet, tak boleh lah melalui email, mms sahaja,ummi."
"Oh...hp ummi kokak je, tak boleh hantar gambar melalui mms, tak pe ,nanti ummi ikhtiarkan."

Oleh kerana hp ummi hp kuno, yang fungsinya hanya untuk membuat, menerima panggilan serta menulis mesej dan menerima mesej, maka tak dapat lah ummi hantar gambar melalui mms, hp ni orang dah tak pakai pun. Ummi pun hubungi semula Inang. Ummi namakan lelaki yang ingin berkahwin ini sebagai Fakir.

"Inang, macam ni lah, boleh ummi berikan nonbor hp inang pada Fakir, biar dia hantar sendiri gambarnya pada inang, inang tengok, dan buat keputusan, samada nak berkenalan atau pun tidak."
"Boleh, ummi boleh berikan nombor inang pada dia."

Hari berikutnya, Fakir menghubungi inang untuk berkenalan, walaupun ummi telah memberikan sedikit gambaran biodata ringkas dan akhlak Inang kepada Fakir. Dengan inang pun, ummi ada memberikan sedikit gambaran biodata ringkas Fakir dan akhlaknya kepada Inang. Kedua-dua calon yang ummi perkenalkan ini, ummi pernah jumpa dan tahu sedikit sebanyak mengenai diri mereka.

Bagaimana ummi mengetahui hal-hal peribadi dan akhlak mereka? Caranya ummi menghubungi orang rujukan yang mereka berikan. Ummi akan bertanya banyak perkara kepada orang rujukan yang dicatatkan dalam borang Baitul Muslim itu. Selepas itu, jika berpeluang, ummi juga menemui mereka dengan temujanji.

Dengan Fakir, semasa pertemuan pertama, ummi bukan bertemu dengan Fakir seorang diri sahaja, tetapi ummi temui juga dengan orang rujukan Fakir bersama keluarganya, iaitu, orang yang mengIslam kan Fakir 4 tahun yang lalu, ummi temui sahabat-sahabat Fakir yang mana merupakan warga kariah surau tempat tinggalnya. Ummi juga kerap berhubung Fakir melalui ym atau telefon untuk mengetahui idea dan pemikirannya apabila ummi membincangkan sesuatu isu mengenai Islam. Ummi mahu tahu sejauh mana pengetahun dan ilmu -ilmu Islam yang telah dipelajari dan diamalkan. Selain itu, ummi juga mahu tahu latar belakang dan perjalanan hidup Fakir sebelum Islam dan sesudah Islam.

Untuk mengenali Inang pula, ummi merujuk kepada sahabat-sahabat yang pernah tinggal bersama Inang selepas sahaja Inang memeluk Islam. Ummi juga kerap bermesej dan telefon Inang untuk mengetahui pemikirannya berkaitan sesuatu isu semasa, mendengar cerita perjalanan hidup inang termasuk latar belakang keluarga Inang.

Sehari selepas itu, fakir memaklumkan pada ummi bahawa dia sudah hantar gambarnya kepada Inang. Ummi hanya ada gambar Inang, dan ummi sudah tunjukkan gambar Inang pada Fakir. Itu sebab Fakir setuju untuk berkenalan dengan Inang.

"ummi, inang setuju untuk teruskan ta'aruf." Fakir memberikan khabar kepada ummi.

Seminggu selepas itu, Fakir mengkhabarkan lagi "ummi, ummi tahukan , saya berhubung dan berkenalan dengan Inang dengan niat untuk berkahwin. Saya telah nyatakan hasrat saya pada Inang, untuk berkahwin dengan dia. Inang dah setuju ,ummi. Sekarang apa proses seterusnya ummi?"

"tak pe, nanti ummi hubungi inang, untuk memastikan adakah keputusannya itu muktamad. Fakir pun kena tanya betul-betul, tak mahu hatinya berbolak balik dalam membuat keputusan. Ini melibatkan masa depan dirinya."

Setelah seminggu berlalu, berpuluh-puluh kali ummi bertanyakan inang akan keputusan nya untuk berkahwin dengan Fakir. Jawapannya konsisten, "Inang sudi berkahwin dengan abang Fakir,ummi."

Selain ummi, Fakir juga sentiasa bertanyakan Inang,adakah keputusannya berhenti belajar di Institute dan berkahwin itu adalah tetap? Inang menjawap tegas, bahawa dia sudi untuk berkahwin dengan Fakir.

Setelah jawapan yang menyakinkan dari Inang, dan setuju untuk berkahwin, maka Fakir setuju untuk menjemput Inang dari asrama dan membawa ke rumah ummi. Faqir datang menjemput Inang bersama kakak dan anak-anaknya yang juga merupakan jiran Fakir.  Semasa menjemput Inang, itulah pertama kali Fakir melihat Inang dan Inang melihat Fakir. Sebelum Fakir menjemput Inang menaiki keretanya, sekali lagi Fakir bertanya, "betul kan Inang mahu bekahwin dengan abang? Inang masih berpeluang untuk menolak sekiranya tidak berkenan pada wajah dan rupa abang." Inang tetap menjawap ,"ya, Inang nak kahwin dengan abang."

Maka Fakir pun mengangkat barang-barang Inang memasukkan ke dalam kereta. Sebelum Fakir keluar dari pagar pusat pengajian Inang, sekali lagi Fakir bertanya kepada Inang, "Inang betul nak kahwin dengan abang?" Inang menjawap, "ya".

Setelah keluar dari pagar pusat pengajian itu, Fakir terdetik di dalam hati, bahawa dia sudah tidak boleh berpatah balik, hati mesti mantap,Inang akan menjadi tanggungjawapnya mulai sekarang untuk dijadikan isteri.

Fakir terus memandu kereta menuju ke Johor Bharu, dan tiba di rumah ummi pada jam 3:30 pagi. Perjalanan yang lama disebabkan oleh terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Shah Alam hingga ke Bangi.

Oleh kerana sebelum pergi menjemput Inang, Fakir telah 2 hari tidak tidor malam dan berehat kerana berusaha menyiapkan kerja-kerja,maka semasa memandu pada malam itu, Fakir terlelap. Mujur, sewaktu terlelap itu, kereta yang dipandu laju di lebuh raya, hanya mengesel dinding pengadang jalan sebelah kiri pemandu. Kereta calar dari depan hingga ke belakang. Syukurnya tidak berlaku kerosakkan besar dan kemalangan disebabkan terlelap semasa memandu.

Kebetulan pula, sepanjang menanti ketibaan mereka , ummi tidak tidor langsung, risau dan runsing menunggu mereka datang. Kerap ummi menelefon Fakir, bertanyakan mereka telah tiba di mana. Namun sekitar jam 2:30 malam, ummi terlelap juga di sofa. Dalam lena yang sekejap itu, ummi bermimpi, melihat Inang telah tiba rumah ummi tanpa Fakir. Terus ummi dakap Inang dan bertanyakan mana Fakir? Tanpa sempat Inang menjawap, ummi lihat, polis yang mengiringi Inang datang ke rumah ummi. Polis menunjukkan ummi untuk melihat rangka kereta Fakir.Spontan ummi terkejut dan terjaga dari tidor. Dengan badan yang mengigil, tangan terketar-ketar, terus ummi menelefon Fakir. Rupanya ketika itu, Fakir juga terlelap semasa memandu dan mengesel pengadang jalan. Ketika telefon ummi berbunyi, Fakir sedang berhenti di sebuah stesen petrol Shell, untuk melihat kesan geselan dan calar pada keretanya. Mujur ada pengadang jalan itu, jika tidak sudah pasti keretanya terbabas masuk parit atau longkang di sebelah kiri jalan.

Selepas kejadian tu, ummi tidak mahu tidor lagi, dan berusaha sentiasa menelefon Fakir untuk mengetahui di mana kedudukan mereka setiap ketika. Apabila mereka sampai, terus ummi buka kan pintu pagar dan memeluk Inang. Betapa bersyukurnya melihat mereka selamat tiba walaupun berlaku sedikit kemalangan kecil.

Masuk sahaja ke dalam rumah, terus Fakir tertidor di sofa dan Inang tidor di dalam bilik tanpa mahu menjamah makanan. Hidangan nasi yang ummi sediakan tidak mahu mereka jamah disebab rasa mengantok dan kepenatan.

Awal pagi esoknya, mereka perlu bersiap-siap untuk menghadiri Kursus Perkahwinan yang di adakan di sebuah dewan di tempat ummi tinggal. Kursus ini dijalankan selama 2 hari, iaitu hari Sabtu dan hari Ahad. Pada petang Ahad, setelah kursus tamat dan Sijil Menghadiri Kursus Perkahwinan disampaikan.

Hari Isnin, ummi bersama Fakir dan Inang pergi ke pejabat agama di Johor Bahru untuk mengambil borang Kebenaran Bernikah untuk pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Setelah membaca segala maklumat dan melengkapkan, barulah kami pergi berjumpa dengan Penghulu kawasan Mukim Gelang Patah. Sebelum Penghulu menandatangai surat dan borang pemastautin dan status diri akuan bujang, penghulu bertanya sekali lagi kepada Inang,"awak nak berkahwin dengan dia?" sambil tangan penghulu menunjukkan ke arah Fakir. Inang menjawap dengan tegas, "ya , saya mahu berkahwin dengan Fakir", sebutnya tanpa ragu-ragu.

Penghulu pun menandatangani borang itu dan memberikan kepada ummi untuk melengkapkan bahagian saksi lafaz akaun bujang tadi.

Setelah selesai urusan ini, bergegas kami balik ke rumah ummi untuk menunaikan solat zohor kerana jam 2 :00 petang ada temu janji dengan Pusat Kesihatan tampoi untuk pemeriksaan saringan HIV bagi pasangan pengantin. Oleh kerana ramainya orang, perlu juga mengambil nombor giliran. Jam 4:00 petang baru berakhir urusan di sini.

Seterusnya kami pergi menuju ke Mahkamah Syariah dan Kehakiman negeri Johor , bersebelahan dengan HSAJB. Urusan di sini adalah urusan permohonan untuk angkat sumpah bagi memohon wali hakim untuk pasangan pengantin perempuan. Oleh kerana saudara baru, maka wali yang layak menikahkan adalah wali hakim. Namun bukan semudah itu untuk terus mendapatkan wali hakim, ada prosedur-prosedur yang dilalui seperti penyediaan dokumen oleh peguam dan memohon tarikh perbicaraan di kamar hakim.

Ummi tiba di Mahkamah pada jam 4:30 petang, jika adatnya, waktu pejabat dah hampir mahu tutup, jarang pengawal membenarkan orang ramai membuat urusan lagi di dalam bangunan itu. Mungkin pekerja di dalam mahkamah hanya mahu, menyelesaikan kerja-kerja akhir sebelum balik ke rumah seperti mengemaskan data dan fail-fail.


Namun disebabkan ummi masuk ke kawasan mahkamah dengan menggunakan 'walk frame' pengawal tidak sampai hati melarang ummi masuk. Sebaliknya pengawal di situ bertanya, ummi mahu berjumpa dan berurusan dengan siapa? Ummi sebutkan nama pegawai berkenaan, terus pengawal itu masuk ke dalam bangunan mahkamah, untuk memastikan orang yang ummi mahu jumpa itu ada di dalam kamarnya. Alahmdullilah, ummi dapat naik hingga ke tingkat 4 bangunan mahkamah syariah dengan menggunakan lift dan bertemu beliau, bagi menguruskan tarikh bicara dan dokumen peguam bagi angkat sumpah berkaitan wali hakim. Perbicaraan ditetapkan pada hari Rabu, 10 mac 2010 , jam 2:00 petang.

Allahmdullilah, dapat juga ummi selesaikan urusan borang pernikahan pada hari ini mengikut jadual dan rancangan. Tinggal datang hari Rabu untuk bicara, selesai bicara, borang pernikahan dah boleh submit ke pejabat agama dan terus pasangan mualaf ini di temuduga.

Rancangan hari Selasa ialah untuk bershopping, bagi membeli keperluan bilik pengantin dan pakaian pengantin lelaki. Pakaian untuk pengantin perempuan telah ada dan telah dicuba sebelum ini.Hanya tinggal untuk mencari pakaian pengantin lelaki dan cadar untuk bilik pengantin. Telekung ummi dah beli pada hari Ahad lalu di Mydin, telekung sulam sebagai hadiah semasa akad nikah.

Ummi juga telah berbincang dengan Fakir bahawa, maskahwin untuk Inang adalah seutas rantai emas. Fakir setuju kerana dia mampu untuk menyediakan. Perancangan juga, sewaktu Majlis akad nikah pada 16 mac nanti, keluarga Inang (ayah, mak dan adik Inang) akan dijemput datang untuk menyaksikan pernikahan Inang. Semua kos kapal terbang dari Sibu ke JB, tiket pergi balik, Fakir yang tanggung. Fakir juga telah berjanji dengan ummi, akan memberikan sedikit wang belanja kepada ibu bapa Inang sebanyak RM 4000.00.

Hari Selasa, selepas solat zohor, ummi , Inang dan Fakir pun pergi menuju ke Jakel, untuk membeli cadar pengantin dahulu. Lepas itu baru beli pakaian dan rantai emas. Sewaktu memilih cadar, kebetulan ummi juga ingin membeli cadar untuk abang, angah dan Nazihah yang akan berkahwin pada bulan Jun ini, ada banyak pilihan warna. Ummi pilih warna gold dan creme. Inang ingin memilih antara ungu dengan hijau.

Inang memandang Fakir untuk bertanyakan pendapat. Tetiba, Inang bersuara, "abang, boleh kita tangguh dahulu beli cadar ni?" Terkejut Fakir, bila Inang bersuara begitu."Bila lagi nak beli, kesian ummi, takkan ummi dah susah payah datang hari ni, esok nak datang lagi. Beli sajalah hari ini." Jawap Fakir bertegas.

Tiba-tiba Inang mengajak Fakir pergi menjauh dari ummi, seperti ingin berbincang sesuatu dengan Fakir. Tapi tak lama, Fakir dan Inang datang semula ke tempat ummi duduk, dimana jurujual membuat demo memasang cadar-cadar dan warna cadar yang dipilih. Fakir berkata, " Inang nak minta tangguh bernikah." Ummi terus pandang Inang dan bertanya, "Minta tangguh atau Inang mahu berkahwin dengan Fakir atau dengan orang lain?" Soal ummi tegas juga kepada Inang. Inang pun menjawap dengan suara tegas dan yakin " saya nak kahwin dengan orang lain". MasyaAllah, bagaikan halilintar suara yang ummi dengar itu, walaupun suara Inang perlahan sahaja.

Terus Fakir bertanya, siapakah lelaki yang Inang nak kahwini itu? Rasa pelik sebab sebelum ini tidak timbul sebarang nama atau cerita untuk berkahwin dengan orang lain. Fakir meminta nombor telefon lelaki itu dari Inang.Inang pun terus mendailkan nombor lelaki itu dan diberikan kepada Fakir.Bila Fakir hello sahaja, kedengaran suara di telefon, " Ini fakir?, Saya mohon lepaskan Inang, boleh?" Terkejut Fakir dengan permintaan itu, dan Fakir terus menjawap," engkau nak kahwin dengan Inang kah?" " Ya" jawapan lelaki itu. Fakir kata "boleh,ambillah Inang." Fakir masih lagi dapat mengawal suara dan keadaan diri. Terus telefon itu diberikan kepada Ummi.

ummi pula yang berbicara dengan lelaki itu, "siapa nama saudara, dari mana, dan mengapa baru sekarang ini timbul , setelah Fakir dan Inang merancang akan bernikah pada minggu depan?" Lelaki itu pun menjawap dan menerangkan siapa dirinya. Rupanya lelaki itu adalah kekasih Inang yang lama. Tengah hari sebelum keluar untuk beli cadar, Inang ada hantar sms kepada lelaki itu untuk memaklumkan , bahawa dia akan bernikah. Tak sangka pula lelaki itu terus telefon Inang dan memujuk agar jangan bernikah kerana dia juga ingin bernikah dengan Inang nanti.(tapi belum tahu bila). Hati Inang pun terus bolak balik, antara mahu bernikah atau tidak. Sebab itu Inang minta tangguhkan dulu beli cadar pengantin.

Lelaki itu bercakap dengan ummi, bahawa dia nak kahwin dengan Inang. Ummi pun terangkan pada dia bahawa, urusan pernikahan Inang dan Fakir telah ummi uruskan hingga ke mahkamah Syariah. Macam dah tak boleh batalkan.Lelaki itu tetap mendesak, dan Fakir yang mendengar, terus rasa tawar hati dan kecewa, kerana Inang juga mengaku ingin berkahwin dengan lelaki itu,katanya kekasih pertamanya dahulu.

Tanpa banyak soal, ummi pun kata "sila bayar ganti rugi kewangan pada Fakir, tapi ganti rugi maruah akan ditanggung sampai mati, oleh dirinya." Ummi pun sudah tidak sanggup lagi berlama-lama di kedai itu, tak jadi beli cadar untuk Inang, jadi ummi cuma beli 2 pasang cadar sahaja, bayar dan masuk kereta.

Sepanjang perjalanan balik, Fakir, ummi dan Inang cuma mendiamkan diri, masing-masing berfikir,ummi macam tidak percaya dengan apa yang baru berlaku.

Sampai di rumah, terus ummi bersolat Asar dahulu. Sambil menenangkan fikiran dan memohon petunjuk dari Allah, manakah jalan terbaik untuk diikuti. Ummi benar-benar berada di dalam persimpangan. Setuju dengan pembatlan pernikahan atau meneruskan dengan paksaan?

Jika ummi setuju dengan pembatalan pernikahan ini, bermakna Inang berhutang maruah kepada Fakir, sebabnya sebelum Fakir datang ke rumah ummi dari tempat tinggalnya, semua kariah , jiran-jiran dan sahabatnya tahu yang Fakir datang ke Johor untuk bernikah. Ummi sebagai mak angkat yang menguruskan pernikahan itu.Maka jika dibatalkan, Fakir terpaksa balik semula ke tempat tinggalnya tanpa isteri dan di mana mahu dia letak maruah dirinya. Dia diminta melepas bakal isterinya hanya gara-gara kekasih pertama bakal isteri muncul semula setelah beberapa bulan mendiamkan diri tidak menghubungi Inang.Pasti dia rasa, maruah dirinya dipijak-pijak sesuka hati. Lagi pun Inang dikira tunangan nya sekarang tiba-tiba, datang seorang lelaki merampas begitu sahaja.

Dan sekiranya ummi meneruskan pula, seperti memaksa Inang bernikah dengan orang yang bukan dia cintai. Ummi takut pula berlaku sesuatu yang telah Fakir maklumkan awal-awal lagi bahawa jika telah bernikah, tidak boleh berhubung dengan mana-mana lelaki lagi. Takut juga ummi, mana tahu isteri tak sengaja berhubung semula kekasih lama tu walaupun sudah bernikah. Fakir tidak boleh terima apa-apa alasan jika dia dikhianati. Makanya ummi perlu membuat suatu keputusan yang tidak adil bagi kedua-duanya. Namun keputusan yang dicapaikan pasti melukakan banyak hati.

Setelah mengambil kira keputusan Inang sendiri yang menolak, menyebabkan Fakir jadi tawar hati, membatalkan adalah lebih baik. Sebaik keputusan membatalkan dibuat, terus ummi minta Fakir tinggal di rumah ummi sehari dua lagi, untuk tujuan memberikan ketenangan kepadanya.

Sebenarnya terlalu sukar untuk Fakir terima keputusan itu, seseolah ditewaskan, namun apakan daya jika Inang bukan mualaf, memang wali boleh memaksa, tetapi Inang adalah mualaf, maka secara tak langsung melibatkan aqeedah juga.

Dan selepas hari pembatalan pernikahan itu, ummi kurang ambil tahu hal Inang kerana, mungkin Inang tidak merasai apa-apa kerana telah dapat berhubung semula dengan kekasih lama, penangan yang dihadapi oleh Fakir yang sangat berat. Walaupun kelihatan Fakir tenang tetapi dia tidak boleh terima hakikat pembatalan pernikahan ini.

Setelah 2 hari berlalu bersama ummi di rumah, Fakir minta izin untuk balik ke rumahnya sendiri, kerana lambat atau cepat dia tetap kena hadapi dan berhadapan dengan masyarakat juga. Tambahan kawan-kawandan jiran Fakir telah menghubungi Fakir bertanyakan tarikh pernikahan, kerana mereka bercadang unuk datang hadiri majlis pernikahan seperti pada tarikh dirancang. Antara terpaksa Fakir menerangkan bahawa majlis pernikahannya dibatalkan. Semua kawan-kawan, jiran dan warga kariah surau tempat tinggal Fakir terkejut dengan berita itu.

Sebab itu Fakir perlu balik juga ke rumahnya, untuk menerangkan keadaan sebenar.Namun hakikatnya, Fakir juga mualaf dan apa yang ummi jangkakan akan berlaku, telah berlaku. Fakir dapat menerangkan sebab musabab pernikahan nya batal kepada jiran tetangga dan kawan-kawan. Dan mereka memberikan nasihat agar Fakir bersabar.

Namun, apa bila Fakir sendirian di dalam rumah, sedangkan masa dia keluar dari rumah, menuju rumah ummi hari itu dengan harapan bila dia balik ke rumah semula, ada isteri bersamanya, tetapi tidak jadi pernikahan itu, dan tiada siteri yang mengikutnya.

Apa yang ummi jangka memang terjadi. Fakir tidak mampu hadapi ujian dan dugaan ini. Aqeedahnya jadi goyang. Dia tidak mahu berhadapan dan berjumpa sesiapa.Di rumah, Fakir menangis sendirian dan mempersoalkan Tuhan. Fakir tanya Tuhan kenapa dia diberikan ujian seberat ini? Dia taat melakukan suruhan dan tinggalkan larangan, mungkin ada dosa-dosa yang dilakukan, tetapi bukan dosa besar, tetapi tuhan uji dia begini. Fakir bandingkan dengan orang lain, yang selalu tidak solat,tidak puasa tetapi ada keluarga bahagia, mudah untuk jalani hidup tanpa ada dugaan yang berat,tetapi Fakir lalui sehingga maruah diri mudah dipijak orang.

Fakir putus asa dengan rahmat Allah. Hari-hari Fakir bertanya, kenapa jadi begini, kenapa Tuhan berikan ujian ini kepada dia, bukan kepada orang lain. Fakir tidak mahu berdoa, Fakir memberontak. Terdetik dihati Fakir Allah tidak adil dengan dirinya. Bila keadaan ini berlaku, Fakir jadi lalai solat, Fakir banyak tidor untuk melupakan nasib diri. Apabila terjaga, Fakir tanya tuhan lagi. Fakir tidak mahu makan dan abaikan kesihatan diri.

Sejak keadaan Fakir begini, masa di rumah ummi, ummi sentiasa menemani Fakir di ruang tamu rumah ummi, ummi ajak berbual. Bila Fakir dah balik rumahnya, ummi sentiasa hubungi Fakir melalui telefon. Setiap masa ummi tanya keadaan Fakir, ummi mesej dan call Fakir. Fakir putuskan hubungan dengan kawan-kawannya, Fakir tidak berjemaah di surau lagi kerana dia tidak kuat untuk berhadapan dengan warga kariah surau yang pasti bertanya macam-macam. Hanya panggilan telefon dan mesej ummi saja Fakir jawap. Ini kerana Fakir masih hormat dan ingatkan ummi. Fakir anggap ummi seperti mak kandungnya. Kerana rasa hormat dan kasihnya ada ummi seperti mana kasihnya kepada mak kandung, Fakir tidak sampai hati membiarkan panggilan ummi dan mesej ummi tidak berjawap.

Fakir tahu ummi sentiasa menangisi dirinya, kasihankan dirinya dan menyanyangi dirinya. Namun untuk Fakir menerima nasihat ummi amat sukar kerana rasa marah dan putus asanya dengan rahmat tuhan.Bukan lah suatu yang mudah untuk ummi membina keyakinan pada diri Fakir tentang rahmat dan ujian Tuhan ini.Setiap masa ummi berikan peringatan, tazkirah untuk Fakir terima hakikat bahawa ini hanya ujian Allah bagi meningkatkan keimanan. Tapi Fakir hanya mendengar sambil lalu sahaja, kerana fikirannya telah kosong. Fakir jadi "Blank". Dia hanya mendeangar apa yang ummi kata tetapi tidka memikirkan apa-apa. Apa yang ummi nasihat, berlalu begitu sahaja. Siang malam Fakir hanya duduk bersandar di dalam rumah, merenung kosong dinding dan syiling rumah.

Ummi pulak, setiap kali bercakap dengan Fakir, pasti menangis,juga memberikan sedikit sebanyak tekanan pada Fakir, tetapi Fakir juga tak mampu berbuat apa-apa. Setiap kali waktu solat , ummi perlu ingatkan Fakir agar bangun untuk berwuduk. Ummi akan ulang tanya berkali-kali, adakah telah solat. Itulah kerja ummi selama seminggu ini. Walaupun ummi call, Fakir sebenarnya tidak berbual dengan ummi. Dia hanya letakkan telefon ditelinganya, sepatah ummi tanya, sepatah yang dijawapnya. Hanya rasa hormat dan kasih, Fakir tidak menutup telefon bila ummi call atau memutuskan panggilan bila ummi cakap banyak menasihatinya.

Ummi ajak Fakir berbual, meluahkan rasa kecewanya itu, tetapi Fakir tetap diam. Pada sangkaan ummi Fakir kecewa kerana Inang membatalkan pernikahan itu, rupanya Fakir kecewa bukan dengan Inang tetapi dengan Tuhan. Itu yang mneyebabkan ummi menangis, ummi takut aqeedah Fakir goyang dan runtuh. Dan itulah yang berlaku. Tidak putus-putus ummi berdoa kepada Allah, memohon dimantapkan aqeedah, dikuatkan iman dan diberikan kesabaran serta ketabahan kepada Fakir.Ummi tahu Fakir telah tidak mahu berdoa, Fakir tidak mahu mengadu kepada Allah sebaliknya Fakir menyoal Allah kerana tidak adil pada nya jadi siapa lagi yang mahu menolong Fakir? Maka ummi letakkan harapan hanya kepada Allah, sungguh-sungguh ummi berdoa mohon Allah menolong Fakir.

Hinggalah setelah satu minggu, ummi terus nasihati Fakir, Fakir katanya "kalau ummi kasihan kan dia, minta doakan agar Allah berikan penjelasan kenapa dia diduga begini?" Menangis lagi bila ummi mendengar permintaannya. Fakir kata, jika dia dapat penjelasan tu, mungkin dia akan bersemangat semula untuk teruskan hidup ini. Kalau tidak, beginilah dia seterusnya, hidup sebatang kara, tanpa sesiapa kecuali ada ummi yang sayangkan dia sebagai anak.

Dengan berkat doa dan kesabaran, apa yang dikehendaki, disampaikan Allah jua.Suatu malam sedang ummi bercerita, ummi sangka Fakir sudah jelas sebab-sebab Inang membatalan pernikahn itu. Rupanya, sejak menerima berita pada petang itu, dia seseolah telah 'blank' dan kosong. Hanya jasadnya saja ada bersama ummi, tapi fikirannya ke alam lain.Dan soalan "kenapa Allah mengujinya terlalu berat, dia mahu penjelasan dari Allah" yang sering bermain di fikirannya, tetapi tidak dia luahkan awal-awal pada ummi.

Malam itu ummi bercerita hikmah-hikmah pernikahan itu dibatalkan, cerita berkaitan, ujian dan dugaan Allah kepada manusia, barulah hatinya terbuka untuk terima. Genap 1 minggu Fakir tenggelam dalam dunia yang hampir menggugat imannya. Apabila tersedar, terus ummi ingatkan dia untuk bertaubat dan mohon ampun kepada Allah. Apabila Fakir telah dapat penjelasan yang memuaskan hati, barulah dia faham dan terima ujian dan dugaan Allah ini dengan redha. Barulah dia sedar akan "Benarnya Janji-Janji Allah".

Sebelum itu dia tidak mahu berdoa, ketika suatu dinihari terdetik di hatinya, "Ya Allah, aku mohon berilah aku penjelasan mengapa dugaan ini terjadi kepada ku". Dan selepas itu, barulah hatinya terbuka untuk mendengar nasihat dan cerita ummi. Alhamdullilah Fakir sudah boleh menerima hakikat bahawa Inang bukan dijodohkan buatnya. Ujian Allah ini adalah ujian untuk lebih memantapkan aqeedah dan meningkatkan keimanannya kepada Allah SWT. Kini Fakir telah tenang dan redha dengan perjalanan yang sedang dilaluinya.

Begitulah 1 anekdot dalam ummi menguruskan Baitul Muslim. Dugaan ini sangat berat juga buat ummi kerana ummi cuba menjodohkan mereka yang pada awalnya tidak ada sebarang masalah, namun, Allah yang lebih mengetahui apa yang terjadi di akhirnya. Suatu tamparan kepada ummi bahawa, manusia hanya mampu merancang,berusaha, berdoa akhirnya tawakkal kepada Allah dengan apa yang telah diusahakan. Segala usaha dan ikhtiar yang dilakukan nampak seperti di redhai Allah dengan doa dipermudahkan urusan berjalan dengan baik pada awalnya, namun akhirnya ini yang terjadi.

Semoga ummi, zauj dan anak-anak tetap berada di jalan yang Allah redha, dimantapkan aqeedah, di kuatkan iman, disucikan hati, dibersihkan jiwa, diberikan kekuatan untuk mengabdikan diri kepada Allah, mentaati segala perintah Allah, dapat mensyukuri segala nikmat-nikmat Allah dan sentiasa membasahkan lisan dan hati dengan zikrullah.

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

8 comments:

  1. Sy teringat pesan Qadhi Daerah Baling semasa kursus kahwin dulu.. katanya selagi mana belum sah akad nikah itu, selagi itulah kita tak pasti siapakah jodoh yg menjadi teman hidup kita.. rahsia Allah tu hanya akan dibuka pada ketika saksi menyatakan sah nya akad nikah..

    Kata Qadhi tu lg, bertunang hanya suatu janji manusia, tetapi janji Allah mengatasi janji manusia..

    Mudah-mudahan Fakir dirahmati Allah.. sy doakan Allah jaga iman Fakir..

    p/s: Sy rs sy kenal siapa Fakir ni..

    ReplyDelete
  2. Itu lah fahmi, menangis ummi mengendalikan urusan baitul muslim ni. Rupanya sebegini besar dugaan yang Fakir hadapi. Jika kita lihat, urusan itu telah hampir 90% mendekati saat akad nikah. Hanya tinggal submit borang, sebab menunggu kebenaran wali hakim dipihak perempuan sahaja lagi, tarikh pernikahan dah tetap, jemputan dah dibuat, lain-lain persiapan juga dah settle, akhirnya ini yang terjadi.

    Ummi dah siapkan bilik, katil dan tilam untuk bilik pengantin, tinggal nak beli cadar sahaja. Makanya, kita merancang, Allah juga merancang, rancangan Allah yang terbaik.

    Jodoh itu tetap rahsia Allah siapa dan bila selagi akad nikah belum dilaksanakan.

    Terima kasih atas doanya...semoga iman Fakir bertambah mantap.

    ReplyDelete
  3. Ummi, semoga Fakir mendapat zawjah yang lebih baik dr Inang, semoga ummi terus diberikan kekuatan untuk menguruskan baitulmuslim ni, ummi doakan kami juga ye, semoga dipermudahkan urusan

    ReplyDelete
  4. Memang kita doa kan begitu, tapi siapa zawjahnya? Dimana ummi nak cari lagi? Kali pertama ummi dipermainkan juga dengan kata-kata manis seperti post ummi yang katanya begini , seseolah memberikan harapan untuk ummi menjodohkan mereka. Ummi pergi meminang...

    "Pernah satu muslimah tu menulis, ayatnya power;
    "SAYA BERCITA-CITA UNTUK BERKAHWIN DENGAN LELAKI YANG BILA SAYA KAHWIN DENGANNYA SETIAP SAAT BERSAMANYA AKAN DINILAI ALLAH SEBAGAI SATU IBADAH (SENTIASA BERUSAHA BERSAMA-SAMA UNTUK MENCARI REDHA ALLAH)

    LELAKI YANG DAPAT ADAPTASI ISLAM SEPENUHNYA DALAM DIRI WALAUPUN DIA SEORANG MUALLAF ATAU TIDAK BELAJAR ALIRAN AGAMA SECARA LANGSUNG.

    SAYA TIDAK KISAH JIKA LELAKI TERSEBUT MUALLAF YANG DIPINGGIRKAN KELUARGA ATAU ANAK YATIM.

    SEORANG LELAKI YANG BERILMU PENGETAHUAN DAN BERPENDAPATAN TETAP, MODEN, ISLAMIK TETAPI TETAP “HUMBLE” DENGAN SEMUA KURNIAAN ALLAH.

    SEORANG LELAKI YANG PENUH DENGAN KASIH SAYANG DAN MEMILIKI SIFAT-SIFAT MAHMUDAH, BERTANGUNGJAWAB DAN RINGAN TULANG UNTUK MELAKUKAN TUGAS RUMAHTANGGA BERSAMA-SAMA"

    Bila diberikan calon seperti yang dikehendaki, berta'aruf, terus menolak...ini alasan menolak "sebenarnya saya bukanlah orang yang layak dan sepatutnya mampu membimbing dia dengan baik." Bukan ibu bapa yang menolak, tetapi diri sendiri, sebab masa bertemu ibu bapa, ibu bapa hanya mengikut kehendak anak itu.

    Kenapa, masa menulis tidak fikirkan dengan baik, sebab muslimah ini berpendidikan tinggi dalam pengajian Islam (AKADEMI PENGAJIAN ISLAM UM, 3.67,(MASTER) FAKULTI PENGAJIAN ISLAM, UKM.)

    Hanya pandai menulis sahaja...

    Siapa lagi ummi nak carikan, gadis kilang pun, ada kisahnya juga, hanya memandang material, akhirnya menolak juga...

    Sekarang gadis kategori mana lagi yang boleh Fakir percayai untuk menjadi isteri?

    Sekarang ummi hanya menunggu gadis yang sudi menyerahkan diri kepada ummi...

    ReplyDelete
  5. [05:25:29 PM] SatuPerjuangan:

    Bismillahirrahmanirrahim, assalamua'laikum warahmatullah.

    Semoga Allah subhanahu wataala memberi kemampuan dan memudahkan urusan Puan Ummi Munaliza dalam menguruskan baitul muslim ini, insha Allah.

    ReplyDelete
  6. Assalammualaikum Ummi...

    SubhanAllah..
    Berat ujian untuk Fakir..
    Ana dapat bayangkan bagaimana keadaan Fakir ketika itu..
    Semoga Fakir diberikan kekuatan..
    Ada hikmah disebaliknya..
    Mungkin Fakir akan dikurniakan zaujah yang lebih baik...
    Kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan. Kerana Allah lah sebaik2 perancang..

    ReplyDelete
  7. Harapnya begitu Siti, moga ada gadis yang qanaah sudi menerima Fakir sebagai seorang suami...

    InsyaAllah selagi ummi bersama Faqir, ummi akan bimbing rumah tangga mereka agar sentiasa didalam redha ,rahmat dan kasih sayang Allah.

    Siapa pun yang menjadi isteri Fakir, maka dia juga akan menjadi menantu ummi.Akan ummi berikan tunjuk ajar untuk menjadi isteri dan suami soleh dan solehah dan melahirkan sebuah kelaurga sakinah, rahmah dan mawaddah.

    ReplyDelete
  8. Semoga ummi diberikan kekuatan untuk terus membantu pasangan baitul muslim, jadikan kesabaran menghadapi segala ujian dalam pengurusan baitulmuslim ini sebagai ibadah kepada Allah.

    ReplyDelete