3 hari berturut turut saya bertemu dengan pasangan yang berhajat untuk berpoligami. Mereka bertemu saya bersama sama dengan isteri memohon dicarikan calon isteri kedua. 2 pasangan memohon calon isteri dari kalangan pelatih yang telah bertaubat dan berubah. Mereka melakukan kerana Allah semata mata, mahu melindungi, menyelamatkan ibu dan bayi dengan memberi sebuah kehidupan baru.
Seorang gadis mendapat suami, seorang isteri memerolehi teman dan seorang anak mendapat ayah. Membina keluarga harmoni yang barakah dan dirahmati Allah.
Dengan tulus, seorang isteri menghubungi saya untuk dipilihkan calon isteri buat suaminya. Saya pernah berada ditempat isteri begini. Saya pernah berniat menghadiahkan seorang isteri kepada suami saya semata-mata mencari keredhaaan Allah. Tetapi hajat saya ditolak oleh suami , ketika itu suami masih sihat. Jadi saya boleh memahami rasa seorang isteri yang mencarikan isteri untuk suaminya.
Pasangan dari Selangor sudah melalui proses permohonan poligami di Mahkamah, insyaAllah akan bernikah pada bulan Rejab nanti. Pasangan kedua dalam proses pemilihan calon. Dan pasangan ketiga pun sama, proses bertaaruf. Pasangan 1 dan 3 memohon calon isteri dari dari kalangan pelatih yang telah melahirkan anak, yang rela dan bersedia untuk berpoligami. Ini antara keupayaan mereka membantu menyelamatkan dua jiwa.
Kita lakukan ikut kemampuan dan keupayaan masing masing dengan pertolongan Allah. Setiap pasangan mesti memohon petunjuk dari Allah supaya keluarga yang dibina diberkati, hidup dalam harmoni dan dirahmati.
Siapa lagi yang ingin mengambil mereka sebagai isteri? Mereka jelas menyatakan tidak mahu berkahwin dengan pasangan yang telah merosakkan mereka melainkan telah bertaubat. Mereka telah ditarbiyah untuk menjalani kehidupan seterusnya dijalan jalan yang Allah redha. Mereka tidak lagi mahu terjebak walaupun mereka sebenarnya telah diperdaya. Maka bantulah mereka, jangan diungkit kisah silam dan dikeji apa yang telah mereka lalui.
Sekurang kurangnya para isteri berbuat dua kebaikkan. Kebaikkan mengizinkan suami memberikan kehidupan baru kepada seorang ibu tunggal dan bayinya. Kebaikkan membina persaudaraan sesama insan yang tidak mempunyai apa apa. Moga moga dengan amalan ini dipandang Allah dan menjadi asbab kita ke syurga.
Berkongsi kasih bukan bermakna kasih sayang dan cinta suami terbahagia dua. Kasih sayang tetap unggul dan total untuk isteri. Untuk bakal isteri kedua, kasih sayang tumbuh dan bercambah sendiri tanpa meluakan kasih sayang pada isteri pertama. Jadi jangan bimbang samada diketepikan atau diabaikan. Sebaliknya para suami akan lebih menyayangi dan menghargai kesediaan isteri untuk berpoligami bagi membina keluarga harmoni.
BaitusSolehah berusaha membantu suatu kehidupan yang Allah redha untuk pelatih yang telah melalui proses tarbiyah.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta,kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment