Tuesday, 12 July 2016

Menyelamatkan Dua Jiwa


Menyelamatkan Dua Jiwa
 Buat yang belum tahu, Baitus Solehah bukan sahaja memberikan perlindungan kepada remaja dan wanita mengandung tanpa suami, menjaga dan membimbing mereka bertaubat dan berubah ketika mengandung, tetapi memberikan perlindungan kepada ibu dan bayi mereka selepas melahirkan anak.

Baitus Solehah selalu memberi pilihan kepada mana mana ibu yang baru lepas melahirkan anak sekiranya ibu itu didesak untuk menyerahkan anak kepada keluarga angkat oleh keluarga mereka. Baitus Solehah menyokong dan membantu memberi perlindungan kepada ibu dan bayi sekiranya mereka nekad memelihara sendiri anak mereka.

Sekiranya keluarga beri pilihan "jika nak balik rumah, anak kena beri keluarga angkat, jika nak jaga sendiri, tak boleh pulang ke rumah."

Ramai yang memilih memelihara sendiri dan tinggal di Baitus Solehah. Ini adalah perkhidmatan dan perlindungan selepas beranak kepada pelatih. Kami juga menerima rujukan ibu dan bayi dari hospital yang tidak mempunyai waris, waris tidak dapat dikesan. Kami berikan perlindungan sementara sehingga waris ditemui dan mengizinkan pilihan sekiranya waris menjemput untuk bawa pulang.

Semuanya atas pendirian ibu bayi membuat pilihan. Mana mana ibu yang benar benar sayangkan anaknyà, tidak sanggup berpisah, rela terus tinggal di Baitus Solehah, rela mengenepikan kehidupan yang bebas di luar sana. Boleh ada telefon, boleh berfb, boleh berwhatsapp dan boleh bershopping. Bagi mereka nilai mengasuh anak sendiri lebih besar berbanding kebebasan kehidupan yang pernah mereka lalui sehingga terjebak dengan perbuatan mungkar. Kekesalan melalui hidup lalu menjadikan mereka cekal menjalani kehidupan di rumah perlindungan asalkan anak bersama mereka.

Anak merekalah tempat mereka berkasih sayang. Mereka meneruskan kehidupan di Baitus Solehah untuk memantapkan iman melalui ilmu dan amalan. InsyaAllah suatu hari nanti mereka akan keluar juga ke dalam masyarakat menjalani kehidupan biasa bersama anak yang sudah besar. Mereka nekad mahu mengasuh anak sendiri, dan nanti berusaha mencari nafkah untuk anak dan memberi pendidikan sebaik baik kepada anak mereka.

Berkali kali saya nasihati semua semua ibu ibu sedang mengandung, yakinlah rezeki setiap manusia dalam jaminan Allah, anak kamu adalah aset kamu samada ke syurga atau neraka. Kamu sudah melalui kehidupan yang gelap masa silam hingga melahirkan anak, apakah kamu mahu anak mengulangi sejarah diri kamu apabila kamu terlepas pandang? Bukan soal tidak percaya pada orang, tetapi hak dan tanggungjawap seorang ibu kandung terhadap anaknya.

Suatu masa anak akan tanya, "ibu kenapa ibu beri saya pada orang? Ibu tidak sayang sayakah? Tidak ada nilaikan saya di hati ibu? Ibu kandungkan saya 9 bulan dalam rahim ibu, ibu pertaruhkan nyawa ibu untuk lahirkan saya, tetapi bila saya lahir ke dunia dengan tangisan, ibu serah saya pada orang lain?"

"Apa salah saya ibu, hingga ibu buang saya, samaje buang dalam longkang atau beri pada orang, dua dua tunjuk ibu tak nak jaga saya, takut saya menyusahkan ibukan?"

Apa kamu nak jawap?

Baitus Solehah sentiasa membuka ruang dan peluang untuk ibu ibu menjaga anak sendiri, supaya susah payah mengasuh anak itu dirasai dan berbaloi hasilnya apabila anak menjadi anak soleh. Anak soleh atau tidak semua atas iman dan akhlak ibu. Dalam mendidik anak menjadi soleh, ibu akan berusaha meningkatkan kualiti iman dan akhlak, menjadi orang yang kuat dan sabar dengan ujian ujian Allah.

Hidup mana yang tidak ada masalah? Hidup siapa yang tidak menghadapi ujian? Semuanya akan melalui, yang berbeza adalah bentuk masalah dan ujian yang datang. Dan janji Allah benar, setiap masalah ada jalan keluarnya, setiap ujian ada hujungnya, hanya dengan keimanan dan kesabaran ada kemanisannya.

Firman Allah dalam surah Alam Nasyrah ayat 4,5 "setiap kesukaran ada kemudahan, disetiap kesukaran ada kemudahan, ". 2 kali Allah ulang ayat yang sama, menegaskan bahawa kesusahan yang dilalui akan ada kemudahan akhirnya. Dalam ayat 3 Allah sudah menegaskan supaya untuk hidup di jalan yang allah redha, mesti dengan melalui ketaatan kepada Allah dan RasulNya.

Tidak yakinkah dengan janji Allah ini?

Dalam firman Allah surah Dhuha,ayat 4, terjemahannya " Sesungguhnya, kesudahan itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan". Jadi memang sakit dan payah memulakan kehidupan baru dijalan yang Allah redha jika tidak ada bekalan iman dan takwa.

Caption gambar : sebahagian anak anak yang masih berada di Baitus Solehah bersama ibu kandung mereka. Sampai jodoh, ibu ibu mereka akan dinikahkan dengan mana mana lelaki soleh yang sudi memperisterikan mereka. Ibu membuat pilihan memelihara sendiri anak, ibu menjadi muslimah solehah dan akhirnya keluarga menerima ibu, suami dan anak. Berbaloi memilih pelihara anak sendiri, iaitu memilih akhirat kerana dunia akan datang kepada mereka.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment