بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Hari ini dah rancang dengan beberapa orang kawan, insyaAllah mahu pergi ziarah lelaki semalam tu dalam kisah Cash AND Carry bersama bekas isterinya petang ini. Walau bagaimana pun penganiyaan yang dilakukan terhadapnya, bekas isteri tetap memaafkan dan mahu menziarahinya.
Walaupun dia tak nampak, dan lelaki tu pulak dah 'ditidorkan' oleh Allah, maka tiada biacara yang disambut, hati kecilnya tetap sayu dan sedih.
Semalam ketika di Pejabat Agama, setelah Sijil Perceraian berada ditangannya, dia menangis dalam pelukan saya. Dia rasa sedih dan rasa seperti kehilangan. Dan sahlah bahawa dia ibu tunggal.
Sijil Perceraian |
Sesiapa pun dengan status Ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU), menjalani hemodailisis , mengambil suntikan insulin setiap hari akan merasa sangat sedih dan hiba.
Saya nasihatkan dia, ada hikmah Allah uji dia dengan ujian yang begitu berat. Allah tidak akan bebankan suatu bebanan yang tidak mampu seseorang itu pikul. Allah tahu dia mampu hadapi.
Surah Al-Baqarah ayat 286, "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."
Semoga nur Allah melimpahi ibu tunggal ini. |
Yang paling utama saya nasihatkan ialah, redha suami. Dengan kehilangan upaya dan penyakit, dia tak upaya melakukan tugas-tugas seorang isteri, maka telah menyebabkan kemarahan dan ketidak redhaan suami, maka baiklah suami melepaskan dia dalam reda dan kemaafan. Masa diceraikan dia dah kata memaafkan semua salah silap isteri. Itu dah sangat berharga.
Saya kata , "Allah mahu memudahkan baki-baki akhir hidupnya tanpa perlu memikirkan hal-hal dunia , dan tanggungjawap sebagai isteri. Moga-moga nanti bila dijemput oleh malaikat Izrail, dapat mati dalam iman yang sempurna."
Dia sudah tak payah fikir, hari ini nak makan apa, ada duit atau tidak kerana semua itu telah diletakkan hak ke atas orang-orang kaya dan memiliki harta.
Allah nak beri peluang dia benar-benar mengabdikan diri kepada ALlah, sentiasa duduk berzikir dan mengingatiNYA.
Dan yang utama memberikan peluang kepada ramai orang untuk rebut peluang menziarahi dia, menolong dia dalam apa jua bentuk pun.
Jadi terpulanglah kepada sesiapa yang membaca cerita saya ni samada nak rebut atau tidak peluang yang Allah beri ini.
Terus terang saya sarankan, bila ziarahi wanita ni, picitlah tubuhnya yang sentiasa rasa sakit, lenguh-lenguh. Usaplah tangan dan pipinya.
Ambillah pelajaran dan pengajaran dari kisah yang saya cerita, bahawa jika kita rasa susah dan tak berdaya, rupanya ada lagi orang yang susah dan hilang upaya.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment