Sunday, 1 December 2013

Sekali Tersilap Bukan Gagal Selamanya

Pelatih bersama anaknya
Setelah seminggu melahirkan bayi, keluarga /waris menjemput pelatih pulang. Pelatih ini tidak mempunyai ibu dan ayah.

Seminggu selepas ibunya menghantar ke Baitus Solehah, setelah pulang ke kampung, meninggal dunia. Terasa tergiang lagi pesanan ibunya kepada saya saat meninggalkan anak bawah jagaan saya.

"ummi, jagalah anak saya seperti anak ummi ya, nasihati dia, marahi dia, berilah tunjuk ajar pada dia."

Sebak hati saya mendengar pesanan seorang ibu. Makin sebak saya apabila dimaklumkan ibu itu telah meninggal dunia. Makan yaatim piatulah gadis itu. Yang ada cuma adik beradik saja lagi.

Sepanjang di Baitus Solehah, tidak pernah sekalipun adik beradiknya datang melawat. Khabaran ibu meninggal dunia pun hanya diketahui 4 hari selepas dikebumikan. Adik beradik tidak mahu dia balik ke rumah melihat jenazah ibu buat kali terakhir dimana nanti aib dan maruah ibu tercemar. Ketika kandungan gadis ini sudah 7 bulan, sudah kelihatan.

Begitulah hukuman kecil kepada gadis terlanjur. Hukuman kecil yang terpaksa dilalui. Hinggakan ibu meninggal dunia pun tidak boleh untuk hadir menziarahi, apatah memberi ciuman terakhir sebelum dikuburkan.

Bukan Baitus Solehah yang melarang, tetapi keluarga sendiri yang menahan. Bukan setakat itu, banyak lagi hukuman-hukuman kecil yang terpaksa dijalani sepanjang berada dimana-mana rumah perlindungan. Ingin keluar bersiar-siar, ingin menggunakan media komunikasi , menonton siaran tv yang hasrat itu perlu diketepikan.

Tarbiyah yang dijalani menyebabkan kekangan masa untuk bersantai-santai.

Cerita pelatih ini, dia tidak berhasrat memberikan anaknya kepada sesiapa pun,walaupun keputusan SPMnya bagus. Sementelah pulak, ada seorang kakaknya yang telah lama berkahwin, tetapi tidak mempunyai anak. InsyaAllah mereka berjanji akan menjaga adik dan bayi itu. Saya menggalakkan dia menyambung pelajaran ke IPT.

Moga-moga saudara perempuannya yang ramai sudi membantu dia memelihara anaknya disamping meneruskan penggajian. Pelatih dibenarkan untuk memelihara sendiri anak mereka sekiranya mendapat sokongan dan bantuan dari ahli keluarga.

Satu kesilapan yang dilakukan bukan bermakna kegagalan. Peluang bertaubat yang Allah berikan, tarbiyah yang dijalani selama berada di Baitus Solehah, moga-moga menjadikan dia matang dalam membuat pilihan dan terpimpin melangkah di jalan yang lurus.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment