Saturday, 19 February 2011

Disangka Musibah, Rupanya Rezeki

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.




Selalu kita silap dalam menilai. Selalu kita bersangka begini, rupanya jadi begini. Kita sebenarnya tak tahu apa yang Allah rancangkan untuk kita, maka janganlah cepat merungut dan berkeluh kesah atas ujian yang datang.


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216


Contohnya, rumah terbakar disangka akan mengalami kerugian beribu ringit apabila semua harta musnah dan yang tinggal cuma sehelai sepinggang. Tapi apa yang Allah berikan selepas itu?


Masih teringat ummi, suatu ketika dulu, tahun 1987, rumah abah terbakar di kampung. Rumah papan 2 tingkat. Ketika itu musim menuai padi,angin bertiup kencang jadi sekejap sahaja api marak menyala, memakan kayu-kayu dan papan yang sudah usang. Rumah itu adalah rumah pusaka yang telah uzur. Kayu-kayu telah dimakan anai-anai.


Dalam masa tidak sampai 1 jam, habis musnah rumah itu. Kaca-kaca pada daun tingkap melelah cair kerana suhu yang tinggi. Oleh kerana rumah pusaka itu jauh di dalam kampung, jalan raya pun tak ada, yang ada cuma jalan tanah merah yang becak bila hujan turun. Kereta bomba ambil masa hampir 2 jam baru dapat sampai ke tempat kebakaran.


Bomba datang sekadar memadamkan bara-bara api dari tunggul-tunggul tiang kayu cengal. Dengan masalah tak ada paip bomba, yang ada cuma air dari parit sahaja. Tapi air parit pun kering ketika itu kerana musim menuai. Penduduk kampung ketika itu menggunakan air parit sahaja untuk mandi dan air hujan untuk bekalan minuman.


Kebakaran berlaku waktu petang sekitar jam 5.00, orang ramai datang berpusu-pusu dari berbagai kampung, jauh dan dekat. Menjelang malam masih ramai yang datang apabila mendengar musibah yang menimpa abah sekeluarga. Malangnya sesiapa yang datang waktu malam tak dapat melihat apa-apa kerana elektrik masih belum ada di kampung ummi. Tahun 1987, bukan lah lama sangat pun,  sekitar 23 tahun lalu, tapi masih belum ada kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan eletrik dan air paip.


Sedangkan kampung-kampung lain dah lama menikmati kemudahan itu. Kampung ummi seseolah tercicir dari pembangunan, padahal bukannya jauh di pendalaman.


Namun dengan musibah yang menimpa keluarga ummi, telah mendapat liputan media. Tak sampai 3 bulan sudah ada tiang eletrik dihantar. Sudah mula batu kerikil ditabur ke atas laluan tanah merah. Batang-batang paip mula di tanam dalam tanah.


Tahun 1988, Jalan tanah merah yang selalu becak bila hujan sudah berturap, lampu dah gunakan elektrik dan air sudah keluar dari paip.


Rumah abah yang terbakar juga dapat didirikan semula dari batu bata hasil dari sumbangan orang ramai. Tanaman padi menjadi dan menghasilkan pendapat lumayan untuk membolehkan rumah batu setingkat di bina.


Sebelum ni arwah mak sering uzur, tak berdaya untuk turun naik tangga rumah kayu 2 tingkat. Jadi abah bina rumah ini setingkat sahaja, supaya tidak menyusahkan mak yang uzur ketika itu. Dan bila bina rumah baru,bilik air juga dapat dapat dibina dalam rumah beserta tandas duduk kerana keuzuran arwah mak untuk duduk mencangkuk di bilik air. Arwah mak sakit sendi yang kronik disebab penyakit psirosis yang dihidapinya bertahun-tahun sehingga meninggal dunia.


Itulah hikmah musibah yang menimpa kepada keluarga ummi. Disangka musibah itu adalah bala tetapi merupakan rezeki,bukan sahaja kepada keluarga ummi tetapi seluruh penduduk di kampung juga.


"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200


Maka bila kita ditimpa sesuatu petaka atau musibah jangan cepat merungut dan berkeluh kesah,mesti ada kebaikan dan hikmat Allah disebalik kejadian. Segala itu merupakan ujian Allah untuk melihat sejauh mana keimanan kita terhadapNYA.


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Oleh itu, bersabarlah apabila diuji dan redha dengan ujian yang tiba. Bersyukur di atas segala nikmat dari NYA.


Satu keajaiban yang terjadi ketika kebakaran rumah abah ialah, semua benda musnah lebur jadi debu kecuali  mushaf Al-Quran. Elok terletak atas tunggul-tunggul kayu yang terbakar.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




3 comments:

  1. Jadi kita kina bersangka baik pada Allah kan ummi? Allah maha mengetahui yang terbaik untuk kita.besar hikmahnya tu..

    ReplyDelete
  2. Ya, kita memang sentiasa perlu bersangka baik bukan sahaja dengan msnusia ttetapi dengan Allah juga.

    Dengan Allah,Allah berada di dalam apa yang kita sangkakan.

    Jika kita sangka Allah adil,maka adillah Allah terhadap kita.

    ReplyDelete
  3. Iffah masih ingat ummi pernah bagitahu iffah masa mula-mula kenal dulu..."Allah itu dalam sangkaan kita"...

    ReplyDelete