بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sebahagian manusia merasakan bahawa sesungguhnya kematian itu ialah berakhirnya sebuah kehidupan, dan terhentinya perjalanan seorang manusia, tidak ada kehidupan dan perjalanan lagi selepas itu, dan tiada juga kebangkitan. Ia bagi mereka merupakan kehancuran dan ketiadaan yang.
Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan kita, Allah juga telah mengutuskan Rasulnya, menurunkan kitab suci untuk menerangkan hakikat kehidupan dunia, kematian dan kehidupan akhirat. Allah SWT telah memberitahu manusia ia dihidupkan di dunia juga memerangkan bahawa kehidupan akhirat itulah yang hakiki dan abadi. Allah SWT telahpun menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan dunia ini adalah sebenarnya peluang untuk kita diisi dengan bekalan selepas kematian. الدنيا مزرعة اللآخرة.
Allah SWT telah memperjelaskan bahawa kehidupan dunia bukanlah alam kenikmatan, kenikmatannya terlalu sedikit dan kecil, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal. Oleh yang demikian Allah SWT mengingatkan manusia dari terus tenggelam dalam arus kehidupan yang tidak mengenal kematian. Firman Allah:
مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لا يُبْخَسُونَ، أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ إِلا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.
Maksudnya: “Sesiapa Yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang Yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa Yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa Yang mereka telah kerjakan”.
(Hud: 15-16)
Maksud Kematian
Kematian daripada perspektif Islam ialah suatu proses perpindahan daripada satu alam dari alam-alam Allah SWT ke alam Allah yang lain, iaitu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh yang merupakan tempat penantian untuk sampai ke alam akhirat. Kematian merupakan perpindahan dari alam yang sementara ke alam yang kekal abadi. Perpindahan dari alam bercucuk tanam ke alam menuai hasil yang diusahakan di dunia.
Kematian juga adalah perpindahan dari alam taklif (tanggungjawab) dan amal kepada alam ganjaran dan balasan akhirat. Sesiapa yang melaksanakan walau sebesar zarah kebaikkan akan mendapat balasannya, sesiapa yang membuat walau sebesar zarah pun kejahatan akan menerima balasannya.
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ، وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ.
Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Al-Zalzalah: 8-9)
Ibnu Qayyim berkata: “Allah menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan, iaitu alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini ada hukumnya yang tersendiri”.
Oleh yang demikian, kematian ialah apabila tiba masa untuk seseorang hamba itu berpindah dari alam dunia ke alam barzakh seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.
حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ ، لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ.
Maksudnya:
Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -”Supaya Aku mengerjakan amal-amal yang soleh Dalam perkara-perkara Yang telah Aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
(Al-Mukminun: 99-100)
Jadi kematian itu ialah perpindahan dari satu tahap kepada satu tahap yang lain, dari satu kehidupan kepada satu kehidupan yang lain. Mukmin yang yakin dan beriman memahaminya, dan mereka akan bersungguh-sungguh mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang memuatkan penjelasan supaya mereka bersedia untuk menghadapi saat tersebut dan beramal untuk kehidupan yang kekal selepas kematian tersebut.
Dalam menceritakan tentang kematian dan kehidupan selepasnya, Islam mempunyai keistimewaannya yang tersendiri berbeza dengan agama dan anutan-anutan yang lain. Islam menceritakan setiap peristiwa kematian dan alam yang selepasnya itu secara terperinci berbeza dengan agama-agama lain. Setiap satu diperjelaskan dan juga hukum setiap alam yang bakal dilalui oleh semua manusia. Muslim amat jelas tentang kehidupan akhirat sekiranya ia jelas tentang matlamat hidupnya di dunia.
Maka memikirkan tentang kematian yang dimaksudkan termasuklah kita memikirkan tentang sakit dan kesakitan, tentang peristiwa sakaratul maut dan kesusahan menghadapinya, memikirkan tentang dosa dan pahala dan amalan yang telah dilakukan, juga berfikir tentang alam kubur, kebangkitan dan hisaban amalan, titian dan timbangan, syurga dan neraka, dan pengakhiran diri manusia itu sendiri, dan lain-lain lagi.
Persepsi yang salah dikalangan ummat tentang mengingati kematian
Kebanyakkan muslim pada hari ini tidak menghiraukan tentang urusan mengingati kematian, mereka menganggapnya sebagai tidak penting bagi kehidupan mereka. Lebih parah lagi apabila lahir suanana tidak mahu lagi mempelajari tentang kematian, hakikatnya dan aspek-aspek keimanan lain yang berkaitan dengannya. Bahkan ada dikalangan ummat Islam yang berasa takut untuk membicarakannya dan mula dari apabila mendengarkannya seolah-olah pembicaraan tentangnya adalah ibarat binatang buas yang mahu menerkam dan membinasakan mereka.
Akibat daripada persepsi tersebut, sifat ketakutan dan salah faham terhadap konsep kematian maka kesannya membawa mereka kepada kejahilan dan berpandangan negatif mengenainya, ia boleh membawa sehingga mereka berusaha untuk melupakan perkataan “kematian” tersebut daripada kamus hidup mereka. Lantas mereka berasa bebas untuk melaksanakan apa sahaja di atas muka bumi ini, bebas untuk tidak melaksanakan perintah-perintah Allah, dan bebas untuk melakukan larangan-larangan Allah.
Pada hakikatnya, tidak ada seorang pun dikalangan manusia yang ragu-ragu tentang kematian, begitu juga tidak ada seorang pun dikalangan manusia yang dapat lari daripada kematian pada saat yang telah ditetapkan ajalnya. Namun begitu, kita mendapati sangat ramai dikalangan manusia yang melupakan kematian, seolah-olah kematian itu ditulis untuk orang lain, dan bukan untuk mereka. Ini kerana hati yang sudah terlalu asyik dengan dunia.
Akibat dari menjadikan dunia sebesar-sebesar tempat mereka mencurahkan perhatian, kita dapat melihat begitu ramai manusia menghabiskan setiap waktu mereka, tenaga yang ada, pemikiran mereka untuk urusan dunia, tanpa memberikan kepada akhirat mereka sesuatu yang memberikan manfaat buat mereka. Sehinggalah datang saat yang dijanjikan buat mereka. Maka terlaksanalah firman Allah SWT:
كَلا إِذَا دُكَّتِ الأرْضُ دَكًّا دَكًّا، وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا، وَجِيءَ يَوْمَئِذٍ بِجَهَنَّمَ يَوْمَئِذٍ يَتَذَكَّرُ الإنْسَانُ وَأَنَّى لَهُ الذِّكْرَى، يَقُولُ يَا لَيْتَنِي قَدَّمْتُ لِحَيَاتِي، فَيَوْمَئِذٍ لا يُعَذِّبُ عَذَابَهُ أَحَدٌ،وَلا يُوثِقُ وَثَاقَهُ أَحَدٌ .
Maksudnya: “Jangan sekali-kali bersikap demikian! (sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan Segala Yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah),Serta diperlihatkan neraka jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan Bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau Aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!” Maka pada hari itu tiada sesiapapun Yang dapat menyeksa seperti azab (yang ditimpakan oleh) Allah. Dan tiada sesiapapun Yang dapat mengikat serta membelenggu seperti ikatan dan belengguNya”.
(Al-Fajr 21-26)
Al-Marhum al-Ustaz Mustafa Masyur menyebut contoh beberapa perkara yang akan berlaku dalam kehidupan andaikata kematian tidak diingati di dalam kehidupan. Antara aspek yang disebut ialah seperti manusia akan bebas dalam memenuhi syahwatnya, merasakan kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada kebendaan, hanya menitik beratkan kesihatan badan tetapi mengabaikan hati yang sakit, mengutamakan keperluan jasad dari keperluan ruh, sikap pentingkan diri sendiri, bakhil, amat tamakkan ganjaran dunia, berlumba-lumba dalam kebendaan, bertabarruj, melakukan kezaliman dan sebagainya. Secara pendetailan nya boleh dirujuk di dalam buku beliau fiqh ad-dakwah.
Kematian Mengikut Nilaian Islam
Islam memberikan nilaian yang lain dan cukup jelas mengenai kematian. Nilaian yang diberikan oleh Islam ini lebih istimewa dari nilaian yang difikirkan oleh manusia. Ini kerana secara nilaian nafsu manusia tidak akan suka membicarakan tentang kematian, kerana ia disifatkan sebagai menakutkan, dan mengganggu kedamaian jiwa. Nafsu akan berusaha menarik manusia untuk takut kepada kematian dan suka kepada kehidupan.
Dengan bimbingan nafsu, hati manusia itu akan sentiasa tertarik kepada 2 perkara iaitu: kehidupan dan harta.
Akibat yang pasti berlaku apabila manusia tidak mahu mengingati kematian, maka Allah mencabut ketakutan dari dalam jiwa musuh-musuh Islam terhadap orang-orang Islam. Ini jelas disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya:
ينزع الله المهابة من قلوب عدوكم، ويجعل في قلوبكم الوهن، قالوا: و ما الوهن يا رسول الله؟ قال: حب الدنيا وكراهية الموت
Maksudnya: “Allah mencabut dari dalam hati musuh rasa kehebatan Islam, lalu Allah akan jadikan bagi kamu satu penyakit wahan”. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, Apakah wahan itu Ya Rasulullah? Nabi bersabda: “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian”.
Islam itu bersifat mendidik, dan manusia yang muslim tetapi tidak melalui pendidikan tidak akan dapat merasai nilai sebenar deen yang diturunkan oleh Allah SWT ini. Setiap muslim harus melalui pendidikan Islam sebenar agar nilai Islam tersebut dapat diperolehi, dirasai dan dilaksanakan. Manusia yang hatinya tidak melalui pendidikan aqidah dan keimanan, ia tidak akan suka mendengar perbicaraan tentang kematian. Sehingga boleh dikatakan orang yang dalam keadaan nazak sekalipun, yang terbujur di atas katilnya tidak akan suka mendengar tentang kematian. Ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja daripada kalangan ummat Islam.
Implikasi Mengingati Kematian Terhadap Kehidupan
Mempelajari tentang kematian dan mengetahuinya, dan sentiasa mengingatinya ialah satu kewajipan dalam Islam. Ini kerana dengan mempelajari, sentiasa mengulang-ngulangkan untuk diingati akan menjadikan seseorang muslim memuliakan dirinya sendiri, dan akan menggesa muslim membuat persiapan untuk kehidupan selepas kematiannya. Secara tidak langsung ia akan menjadikan seseorang Muslim itu memperelokkan aspek ibadah dan ketaatannya kepada Allah SWT dan membawanya untuk menyerahkan dirinya hanya kepada Allah SWT, manusia itu juga tidak akan bakhil untuk menyerahkan dirinya dan hartanya serta kehidupannya untuk disumbangkan kepada Allah. Allah SWT akan meredhainya, apabila kehidupan manusia itu dihidupkan dengan nilai akhirat.
ما دخل ذكر الموت بيتا إلا رضي أهله بما قسم الله لهم وجدوا في أمر الآخرة
Maksudnya: “Apabila mengingati kematian itu telah masuk ke dalam sesebuah rumah, ahli rumah tersebut akan redha terhadap apa yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada mereka dan mereka akan bersungguh-sungguh untuk kehidupan akhirat.”
Selain itu mengingati kematian akan membawa manusia untuk ikhlas kepada Allah SWT dalam setiap amal dan perbuatannya. Begitu juga setiap ibadah yang dilakukan yang menghubungkan ia dengan Tuhannya, dan setiap aspek muamalat yang menghubungkan dia dengan makhluk Allah yang lain. Ini secara umumnya akan menjadikan manusia menunaikan tanggungjawabnya yang benar sebagai Khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Mengingati kematian juga akan membawa manusia untuk takut kepada Allah satu-satunya agar seorang muslim itu bebas dari setiap ketakutan kepada selain Allah SWT yang mengekangnya dari menunaikan kewajipannya sebagai seorang muslim; iaitu beribadah hanya kepada Allah SWT dan melaksanakan dakwah ke jalan Allah dan tangggunjawab-tanggungjawab yang diperintahkan. Ini termasuklah menyeru kepada al-makruf dan mencegah kemungkaran. Ia tidak akan berasa ragu-ragu terhadap rezeki dan merasa dipelihara oleh Allah dan bebas untuk melaksanakan risalah Allah SWT. Dia amat menyakini bahawa Allahlah yang memberikan rezeki dan mempunyai kekuatan yang tiada tandingannya;
إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang mempunyai kekuasaan Yang tidak terhingga, lagi Yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.
(Al-Zariyat: 58)
tidak ada rezeki kecuali daripada Allah, tidak akan ada halangan rezeki yang lain kecuali Allah SWT.
وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ
Maksudnya: “Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu, dan juga terdapat apa Yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.”
(Al-Zariyat 22)
هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَفْقَهُونَ
Maksudnya: “Merekalah Yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah Yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): “Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang Yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)”. padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun Yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan Dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang Yang munafik itu tidak memahami (hakikat Yang sebenarnya).”
(Al-Munafiqun 7)
Oleh kerana itu, mukmin tidak menjadi risau dari aspek rezeki kerana ia ditangan Allah SWT, tidak akan ada penyerahan kecuali kepada Allah dan tidak akan khusyuk dan memhambakan diri kecuali untuk Allah.
Kematian bagi mukmin adalah keamanan dan bukan ketakutan, satu kemuliaan dan bukan kehinaan, satu kekuatan dan bukan kelemahan. Oleh kerana itu, Islam tidak berkehendakkan seseorang mukmin, menjadi lemah, tidak berkuasa, berputus asa apabila mengingati kematian, tetapi sebaliknya Islam berkehendakkan agar dia bersikap perkasa, merasa aman, izzah (mulia) dan kuat di dalam kehidupannya. Pada satu ketika saidina Umar r.a telah melihat seorang lelaki berjalan dengan lemah sambil menjatuh-jatuhkan kepalanya. Maka Umar berkata:
ارفع رأسك، فإن الإسلام ليس بمريض
Begitu juga ketika Saidina Umar melihat seorang lelaki telah berputus asa dengan hidupnya dan hidup seperti manusia yang sudah mati. Umar berkata:
لا تموت علينا ديننا أماتك الله
“Jangan kamu cuba mematikan ke atas kami agama kami nescaya Allah SWT akan mematikan kamu”
Manusia yang sentiasa mengingati maut juga mereka akan segera bertaubat dan beristigfar sebelum kedatangannya, kerana taubat itu tidak akan diterima ketika ajal itu telah sampai.
Fiman Allah SWT:
وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ حَتَّى إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الآنَ وَلا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ أُولَئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Maksudnya: “Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang Yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya Aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang Yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang Yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.”
(Al-Nisa: 18)
Manusia yang sentiasa mengingati kematian akan sentiasa berusaha agar hati mereka sentiasa sejahtera kepada saudara-saudara mereka beriman yang lain. Begitu juga mereka akan menyempurnakan segala hutang manusia dan hutang mereka terhadap Allah SWT. Sesungguhnya hutang terhadap Allah itulah yang lebih berhak untuk dilangsaikan. Ia juga akan membuatkan seseorang yang sentiasa mengingatinya bersegera melaksanakan kebaikkan dan tidak bersikap bertangguh-tangguh untuk melaksanakannya.
ORANG MUKMIN SENTIASA MENGINGATI MAUT
Orang mukmin berbeza pandangan mereka terhadap kematian berbanding ahli-ahli falsafah barat. Natijah daripada kefahaman yang benar tentang kematian, orang-orang mukmin sentiasa suka diperingatkan tentang kematian. Oleh kerana itu, Rasulullulah SAW telah bersabda:
أكثروا من ذكر هادم اللذات…..الموت(رواية الترميذي)
Maksudnya: “Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang menghapuskan kelazatan dunia iaitu kematian..”
Khalifah Islam Umar bin Abdul Aziz juga telah berkata:
أكثر من ذكر الموت، فإن كنت واسع العيش ضيقه عليك، إن كنت ضيق العيش وسعه عليك
“Perbanyakkanlah mengingati kematian, sekiranya kamu mempunyai kehidupan yang selesa ia akan menyempitkannya, dan sekiranya kamu mempunyai kehidupan yang sempit ia akan meluaskannya”.
Ketikamana Saidina Ali bin Abi Talib melalui satu kawasan perkuburan di Kufah, Khalifah Islam tersebut berkata:
“Salam Sejahteralah ke atas mu wahai ahli di tempat yang asing, alam yang pasti buat semua manusia, kamu semua telah mendahului kami, dan kami sedang mengikuti perjalanan kamu.. Semua nya ini akan berlaku, pasangan-pasangan akan dinikahi, harta-harta akan dibahagi, inilah kebaikkan yang selalu kami buru. Maka apakah kebaikkan yang kamu buru.” Saidina Ali radiallahu anhu berpaling kepada sahabat sahabatnya seraya berkata: “Jika mereka semua ini mampu berkata-kata, nescaya mereka akan mengatakan bahawa, sebaik-baik bekalah adalah taqwa”.
Apabila mukmin dalam kesentiasaan mengingati kematian, ia akan merealisasikan dalam kehidupan mukmin itu dua perkara:
1) sentiasa memperbaiki diri dan menolong agama Allah
2) menjadi mahaguru kepada alam
1) Sentiasa Memperbaiki Diri Dan Menolong Agama Allah
Apabila manusia tidak melarikan diri daripada mengingati kematian, mereka mempercayai bahawa ia akan berlaku pada setiap manusia, dan manusia tidak perlu lari daripadanya, akan membawa manusia kepada amalan sentiasa berusaha memperbaiki diri dan kesentiasaan hati mereka bersama Allah SWT
Mereka sentiasa memperbaiki hubungan mereka dengan Allah SWT, ikhlas dalam beribadah kepada Allah, benar dan beristiqamah di dalam muamalat mereka, dan mereka berbaiah (mengikat janji) bahawa diri mereka akan diserahkan untuk Allah dalam rangka memperbaikinya, dan menolong agama Allah SWT. Kefahaman mereka terhadap kematian akan membawa mereka kepada hakikat:
الموت في سبيل الله أسمى أمانينا
Maksudnya: “Mati di jalan Allah merupakan setinggi-tinggi cita-cita kami”.
Muslim yang mengingati Allah SWT, dan mengingati bahawa dia akan kembali semula bertemu dengan Allah SWT akan berusaha memperbaiki dirinya berasaskan kepada asas-asas yang berikut:
1. Memahami Islam dengan kefahaman yang syumul yang mempunyai pandangan yang jelas terhadap kehidupannya.
2. Ikhlas kepada Allah SWT dalam tuturkatanya, amalnya, kesungguhan dan jihadnya.
3. Beramal ke arah memperbaiki diri, membentuk keluarga muslim, menguruskan masyarakat dan negara supaya selari dengan kehendak Allah.
4. Jihad; iaitu sesuatu yang difardhukan sehingga hari Kiamat. Jihad dilaksanakan untuk memelihara Islam sama ada dengan lidah, mata pena, tangan dan kekuasaan dan kata-kata yang benar yang tidak takut kepada celaan manusia.
5. Pengorbanan; yang bermaksud seseorang muslim itu akan sanggup berkorban kerana meyakini bahawa pengorbanan yang dilakukan itu akan dituai hasilnya ketika kembali bertemu Allah SWT. Ia sanggup mengorbankan jiwanya yang disayangi, masanya yang berharga bahkan seluruh apa yang ada padanya untuk cita-cita yang tinggi, dengan penuh keyakinan dengan pahala yang disediakan oleh Allah SWT dan tidak disia-siakan.
6. Ketaatan; yang membawa kepada perlaksanaan arahan-arahan syarie sama ada diwaktu senang dan susah, dan diwaktu kuat dan lemah.
7. Tajarrud; yang membebaskan diri dari sebarang kefahaman yang bertentangan dengan keyakinan dan keimanannya, atau keberantungannya terhadap mana-mana idealogi ataupun individu.
8. Thabat; iaitu tegas dan tetap dengan keyakinan dalam pengorbanan yang dilakukan tanpa ragu-ragu kerana menyakini janji-janji Allah dan meyakini ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT.
9. Ukhuwah; iaitu yang mengikat hati-hati manusia bahawa arah tuju mereka adalah satu, dan tempat mereka kembali juga adalah satu.
10. Thiqah; iaitu ketenangan yang mendalam yang melahirkan kasih, penghormatan dan ketaatan.
Apabila manusia menyakini tentang kematian dan tabiatnya, akan membawa perubahan terhadap hati mereka dalam memahami hakikat kematian. Perubahan dari pemikiran yang bersifat akli (akal) semata-mata kepada kefahaman yang dipenuhi dengan kesedaran yang membawa kepada rasa ingin membuat persediaan untuk menghadapi saat-saat tersebut dan menghimpunkan bekal untuk kehidupan selepas kematian.
Ini kerana muslim yang sedar memahami bahawa persediaan yang dilakukan hendaklah sebelum tibanya saat kematian. Dan apabila tiba saat kematian mereka telah bersedia menghadapinya. Bahkan kerinduan mereka untuk bertemu dengan Allah SWT akan melebihi ketakutan mereka untuk menghadapi saat-saat kematian walaupun rasa ketakutan tersebut tetap ada secara fitrahnya dalam diri mana-mana manusia.
Imam Al-Qushairi telah berpesan: “ketahuilah bahawa sesungguhnya perasaan bagi orang yang menghadapi saat kematian (nazak) itu adalah berbeza dan bercampur baur. Ada dikalangan mereka yang diselimuti dengan ketakutan, adakalanya berhadapan dengan saat tersebut dengan rasa harap, ada juga dikalangan manusia yang dibentangkan kepada mereka pada saat itu dengan sesuatu yang memberikan kepada mereka rasa ketengangan dan penuh kepercayaan terhadap Allah SWT dan janjinya”.
Contoh 1: Manusia yang takut kepada Allah pada saat kematian
Apa yang diriwayatkan bahawa Al-Hassan bin Ali bin Abi Talib r.a ketikamana datang kepadanya saat kematian, dia menangis, maka ditanyakan kepadanya; apakah yang membuatkan dia mengangis. Dia menjawab; “Aku akan pergi mengadap Tuhan yang tidak pernah ku lihat”.
Dan ada riwayat menyatakan bahawa al-Hassan pernah menziarahi seseoran yang nampak risau ketika saat kematiaanya, ia berkata; “adakah engkau mencintai kehidupan ini wahai Abu Nasr?” Jawab lelaki tersebut: “Kembali kepada Allah SWT adalah sesuatu yang dahsyat”.
Contoh 2: Manusia yang berharap ketika saat kematian
Apa yang diriwayatkan daripada Khalifah Makmun ketika tiba saat kematiannya, ia berkata: “Wahai tuhan yang tidak akan jatuh kekuasaannya, tolonglah rahmati orang yang telah jatuh kekuasaannya ini.”
Al-Harun Al- Rasyid memengang kain kafannya ketika saat kematiannya dan memandang kepadanya dan berkata: “
مَا أَغْنَى عَنِّي مَالِيَهْ *هَلَكَ عَنِّي سُلْطَانِيَهْ *
Maksudnya: “Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku”.
( al-haaqah 28-29)
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Al-Ihya meriwayatakan bahawa Al-Hajjaj bin Yusuf Al-thaqafi ketika saat kematiannya berkata;
“Wahai tuhanku, ampunkan lah aku, sesungguhnya manusia mengatakan bahawa Engkau tidak akan mengampunkanku”. Dan kata kata Al-Hajjaj ini akan memberikan kesan kepada hati Umar bin Abdul Aziz.
Contoh 3: Manusia yang menghadapi saat kematian dengan syukur dan gembira
Muaz bin Jabal seorang sahabat Nabi yang setia ketika mana datang padanya saat kematian, dia berkata” Wahai tuhanku, sebelum ini aku amat takut kepadamu, namun pada hari ini aku mengharapkanmu. Wahai tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak pernah suka kepada dunia ini dan panjang berada di dalamnya kerana air sungainya yang mengalir dan pohonnya yang merimbun, tetapi kerana kedahagaan berhijrah, mengumpul amalan untuk akhirat dan berkumpul bersama ulama dalam majlis-majlis zikir.”
Begitu juga dengan Sahabat setia Rasulullah, Bilal bin Rabah ketikamana hampir saat kematiannya, maka isterinya berkata: “Alangkah sedihnya!” Maka Bilal berkata: “Sebaliknya seronok dan beruntungnya… besok aku akan berjumpa dengan orang yang aku kasihi.. Muhammad dan tentera-tenteranya.”
Terdapat juga riwayat dari solehien yang melihat isterinya menangis ketika ia hampir menghabiskan umurnya, dia bertanya isterinya, mengapa kamu menangis? Isterinya menjawab: Aku menangis kerana kamu. Maka ia berkata: “Sepatutnya kamu menangisi diri kamu sendiri.. aku telah menangis untuk hari ini selama 40 tahun dulu”.
3) Mahaguru Kepada Alam (Ustaziah al-’alam)
Apabila muslim memahami tentang kematian dan hakikatnya, mempercayai kehidupan dan ganjarannya, dan menyakini kedatangannya, setelah berlaku pendidikan terhadap hati tentang kematian dan tidak melarikan diri daripada mempelajarinya, muslim akan bertebaran di atas muka bumi ini seluruhnya tanpa takut terhadap dagang, atau ancaman untuk mereka menaikkan panji-panji Islam.
Mereka akan bersungguh-sungguh dalam jihad tanpa risau tentang haba kepanasannya, atau mati dihiris pedang untuk mereka menjaga Islam dan negara-negara Islam. Mereka akan berhadapan dengan orang-orang yang zalim dengan penuh keberanian, kekuatan, hikmah dan mauizatul hasanah sebagai menyebarkan risalah Islam, mengeluarkan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.
Maka dengan itu Islam akan tersebar, dan muslimin menjadi kekuatan kepada alam yang menguruskan alam ini, musuh-musuh Islam tidak dapat menandingi kerana muslimin memiliki sesuatu yang lebih bernilai dari senjata yang mereka miliki. Kerana orang-oranssg yang tidak beriman berperang dan berusaha untuk dunia, tetapi muslimin mempunyai kefahaman yang benar dan jelas tentang kematian, dan mempercayai kehidupan dan ganjaran selepas kematian tersebut Mereka bebas dari keinginan dunia dan sentiasa mencari persediaan untuk bekalan selepas kematian.
Oleh kerana itu, kita perlu menjadikan kematian di jalan Allah, sebagai usaha membawa manusia untuk tunduk kepada Allah sebagai cita-cita yang tinggi.
Rujukan
1. Mustafa Masyur, Min Fiqh Dakwah Mustafa Masyur.
2. Dr. Abdul Hai Al-Farmawi, Al-Maut Fi Fikr Al-Islami.
3. Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali, Ihya Ulumiddin.
4. Iman AL-Qusyairi, Risalah Al-Qushairiah
5. Al-Imam Al-Qurtubi, Al-Tazkirah Fi Ahwal Al-Mauta Wa Umur Al-Akhirah
Sumber
2 comments:
Assalamualaikum semua,
Terima kasih ummi atas peringatan tentang kematian. Semoga saya juga berterusan mengingati mati walaupun masih sihat, serta mampu menjadi setabah ummi. Semoga ummi cepat sembuh dan jari jemari ummi terus menari untuk menarik dan mengajak orang lain berfikir, berzikir dan seterusnya berubah kearah yang lebih baik.
Wassalam
Dengan mengingati mati ,hati kita lebih gerun untuk melakukan maksiat dan lebih redha dengan apa yang telah Allah tentu kepada kita, dan sentiasa mengharap redha Allah dalam apa jua yang dilakukan.
Lebih baik kerap mengingati mati dan bersedia ke arah itu, seperti mana kita selalu bersedia bila mahu bermusafir. Hidup kita ini ibarat bermusafir menuju ke tempat yang lebih abadi.
Post a Comment