بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.
Badan yang masih belum mempunyai tenaga yang cukup untuk menulis, dengan minda yang masih belum bersedia untuk mencerna akal,tak dapat lagi menulis apa-apa hasil dan kisah gathering Himpunan Halaqian Halaqah ke 4 yang baru berlangsung pada 13 dan 14 Mac lalu di Kuala Terengganu.
Belum cukup mantap untuk menulis sesuatu yang boleh dikongsikan bersama .
Sekadar kisah teladan ini disajikan untuk mengembalikan kerinduaan kepada ulama' silam yang hidup dalam ketaqwaan kepada Allah Ta'ala. Kisah yang menyuntik rohani agar lebih tekun mentelaah dan berkhalwat dengan Yang Maha Kuasa.
Ikutilah kisahnya...
Pada suatu hari Imam Syafie rhm datang menziarahi Imam Ahmad bin Hambal. Apabila selesai makan malam bersama, Imam Syafie masuk ke bilik tidur yang telah disediakan untuknya dan segera berbaring sehingga terbit fajar.
Anak perempuan Imam Ahmad yang sentiasa memerhatikan Imam Syafie sejak dari awal lagi bertanya kepada ayahnya dengan nada menegur, “Ayah selalu memuji dan mengatakan Imam Syafie itu seorang ulama yang sangat alim. Sebaliknya apa yang saya perhatikan banyak perkara tidak mengambarkan ianya seorang yang benar-benar alim.
Imam Ahmad amat terkejut mendengar perkataan anak permpuannya, lalu ianya bertanya, “Ia seorang alim wahai anakku, mengapa kamu berkata demikian?”
Anak perempuannya menjawab,” Aku perhatikan ada tiga perkara menyebabkan kekurangannya, wahai ayah. Pertama, pada waktu dihidangkan makanan, ia memakannya dengan lahap sekali. Kedua, sejak masuk ke bilik tidurnya, ia tidak Solat Malam sebaliknya hanya keluar setelah masuk waktu Subuh. Ketiga, Ia Solat Subuh tanpa berwudhuk.”
Imam Ahmad bin Hambal memikirkan semua perkataan anaknya itu dan akhirnya supaya jelas persoalan anaknya itu, ianya menyampaikan semua alasan anak perempuannya itu kepada Imam Syafie. Bila mendengar semua itu, Imam Syafie tersenyum lalu ia berkata, “ Wahai Ahmad! sebabnya aku makan dengan lahap dan banyaknya di rumah kamu kerana aku tahu bahawa makanan di rumah kamu jelas halal dan baik. Aku tidak ragu dengan makanan itu sedikit pun, atas sebab itulah aku makan dengan lahap. Lagi pun aku amat memahami bahawa engkau seorang yang sangat pemurah. Makanan orang yang pemurah itu ubat dan makanan orang yang kedekut itu penyakit. Aku makan semalam bukan kerana untuk kenyang tetapi semata-mata untuk berubat dengan makananmu itu.”
Perkara kedua yang menyebabkan aku tidak solat malam kerana ketika aku meletakkan kepalaku di atas bantal untuk tidur, tiba-tiba seolah-olah aku melihat di hadapanku Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW dan dengan izin Allah malam itu, aku dapat menyusun 72 masaalah feqah Islam sehingga aku tidak sempat solat malam.
Perkara ketiga yang menyebabkan aku tidak berwudhuk ketika solat Subuh kerana aku Walahhi ! . . . . pada malam itu aku tidak dapat tidur sekelip pun, sehingga aku Solat Suboh dengan wudhuk Solat Insya’.”
Demikianlah betapa taqwanya orang soleh yang beramal dengan ilmu. Mereka yang begitu patut diteladani agar hari ini kita bertambah baik dari semalam.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment