بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.” (HR Ibnu Majah (no: 1597)
Berbaur rasa bergumpal dalam dada ini. Sedih, sayu, syukur pada apa jua yang dilalui hingga saat ini. Namun di penjuru mata sudah bertakung sejumlah air mata yang menunggu saat empangan pecah agar dapat mengalir laju.
Segagah mana pun insan, akan ada saat jiwanya rapuh dan lemah. Seperti iman, ada saat tinggi ada saat rendah. Ditambah keadaan diri yang letih ,cepat penat,emosi juga dalam keaadan mudah terguris.
Rentetan dari jari yang sakit, walaupun hanya sebatang jari manis, telah menyebabkan kotak fikiran tidak dapat berfikir dengan sebaiknya. Minda tidak dapat menjana produktivi dengan berkualiti.
Jam 8.20 pagi, sebaik siap menyidai pakaian, mengemas rumah seadanya, terus ummi pergi ke Pusat Kesihatan UTM. Bertemu doktor yang merawat ummi pada hari Isnin lalu untuk menunjukkan jari yang tidak ada progress pulihnya. Doktor membuat surat rujukkan ke HSAJB, Pakar Ortho.
Oleh kerana kesukaran untuk mengubah gear, menarik brek tangan, ummi tidak berani memandu jauh hingga ke hospital di Johor Bharu. Ummi letakkan kereta di Stesen Petrol Petronas, depan Jusco dan naik bas ke Johor Bahru. Tambang bas ke Johor Bahru dari Jusco Taman Universiti cuma RM 3.20. Lama sungguh ummi tidak naik bas.
Naik bas,dengan aircond yang nyaman buat ummi terlena. Mujur ummi berpesan pada penumpang sebelah, minta dikejutkan jika telah tiba di Hospital Sultanah Aminah. Kebetulan dia pun mahu ke tempat yang sama dengan ummi.
Memang lena ummi tidor sehingga bas sudah berhenti, baru ummi terjaga dikejutkan oleh penumpang sebelah yang telah pun berdiri untuk turun. Bergegas ummi bangun untuk turun. Rupa cuma 30 minit saja masa perjalanan. Dan 2o minit ummi tidor dengan lena.
Turun bas,terus berjalan menuju ke Jabatan orthopedik. Bawa surat rujukan dan bersama gambar x-ray. Tapi bukan mudah untuk bertemu pakar. Walaupun kita dah tiba depan pintu, kalau tidak ada temu janji, pasti mereka tak ingin bertemu apatah lagi merawat. Ummi cuma boleh buat tarikh temu janji saja.
Walaupun ummi nampak doktor itu, ketika menjenguk ke dalam bilik tidak ada pesakit, mereka tidak akan mahu bertemu walaupun sedetik. Ntah la...itu peraturan yang telah dibuat oleh manusia.
Dalam hati ku, berdoa jangan ada sifat ini di dalam keturunan ku. Biarlah kita mudahkan urusan orang lain, agar Allah akan mempermudahkan urusan kita.
Namun ummi tidak ada rasa kesal atau kecik hati, kerana memikirkan betapa kebaikkan dia selama ini terhadap ummi. Merawat kaki ummi sehingga ummi mampu berjalan semula.
Lagipun dalam hidup ini kita mesti mengingati kebaikkan orang pada kita dan melupakan kebaikan kita pada orang. Kita mesti melupakan kejahatan orang pada kita dan mengingati kejahatan kita pada orang. Dengan itu, tidak ada rasa sakit hati atau dendam pada sesiapa. Kita akan jadi manusia pemaaf.
Dengan menjadi manusia pemaaf, kita Mudah untuk memaafkan orang dan mudah memohon maaf jika sedar ada salah faham dan silap dengan sesiapa sahaja. Tidak akan terasa sakit hati atau kecik hati pada apa juga kejadian yang berlaku di dalam hidup dan kehidupan ini. Hati kita pun akan sentiasa rasa tenang.
Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi kematian yang datang tanpa diundang. Tiada siapa tahu bilakah saat ajalnya berakhir. Maka selalulah memaafkan sesiapa sahaja, dan selalulah memohon maaf agar bicara kita ketika dipengadilan nanti tidak terlalu lama.
Sekian entri kali ini, berusaha juga melakar minda walaupun terpaksa menaip dengan 2 jari sahaja. 6 April, baru ada temu janji dengan doktor pakar akan masalah jari ummi yang begini. Pelik tapi benar,kenapa sebatang jari ini tidak boleh diluruskan dan tiada deria rasa. Bila usaha dengan paksa diluruskan, sakitnya hingga ke pangkal bahu. Ummi rasa seperti jari ni kudung. MasyaAllah, aku bersyukur dengan kurniaan MU ini ya Allah.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment