بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Serangkai kasih dalam limpahan budi,
menguntum segar dalam kenangan.
Hari ini berulang lagi tarikh 4 Februari. Kalau tahun lepas, 4 Februari jatuh pada hari Khamis, tahun ini, 4 Februari jatuh pada hari Jumaat.
Rupanya genap setahun hari ini ummi menjalani pembedahan. Alhamdullilah, kaki ini telah sihat dan mampu untuk melakukan pergerakan. Walaupun terhad pergerakknnya, tetap disyukuri kerana tidak perlu sekarang ini menggunakan kerusi roda. Kerusi roda? (terkenang saat ini, dimana sebelah lagi tayar kerusi roda tu?)
Setahun lalu, ummi sambut hari kelahiran tarikh 4 Februari di dalam Dewan Bedah. Hari itu, yang ummi ingat hanyalah kesakitan disuntik epidural di bahagian tulang belakang. Amat sakit tusukan jarum yang halus itu. Meleleh air mata kerana sakitnya tusukan jarum itu betul-betul di celah - celah antara tulang belakang agar cecair bius memasuki spinal.Kaedah pembiusan setempat memerlukan sejenis ubat yang dikenali sebagai "Local Anaesthetic".
Selama dalam dewan Bedah, semasa pembedahan, ummi berada di dalam keadaan sedar, boleh bercakap, mendengar dan boleh melihat sendiri bagaimana pembedahan dijalankan tanpa berasa sakit. Namun, pembedahan kali ini, ada hijab yang menghalang pandangan mata ummi dari melihat procedur pembedahan.
Jadi mata ummi hanya terkebil-kebil memandang ke langit-langit dewan pembedahan. Fikiran menerawang berfikir, bermunajat dan bermonolog. Kiranya makin panjang usia, makin banyak pengalaman ditimba sehingga ada ketikanya menyambut hari lahir di dewan pembedahan.
Namun ummi tidak sia-siakan waktu itu, waktu mustajab doa. Ummi masuk dewan bedah dari pukul 11.05 pagi dan keluar dari dewan bedah pada pukul 4.15 petang. Tidak ada apa dalam ingatan ummi ketika itu melainkan berdoa mohon Allah merahmati anak-anak, anak angkat dan keluarga ummi.
Meleleh airmata saat terkenang anak-anak dan anak angkat yang masih bergantung harap kepada ummi. Terkenang akan saat-saat akhir anak angkat ummi masih berhubung melalui yahoo mesengger dengan ummi. Anak-anak masih sempat menelefon memberikan kata semangat pada ummi.
Hari ini, hari 4 Februari jatuh pada hari Jumaat. Ummi berada di rumah bersama anak-anak, menantu yang kebetulan cuti tahun baru cina. Dengan masakan ringkas, ikan keli bakar air asam, sayur campur, sambal belacan dan ulam kacang kelisa dan ayam sambal. Itu saja hidangan untuk anak-anak sempena hari lahir ummi. Anak-anak dapat menjamah makan masakan air tangan ummi.
Malamnya baru zauj ajak semuanya keluar makan di warung. Zauj belanja makan sekali sekala di luar. Makan di luar bukan menjadi kebiasaan ummi sekeluarga kecuali pada hari-hari tertentu sahaja.
Dalam ramai-ramai, ada anak yang hadiahkan ummi sesuatu yang tetap menjadi nostalgia sepanjang hayat. Nazihah dan suaminya menghadiahkan ummi 18 paket garam. 18 sempena usia Nazihah, dan katanya "kasih umpama garam".
Ummi, kasih sayang kami terhadap ummi ayah tidak dapat dinilai dengan banyaknya harta, tidak dapat diukur dengan apa pun jua. Namun, jika perlu dinyatakan jua banyaknya, kasih sayang kami pada ummi ayah, diumpamakan seperti garam dalam masakan ...
Apakah nilai garam kepada manusia. Apalah ertinya lauk atau makanan tanpa garam. Semahal manapun lauk atau makanan itu, jika tanpa garam yang murah, tidak akan dijamah orang. Begitulah kasih sayang kepada ummi ayah. Seperti garam dalam makanan. Tidak pernah tiada. Jika tiada, tawarlah jawabnya.Bagaimana lengkapnya rempah-rempah di dalam masakan, tanpa garam sama sekali hilang ke enakkan makanan itu.
Awas jangan berlebihan pulak letak garam tu...terlebih masin, tak ada sesiapa yang mahu menyentuhnya kecuali ikan kering,udang kering dan sotong kering.
Dan ummi tukar pula ayat kasih umpama garam kepada cemburu umpama garam di dalam kehidupan berumah tangga. JIka sedikit, ia menambah keenakkan dalam makanan, namun jika diletakkan berlebih-lebihan, makanan jadi tidak enak dan akan mengakibatkan kemudaratan di dalam tubuh badan manusia . Maka berawas semasa meletakkan garam di dalam makanan.
Begitulah sedikit catatan peringatan sempenan hari lahir ummi ke 46 tahun. Ummi dilahirkan di negri Perak, didaftarkan di Balai Polis Simpang 5, dengan nama yang unik, Muna Liza.
Mendapat pendidikan bermula di Tadika Batu 8, Sekolah Kebangsaan Jalan Bahru, Sekolah Menengah Seri Perak, Sekolah Menengah Perempuan St.George dan akhirnya di UTM, Jalan Gurney,Kuala Lumpur.
Bernikah ketika berusia 19 tahun dan kini telah mempunai 10 orang anak kandung,25 orang anak angkat, mempunyai 8 orang cucu. Semoga kehidupan ini terus dirahmati Allah di dunia dan akhirat terutama disaat kematianku.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
happy birthday ummi...:)
ReplyDeletesemoga ummi diberkati Allah swt.
Terima kasih Amy. Semoga kita semua hidup dan mati di dalam rahmat dan kasih sayangNYA.
ReplyDelete