Wednesday, 17 November 2010

10 Zulhijjah 1431 H

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Zauj sedang menyembelih lembu korban

Entah mengapa, apa yang membuat ummi ralit pada tahun ini sehinggakan lepas sahaja bulan Shawal ummi belum merancang untuk mengadakan korban untuk musin haji.


Mungkin kelelahan selepas walimah anak-anak masih terasa. Mungkin kelelahan selepas expedisi kembara Aidil Fitri menyebabkan ummi terbuai dalam lena yang panjang.


Apabila menjelang pertengahan bulan Zulkaedah, apabila zauj sebuk cari lembu untuk mengadakan korban di FTI, apabila perserta 'out reach' sebuk mencari sumbangan untuk ziarah ke Kemboja,baru ummi tersedar, yang ummi tidak mengajak rakan-rakan untuk buat korban bersama-sama.


Bila sahabat-sahabat bertanya,berapa ekor korban yang ummi uruskan tahun ini,barulah ummi tersedar, yang ummi belum mengurskan apa-apa lagi persediaan untuk berkorban pada tahun ini. Tapi saat ummi tersedar tu, sudah terlewat. Bila ummi tanya pada rakan,sahabat dan taulan,semuanya sudah merancang untuk berkorban di lain-lain tempat.


Maka akhirnya ummi tidak menguruskan sebarang korban untuk tahun ini. Selalunya di tahun-tahun yang lalu, ummi akan menguruskan korban lembu paling kurang pun satu ekor. Adakala 2 ekor.


Untuk menguruskan korban, ummi sendiri akan pergi cari lembu di ladang Yayasan Pelajaran Johor. Lembu tempatan, walau baka asal dari luar negara. Tetapi lembu-lembu ini diternak di ladang negara ini. Lembu-lembu diternak di ladang sawit untuk tujuan kawalan biologi.



Memang setiap tahun, ummi akan ke ladang YPJ ini untuk tempahan lembu. Selepas sahaja solat Aidil Adha, ummi dan zauj akan bergerak ke ladang untuk menyembelih lembu itu. Zauj sendiri akan menyembelih lembu itu dengan bantuan beberapa orang pekerja ladang.


Sebaik lepas sembelih lembu ini, zauj akan tinggalkan terus tempat tu , pergi ke tempat lain pula untuk menyembelih lembu-lembu korban. Yang sudah disembelih ini, ummi yang akan uruskan sehingga selesai.


Dengan kecekapan pekerja ladang, pantas mereka tolong melapahkan kulit lembu dan lembu dibahagi kepada 4 bahagian. Satu paha setiap bahagian. Mereka akan tolong memuatkan ke dalam kenderaan ford hilux yang akan ummi pandu sendiri balik ke rumah di Taman Pulai Utama . Zauj dah pergi sembelih lembu di tempat lain, jadi memang ummi yang kena bawa balik lembu yang telah selesai di lapah itu ke rumah.


Sampai di rumah, dengan tali-tali yang telah tersedia, dan bantuan beberapa pelajar UTM yang tidak pulang ke kampung, paha lembu itu akan digantung untuk memudahkan menyisih daging dari tulang.


Jika ramai yang datang membantu, ada yang menyisih tulang, ada yang memotong mengikut siaz yang sesuai, ada yang menimbang dan membungkus daging-daging itu, dalam masa 3 jam, siaplah semuanya kerja-kerja  memproses daging lembu korban.


Bila 2/3 daging-daging itu siap dibungkus, maka akan ada pula pelajar yang tinggal di kawasan berhampiran untuk mengagih-agihkan daging-daging ke kawasan perumahan kos rendah di kawasan Taman Universiti.


1/3 daging-daging tu, akan ummi masakkan untuk pelajar-pelajar  makan. Tulang-tulang dibuat sop. Apabila siap masak, ummi akan mewar-warkan kepada pelajar-pelajar lain di UTM, untuk datang makan. Tidak kira siapa pun, boleh saja datang. Ummi masakkan nasi, ada sambal kicap dan ulam-ulam.


Mereka yang datang akan pandai layan diri untuk menyenduk sendiri makanan dari periuk. Ambik sop dari periuk , nasi dari tong nasi dan lauk-lauk lain memang sudah terhidang di atas meja. Semuanya layan diri sehinggakan lepas makan,mereka akan cuci pinggan yang sendiri gunakan. Begitulah rutin ummi setiap tahun.


Hanya kali ini,ummi terlupa. Namun Allah gantikan sesuatu kelaian tetapi masih perkara yang sama.


Pada hari raya 10 Zulhijjah, seawal jam 3 :00 pagi ummi dah bangun, mengambil kesempatan dan berkat bulan Zulhijah untuk memperbanyakkan zikrullah. Jam 4:00 pagi ummi mula masuk ke dapur untuk memasak makanan jaudah hari raya untuk zauj dan anak menantu.


Masak rendang ayam, soto ayam bersama begedilnya. Lepas maghrib semalam, Najdah dah masakkan sambal kacang. Petangnya mereka, anak-anak telah rebuskan ketupat dan membuat pulut dakap. Nurin berdua dengan menantu ummi Azyla buat pulut dakap.


Ummi ajar anak-anak ni buat pulut dakap pada tahun ini. Makanan melayu warisan keluarga. Mana tahu, bila ummi dah tak ada pada raya akan datang, sekurang-kurangnya anak-anak dah tahu bagaimana nak buat pulut dakap.


Begitulah arwah mak, tahun sebelum mak meninggal, banyak yang mak perturunkan ilmu membuat makanan tradisional kepada adik Na. Arwah Mak ajar adik Na buat ikan 'wadi', buat wajik dan pulut dakap.


Arwah mak meninggal pada hari raya Tashryik, 12 Zulhijjah 1426 H bersamaan 12 Januari 2006. Arwah mak pergi dalam husnol khatimah. Syukur kepada Allah pemergian mak dalam keadaan yang baik dan menyenangkan hati anak-anak yang mengadap kematiannya. Kisahnya di sini : Perginya Orang Yang diSayangi


Sebab itu setiap hari raya Aidil Adha meninggalkan suatu kisah dalam memory hidup ummi. Perginya orang yang disayangi. Memang sukar untuk menerima pemergian orang disayang dalam sekelip mata. Mak pergi dalam tempoh 24 jam setelah diserang angin ahmar.


"Ya Allah, limpahkan lah rahmat MU ke atas roh bondaku.Letakkan dia bersama-sama orang-orang yang benar, para syuhada dan solehin."


Sebenarnya ada kisah lain yang mahu ummi ceritakan ,tapi nantilah. Hanya pada hari 10 Zulhijjah, ummi beraya bersama-sama dengan anak menantu. Ada juga anak-anak halaqah yang tidak balik rumah di kampung kerana cuti cuma 1 hari. Ada Nurin, Mastura dan Irmawati.


Lepas solat Aidil Adha, Zulhilme, Yusuf, Mohd Yazis, dan 2 orang lain, ummi dah lupa namanya, datang berziarah. Rezeki mereka dipagi raya. Petangnya, An-Nisae datang bersama-sama adik-adiknya. An-Nisae orang Bajau Laut dari Sabah. Mereka tidak pernah merasai suasana hari raya seperti di Semenanjung ini.


Oleh kerana cuti cuma sehari,anak menantu ummi juga terpaksa balik ke rumah mereka. Nazihah dan Najdah balik ke Ampang dan Shah Alam pada petang tu juga. Namun sekurang-kurangnya mereka telah meluangkan masa untuk balik menziarahi ummi dan zauj. Syukur kepada Allah yang melapangkan masa dan memudahkan urusan mereka. Amin...




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment