Kita berusaha siang malam malam mencari rezeki termasuk ada yang menggadai nyawa, tetapi mengapa ia tidak memberikan jaminan kebahagiaan?
Mengapa rumah besar dan megah, tetapi masih tidak gembira? Isteri cantik, suami tampan, tetapi rumah tangga masih berantakan.
Begitu juga, ilmu yang luas melaut mengapa tidak mampu mengangkat darjat, malah menghina diri?
Bahkan setengahnya antara kita bermati-matian mencari kebahagiaan dan ketenteraman, sedangkan apa yang diperoleh ialah masalah dan masalah. Apa sebabnya?
Antara sebabnya ialah apa yang kita memiliki itu tidak berkat. Rasulullah s.a.w mendoakan sahabatnya di majlis perkahwinan semoga rumah tangga berkat.
Malah, supaya dapat kaya, kekayaan yang berkat, sahabat yang ada ilmu berdoa ilmu berkat.
Berkat ialah pelbagai guna, bermanfaat di dunia dan akhirat. Kita tidak hanya boleh berbangga dengan apa yang kita miliki, tetapi yang patut dibanggakan ialah keberkatan menerima nikmat.
Jadi, bukannya kita patut takut tidak memiliki sesuatu, tetapi harus takut sesuatu yang dimiliki tidak berkat.
Berkat maknanya ialah subur, dengan kebaikkan, permohonannya diterima dan kebahagiaan. Jadi, keberkatan membawa ke syurga sebaliknya, tanpa berkat kita dibawa ke neraka.
Doa yang kita pinta ketika makan berbunyi: “Wahai Tu hanku berkatilah apa yang Engkau berikan pada kami ini dan selamatkanlah daripada api neraka.”
Maknanya makanan yang tidak berkat walaupun sesuap boleh bawa ke neraka. Apa lagi kalau harta bertimbun, apa lagi ilmu melaut. Begitu juga dengan deretan gelaran.
Menurut sejarah, Umar Abdul Aziz ketika menjalankan tugas pada malam hari di Baitulmal tiba-tiba anaknya mengetuk pintu.
Apabila dilihat anaknya yang ingin bertanya mengenai urusan rumah tangga, beliau terus memadamkan lampu.
Si anak bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu.”
Jawab Umar: “Kerana minyak lampu ini milik negara. Ia tidak layak untuk urusan peribadi.”
Inilah contoh keberkatan dalam erti kata yang sebenar. Keberkatan meliputi soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
Wajib, mesti buat dan jika buat dapat pahala besar tetapi jika tidak buat dosa besar. Perkara yang harus diberikan pilihan, yang makruh patut dijauhi manakala yang haram mesti dijauhi.
Kunci kebahagiaan ialah sederhana di samping pengurusan yang pintar dan segala aktiviti mesti sesuai dengan syariat Allah s.w.t.
Contoh kecil yang dianggap remeh manusia hari ini ialah waktu solat. Mencari harta jangan sampai melupakan solat, mencari harta jangan sampai lupa kepada halal haram.
CARI wang tidak salah. Duit sebenarnya menjadi alat demi mentaati Allah. Dengan wang itu dapatlah kita membayar zakat, menunaikan haji, berjihad serta membantu mereka yang tidak berkemampuan. Islam meletakkan harta tempat yang mulia sekiranya diurus dengan cara yang berhemah. Yang kita bimbang kesibukan mencarinya sehingga melalaikan kita. Ada yang rela bekerja siang dan malam mencari harta hingga mengabaikan hak keluarga di rumah, anak mendapatkan pendidikan, hak Tuhan untuk disembah, bahkan yang paling parah hak anggota tubuh untuk beristirahat hanya demi harta yang nilainya tidak seberapa.
Dengan nilai wang RM10 ribu misalnya kita boleh dapat dan beli apa saja. Tetapi pernahkah kita fahami nilai dua rakaat solat sunat tahajud, nilai zakat, sedekah, membaca al-Quran, zikir? Adakah ia seimbang? Justeru, itu yang perlu kita perbetulkan segera. Wang adalah sebagai alat untuk membeli akhirat dan syurga. Ini kerana dengan kefahaman inilah mereka mencarinya dengan betul serta menggunakannya pun dengan cara yang betul.
Mencari untung patut dikerjakan sebanyak mungkin, tetapi apalah ertinya keuntungan jika membabitkan soal haram yang dimurkai Allah.
Pelajar sebagai contoh, apalah ertinya berjaga malam, bersengkang mata, belajar dan mengulangkaji, tetapi esoknya tidak mengerjakan solat Subuh.
Ilmu yang tidak berkat ialah ilmu yang ada di akal, ilmu dalam bentuk maklumat dan pengetahuan, tidak menjadi nur dan petunjuk.Apabila ilmu tidak berkat, ia hanya boleh berhujah, tetapi tidak boleh merubah mereka.
Lain pula halnya dengan kita, kadang-kadang kita sanggup melupakan amalan demi bentuk keduniaan. Bertambah hairan kita tidak rasa bersalah hanya demi membina dunia itu. Contohnya solat, apabila berkumandang azan menandakan sudah masuk waktu solat. Kaum lelaki sepatutnya berduyun-duyun segera menuju ke rumah Allah. Manakala wanita pula bersegera solat di awal waktu, tetapi apa yang terjadi adalah kita sibuk mengutamakan kerja dengan alasan mencari rezeki.
Sedangkan Allah menghubungkan rezeki itu sendiri dengan solat. Firman Allah yang bermaksud: "Perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah Thaha: 132).
Betapa jauhnya fahaman kita berbanding dengan sahabat nabi. Mereka rela mewakafkan kebun kerana ia menjadi penyebab lalai dalam solat. Jika akhirat sahabat bergoyang, mereka sanggup lepaskan dunia mereka untuk meneguhkan akhirat. Kita pula terbalik, kita sanggup lepaskan akhirat demi hendak memperteguhkan dunia kita. Amat menghairankan kita tidak rasa bersalah pun melewatkan solat demi dunia kita, apatah lagi rasa bersalah disebabkan malas serta tidak fokus mengerjakan solat. Bagi menyedapkan hati, kita bandingkan pula diri dengan orang yang tidak bersolat. Maka jawapannya 'saya lebih baik dari mereka yang tidak solat'. Oh, betapa jauhnya kita.
Ketahuilah bahawa kehidupan dunia ini amat sementara, sedangkan akhirat itu kekal abadi. Umur dunia mungkin panjang lagi, tetapi apa yang pasti umur kita tidak akan sepanjang umur dunia ini.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment