Friday, 2 November 2012

Kembara Korban



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




 lembu dipisahkan dari melihat kawanya disembelih
Kembara Korban tahun ini sama seperti tahun lepas. Kami memulakan kembara bukan keluar negara hanya setakat keluar negeri. Semua ahli keluarga, anak beranak dikerah untuk melibatkan diri.



Tahun ini, cuti persekolahan diumumkan awal sehari dari cuti umum sempena hari raya aidil Adha. Hari Khamis kami sudah memulakan kembara. Oleh kerana tak cukup tempat untuk semua naik Toyota Hilux, dua orang kena naik bas pergi ke Setia Alam di Selangor. Bibik dan si bongsu Muhammad Imran naik bas jam 1.00 tengahari, Khamis.


Kami pulak, terdiri dari saya, zauj, Najdah, Ahmad Baihaqi, Abdullah Mubarak, Nurul Naimah dan Nu'man Al Faris bergerak menaiki Toyota Hilux sebaik selepas solat fardhu zohor. Walaupun semuanya berpuasa, puasa sempena  hari Arafah, kami mulakan musafir selepas zohor dan dalam jangkaan akan dapat berbuka puasa di Setia Alam.


Tiba di Hentian Rawat dan Rehat Dengkil, kami berhenti menunaikan solat fardhu Asar secara qasar. Mana tahu jalan sesak bila memasuki kawasan Shah Alam. Tepat pun jangkaan, menghampiri Plaza Tol Setia Alam, jalan sesak dan bertumpu untuk membayar tol menyebabkan azan Maghrib berkumandang tanda waktu berbuka puasa, kami masih belum bayar tol. Dengan seteguk air kami berbuka.


Jam 7.30 malam baru kami sampai ke rumah angah di Semarak 3. Ada yang  mengerjakan solat jamak Takdim dan solat Jamak Takhir. Mana-mana yang sempat untuk dikerjakan dan diringi takbir raya.  Selepas tu baru makan bersama-sama. Angah menghidangkan laksa utara dan lontong. Kiranya kami dah menyambut hari raya Korban sebaik selepas solat maghrib menjelang 10 Zulhijah.


Malam tu kami anak beranak berbual hal keluarga. Semua nya ada kecuali anak yang sulong kerana dia terlebih dahulu ke rumah mertua di Port Dikcson.


Subuh 10 Zulhijjah, semua bangun awal. Selesai solat subuh berjemaah, kami bertakbir ramai-ramai. Lepas tu salam untuk bermaaf-maafan. Selepas takbir , semua lelaki bersiap-siap untuk ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat sunat Aidil Adha. Tak de apa-apa program untuk berziarah kemana-mana memandangkan nanti tengah hari nak mengerjakan solat Jumaat pulak. Petang nak rewang dan menunggu lembu tiba dihantar oleh pengusaha ladang lembu.


Semua peralatan memasak dan bahan memasak telah saya sediakan dari rumah di Johor lagi. Dari sekecil-kecil peralatan sehingga periuk belanga kami bawa. Periuk, senduk panjang seperti pendayung, sauk beras, penapis, besen, tong air, pinggan, tray isi lauk, parang, kapak dan sebagainya dibawa dari rumah. Kami memang sedia maklum, surau Semarak masih belum mempunyai perlatan yang mencukupi untuk memasak dalam kuantiti yang banyak.

Yang paling asas saja mereka ada seperti tong gas , dapur memasak dan tungku besi. InsyaAllah nanti mereka berusaha sedikit demi sedikit untuk melengkapkan keperluan itu.


Petang sekitar jam 3, saya anak beranak sudah turun ke surau untuk buat kerja rewang. Kupas bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, dan serai. Sehingga maghrib, lembu belum tiba. Pihak pengurusan ladang menghubungi kelewatan disebabkan banyak tempat lembu-lembu mahu diantar.


Sementara itu pihak pengurusan Surau telah menyewa khemah untuk kerja-kerja melapah esok hari. Khemah telah didirikan pada petang itu.


Selepas solat Isya' barulah lembu-lembu tiba. Saya dapat menyaksikan bagaimana cara lembu diturunkan dari lori. Kena pujuk rayu supaya lembu tak mengamuk. Kena kenalkan tempat baru supaya dia rasa aman dan selamat. Mujur 3 ekor, jadi dia rasa ada teman. Rupanya bila dah nak dibawa turun dari lori, baru lembu-lembu tu diikat lehernya. Semasa atas lori, lembu tu masih bebas dari tali.


Lembu-lembu tu diturunkan seekor demi seekor. Letak pun tak jauh-jauh tapi jangan dekat sangat. Nanti tali leher antara mereka terbelit sesama sendiri, lagi payah nak dibetulkan. Bila lembu tu lihat ada kawan, dia rasa aman dan tenang. Tidaklah dia rasa keseorangan di tempat baru.


Malam itu bermulalah tugas anak-anak bujang menjaga lembu. Lembu tu kena jaga, mana tahu terlepas atau diculik orang. Walaupun kita berniat mahu buat korban, masih ada yang ambil kesempatan juga. Ahmad Baihaqi (anak ke 5)  dan Omar Abdul Aziz (anak ke 7) ditugaskan menjaga lembu sepanjang malam. Mereka berdua tidak tidor. Berada di bawah khemah berhampiran lembu-lembu.


Menjelang subuh, selepas solat terus mereka berdua naik tidor ke rumah. Giliran Abdullah Mubarak (anak ke 8) menjaga lembu sementara menunggu hari siang.


7.30 pagi, penduduk  perumahan Semarak mula hadir ke surau untuk membantu penyembelihan dan melapah lembu.



Ada yang telah menyediakan lubang untuk menakung darah, ada menyediakan lubang untuk menanam bahan- bahan kumuh lembu nanti dan ada yang menyusun meja untuk kerja-kerja pemotongan , penimbangan  dan pembungkusan daging.


Lembu pertama telah dibaringkan ditepi lubang. Cuma 4 orang saja yang membantu untuk meyembelih lembu. Lembu tu seperti faham dan sedia untuk dikorbankan. Tidak meronta atau mengamuk ketika dibawa ke lubang. Dengan iringan takbir, lembu pertama disembelih oleh Ahmad Ali Mahfuz, (anak ke 2). zauj memantau Ahmad Ali Mahfuz menyembelih lembu. Walaupun angah telah ada pengalaman tahun lalu, tetapi masih lagi ayahnya mahu memantau supaya angah mahir dalam sembelihan haiwan.

Zauj memerhatikan angah sembelih lembu


Lembu yang telah disembelih


Ramai-ramai membantu menguliti kulit lembu

dah hampir siap lembu dikuliti
sama-sama membersihkan bahagian kumuh lembu

membersihkan usus
memotong daging untuk dimasak
memotong tulang
menantu melapah daging 

Abdullah Mubarak menyenduk nasi


Zauj mengacau gulai kawah batang pisang

Saya sedang menumis rempah  untuk sup tulang


Omar dan Nurhumaira' sedang menyenduk nasi

dah siap masak, makanan dihidangkan

sebahagian daging yang telah dibungkus sebelum diagihkan

penimbangan dan pembungkusan


Pengagihan daging korban


Semua anak cucu didedahkan dengan program Korban


lembu dijinakkan agar mudah dibawa ke lubang penyembelihan

Selesai sembelihan lembu pertama, direhatkan seketika sebelum kulit lembu mula disiat dan dilapah.Yang menyiat kulit memang mahir-mahir belaka. Langsung tidak kekok. Menguliti kulit lembu dengan pantas sekali. Lepas tu, bahagian abdomen dibelah untuk dikeluarkan segala isi kandungan usus, perut, hati, limpa, paru dan lain-lain.


Selesai dikuliti, barulah dipotong 4. Setiap batang paha digantung agar mudah dilapah dagingnya. Salah seorang yang melapah ialah menantu, suami kepada Amiratun Nazihah (anak ke 4).


Bila daging telah mula dilapah, kerja-kerja memotong mula dilakukan. Ada yang potong daging dan ada yang memotong tulang. Telah disepakati, lembu pertama adalah untuk dimasak dan dimakan beramai-ramai. Tulangnya buat sup, dan dagingnya buat gulai kawah. Nanti sama-sama merasainya.


Zauj telah mula menanak nasi putih. Najdah (anak ke 3) menyediakan sarapan dan menyediakan sambal kicap. Abdullah Mubarak membantu ayahnya menanak nasi.


Saya pun mula menumis rempah untuk sup tulang dan menumis rempah untuk gulai kawah. Bila semua kerja dilakukan secara gotong royong, yang berat dan payah jadi mudah. Bila kerja dilakukan kerana Allah Ta'ala, tiada rasa iri hati atau dengki. Rasa penat hilang apabila melihat wajah mereka-mereka yang makan  dengan penuh selera.


Syukur kepada Allah yang memudahkan segala urusan-urusan.


Selepas selesai urusan lembu pertama, lembu kedua dan ketiga pula disembelih. Kali ini, semua daging dan tulangnya dipotong dalam saiz yang lebih kurang sama, ditimbang dalam anggaran 1 kg, dan dibungkus. Tujuan memang untuk diagihkan kepada yang layak menerima agihan korban.


Dari lembu korban, 1/3 untuk dimasak dan dimakan ramai-ramai, 2/3 untuk diagihkan kepada yang layak menerima. Tidak ada agihan kepada yang buat ibadah korban kerana mereka awal-awal lagi sudah menyerahkan semua bahagian korban untuk diberikan kepada orang ramai.


Apa yang saya lihat kerjasama penduduk sangat baik. Tidak ada bahagian lembu yang dibuang melainkan bahan kumuh dari dalam perut. Kulit, kaki, telinga, lidah. kepala, usus dan lain-lain semuanya mereka bersihkan dan ambil. Sungguh berkat sekali.


Menjelang 12.15 tengahari, nasi , sup dan gulai kawah siap dimasak. Terus dihidangkan dan mereka yang membuat kerja tadi dapat makan beramai-ramai. Selepas makan, azan zohor berkumandang. Mereka masuk  kedalam surau untuk mengerjakan solat zohor terlebih dahulu sebelum menerima agihan daging dan balik ke rumah masing-masing.

Rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan pangsapuri Semarak ini bekerja kilang, pemandu lori, pengawal keselamatan, buruh binaan dan perkhidmatan pembersihan bangunan. Pendapatan mereka tidaklah banyak mana.


Selesai solat zohor berjemaah, bungkusan daging diagihkan sama rata kepada semua yang hadir. Majoriti yang datang memberikan kerjasama, membantu kerja-kerja dan menerima agihan daging korban.


Sekita jam 2.00 petang selesai semua kerja berkaitan ibadah korban. Yang tinggal cuma nak mengemas peralatan saja. Kami anak beranak bekerjasama mengemas semula peralatan memasak, menghidang yang telah diguanakan. Anak angkat saya ,  Nurhumaira' Lau datang bersama suami dan anak-anak. Dia pun turut serta membantu mencuci segala peralatan dan pinggan mangkuk yang telah digunakan.


Dah siap semua dicuci, peralatan dikemaskan setempat sebelum dinaikkan atas Toyota Hilux. Kawasan surau dibersihkan seperti asal. Semua anak menantu terlibat dan kena buat agar cepat siap. Syukur kepada Allah kerana memudahkan segala urusan dari mula menempah lembu hingga selesai pengagihan daging lembu.


Malamnya semua keletihan. Esoknya hari Ahad, petang bersiap-siap nak balik rumah di Johor. Omar Abdul Aziz balik ke Rawang (SBPI Rawang), Amiratun Nazihah balik ke Sg Buloh, Najdah balik ke Ampang, dan kami yang lain-lain balik ke Johor Bahru. Jika datang hari tu ada yang kena naik bas, balik ke Johor tidak lagi.


Aqbar, anak sulong datang dengan kereta, (pun turut serta membantu dalam kerja-kerja menyediakan makanan dan pembersihan)  jadi 2 orang, Ahmad Baihaqi dan Muhammad Imran balik naik kereta bersama mereka. Kami yang lain, saya, zauj, bibik dan Abdullah Mubarak naik kereta hilux.


Dalam perjalanan balik, kami singgah di Dengkil untuk jemput mak mertua. Mak mertua mahu ikut tinggal di Johor Bahru sebulan dua bersama saya sekeluarga. Jika mak mertua ada, saya akan duduk di kerusi belakang. Mak mertua akan duduk di kerusi sebelah pemandu supaya lebih selesa. Begitulah yang anak-anak lakukan kepada saya juga. Tak perlu saya ajar atau bagitahu, bila saya atau mertua mereka naik kereta, pasti  anak atau menantu perempuan akan duduk di belakang.


Makanya, jika kita menunjukkan contoh yang baik, anak menantu akan buat tanpa diberitahu. Mereka boleh lihat dan ambil teladan dari kita. Bagaimana kita melayan mertua, begitulah menantu akan layan kita.


Sekian, moga ada manafaat yang boleh dijadikan teladan dalam penulisan ini.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment