BERKENALAN DENGAN SOLAT JAMAK
Solat jamak bererti menghimpunkan dua solat dalam satu masa.[Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili, jld. 2, ms. 336]
[1] - Zuhur dan Asar di dalam waktu Zuhur (taqdim) atau di dalam waktu Asar (takhir).
[2] - Maghrib dan Isyak di dalam waktu Maghrib (taqdim) atau di dalam waktu Isyak (takhir).
Dalil:
كان
صلى الله عليه وسلم في غزو تبوك إذا ارتحل قبل زيغ الشمس أخر الظهر إلى أن
يجمعها إلى العصر فيصليهما جميعا
, و إذا ارتحل بعد زيغ الشمس عجل العصر
إلى الظهر , و صلى الظهر و العصر جميعا ,
ثم سار و كان إذا ارتحل قبل
المغرب أخرالمغرب حتى يصليها مع العشاء
, و إذا ارتحل بعد المغرب عجل
العشاء فصلاها مع المغرب
Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam peperangan Tabuk, apabila hendak berangkat sebelum tergelincir matahari, baginda mengakhirkan solat Zuhur sehingga dikumpulkan solat Zuhur kepada solat Asar dan lalu baginda mendirikan kedua-duanya serentak (Jamak Takhir -pen).
Apabila baginda hendak berangkat selepas tergelincir matahari maka baginda bersolat Zuhur dan Asar serentak (dalam waktu Zuhur) kemudian bagindapun berangkat (Jamak Taqdim -pen).
Apabila baginda berangkat sebelum Maghrib maka baginda mengakhirkan solat maghribnya sehingga disolatkan bersama solat Isyaknya (Jamak Takhir -pen).
Dan apabila baginda berangkat selepas waktu Maghrib maka baginda mengawalkan solat Isyaknya lalu disolatkan bersama solat Maghrib (dalam waktu Maghrib) (Jamak Taqdim -pen). [Dikeluarkan Abu Daud,at-Tirmizi, ad-Darimi, al-Baihaqi dan Ahmad. ]
Namun perlu diingatkan bahawa solat jamak hanya dibolehkan antara Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Selain daripada itu tidak dibolehkan jamak kerana tiada dalil yang menunjukkan sedemikian.
SOLAT JAMAK DAN QASAR TIDAK SEMESTINYA SATU PAKEJ
Maksud solat jamak seperti yang telah dijelaskan. Solat qasar pula bererti mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4 rakaat secara 2 rakaat apabila seseorang itu berada dalam suasana perjalanan atau musafir. [Lihat Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili , jld. 2, ms. 336]
Kedua-dua solat ini tidak semestinya dilakukan secara bersama. Kalau dilihat pada pensyaratan melaksanakan solat qasar dan jamak juga berbeza. Solat qasar hanya boleh dilakukan ketika di dalam keadaan bermusafir manakala syarat dibolehkan solat jamak pula lebih luas. Sila rujuk sub-topik SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN.
SOLAT JAMAK BUKAN DALAM KEADAAN BERMUSAFIR
Bermusafir bukanlah faktor penentu untuk melakukan solat jamak kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah melaksanakan solat jamak ketika di Madinah. Disebut di dalam sebuah hadis dari Ibn Abbas:
صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا. والمغرب والعشاء جميعا. في غير خوف ولا سفر.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]
Imam al-Nawawi telah berkata: “Segolongan ulamak besar membenarkan jamak di dalam keadaan tidak musafir, kerana ada keperluan, asalkan tidak dijadikan adat (kebiasaan -pen) yang tetap. Demikianlah pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari ashab malik. Diriwayatkan juga oleh al-Khathabi dari al-Qaffal al-Kabir dari kalangan pengikut al-Syafi’i”. [al-Majmu’, jil. 4, ms. 264]
Syarat bagi melakukan solat jamak bukanlah terbatas kepada faktor musafir sahaja. Syarat-syarat yang lain akan diterangkan secara terperinci di dalam sub-topik berikutnya.
SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN
[1] - Bermusafir
Seperti yang telah disebutkan oleh hadis dari Ibn Abbas:
صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا. والمغرب والعشاء جميعا. في غير خوف ولا سفر
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]
Hadis di atas menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamakkan solat kerana ketakutan, musafir, juga atas sebab lain selain daripada sebab yang disebutkan. Sila lihat syarat-syarat lain di bawah.
[2] - Suasana yang sukar atau sulit
Apabila menghadapi kesukaran melaksanakan solat pada waktunya, hukum asal solat fardhu yang telah sedia ditetapkan pada waktu yang tertentu boleh berubah kepada meghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu. Ini bertujuan membebaskan umat Islam daripada kesulitan yang ditempuhi. Kesukaran ini termasuklah sakit, menaiki bas yang tidak berhenti ketika kembali ke tempat asal sehingga luput waktu dan sebagainya. Ketika ditanya kepada Ibn Abbas radhialllahu‘anhu tentang mengapa dibolehkan solat jamak, beliau menjelaskan:
أراد أن لا يحرج أمته
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya. [Atsar sahabat yang dikeluarkan oleh Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no:1211]
[3] - Jamak kerana hajat yang benar–benar mendesak
Contoh keadaan memerlukan solat dijamak kerana hajat adalah apabila berdepan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya, seandainya beliau berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya.
Pelajar di luar negara yang menduduki perperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek.
Pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan beliau meninggalkan kawasan jagaannya kerana kritikalnya suasana tersebut dan pelbagai lagi situasi seumpamanya.
Dalilnya adalah:
عنعبدالله بن شقيق، قال: خطبنا ابن عباس يوما بعد العصر حتى غربت الشمس وبدتالنجوم. وجعل الناس يقولون: الصلاة. الصلاة. قال فجاءه رجل من بني تميم،لا يفتر ولا ينثني: الصلاة. الصلاة. فقال ابن عباس: أتعلمني بالسنة؟ لا أملك! ثم قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم جمع بين الظهر والعصر،والمغرب والعشاء.قال عبدالله بن شقيق: فحاك في صدري من ذلك شيء. فأتيت أبا هريرة، فسألته، فصدق مقالته.
Abdullah bin Syaqiq berkata: Pada suatu hari Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak.Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian akupergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya – hadis no: 705]
Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah menjamakkan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya/syarahan/kuliahnya itu. Dia mengetahui jika syarahannya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya (kebaikan – pent.). Menurut perkiraannya meneruskan syarahan dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak. [Lihat Koleksi Hadis Hukum, Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, ms. 350]
Syaikh Athiyah Saqr rahimahullah berkata:
“…Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat (kebiasaan atau kelaziman –pen). Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan: Dan orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi’ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir. Dan telah diriwayatkan oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka (mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat/keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato/khutbahnya." [Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, jil. 13, ms. 424-425]
Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa:
a) Tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari.
b) Hajat hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kebaikan yang lebih besar.
c) Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain – mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.
[4] - Jamak kerana hujan
Antara salah satu sebab Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solatnya di Madinah adalah kerana turunnya hujan lebat yang menjadi pegangan kuat mazhab Syafi’i. Hikmah yang boleh difikirkan adalah tindakan ini bertujuan supaya tidak menyusahkan umatnya untuk kembali semula ke masjid dalam suasana hujan yang pastinya menyebabkan para jemaah basah kuyup atau kotor kaki mereka kerana terpaksa meredahi becak dan lumpur akbat hujan tersebut. Disebutkan di dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas radhiallahu’anhu:
جمع رسول الله صلى الله عليه وسلم بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء، بالمدينة. في غير خوف ولا مطر.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan jamak solat antara zohor dan asar, dan antara maghrib dan isyak di Madinah tidak kerana ketakutan dan tidak kerana hujan. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]
Sekalipun hadis tersebut secara jelas menyatakan bahawa Rasulullah shalallallahu ‘alaihi wasallam pernah melakukan solat jamak selain disebabkan ketakutan atau hujan, secara mafhum (fahaman tersirat) ianya menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjamakkan solat ketika hujan.
Namun perlu diperhatikan syarat-syarat dan cara-caranya dilaksanakan:
a.Solat jamak kerana hujan hanya boleh dilakukan oleh jamaah yang bersolat di masjid sahaja. Bagi mereka yang bersolat di rumah ianya tidak dibenarkan.
b. Waktu yang dibenarkan untuk di"jamak"kan solat ialah pada waktu Zohor yang di”jamak”kan dengan waktu Asar, ataupun solat Maghrib yang di”jamak”kan dengan solat Isyak pada waktu Maghrib. Maknanya tiada “jamak taakhir” dalam kes “jamak” kerana hujan.
c. Hujan yang turun samada di waktu Zohor atau Maghrib itu tidak berhenti sehingga jamaah selesai menunaikan solat Zohor ataupun Maghrib.
d. Hujan yang menyebabkan solat boleh di”jamak”kan ialah hujan yang membasahkan baju dan bukannya hujan renyai – renyai.
e. Ada juga di kalangan ulama Syafi’iyah yang meletakkan syarat tambahan, iaitu jamak kerana hujan ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari masjid sahaja, dan barangsiapa yang tinggal dekat dari masjid mereka tidak dibenarkan melakukan jamak. (Pendapat ini disanggah oleh Imam Nawawi dari mazhab Syafi’i sendiri kerana menurutnya pendapat tersebut tiada asas yang kukuh dan tiada sandarandalil yang kuat) [Lihat: al-Syarbini al-Khatib (t.t), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil: 1, hal: 275; al- Nawawi (1994M), Raudat al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil: 1, hal. 503, al-Hisni al-Syafii (1994M), Kifayat al-Akhyar, tahqiq: A Hamid Ba Haji, Beirut: Dar al-Khayr, hal. 140. Dinukil daripada tulisan Ustaz Maszlee Malik, Rukhsah Solat Jamak]
TIDAK TAHU LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK
Ini merupakan pengalaman peribadi suatu masa dahulu, keluarga, sahabat handai dan orang-orang yang bertanya. Antara peyebab ditinggalkan solat jamak adalah kerana tidak tahu bagaimana hendak melafazkan niat bagi solat jamak. Adakah “sahaja aku solat jamak zuhur dan asar…” ataupun “sahaja aku jamakkan solat zuhur dan asar..”? Sesungguhnya ketahuilahbahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengajar bagaimana melafazkan niat untuk apa jua solat sekalipun, termasuklah solat jamak. Itulah sebabnya mengapa tiada hadis sahih berkenaan cara-cara melafaz niat baik untuk solat fardhu mahupun solat sunat.
Setiap amalan memerlukan niat, tetapi bukanlah memerlukan melafaz niat. Cukup sekadar lintasan azam/hasrat/keinginan di dalam hati kita mengetahui apa yang hendak/bakal dilakukan. Melafazkan niat itu hanyalah ijtihad ulamak bagi membantu orang yang mempunyai penyakitwas-was yang keterlaluan.
Di dalam Ighatsatul Lahfan Ibn Qayyim rahimahullah menyatakan:
Niat ertinya menyegaja dan bermaksud sungguh-sungguh melakukan sesuatu. Dan tempatnya adalah di dalam hati, dan tidak ada sangkut pautnya sama sekali dengan lisan… [Dikemukakan oleh Imam Ibnu Qudamah dalam Dzammul Muwaswisin, ms 5-6 dan Syaikh Sayyid Sabiq di dalam Fikih Sunnah, Victorie Agencies, jld. 1, ms.286]
Dalam menghuraikan tentang hadis "tiap-tiap amal perbuatan tidak lain berdasarkan niat", Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan: Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Tetapi Syaikh al-Karmani menambahkan, bahawa keinginan hati adalah melebihi maksud…
…Baidhawi berkata: "Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudharat, sedangkan syari’at aadalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredhai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya" [Dinukil secara berpisah dari Fathul Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari (terjemahan Gazirah Abdi Ummah, Pustaka Azam, jld 1 ms. 19]
Berikut adalah satu contoh bagi memudahkan pemahaman: Niat hendak makan roti canai. Tidak perlulah melafazkan atau menyusun ayat dalam hati "sahaja aku makan roti canai pada waktu tgh hari berserta kuah kacang dal". Memadai lintasan dlm hati kita mengetahui kita ingin menikmati roti canai maka kita pun pergi makan roti canai.
Namun ditegaskan, Apabila hendak menunaikan solat secara jamak dalam waktu yang kedua (Jamak Takhir), maka dituntut bagi orang tersebut mengetahui dengan sedar dalam waktu yang pertama bahawa dia akan melakukan solatnya itu di waktu yang kedua.
Contohnya bagi seseorang yang mahu melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak dalam waktu Asar maka dia wajib secara sedar berniat dalam waktu Zuhur bahawa dia akan menunaikannya secara jamak dengan solat Asar dalam waktu Asar. Ini tercapai dengan lintasan hati atau sebutan mulut bahawa solat Zuhur aku ini akan aku jamakkan dengan solat Asar dalam waktu Asar nanti. Demikian juga bagi solat jamak takhir Maghrib dan Isya’. Tuntutan ini diwujudkan bagi membezakan bahawa seseorang itu bersolat jamak takhir berdasarkan pengetahuan yang sedar sejak dari awal dan bukan kerana lalai, berlaku remeh atau malas ketika dalam waktu yang pertama. [Fiqh dan Perundangan Islam, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, jld. 2, ms. 377]
PENUTUP KATA
Moga risalah ringkas ini dapat menjawab persoalan dan merungkai kekeliruan tentang solat jamak. Moga pengetahuan mengenai solat jamak ini juga dapat menjadikan kita tidak mudah bersangka buruk dengan individu yang mengamalkan solat jamak berbeza dengan pemahaman ilmu kita yang terhad sebelum ini. Semoga Allah melimpahkan hidayah dan taufik-Nya kepada kita.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment