Tuesday, 23 November 2010

Memori Indah Seorang Isteri

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Suatu ketika dulu, dari sebelum berkahwin lagi ummi memang suka pada satu kisah isteri sahabat ini. Dan selalu ummi juga bercita-cita untuk menjadi seperti isteri sahabat ini.


Kisahnya adalah tentang seorang isteri yang merahsiakan anaknya telah meninggal dunia,  sedangkan ketika itu suaminya tiada di rumah. Apabila suaminya balik pada malam itu, dilayannya dahulu suaminya sehingga suaminya lena kepuasan, esoknya baru dikhabarkan akan kematian anaknya.



Kebetulan ummi terdengar sedutan ceramah Ustaz Mohd Khazim Elias, nostalgia lalu menyinggah di memori. Ingin benar  ummi menjadi seperti  isteri itu. Sebab  itu sepanjang 26 tahun kehidupan berumahtangga, sebelum  menyampaikan apa-apa khabar  pada suami,  akan ummi fikirkan apakah sesuai dan perlu disegerakan khabar  itu dimaklumkan, walaupun zaman ini  ada telefon  untuk  memudahkan berkomunikasi.  Ummi  akan lihat situasi kerja suami,  dimana dia ketika itu dan kewajaran  untuk diberitahu.  Semua  ini bergantung kepada kebijaksanaan seorang isteri. Jika perkara  itu boleh ditangguhkan, khabarkan saja bila suami telah balik ke  rumah. Jangan ketika suami bekerja di luar. Ikut seperti mana isteri sahabat  itu lakukan kepada suaminya.









Apabila ummi dipilih Allah untuk berkahwin awal, sedaya upaya, ummi berusaha mendidik diri untuk menjadi cahaya mata suami. Seorang isteri yang apabila suami melihat, hatinya rasa berbunga   dan  bahagia.


Ummi selalu menjadi tangan kanan suami di dalam apa jua urusan kehidupan. Menjadi seperti tongkat basikal. Menjadi penasihat peribadi, menjadi perancang ekonomi, pengurus kewangan, menjadi setiausaha sulit apabila ada borang-borang yang perlu diisi, menjadi tukang urut, menjadi tukang masak, menjadi cleaner dan paling utama menjadi pelayan yang dilanggani setiap malam.


Sejak berumah tangga, suami tidak pernah isi borang cukai pendapatan, isi borang Sasaran kerja Tahunan (SKT), bayar bil-bil bulanan, tidak pernah tahu bagaimana urusan pembelian rumah, bagaimana berhelai-helai  borang perlu di isi jika berhajat memohon pembiayaan samada melalui bank atau pembiayaan kerajaan untuk pembelian rumah  atau kereta. Hatta, isi borang untuk menunaikan haji. 


Seorang isteri  perlu memaklumkan kepada suaminya tarikh-tarikh penting didalam kehidupan berumahtangga. tarikh ulang tahun perkahwinan, tarikh kelahiran anak-anak, tarikh temujanji dengan doktor, hatta tarikh  jemputan walimah sahabat-sahabat suami juga. Cukup untuk seorang suami ingat tarikh dan masa untuk kelas yang dia  akan masuk mengajar, kelas pengajian Kitab-kitab, tarikh dan masa mesyuarat yang berkaitan kerjayanya. Begitu  juga dengan tarikh tamat lesen memandu, tarikh tamat cukai jalan dan takaful kenderaan. Semua itu isteri yang perlu ingatkan. Inilah yang dikatakan menjadi penasihat peribadi dan setiausaha suami.


Suami penat bekerja, selain tenaga, minda mereka juga penat memikirkan segala perkara yang berkaitan ummah. Seorang isteri hanya memikir di dalam skop yang kecil di dalam keluarganya. Maka kadar kepenatan minda itu berbeza.


Adakah ummi tidak penat? Sedangkan ummi juga bekerja, sebagai pendidik. Selain menguruskan rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah.


Seorang isteri harus bijak membahagikan masa, antara kerjaya dan rumah tangga. Apabila keluar rumah untuk bekerja,gunakan sepenuh masa di waktu kerja menyelesaikan apa jua yang bersangkutan kerja di tempat kerja. Jika tidak perlu, jangan bawa balik ke rumah kerja itu.


Sepanjang ummi bertugas sebagai guru, ummi jarang bawa balik buku-buku untuk ditanda di rumah. Ummi gunakan sepenuh masa senggang ketika di sekolah untuk menyelesaikannya. Di sekolah, ummi tak ada masa nak borak kosong begitu sahaja. Masa ummi lebih berharga dari intan permata. Ummi hanya bawa balik buku rekod mengajar untuk ditulis catatan mengajar untuk hari esoknya. Itu pun akan ummi tulis ketika semua kerja rumah telah selesai, ummi curi masa tidur ummi sendiri di tengah malam.


Namun kejayaan seorang menjadi isteri solehah, bergantung kepada didikan suami juga. Kerjasama, sokongan dan bimbingan itu yang mendorong kejayaan seorang isteri mendidik dirinya sendiri menjadi solehah.


Dengarlah contoh yang ustaz Mohd Khazim sampaikan itu. Redha dan syukur seorang isteri dengan kehidupan bersama suami adalah buah kepada kebahagiaan. Redha dan syukur dengan kehidupan seadanya, walaupun tidak punya apa-apa, namun kasih sayang yang dibelai dan dibajai sedari akad nikah sudah cukup membina syurga dalam rumah tangga.


Apa yang dilihat hari ini di dalam rumah tangga ummi, adalah bermula dari zero, baik dari segi kasih sayang, material dan ilmu rumah tangga. Ummi tidak ada pengalaman dalam pengurusan rumah tangga, semasa bernikah tidak ada persediaan untuk berumah tangga. Dari selepas akad nikah berusaha belajar dan mencari pengalaman berumahtangga. Sentiasa berusaha membaca,memerhati dan bertanya.


Mencintai dan berkasih sayang dengan suami sebaik selepas di akad-nikahkan. Selepas bernikah,baru mengenali suami, baru berani memandang wajahnya.


Semasa akad nikah, kami tak punya sezarah pun harta. Tak ada apa-apa melainkan pakaian yang mak ayah belikan. Harta pertama ummi miliki ialah mahar sebanyak rm 80 yang suami berikan. Dengan wang itu,ummi bersama suami memulakan kehidupan. Ummi redha wang itu digunakan untuk kegunaan bersama. Alhamdullilah, dari saat itulah kehidupan ummi bermula, mendapat rahmat Allah dan keberkatan dariNYA.


Dan untuk menjadi kuat seperti hari ini,berbagai ujian, dugaan dan rintangan perlu dilalui. Allah tidak akan meningkatkan darjat seseorang melainkan dengan memberikan berbagai-bagai ujian. Kecik atau besar ujian itu, bergantung bagaimana kita menerimanya. Tabah,kuat dan sabar adalah adunan 3 serangkai untuk meningkatkan iman.


“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;“Kami telah beriman,” (“I am full of faith to Allah”) sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” -Surah Al-Ankabut ayat 2-3



Jangan fikir, kehidupan ummi tidak pernah diuji. Hanya ujian setiap manusia itu berbeza antara satu sama lain. Dan Allah berikan ujian itu kerana Allah Maha Mengetahui yang dia mampu untuk menghadapinya. Allah tidak akan biarkan hambaNYA begitu sahaja jika hamba itu tetap sabar, redha dan bersyukur dengan apa yang dicubakan ke atas dirinya.


“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. “
- Surah Al-Baqarah ayat 286


Dan perlu diingat juga,Allah datangkan ujian bukan sahaja untuk orang itu, tetapi juga untuk orang-orang yang berada di sekitarnya. Jika orang itu diuji dengan sakit, apakah keluarga,jiran tetangga akan membantu? Jika diuji dengan kematian, adakah keluarga redha?


Dan dari ujian-ujian itulah datangnya ganjaran dan bonus sebagai saham di akhirat nanti. Semoga semua kita berusaha untuk merebut dan membeli saham-saham itu sebagai bekal di sana nanti.


Sekian...entri nostalgia dari ummi. Semoga bermanafaat untuk kita menjalani kehidupan ini.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



4 comments:

  1. Assalamualaikum Ummi...

    Isk.. sebak baca cerita ummi..
    mampukah saya menjadi sperti ummi..
    jadi isteri solehah..
    saya bayangkan bagaimana ummi dahulu, nikah waktu muda.. waktu dulu mungkin bukan macam sekarang.. ada viceo ceramah, ada tempat rujukan (web, buku dll)... Tapi alhamdulillah ummi berjaya harung semua.. Kuatnya ummi...
    Memoga saya boleh mencontohi ummi..

    p/s : patut la ustaz othman tak mahu poligami.. ehehe...

    ReplyDelete
  2. Syukur Anazahra, pengalaman yang telah ummi lalui menjadi guru dan sumber rujukan sekarang ini di dalam mendidik , membimbing dan menasihati isteri-isteri yang menghadapi masalah di dalam rumah tangga.


    Semoga keberkahan di dalam rumah tangga , rahmat Allah meliputi semua orang-orang yang bersama-sama ummi.

    Zaman dulu, yang jadi rujukan ummi bagi mencari ilmu rumah tangga ialah kehidupan orang-orang soleh dan tok-tok guru. Suami rajin bawa ummi menziarahi mereka, dan ummi mengambil kesempatan itu untuk bertanya dan berbual-bual dengan isteri dan melihat situasi kehidupan sebenar mereka.

    ReplyDelete
  3. semoga ummi dan suami bercinta hingga bersambung ke syurga. amin.

    doakan kami juga, generasi baru dunia akhir zaman.

    ReplyDelete
  4. Amin...

    Semoga hafaz furqan juga menikmati kebahagiaan di dalam mahligai kasih yang berpanjang hingga ke syurga.

    Qanaah, redha dan syurga adalah 3 serangkai yang menjadi baja dalam mahligai kasih.

    Sabar menjadi buah iman untuk orang yang bertaqawa. Dan kita mampu meraihnya.

    ReplyDelete