Mak Mertua saya |
Bila bercakap , menasihati anak menantu cucu cicit, ibu mertua akan sebut, "nenek tak pernah sekolah, tetapi nenek sentiasa ingat apa yang arwah atuk ajar dulu, apa yang tuan guru selalu bacakan kitab."
Tahun ini 2013, saya jemput mak mertua datang ke rumah pada 6 Oktober 2013 lalu. Saya dan zauj pergi ambik, ketika itu dia berada di rumah adik zauj yang bongsu, dia sebut pada adik bongsu zauj, "teringat nak pergi Johor, nak sambut raya korban di sana." Bila adik bongsu bagitahu saja, terus kami pergi ambik di Selangor, bawa ke Johor.
Genap 2 bulan saya menyantuni mak mertua saya. Melayan bagaikan permaisuri. Semua makan minum dihidangkan. Kudrat seorang wargaemas berusia 88 tahun, walaupun bagaimana pun masih mampu menguruskan diri sendiri. Sentiasa berusaha mengerjakan solat fardhu berjemaah diawal waktu bersama-sama anak cucu. Suka mak mertua mendengar apabila cucu-cucu mengalunkan bacaan ayat-ayat quran. Gembira dia melihat cucu - cucu mampu menjadi imam. Lagi suka apabila setiap pagi ada majlis ilmu selepas zikir dan doa solat subuh.
Selalu dia bersangka baik pada semua orang. Semua orang yang tinggal bersama saya atau yang datang berziarah akan disampaikan pesan dan nasihat. Banyak nasihat-nasihat dipesannya agar menjaga diri dari terjerumus ke dalam api neraka. Syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan anak-anak Adam tidak kira lelaki atau perempuan. Usah tergoda dengan dunia yang cuma sementara sahaja.
Senyumannya tak pernah pudar walaupun telah berusia menghampiri 1 abad, lagi 12 tahun.
Sebenarnya semua anak -anaknya mahu berbakti sementara roh dan jasad masih bersama dengannya ketika di dunia ini. Sebab itu dia membuat giliran dan pusingan supaya semua anak merasai nikmat berbakti kepadanya ketika usia semakin senja. Pusingan dan giliran ini dia sendiri yang tentukan. Adil dan saksama antara semua anak-anak menantunya. Tidak ada anak menantu yang tidak disenanginya, bahkan amat dia sayangi.
Disetiap hari pagi Jumaat, saya perhatikan dia akan panggil salah seorang cucunya, "nenek nak kirim, tolong masukkan dalam tabung masjid ya."
Siapa saja kanak-kanak yang datang ke rumah saya, pasti dia akan memberikan sesuatu dalam sampul duit raya. Sampul duit raya dia sepanjang tahun, sentiasa ada untuk diberikan kepada kanak-kanak. Jika ibu tunggal yang ada pelihara anak yatim, lagilah dia suka memberikan sampul duit rayanya.
Saya memang sentiasa menyediakan masa untuk berbual-bual dengannya. Duduk disebelah dan picit tangan kakinya secara perlahan-lahan.
Dikuburan arwah bapa mertua |
Bangunnya awal, lebih kurang jam 2.30 - 3.00 pagi setiap hari. Mengamalkan zikir kautharan di waktu subuh sebelum masuk waktu solat subuh, katanya, "berzikir dan berdoa waktu sunyi sepi." Itu arwah suaminya berpesan, jangan tinggal zikir di waktu subuh dikala semua orang sedang lena diulit mimpi.
Doanya tidak pernah putus mendoakan agar anak menantu cucu serta seluruh zuriatnya sentiasa dipelihara dari godaan syaitan durjana dan mendapat kebahagiaan dunia akhirat didalam rahmat Allah Ta'ala.
Petang tadi saat sudah didalam kereta pun, ketika cucunya, Omar Abdul Aziz bersalam dan
memeluk cium pipinya, dia berpesan, " Omar, kalau ada perempuan panggil 'hai', jangan kau sombong tetapi ucap kepada perempuan itu, ingatlah Allah."
Terasa sekejap sangat giliran saya berbakti kepadanya dalam tempoh 2 bulan ini. Minggu lepas dia sudah berucap kepada zauj, terasa nak pergi rumah anak yang lain pulak. Nak ke rumah anak di Kuala Selangor , katanya. Jadi zauj pun bersedia menghantar bondanya ke Selangor petang tadi.
Ya Allah, sekejap sangat masa berlalu, semakin pendek umur kita, semakin hampir kita kepada kematian. Terasa lama masa berlalu apabila kita menunggu-nunggu, seperti menunggu masuknya waktu solat dan menunggu dijemput kembali kehadirat Allah Ta'ala.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment