Saturday, 1 January 2011

Lembaran Tahun Baru 2011

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Selepas detik 12 malam, bermulanya tarikh baru 1 Januari 2011. Selamat bertambah usia dan selamat menghampiri rumah kedua bertiang dua. Setiap kita pasti akan mati. Hidup ini insyaAllah.


Kita ini sedang bermusafir di dunia, dalam perjalanan menuju kepada Allah Ta'ala. Ketika bermusafir, ada yang mudah perjalanannya, ada yang sukar dengan menghadapi pelbagai ujian dan rintangan.


Beruntung kita dilahirkan sebagai Islam. Kalimah pertama yang diperdengarkan ditelinga kanan adalah suara azan dan ditelinga kiri iqamah yang mengandungi kata-kata yang mengagung Allah Ta'ala.


Nabi Muhammad S.A.W. telah mengazankan telinga Hasan ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah.


Maka yang dilahirkan dalam Islam ini kita panggillah Islam genetik atau Islam keturunan. Lahir dalam fitrah beragama Islam. Semasa dalam kandungan ibu dah diajar kalimah tauhid. Beruntung kan?


Berbeza dengan mereka-mereka ini. Yang diberikan petunjuk dan hidayah selepas usia akil baligh. Sebelum itu mereka hidup dalam agama lain atau tidak beragama. Tapi mereka bukan jahat. Cuma nasib mereka dilahirkan dalam ugama selain Islam.


Apabila mereka dewasa, dengan kebesaran dan keagungan Allah, mereka dikurniakan hidayah untuk mengESAkan Allah. Kerdipan cahaya itu datang menyinari hati tanpa di duga. Namun banyak ranjau dan pengorbanan yang perlu mereka tempoh dan hadapi.


Anugerah Allah, rezeki ummi dan keluarga, ummi telah dikurniakan oleh Allah untuk mendampingi mereka. Ummi dihadiahkan oleh Allah untuk bersama senyum tangis mereka. Bukan seorang dua, setakat ini, ummi telah bersama-sama dengan Nurhumaira, Nurfatihah, Jay Suman, Siti Balqis, Muhammad Ariff dan yang terbaru Muhammad Nur Iman.


Ummi terima mereka dengan hati terbuka dan kasih sayang. Seluas tangan ummi depakan untuk menerima mereka. Seluruh kasih ummi tumpahkan buat mereka. Selalu ummi suakan bahu untuk mereka melepaskan tangisan. Selalu ummi tadahkan telinga untuk berkonsi derita mereka.


Pengorbanan mereka, putus saudara, putus keluarga. Kadang tu terpaksa berahsia demi hubungan kasih sayang. Namun, lama mana mampu menyimpan rahsia, jika mulut tempayan mudah ditutup dengan dulang atau talam, tapi mulut manusia? Mana mungkin untuk diplaster.


Maka terjadilah kisah, dibuang keluarga,keluarga menuduh mereka disihir oleh orang Islam sehingga sanggup meninggalkan agama asal dan dipulaukan oleh saudara mara. Kemana mereka mahu membawa diri? Dimana paling pantas untuk mereka memulakan kehidupan baru?



" masih ingat pesan bapa saya..saya akan dibuang keluarga kalau tahu..tapi saya dah tak kisah semua tu..bapa saya cakap jangan cabar..boleh try nak peluk islam..kamu dibuang semua saudara mara , kami tak nak lihat kamu..macam tu sekali...

masa tu kan berair mata bapa cakap camtu kat saya..tapi ya Allah..sekarang saya terkenang raut mak dan ayah..comel je muka mereka kalau senyum..subhanaallah kesian..tiap kali saya doa akan diterima hidayah..ya Allah..saya suka muka mereka 2 senyum..senang je hati..mereka baik..huuu..sabar "

Semua itu adalah asam garam kehidupan saudara kita yang baru menganut agama Islam. Memahami masalah dan cabaran saudara baru, selalu ummi menasihatkan mereka supaya banyak bersabar dan yakin dengan kebesaran Allah.

"Apa yang perlu kita buat ialah ikhlas dengan sesuatu yang dilakukan dan lakukan dengan penuh pemahaman dan sepenuh hati."



Kisah Muhammad Nur Iman.

Pertemuan pertama ummi dengan Nur Iman hanyalah melalui mesej peribadi pertama di Halaqahnet. Ini catatan Nur Iman sendiri di laman forum Halaqahnet.

Saya mengenal laman halaqah sewaktu saya search untuk info Islam..jadi secara auto laman halaqah ni terbuka.. Ummi Munaliza adalah orang pertama mengenali saya..masa tu saya dan Ummi cuma PM je..mesej pertama saya hantar kepada ummi..tersenyum kalau ingat pengalaman tu bertarikh 22 January, 2010, 08:37:26 AM


Salam sejahtera..em saya bukan muslim tetapi saya meminati agama islam. Dan aku percaya akan kewujudan Allah. Bukti semua dapat nampak dalam Al-Quran. Ia mendahului sains.

"Maka Nabi Muhammad S.A.W. bukan lah seorang pelayar (Ar Rahman[19]Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu, Ar Rahman [20] Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.

Al Qiamat[38] Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Setahu saya zaman Nabi belum wujudnya saintis, malah sejak Al Quran wujud, kandungan tidak berubah 1 ayat pun, berbanding kristian mempunyai kitab lama dan baru, mempunyai pecahan seperti roman katolik, SIB, methodist dan setiap cara sembahyang nya juga lain amalannya. Kadang kadang saya bersembahyang dalam gereja mesti terkilan dan berfikir bagaimana Yesus di anggap anak Tuhan boleh makan, dapat merasa sakit, letih.


Setiap kali saya membaca Al Quran membuat saya ingin mengetahui dgn lebih dekat dgn Agama Islam. Masalahnya sekarang saya di bantah oleh keluarga memasuki Agama Islam. Saya amat menghormati Ibu bapa saya tetapi...SAYA AMAT MENCINTAI AGAMA ISLAM DAN PERCAYA AKAN KEWUJUDAN ALLAH MAHA KUASA. Saya amat berharap mungkin tidak sekarang tapi masa akan datang dapat memeluk islam. Adakah saya boleh menghafal Al Quran walaupun saya belum mualaf? Mengenali ayat jawi atau mempelajari cara sembahyang. Ini kerana saya mahu bersedia sebelum memasuki Islam.


Saya di layan dengan begitu baik oleh ummi, tanpa rasa jemu dengan berbagai pertanyaan  dari saya. Walaupun hanya melalui mesej, saya rasa amat dekat dengan ummi, seperti ibu saya.

Selepas mesej peribadi (PM) pertama, ummi dan Nur Iman terus berhubung sambil ummi melayan apa-apa pertanyaan Nur Iman yang berkaitan dengan pengetahuan agama islam. Dan suatu hari, apabila melihat Nur Iman makin tergapai-gapai memerlukan cahaya, maka ummi bertegas kerana kasihankan dirinya yang seperti tertangguh-tangguh untuk bersyahadah kerana masih mengharap lampu hijau dari keluarganya. Mengharap lampu hijau dari keluarga terutama mak bapanya ibarat menanti kucing bertanduk.


Ummi aturkan pertemuan Nur Iman dengan keluarga anak angkat ummi yang ada di Bintulu. Dengan bimbingan dan tunjukajar, pada sabtu, 27 November 2010, Nur Iman selamat bersyahadah mentauhidkan Allah dengan disaksikan lebih 20 orang para jemaah di masjid As-Syakirin,Bintulu, Sarawak.


Ini catatan peribadi Nur Iman :



Jumaat 26hb november tu saya selawat 1,000 kali serta doa kepada Allah..takut hajat saya tak sampai..Allah menentukan segalanya urusan..semua mutlakNYA menentukan..tak dapat tidur  walaupun masuk awal..pukul 2, 3 pagi baru tidur..sms ku tak henti sms datang dari Bintulu, Sabah, Semenanjung..semua doa untuk aku.


Sabtu 27hb november saya bangun awal..packing barang-barang,  bayangkan masa tu saya tak berduit..minyak masa tu memang cukup untuk  turun  ke Bintulu je..dalam hati agar di permudahkan oleh Allah..dalam kereta selawat..masa tu dengar lagu ganas..hung hang hung hang..jadi saya tutup..teruskan selawat..hujan turun..masyaallah macam cerita dalam oasis je...memang best masa tu..memang macam movie rasanya..aku yang berlakon..hek eleh..sampai di Bintulu,  semua kawan2 dah sedia tunggu..saya ziarah lah kawan saya..mereka tu tak dapat pegi..awal pagi dah minum arak..jadi mereka ucap selamat je la..saya dan anak ummi pergi ke masjid..kali pertama saya masuk masjid tahu tak..memukau je mata..mata semua memandang ke arah saya sorang..malu nye..sempat juga saya berdakwah pasal kenapa cipta neraka dan syurga..kisah tu dalam thread dalam halaqah..saya cerita pada mereka, hehehe...belum syahadah masa tu..terpaksa tunggu kawan2 lain  yang telefon agar jangan mula dulu, mereka nak tengok..mereka datang..siap bawa camera..ada video lagi dari anak ummi..berbelas kawan saya datang..masa syahadah, tu lain je rasa..masih gagah masa tu..masa takbir tu saya mula menagis.. kawan turut menangis..mereka ucap pada saya "akhirnya..alhamdulillah" menangis memeluk..anak ummi ada video tu..macam drama swasta betul..kenangan tak dapat di lupakan..turun dari masjid ada lagi sahabat di luar menunggu..mereka berkata buat betul2..jangan alang2..mesej jangan cerita lah..memang berdering je HP..


Selepas itu terus pulang  ke rumah anak ummi, disiapkan pula dengan majlis makan2.."apa ni?" dalam hatiku berkata...sekali masuk majlis, rupanya untuk aku sendiri..masyaallah..pikir birthday anak ummi tadi..pastu saya mandi sunat..keluar dari bilik mandi masyaallah..rasa macam keluar dari perut ibu..sempat solat zohor..belajar..pastu turun lah saya ke pasar jumpa sahabat datang dari Miri..terserempak pulak ngan kawan sama lepak dulu..di ajak minum (3 tempat berlainan) sebab saya memang ramai kawan..apabila saya cakap saya syahadah..jawapan dari mulut cuma "bena ko tok mie" makna "benar kamu ni" sebab aku kuat bergurau


Sebelah malam jumpa pula ustaz Abdillah..mula2 gabra juga..muka dia bengis..macam along ada juga ku tengok..anak ummi pulak tinggalkan aku dengan ustaz Firdaus tu..aku mengeluh lah..nervous..ye lah tak tahu apa2..jadi kami 2 makan sama..borak punya borak kami ketawa macam lama dah kenal..2 jam di meja makan..tangan tak basuh2..bayangkan best nye kisah peradaban islam ni..sejarah..kisahnya..memang seronok..apatah lagi tahu amalan senyum, makan, kerja pun dikira pahala..mulakan dengan bismillah..hui..apatahlagi selawat tu 1 kali Allah beri 10 kali pahala..pastu ustaz ajar zikir fatimah..cerita punya cerita 12.30 malam baru habis..kami kongsi2 pendapat..ustaz bab kristian dia tak tahu..saya tahu beberapa kisah jadi kongsi lah..yang dalam halaqah ni pun saya paste dalam kepala cerita kat dia..pas belajar dari dia saya masuk tidur..selawat dan zikir..dah tahu dapat pahala punyaa maaaa..apalagi..nah? betul tak? apa ilmu saya dapat dalam halaqah saya bawa semasa syahadah..jika saya terus masuk islam tentu saya buta..banyak bacaan selawat, zikir saya dah hafal...


Ahad 28 hb November, awal bangun solat subuh,  pastu sibuk beli sejadah dan kompas, buku..subhanallah..semua tu memang aku nak..aku memang tak de duit..pergi solat zohor di surau Assyakirin ustaz hadiahkan aku tasbih..rasa nak teriak je..masa dalam kedai tu nak beli,  tapi poket kering tahap maksima..beli keropok 10 sen pun tak mampu. Jumpa juga tabligh keturunan iban yang di tugaskan mencuci surau..30 tahun memeluk islam..laki dan bini..saya tak sangka dia iban..masih kekal soleh..macam arwah bapa saudara ku,  abang kepada mak aku dulu pun mualaf..malah hafal Al Quran..ajar anak mengaji lagi tu..

Saya pulang pada pukul 3 petang dari rumah anak ummi..saya nak pulang tiba cek time solat..40 minit lagi..jadi saya pun pergi balik ke Masjid Assyakirin jumpa lagi mereka yang solat zohor tadi..jadi saya ikut je..tengok betapa sayang NYA Allah kepada ummatNYA..cuma kita perlu hadir masa menyembahNYA..dia akan bantu..bayangkan saya ni tak tahu apa2..wuduk tahu lah..kalau solat masih tunggang langgang..pastu saya pulang sambil2 tu keluarkan tasbih..warna hitam..cantik..terus test zikir fatimah..tangan gatal sangat..sambil memandulah bertasbih..dapat..terfikir pulak kenapa kawan aku tak buat??


Saya mengejar masa dah nak maghrib..sikit mauk langgar ayam daaa..sebab saya nak solat dengan budah UPM bernama Muhammad..saya tak tahu mana kiblat.,.tak tahu guna kompas..sampai isyak aku di sana bersamanya sambil zikir dan selawat..baru kenal aku dengan dia..dah rapat..memang Islam yang bagus..saya ni yang buta pun nak tolonng..lepas makan saya belajar lah solat..tapi tak masuk otak sebab terlalu letih..pak long dan ummi lah sentiasa bersama saya semasa saya buta..pak long sampai cakap kat saya malam tadi jangan lebih2 nanti syaitan datang hasut saya, ummi pun suruh saya rehat..alamak..pukul 10 saya tidur..


Pada hari ni saya bangun pukul 4..sebelum solat start saya membaca buku solat..kami di Sarawak awal 1 jam dari  Semenanjung...

Alhamdulillah belum tinggal solat..cuma takut je lah..sering doa agar Allah memperkenankan doa saya tu..solat asar ada masalah tadi..saya wuduk 2 kali..sebab saya terpegang kemaluan tak sengaja sebab seluar tu kacau (batal ke?) nak sms tanya pak long kredit tak ada pulak..solat pun 2 kali..astaghfirullahalazim..sebab saya baca al fatihah awal..skip bahagian hajat tu..adei..tapi Alhamdulillah dah selesai..pasni maghrib..harap jangan lagi ada kesilapan..moga2 saya dapat tunaikan setiap solat 5 waktu..insyaallah


Begitulah kisah bagaimana syahadahnya Muhammad Nur Iman. Kisahnya tidak berhenti setakat syahadah sahaja. Minggu berikutnya,Nur Iman keluar lagi dari hutan di Samarakan ke bandar Bintulu, menuju rumah anak ummi untuk belajar asas agama Islam terutama bab fardhu ain. Malam Jumaat , Nur Iman sampai dan hari Ahad lepas Asar Nur Iman bergerak balik ke hutan semula, tempat kediamannya yang di diami semuanya adalah non-muslim.


Selepas sahaja Nur Iman bersyahadah , berulang kali ummi ingatkan kepada Nur Iman,bahawa selepas ini akan banyak ujian-ujian datang. Semua ujian itu adalah untuk meningkatkan prestasi iman dan perlu ketabahan, kekuatan dan kesabaran untuk menghadapinya.

Benar, selepas asar , dalam perjalanan balik menuju ke hutan Samarakan, kereta Nur Iman terbalik. Ke empat-empat tayar kereta terbalik ke atas. Ketika itu Nur Iman berseorangan di jalan batu kerikil kawasan hutan.


Rupanya musibah ini merupakan titik tolak hijrahnya Nur Iman dari kawasan hutan itu. Itulah hikmahnya. Dengan musibah ini,menyebabkan mak bapanya tahu pengislaman yang dirahsiakannya. Ini menyebabkan mak ayah membuang dia. Dan dari pada musibah itu, terencananya penghijrahan Nur Iman ke Semenanjung.


Untuk berhijrah ke Semenanjung, Nur Iman berhenti kerja, kerja yang telah di dudukinya selama 6 tahun (dah mantap kerjaya tu), pernjualan beberapa aset kerana tidak mahu menanggung hutang apabila tidak bekerja lagi nanti. Nur Iman berhijrah ke Semenanjung semata-mata untuk mendalami ilmu agama islam.


Apabila ummi tahu tarikh akhir Nur Iman notis berhenti kerja, terus ummi ambilkan tiket penerbangan dari Sibu ke Johor Bahru. 26 Disember, sehari selepas krismas,terus Nur Iman berhijrah ke Semenanjung, tiba di lapangan terbang Senai, dijemput oleh anak sulong ummi.


Genap 1 bulan Nur Iman bersama agama Islam sepenuhnya. 5 hari Nur Iman menetap bersama keluarga ummi. Semua ahli keluarga ummi menerima Nur Iman dengan lapang dada. Mereka menganggap Nur Iman sebahagian dari keluarga mereka juga. Solat berjemaah, keluar bershopping bersama-sama. Nur Iman turut membantu ummi berkemas di dapur. Zahirnya Nur Iman gembira dapat merasai masakan hasil air tangan ummi, tapi hatinya ummmi tahu pasti merindui keluarganya di Sarawak sana.


Namun, menjelang malam tahun baru, 1 Januari, ummi terpaksa berpisah dengan Nur Iman kerana tuntutan fardhu ain. Ummi telah carikan tempat yang sewajarnya untuk Nur Iman belajar sepenuh masa. Ummi tidak mahu pergorbanan dan penghijrahan Nur Iman menjadi sia-sia. Nur Iman perlu belajar dari asas dalam semua pengetahuan ilmu agama islam. Ummi tidak mampu untuk membimbing sepenuh masa. Lagi pun, sewaktu  hari bekerja di siang hari, tidak ada mahram di rumah untuk mengizinkan Nur Iman bersama ummi dalam rumah. Itu yang perlu dijaga oleh setiap perempuan walaupun berstatus ibu angkat dan anak angkat.


Sebelum Nur Iman menaiki bas menuju ke utara, Nur Iman bertanya, "boleh salam ummi?" Ummi terangkan pada dia, tak boleh. Ummi dengan dia bukan mahram. Ummi hanya izinkan anak-anak angkat lelaki  cium ummi, bila roh dan jasad ummi telah terpisah. Ciumlah pipi ummi selepas dikafan dan sebelum dikebumikan. Wuduk mayat tidak batal, walaupun di sentuh oleh bukan mahram.


Doa dan harapan ummi,semoga Nur Iman dapat belajar ilmu agama islam dengan konsisten dan terarah secara sistematik dan dibimbing oleh mereka yang ahli dalam bidang bimbingan saudara baru. Ummi tetap sebahagian dari keluarganya yang baru. Tambahan bapa Nur Iman telah beberapa kali menelefon ummi, dan menyerahkan Nur Iman kepada ummi sekeluarga. Bapanya berharap hidup mati Nur Iman bersama keluarga ummi. Namun Nur Iman tetap berdoa, suatu hari nanti mak ayahnya diberikan hidayah dan dia boleh kembali semula kepangkuan mereka.


Begitulah kisah pembuka lembaran tahun baru 2011 dalam keluarga ummi. Keluarga kami bertambah besar dengan hadirnya Nur Iman.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



No comments:

Post a Comment