Tuesday, 1 May 2012

Zaman 80an, Awal Remaja


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kali terakhir aku bertemu kawan-kawan lama Sekolah Menengah Seri Perak, Parit Buntar ialah tahun 1980. Selepas SRP aku telah bertukar ke sekolah perempuan sahaja di Pulau Pinang. Ketika di sekolah menengah dulu, aku bukan seorang yang sosial, jarang ikut program seperti perkhemahan atau ko kurikulum. Bercakap dan bergaul dengan kawan-kawan lelaki pun agak kurang sebabnya aku malu.

Dah tu pulak aku bukan jenis yang aktif bermain dan  bersukan walaupun terpaksa masuk acara kerana markah untuk rumah dalam saringan.

Kehadiran latihan sukan terpaksa supaya rekod cantik. Cantik pada pandangan mata manusia bukan cantik pada pandangan Allah.  Sebabnya, ketika hadir latihan sudah pasti pakai seluar sukan, tshirt yang ikut bentuk dan tudung pun macam mak datin sekarang ini.

Ketika tu memanglah jahil bab menutup aurat dengan sempurna sebab tak ada pendedahan cara sebenar menutup aurat. Masih aku ingat ustazah pun tutup rambut seperti aku juga.

Namun begitu, dalam ramai-ramai pelajar sekolah ketika zaman itu, cuma berapa kerat saja yang pakai tudung. Memang aku pakai tudung atas kehendak hati aku sendiri. Aku dengar dalam pengajian kitab di surau kata orang perempuan wajib tutup aurat. Tapi macam mana cara nya tak tahu. Pendedahan kaedah sebenar menutup aurat yang syarak perintahkan tu tak ada sapa yang tunjukkan. Orang tua-tua yang warak pun zaman itu menutup aurat dengan cara guna kain batik saja. Tak kan aku nak kesekolah pakai kain tutup kepala guna kain batik?

Aku pakai tudung ketika awal usia remaja. Belum akil baligh lagi. Masa tu masih di sekolah rendah. Tapi masa tu kat sekolah rendah tak adalah peraturan mesti pakai tudung warna putih. Aku pakai aja tudung berwarna asalkan tutup kepala walaupun ada rambut terjulur keluar di bahagian depan. Dan tudung tu pun tak tahu nak dilabuhkan ke dada. Sungguh masa tu langsung tak ada model cara sebenar menutup aurat. Pakaian tak ada masalah, sebab aku memang suka pakai baju kurung dan tak suka berseluar panjang.

Cumanya semasa memegang jawatan pengawas sekolah ketika itu, uniform untuk pengawas kena pakai kemeja dan dimasukkan ke dalam. Memang tak suka tapi terpaksa. Masa sekolah menengah, barulah ada peraturan kena gunakan kain berwarna putih jika mahu bertudung. Mujur tak lama aku bersekolah di Seri Perak dengan memakai baju kemeja seperti tu. Bukan naluri aku nak memakai pakaian begitu.

Sebulan di tingkatan 4, aku bertukar ke sekolah perempuan sahaja. Di sini jiwa aku damai, sebab semua pelajarnya perempuan. Walaupun begitu, aku tetap bertudung dan tudung tu dah labuh menutup dada. Dalam kelas cuma ada 3 orang saja yang bertudung labuh menutup dada. Kenapa masih bertudung di sekolah perempuan? Sebab ada cikgu lelaki yang mengajar. Waktu malam ada prep tak ada guru lelaki, tapi tetap juga bertudung sebab sudah jadi amalan.




Orang tua-tua kat kampung pulak,mereka menggunakan kain batik yang terus diselubung dari kepala terus ke badan. Tapi tidaklaah seperti gambar model sebelah ni. Orang tua kat kampung akan pegang bawah dagu tu supaya tertutup dada dan tak nampak jambul.(Rambut kat atas dahi tu.)

Kalau bekerja kain batik tadi di jadikan tutup kepala yang dipanggil ber'tengkuluk'. Jika waktu panas matahari, ketika pergi sawah, kami bertangui. tangui ni seperti tudung saji kecil yang dibuat daripada daun nipah. Tujuannya untuk melindungi wajah dari pancaran matahari. Kerja di sawah di bawah matahari terik memang akan menyebabkan wajah terjemur jika tidak bertangui.


(gambar yang aku paparkan dalam post ini dikelabukan supaya aurat model tidak terdedah, sebabnya aku tidak mahu menerima sebahagian saham pendedahan aurat  mereka.)

Semua gambar yang terpapar adalaah ehsan kawan-kawan dan atok gugel.

Itulah fitrah yang Allah dorongkan di dalam hati sejak dari awal remaja. Mencari sesuatu yang fitrah di dalam diri manusia untuk menghayati kehidupan beragama.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment