Saturday, 29 November 2014

Ramainya Gadis Di Rumah Perlindungan Kerana Adanya Lelaki Berhati Syaitan



Team Amal Suzuki Biker
 Hari ini, 29/11/14, Baitus Solehah menerima kunjungan dari Team Amal SBCM seramai 70 orang. Mereka datang bermotosikal dari Shah Alam, Selangor. Ada juga ahli mereka dari negeri-negeri lain termasuk Johor.

Mereka singgah ke Baitus Solehah bagi menyampai sumbangan dari beberapa pihak seperti SBCM, Hi-Rev, Suzuki Motor, Kulit-Kraf, Syarikat Air Selangor dan Muslim Care. (Maaf jika saya tertinggal nama yang menyumbang).

Saya amat berbesar hati menerima kunjungan ziarah mereka. Dan inilah pertama kali saya berpeluang bercakap di khalayak umum yang pesertanya lelaki sahaja. Ada juga yang datang berkeluarga menaiki kereta.

Peluang dapat bercakap di hadapan ramai pemuda diambil kesempatan untuk meluahkan apa yang tersirat di hati selama. Saya berucap sungguh dari hati sehingga tanpa sedar air mata mengalir.

Saya luahkan kekesalan, bahawa kenapa ramai lahirnya anak zina, perempuan-perempuan hamil tanpa suami kerana pelakunya adalah lelaki yang tidak bertanggungjawap dan mengenepi hukum syariat Islam yang menghalalkan persetubuhan melalui ijab dan kabul.

Ramainya gadis berada di rumah perlindungan kerana sikap tidak bertanggungjawapnya lelaki yang berzina dengan mereka samada memperkosa secara paksa atau suka sama suka. Dah buat suka sama suka, tetapi bila perempuan itu mengandung, mereka ditinggalkan begitu saja. Yang memperkosa sudah pasti selepas perempuan itu dianiya, mereka menghilangkan diri agar tidak dapat dikesan.

Pelaku-pelaku ini terlupa, jika mereka terlepas hukum dan tanggungjawap kat dunia, mereka tidak akan terlepas perbicaraan di Padang Mahsyar nanti. Azab yang pedih sedang menanti mereka jika mereka tidak bertaubat , tidak mohon ampun kepada Allah dan memohon maaf atas penganiyaan mereka terhadap perempuan-perempuan yang mereka zinai.

Setakat hari ini, dalam ramai perempuan yang Baitus Solehah lindungi, belum ada yang bertanggungjawap atas perbuatan mereka. Pelaku lepas bebas bersuka-suka meneruskan kehidupan sedangkan perempuan yang menanggung akibat berduka nestapa menanggung azab pedih mengandung tanpa suami dan melahirkan bayi tanpa ayahnya.

"Cuba lihat wajah bayi-bayi ini, comel semuanya, bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan mereka apabila melihat maklumat bapa di sijil lahir, maklumat bapa tidak diperolehi. Apa perasaan mereka?"

"Cuba letak diri kita pada kedudukan mereka dimana suatu hari nanti mereka akan bersekolah, tahu membaca dan bertanya, siapa bapa saya?"

"Fitrah seorang anak mendambakan kasih sayang ibu dan bapa, mereka ada ibu, tak ada bapa, tetapi mereka tak tahu apa-apa dan mengharap kekurangan itu terisi dengan memanjakan diri dengan anak menantu saya. Bagi mereka asal lelaki, mereka kejar minta dipeluk cium, didukung dan ketawa mengekeh-ngekeh manja, tanpa mengetahui siapa lelaki itu yang pada fikir mereka mungkin bapa mereka."

"Saya berharap semua anda di sini tidak tergolong orang-orang yang menganiya perempuan, ambik kesempatan atas kelemahan mereka dan tidak tergolong orang -orang yang menzalimi diri sendiri. Jauhi zina, jangan bercouple."

Semoga semua peserta yang hadir dipelihara keselamatan dan kesejahteraan diri dan perjalanan pergi dalam balik rahmat Allah Ta'ala. Kepada para penyumbang yang menyumbang berbagai barangan, diucapkan terima kasih.

Semoga Allah mengurniakan rezeki yang halal dan tidak terhingga dari sumber yang tidak diketahui, memudahkan segala urusan di dunia dan akhirat kepada semua penyumbang dan keluarga.

Moga semua penyumbang dan keluarga dikurniakan kekayaan iman, kekayaan harta dan kekayaan jiwa di dalam rahmat Allah Ta'ala.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment