Thursday, 5 May 2011

Berhati-hati Dengan Lafaz Zihar

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Maha suci Allah,
Sepenuh timbangan,
Sejauh ilmu,
Sebanyak keredhaan,
Setinggi Arasy,
Tidak ada tempat berlepas dan bersandar,
hanya kepada Allah yang Maha suci,
Allah Yang Tunggal dan tiada yang sejodoh denganNya,
Yang kuasa hanya Engkau Yang Maha Tinggi dan Maha Besar,
Cukuplah Engkau tempat ku berpegang,
Engkau sebaik-baik tempat ku berpegang
dan tempat ku meminta pertolongan.



Syukur ke hadirat Allah Ta'al yang memberikan limpah kurnia NYA kepada kita semua. Semalam ummi tuliskan Amiratun Nazihah telah pergi ke hospital pada jam 2.30 pagi kerana mengalami tanda-tanda untuk melahirkan anak.


ALhamdullilah, Amiratun Nazihah selamat melahirkan anak pada jam 11.30 pagi pada 4 Mei 2011 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1432 H di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Jadi anak negeri Selangor. Mak lhair di Johor, ayah lahir di Perak.


Bertambah seorang lagi ahli keluarga Othman. Tahun lepas bertambah 3 orang, perkahwinan 3 orang anak, membawa 3 orang menantu. Tahun ini, sehingga dipertengahan tahun telah bertambah 2 orang cucu. Semoga keluarga ini telus mendapat hidayah, inayah, rahmat dan kurnia dari Allah hingga akhir hayat di dunia dan akhirat.


Dengan kelahiran cucu perempuan ini, ada perkara yang ingin ummi ingatkan kepada semua pihak. Memang anak-anak yang dilahirkan sedikit sebanyak akan mengambil iras wajah ibu ayah, datok atau neneknya. Jika seorang anak perempuan, ayah anak itu perlu berhati-hati dalam mengungkapkan kata-katanya. Takut sangat berlaku kesilapan atau kesalahan tanpa sedar. Terzihar isteri tanpa niat kerana tidak tahu.



Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan mahram suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman (Surah Al-Mujadalah : ayat 2)yang maksudnya:


"Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun"


"Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri."



Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun:

1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang sudah tertalak tetapi masih dalam talak raji iaitu isteri yang masih di dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (mahram suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.


Siapa mahram suami? Sila rujuk di sini : Mahram Suami


Di sini biarlah saya jelaskan mengenai lafaz zihar terlebih dahulu kerana berapa ramai manusia yang menanggung dosa zihar berkaitan dengan kecuaian ketika melafazkan kata-kata kepada isteri.

Adapun lafaz yang membawa kepada zihar ke atas isteri, amat mudah berlaku. Selalunya di awal perkahwinan suami suka menatap wajah isteinya, maklumlah baru berkenalan. Ketika itu semuanya dipandang indah. Tanpa disedari terkeluarlah kata-kata, Muka Ayang ni saling tak tumpah macam muka ibu abang. Isteri yang jahil tersenyum bangga menerima pujian suami.

Kadang-kadang tu, bila saja anak perempuannya lahir tak habis-habislah orang memuji kecantikannya. Hati ibu mana tidak gembira bila anak dipuji demikian.

Untuk lebih menyakinkan lagi isteri pun sibuklah bertanya kepada suaminya, Bang, bang, betulkah rupa saya ni macam rupa anak kita? "Ya", Jawab suami ringkas. Sepatah perkataan, "Ya" sudah cukup menjatuhkan hukum zihar ke atas isteri kerana suami telah menyerupakan isteri dengan anak kandungnya.


Begitu juga perumpamaan antara isteri dan ibu atau muhram suami, sedarkah kita bahawa dengan kata-kata pujian ini boleh menyebabkan dosa besar terhadap suami kerana telah menyamakan wajah isteri dengan wajah ibu atau muhramnya.

Punca berlakunya itu kadangkala bermula dari kesalahan isteri sendiri. Mulut terlalu peramah tanya itu ini sehinggalah tidak disedari terlafaznya kata-kata zihar dari suami.

Katakanlah, seorang anak perempuan yang baru lahir ada saja mewarisi baka ibu dan ayah atau datuk neneknya.

Boleh jadi bibirnya serupa dengan bibir ibunya atau mukanya seiras dengan muka ibunya. Akibat dari itu kadang-kadang bila seorang suami melihat isterinya tercetuslah di hatinya kata-kata: hidung isteri aku ini macam hidung anaknya.


Belum jatuh zihar kalau baru terdetik di hati kerana syarat zihar itu dengan berlafaz. Jadi sebagai suami kenalah berhati-hati bila melihat tubuh isteri. Sekiranya ada yang serupa dengan ibunya atau ibu saudaranya atau dengan anak perempuannya mahupun lain-lain muhram suami, jangan sekali-kali dilafazkan dengan mulut.

Kalau hati membenarkannya biarkan ia tersimpan di hati. Kalau dilafazkan maka akan berlakulah zihar ke atas isterinya dan lafaz yang seperti ini adalah lafaz yang nyata.

Erti zihar itu ialah kata-kata yang menyerupakan seluruh anggota badan isterinya dengan anggota badan orang-orang yang muhram suami, seperti mulut, mata, kepala, hidung, telinga, bibir, muka, tangan, perut, pusat, kaki dan sebagainya.

Anggota-anggota yang menjadi perhiasan seperti rambut, bulu ketiak dan sebagainya termasuk anggota batin seperti jantung, hati, akal, air mata, air liur, peluh dan sebagainya, kalau disebut, ia tidak termasuk dalam lafaz zihar.


Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan, satu dosa dan kemungkaran.

Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu, ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak kita sedari, masuk nerakalah kita.

Suami yang telah menziharkan isteri itu di samping melakukan dosa dan kemungkaran, suami adalah dilarang oleh Allah swt mencampuri gauli isterinya. Kalau sekiranya suami tidak menyedari tentang telah berlakunya zihar, suami pun menggauli atau mensetubuhi isterinya, suami telah melakukan satu perbuatan dosa kerana melanggar larangan Allah swt. Inilah yang
dikatakan dosa yang bersambung-sambung.


Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu. Firman Allah swt dalam surah Al-Mujadalah : ayat 3,4 yang bermaksud:


"orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berkata lagi:


"Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur. Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum Allah dan orang-orang kafir ada baginya siksaan-sikaaan yang amat pedih."


Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.

Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.

Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansuh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua.

Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.

Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa, dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya. Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.

Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga.

Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.


Nanti ada pula orang yang akan berkata, kalau hukuman sudah terlalu berat hingga tidak dapat hendak dilaksanakan, maka lebih baiklah ceraikan saja isteri itu. Allah amat murka kalau suami menceraikan isterinya sebagai mengambil jalan singkat untuk menggantikan hukuman denda yang mesti dibayar itu.

Allah sekali-kali tidak membenarkan demikian, kerana penceraian yang Allah galakkan atau yang Allah redhakan ialah perceraian yang wajib atau sunat, seperti dalam bab perceraian yang akan saya huraikan sedikit masa lagi dan akan dimuatkan ke dalam ruangan ini nanti. Sudahlah dosa pertama tidak ditebus ditambah pula dengan dosa menceraikan isteri.

Tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.

Hukum zihar tidak akan berlaku, sekiranya isteri yang menziharkan suami. Misalnya, isteri yang melafazkan, muka abang macam muka ibu atau lain-lain lafaz yang menyerupakan suami dengan lain-lain yang menjadi muhramnya.

Akhir kata dari saya di dalam kita membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami atau muhram suami. Bimbang kalau suami terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukuman zihar. kadang-kadang kerana kelancaran mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.


Untuk lebih jelas , boleh di rujuk di sini : Hukum Zihar Bukan Soal Remeh


Kenapa ummi bangkitkan isu ini hari ini? Ini kerana ummi sendiri melihat anak yang dilahirkan oleh Amiratun Nazihah, persis seperti ketika Amiratun Nazihah ketika bayi. Ummi amat takut sekiranya suaminya mengiakan  bila dia melihat wajah anaknya itu. dan secara tak sengaja berkata wajah anak mereka sangat serupa wajah isterinya. Memang pun wajah puteri mereka persis wajah Amiratun Nazihah, ibu bayi itu.


Entri ini adalah peringatan untuk semua.Ramai orang yang tidak tahu hal ini,maka kewajiban ummi untuk menyampaikan dan memperingatkan. Semoga kita terhindar dosa-dosa yang tidak disedari dan disengajakan.









Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday, 4 May 2011

Bila Rindu Makin Membukit



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Hari ini, mak ayah Ali Abdul Jabbar pergi menduduki peperiksaan akhir. Rutin ummi, selepas solat subuh, jerang air yang mengandungi daun-daun herba untuk dijadikan mandian orang lepas bersalin. Masak beras untuk diberikan kepada perempuan lepas bersalin makan nasi panas di pagi hari. Tujuannya supaya angin tidak masuk dalam badan.


Selepas angah dan isterinya pergi, tinggallah ummi berdua saja. Jam 2.45 pagi subuh tadi, Nazihah mengadu sakit dan ada tanda-tanda untuk bersalin. Selesai solat, mereka (Nazihah dan suaminya) terus bergerak pergi ke Hospital Klang.


Setakat ini, belum ada khabar berita lagi tentang Nazihah. Ummi di rumah hanya menunggu khabar saja.


Bila Ali terjaga dari tidornya, ummi terus susukan dahulu sementara menunggu air masak. Lepas menyusukan Ali, barulah mandikan Ali dengan air suam. Suka benar Ali mandi. Langsung tak ada bunyi apa-apa. Memang Ali suka air. Sekejab nanti lepas mandi, perutnya sudah kenyang, pasti Ali tidor lagi.



Ini lah masanya opah sempat untuk menulis. Letak Ali di riba, opah menaip,menekan papan kekunci. Sebab itu opah tak pernah rasa sunyi berseorangan diri.

Lena Ali pangkuan opahnya.


Tak ada perkara yang serabut untuk difikirkan, tak ada ruang untuk rasa kesunyian. Ada saja perkara mahu dibuat dan ditulis. Agaknya makin usia meningkat makin banyak perkara yang dilupakan.



Cuma satu yang tak pernah Ummi lupa, berdoa. Ummi sentiasa ingat pada anak-anak, terutama 'my beloved son' yang jauh di mata, dekat di hati. Biar pun terasa lama tidak berhubung tetapi kasih sayang pada dia subur segar di hati.


Ummi bukan jenis suka mendesak, walaupun rindu, tetapi dibiarkan masa menawarkan rindu itu. Mak mana tidak rindu pada anaknya, tambahan anak yang duduk istimewa dan indah di dalam hatinya. Moga Allah akan memberikan masa dan peluang untuk bertemu juga suatu hari nanti. Maknya faham perasaan, situasi dan emosi anaknya. Maka dibiarkan saja rindu itu membukit dikalbu.

Semoga Allah sentiasa memelihara iman kami dan merahmati kami semua  di dunia  dan akhirat.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





Tuesday, 3 May 2011

Arabic Food


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات


Setelah sekian lama tinggal di Setia Alam, hari ini baru ummi berkesempatan keluar rumah untuk membayar beberapa bil di bank. Itu pun keluar membayar kerana staf bank yang rajin-rajin belaka menuntut penjelasan beberapa hutang pembiayaan yang sepatutnya ummi jelaskan sebelum 30 haribulan pada setiap bulan.


Memang ummi amat malas untuk keluar kemana-mana. Faktor utama ialah kena turun tangga dan baliknya nanti kena daki tangga pula untuk sampai ke rumah.


Faktor lain,zauj tak ada, hati tak ceria dan gembira untuk kemana-mana seorang diri walaupun kereta kesayangan ummi, ford linx ada dan keizinan zauj memang diperolehi.


Hari ini terpaksa keluar juga, mujur Nazihah yang  sarat hamil  telah balik awal dari Klinik Ibu Hamil masih larat untuk turun tangga  untuk  menemankan ummi.


Shah Alam bukan tempat kebiasaaan ummi. Kalau sendirian mungkin saja ummi sesat, tambahan jalan di sini kebanyakkan sehala. Sampai di Seksyen 9 Shah ALam, ummi mencari-cari lokasi Bank Rakyat. Sambil memandu, memandang kiri kanan melihat-lihat kedudukan bank. Tiba-tiba ternampak satu papan tanda besar "Arabic Food". Terdetik di hati ingin singgah selepas selesai urusan bank.


Hampir satu jam di Bank Rakyat, jam menunjukkan hampir pukul 1.00 tengah hari. Sedang molek lah untuk ummi cari semula bangunan yang bertulis "Arabic Food" tadi tu. Nak tengok apa makanan yang dihidangkan di situ. Terkenang ummi saat bersama zauj ketika di Arab Saudi.


Seperti orang berbulan madu, semasa di Arab Saudi, untuk mengerjakan haji, kami sentiasa jalan berdua-duaan kemana sahaja. Tambahan ketika di sana, orang ramai dan sesak, bila berjalan dengan zauj sentiasa berpegangan tangan atau berkepit. Langsung tidak boleh berenggang atau berjauhan.


Walaupun makanan di sediakan oleh pihak pengurusan Tabung Haji,  kami masih mencari makanan di restoren-restoren Arab dan Turki. Zauj nak bagi ummi merasai makanan arab yang dia selalu makan ketika dia belajar di Mesir dahulu. Selepas tamat belajar, zauj sempat mengembara ke beberapa negara Arab hingga ke Turki.


Seronoknya ummi ketika itu, tidak dapat digambarkan. Hingga sekali lagi Allah jemput ummi dan zauj dan berpeluang pergi sekali lagi ke Arab Saudi . Puas kami berbulan madu berdua-duaan. Sama-sama mendaki Jabal Rahmah. Melihat tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa. Itulah anugerah kasih sayang dan cinta yang Allah letakkan di dalam hati kami. Bersaing untuk mencari redha Allah. Sama-sama melangkah untuk ke menuju Allah bersama keluarga.

Suasana dalam restoren 'Arabic Food'

 



Eh...jauh pulak bercerita.  Nostalgia terimbau bila lihat papan tanda "Arabic Food".


Yang ummi nak ceritakan ialah,selepas selesai urusan di Bank Rakyat, ummi dengan Nazihah yang sarat hamil pergi ke restoren Arabic Food tu. Nak lihat jenis makanan dan suasana dalam restoren tu.




Semangkuk Zaitun hijau


Pergi tengah hari, penuh juga dengan pelanggan. Ada berbagai menu makanan dari Timur Tengah. Ummi teringat nasi arab dengan ayam panggang. Nazihah order kambing bakar. Selain nasi arab, ummi order juga buah zaitun dan arabian coctail. Buah zaitun memang kegemaran ummi  sekeluarga.Semua anak beranak pandai makan buah ini. Buah ini memang mahal,  tetapi kerana enak dan lazat, beli juga.



15 minit menunggu, hidangan sampai. Makan berdua saja. Betul-betul nostalgia, kenangan masa di Arab Saudi terimbas kembali. Berdua menikmati hidangan yang mahal. Heehehe... nak tahu harga sepinggan nasi Arab tu, RM 25.00 , arabian coctail segelas RM 12.00, sepinggan kebab RM 20.00 dan semangkuk buah zaitun RM 6.00. Dah masuk restoren tu,tak kan nak keluar lagi. Lagi pun ummi bawa orang sarat hamil... kena duduk dan order juga makanan walaupun mahal.




Kambing panggang



Itulah kenangan bersama Nazihah, menikmati makanan arab di restoren Arab. Cuma sayangnya pekerja restoren itu kebanyakkannya orang luar, orang Myanmar selain orang arab, agaknya kaum kerabat pemilik restoren.


Moga-moga suatu hari nanti, nak ajak zauj pergi berdua makan di restoren ni...






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 1 May 2011

Mati itu Pasti


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



1 Mei, Ahad, ketika semua orang sedang bersantai-santai cuti hujung minggu,   selepas solat subuh, sedang ummi duduk mengadap laptop, telefon berbunyi. Panggilan dari zauj mengkhabarkan ibu saudara sepupu sebelah mak zauj meninggal dunia di Tanjong Karang,Selangor.


Oleh kerana ummi berada di Setia Alam, zauj minta ummi pergi berziarah ke sana. Ummi ajak Nazihah dan suaminya pergi. Nak ajak angah, angah perlu berada di rumah untuk menguruskan isteri yang baru bersalin dan bayinya.


Seawal pukul 7.30 pagi, kami mula bergerak menuju ke Tanjong Karang. Melalui Pekan Meru, Kapar, Jeram dan Kuala Selangor sebelum tiba di Tanjong Karang. Tiba di Pekan Tanjong Karang, kami singgah dahulu di pekan pagi untuk bersarapan. Memang kami belum bersarapan apa-apa lagi sejak subuh lagi di rumah.


Rezeki kami, singgah di pekan pagi Isnin, bertemu dengan makanan tradisional jawa. Soto dan pecal. Sedapnya makan makanan yang dibuat oleh orang jawa. Pecal ni susah nak dapat, sebab menggunakan tauge ekor pendek yang dibuat sendiri.


Lepas bersarapan barulah kami meneruskan perjalanan ke Sg Sireh. Jenazah telah dimandikan dan masa kaim tiba sedang dikapan. Arwah meninggal pada petang sebelumnya kerana sesak nafas. Selamas sebelummeninggal arwah hanya tinggal berdua beranak dengan anaknya OKU, down sindrom. Suami arwah meninggal 2 tahun lalu kerana sakit tua.


Ummi bertanya pada anaknya yang down sindrom, kini berusia 28 tahun, memang kenal ummi sebab sebelum ini, ummi dan zauj serta anak-anak sering menziarahi mereka se keluarga.

"zakiah, mak kenapa?"

"mak dah meninggal, " kata Zakiah dengan loghat yang sukar difahami.

"Zakiah nak tinggal dengan sapa lepas ni? Jomikut kakak balik Johor, tinggal dengan kakak,mahu?"

"nanti pakat-pakat", kata Zakiah.

Hmm... cerdik juga dia menjawab soalan. Mungkin ada yang tolong bagitahu dia,nanti pakat-pakat dengan abang kakaknya.


Hari ni,mungkin Zakiah tak tahu makna meninggal tu, dia kelihatan gembira dan ceria sebab lihat ramai orang datang seseolah hari raya.Tambahan semua yang datang berikan duit pada dia. Esok lusa, mesti dia cari maknya.


Semua yang hidup pasti mati. Cuma tidak tahu bila masa dan ketikanya.Sama seperti melahirkan anak, tak tahu bila masa dan ketika bayi dalam kandungan akan dilahirkan. Tarikh yang doktor beri hanyalah sebagai panduan dari kajian dan tafsiran al-quran.


Begitu juga dengan jodoh dan rezeki. Semuanya adalah dalam urusan Allah, tak ada seorang manusia pun yang tahu apa yang terbaik Allah rancangkan buat hambaNYA. Sebagai hamba,kita hanya diperintah untuk taat dan mengabdikan diri kepada NYA.


Ntah esok atau lusa, kita akan menyusul pula menuju ke alam kubur. Selalunya kalau kita bermusafir, kita buat persediaan dan persiapan. Ada bekalan...


Bagaimana persiapan kita menuju kepada Allah yang perlu melalui beberapa alam. Selepas alam roh, alam rahim, alam dunia , alam kubur (alam barzakh) alam akhirat untuk bicara di Padang Mahsyar, barulah kita ditempatkan alam yang kekal abadi, samada syurga atau neraka. Selagi tidak syirik,masih beriman walaupun senipis kulit bawang, selepas menerima hukuman di neraka, akhirnya akan dibawa ke syurga juga.

Syurgalah tempat yang kekal abadi. Adakah masuk syurga kerana amal ibadah atau kerana rahmat Allah? Boleh rujuk dan baca di sini . Mengingati Mati dan Masuk Syurga Dengan Rahmat Allah?




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.