Saturday, 11 February 2017

Mutiara Yang Tersembunyi

Mutiara Yang Tersembunyi
Mutiara ini saya sembunyikan selama 2 tahun. Ibarat mutiara yang disimpan di dalam tiram. Tidak siapa yang tahu. Walaupun sekali sekali saya dendangkan kecantikannya, tetapi tidak detail. Saya cuma berkata sudah memiliki baru kamu tahu nilainya. Dan sangat tidak rugi memilikinya. Saya sendiri tercari cari siapakah yang layak memiliki mutiara ini.

Suara alunan zikirnya, selawatnya, apatah lagi alunan bacaan qurannya masih saya rindui. Selama bersama saya di bawah satu bumbung, setiap hari pasti terdengar suara alunan zikir, selawat dan bacaan qurannya. Rindu dengan suara itu. Selalu, bahkan saban hari saya mendoakan biarlah Allah kurniakan dia jodoh terbaik disisi Allah. Wajah ayunya cantik dan menarik, tubuhnya langsing, suara gemersiknya. Nak dengar suara marah tu payah sekali. Akhlaknya yang indah buat lelaki akan terpesona.

Saya sendiri bimbing tersalah orang saya serahkan. Saya sendiri memilih calon suami untuknya. Saya juga beristikharah ketika menetapkan pilihan. Walaupun bukan darah daging saya, tetapi kasih sayang itu tumbuh tanpa syarat. Hubungan ini pasti sampai ke akhirat.

Dia sedih saya juga berduka. Dia ketawa , saya senyum gembira. Tapi bukan selalu kami dapat tersenyum melalui hari hari di Baitus Solehah yang penuh ranjau pada awal perjalanannya.

Selepas melahirkan anak, ketika umur anaknya 5 bulan, waris menjemput pulang ke rumah. Cuma 2 bulan saja dia betah berada di rumah waris. Terasa kosong dan sunyi walaupun ada anak bersama. Dia rindu untuk berada di Taman Taman Syurga semula. Saya dapat menebak apa yang tersirat di dalam hatinya.

Saya tawarkan , "mahu balik semula duduk dengan ummi?"

Bagai orang dahaga disuakan air, "boleh ke ummi? Nak sangat duduk dalam Taman Taman Syurga, duduk sini rasa kosong dan sunyi."

"Kamu mahu dipenjara semula?"

"Dipenjara tetapi hati riang di Taman Syurga lebih baik dari duduk di sini boleh terbang tetapi kosong jiwa."

Maka datang dia dihantar waris semula bersama anaknya. Banyak kemahiran rumah tangga dipelajarinya. Disamping boleh membantu pelatih lain membaca al Quran.

Sekali lagi apabila ditawarkan pekerjaan berada di luar, dia terima untuk mencuba kehidupan baru dengan anaknya. Ketika itu umur anak sudah 1 tahun lebih. Itupun cuma sebulan. Tak mampu dia menjalani kehidupan yang jauh dari Taman Syurga. Genap sebulan, balik semula.

"Ummi, saya tak kuat berada di luar sana. Jiwa saya kosong apabila jauh dari Taman Syurga."

"Baiklah, tak payah kamu keluar lagi, tinggal aja dalam sini."

Perancangan Allah lain rupanya. Tidak lama selepas ini, ada yang merisik. Bulan berikutnya meminang dan bertunang. 3 bulan selepas itu, saya adakah majlis akad nikah. Ketika akad nikah dilafazkan, saya menitiskan air mata, terasa suatu tanggungan diturunkan dari kepala. Sehari selepas majlis akad nikah, terus suaminya sebagai waris menandatangani daftar keluar Baitus Solehah.

3 bulan selepas bernikah, walaupun selalu berwhatsapp, saya bertanya, "macamana kehidupan rumah tangga?"

"Ummi, terima kasih, Alhamdulillah, hidup saya terasa lengkap dan sempurna. Maha Suci Allah, indah hidup bersyariat, ada yang menyanyangi dan melindungi. Saya tidak impikan apa apa lagi kecuali syurga yang Allah hantar kepada saya ketika di dunia ini."

Ini adalah tanda taubat diterima. Taubat nasuha yang bersungguh sungguh dengan niat yang betul. Kehidupan seterusnya mencari redha Allah. Sejak melangkah awal dahulu masuk Baitus Solehah. Berusaha mendidik hati untuk redha dengan takdir dan bersyukur dengan nikmat iman yang Allah kurniakan. Hatinya kosong apabila jauh dari majlis ilmu.

Kini suaminya imam, dia dan anak anak menjadi makmum. Suaminya tahu apa yang saya sembunyikan dahulu adalah suatu nikmat yang dirasai kini. Mudahkah mencari isteri yang taat dan patuh pada zaman ini? Kek yang terbentuk sangat indah dari acuan dan design menarik.

Susah senang sama sama dirasai. Bukan emas permata yang didambakan, cukuplah kebahagiaan jiwa, kekayaan iman melingkari kehidupan kini. Anak pun bertambah, sepasang kini. Alangkah bahagia apabila syariat Allah kita taati.

Doakan moga moga rumah tangga mereka hingga ke syurga.

Nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?

Buat pendosa diluar sana, berusahalah untuk melakukan taubat nasuha. Betulkan niat untuk menuju keredhaan Allah, nikmat iman itu sangat indah dan dirasai kemanisannya. Hidup kita hanya sementara, bukan selamanya. Biar pun kita pendosa, ketahuilah pintu taubat sentiasa terbuka, Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah

Friday, 10 February 2017

Pernikahan Pasangan ke 10 Baitus Solehah


Pernikahan ke 10 Baitus Solehah
Alhamdulillah, selesai sudah majlis akad nikah, pasangan ke 10 Baitus Solehah. Semoga pasangan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah, dikurniakan kerukunan, kesejahteraan, ketenangan, dan kebahagiaan di dalam rumah tangga hingga akhir hayat.

Akad nikah dihadiri wali, juru nikah, saksi dan beberapa tetamu jemputan. Pengantin dinikahkan sendiri oleh bapa sebagai wali mujbir. Maharnya RM 100.00 tunai.

Pasangan ada insan mulia yang sudi dan rela melindungi ibu dan anak hingga akhir hayat, kita doakan jodoh mereka panjang hingga akhir hayat di dalam kerahmatan Allah.

Majlis kami mudah sangat, kosnya sangat rendah. Sediakan mahar dan upah jurunikah. Tidak perlu pelamin bagai...

Selepas akad nikah selesai, pengantin perempuan boleh terus di bawa pulang ke rumah. Jadi kami tak perlu sebuk sediakan bilik pengantin. Segalanya dipermudahkan oleh Allah.

Terima kasih kepada yang sudi hadir meraikan majlis kami. Terima kasih kepada semua tetamu. Mohon maaf di atas kekurangan kekurangan dan tidak sempurna majlis kami.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Disebalik Kisah Pernikahan ini



Disebalik Kisah Pernikahan ini
Mana mana pelatih yang mahu terus mengasuh anak sendiri, keluarga menyokong cuma syarat tidak dibenarkan pulang ke rumah membawa anak, mereka terus berada di Baitus Solehah dalam suatu tempoh yang tidak had. Bermakna perlindungan diberikan sehingga ada waris menanda tangani untuk bawa keluar.

Mana mana yang telah bersedia untuk bekerja di dalam bidang perkhidmatan, mereka diizinkan bekerja dengan beberapa syarat yang mesti dipatuhi. Setakat ini Baitus Solehah hanya mengadakan MOU dengan Mak Jah Cafe dan Mak Jah Frozen Food.

Tujuannya menjaga kebajikan pekerja. Baitus Solehah masih memberi perlindungan dengan tujuan mendidik mereka di dalam pengurusan emosi, pengurusan kewangan, pengurusan masa dan pengurusan diri.

Mereka disediakan tempat tinggal, disediakan pengasuh untuk menjaga anak ketika keluar bekerja , disediakan pengangkutan sekiranya tempat tinggal jauh dari rumah dan pengangkutan untuk ke klinik atau hospital. Selain menjaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan, pergaulan mereka juga diberi perhatian. Ibarat emak bapa menjaga anak dara pingitan.

Bukan sewenang wenangnya bila sudah ada duit, mereka boleh berbelanja dan keluar kemana suka. Perbelanjaan diri mereka dikawal, bukan kita ambik duit mereka tetapi diarahkan untuk membuat tabungan atas nama anak. Mereka juga tidak diizinkan kemana mana sesuka hati. Nak kemana mana mesti bagitahu, ada teman dan ada keperluan. Saja saja nak berjimba tidak dibenarkan. Duduk aja rumah bila cuti. Jaga anak, mengaji dan hadir majlis ilmu.

InsyaAllah, bila ada jodoh, kahwin dengan lelaki yang datang cara baik meminang. Dalam ramai ramai yang keluar bekerja, ada seorang ini saya jadikan pengasuh. Memang dia tidak minat keluar. Masih membina kekuatan dalam diri untuk berhadapan dengan masyarkat.

Memang berpotensi menjadi pengasuh. Mengasuh anak anak kawan yang keluar bekerja. Cekap buat kerja rumah.

Suatu hari ada seorang jejaka mencari isteri. Sudah lihat dan telek pekerja yang bekerja satu tempat dengannya. Tidak ada seorang pun yang dia berkenan.

" ummi, masih ada ke ummi simpan anak ummi selain yang keluar bekerja ni ?"

" ada, kenapa?"

Saya pulak teruja nak tahu.

"Boleh ummi tunjuk anak yang ummi sembunyikan tu?"

"Dia cuma mengasuh anak anak aja."

"Saya nak tengok yang itu, boleh? "

Saya pun buatlah lakonan, adakan pertemuan tidak formal. Lebih kepada jejaka tu skodeng waktu saya makan di luar.

2 minggu selepas itu setelah timbang sukat diri, lelaki itu berani menyatakan hasrat untuk memperisterikan.

Yang disembunyi pulak dicari orang. Yang ada depan mata langsung tidak berkenan di hati.

Urusan memang mudah. Keluarga pihak jejaka juga mudah. "Manusia mana tidak pernah buat salah, siapa kita nak hukum jahat buruk perangai seseorang. Asalkan bertaubat dan berusaha menjadi baik itu sudah bagus " kata bakal bakal mertua kepada saya ketika keluarga jejaka datang merisik. Allahuakbar.

Sungguh tulus mereka menerima ibu dan anak untuk menjadi sebahagian ahli keluarga mereka. Sebak saya mendengr. "Terima kasih kerana sudi terima anak kami ini. Baik buruk tegurlah dia, kekurangan dan kelemahannya dibimbing ya. "

Saya sebak waktu berlangsung ijab dan kabul. Sebak kerana bersyukur atas hikmah yang Allah perlihatkan atas kesungguhan taubat nasuha dan kesungguhan mentaati Allah, Allah tunjukkan jalan yang baik. Allah hantar orang yang ikhlas menyayangi untuk melindungi.

Sebaik selesai solat Jumaat, suaminya datang bertemu untuk menandatangani urusan daftar keluar dari Baitus Solehah. Suaminya sebagai waris yang sah membawa pulang ke rumah. Menjaga dan melindungi anak dan ibu.

Jodoh itu datang sendiri, datang dengan cinta berlandaskan iman.

Bersungguhlah dengan taubat kamu wahai anak anak di luar sana kerana Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati kamu.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 9 February 2017

Ambik Ibu Dapat Anak



Ambik  Ibu Dapat Anak
Bahagia itu dalam takdir Allah. Kerja kita mendidik hati agar taat kepada perintah Allah agar iman terjaga dan terpelihara. Bahagia saya melihat kegembiraan seorang kanak kanak mendapat seorang bapa. Sebaik selepas ibunya di ijab kabul, anak itu mendekat pada si ayah. Insan mulia yang sudi memperisterikan, menjadikan anak ini mempunyai ayah.

Sudah pasti anak ini merasa sempurna kehidupannya seperti kanak kanak lain. Umur anak ini hampir mencapai 2 tahun. Ketika lahir hingga hari ini, anak ini berada di Baitus Solehah. Setiap lelaki menegur dia akan lari menyembunyikan diri dibelakang ibunya. Takut dengan lelaki. Menangis apabila diteggur apalagi jika ada yang cuba mendukungnya.

Itu sebab saya menggalakkan ibunya bernikah. Saya suruh ibu lihat keadaan anaknya yang takut dengan lelaki, anak itu akan hidup dalam ketakutan dan kekurangan.

Sebab itu saya sangat menghargai mana mana lelaki yang sudi mempersiterikan pelatih pelatih Baitus Solehah. Saya akan membantu memudahkan urusan. Selalunya pelatih dicalonkan adalah pelatih yang telah tinggal hampir 2 tahun di Baitus Solehah. Lagi lama berada di sini, lagi saya kenal hati budinya dan istiqomahnya dalam mentaati perintah Allah.

Yang berada di luar, telah keluar, mereka dalam jagaan waris, saya tidak dapat memberikan apa apa jaminan tentang akhlak dan istiqomah dalam mentaati perintah Allah. Moga moga mereka yang berada di luar sana tetap istiqomah beramal mentaati perintah Allah dan mendapat jodoh yang baik di sisi Allah.

Sapa pun melihat scene ini depan mata, akan merasa sebak. Sebak kerana seorang anak fitrahnya mempunyai bapa. Moga moga semua kita berusaha mendidik masyrakat supaya taat kepada perintah Allah.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 6 February 2017

Postpartrum / Meroyan Selepas Melahirkan Anak


Meroyan Selepas Melahir
Apabila ada 2 kes keadaan ibu selepas melahirkan berada di dalam keadaan emosi tidak stabil, dan keadaan fizikal tidak stabil membuat saya risau. Postpatrum bukan boleh buat main main. Jadi apa apa payah nak menjawap banyak pihak.

Kita sudah berusaha mengawal tetapi tetap berlaku. Kes pertama minggu lepas, apabila ibu berada di dalam keadaan murung, menyendiri, menangis tanpa henti, hanya memangku tanpa menyusukan anak. Mula bercakap sendiri, nak balik, nak balik. Kes kedua, yang ibu demam tiba tiba sampai mengigil gigil tubuh badan hingga meracau racau kerana suhu badan yang tinggi. Bila saya bawa ke hospital kemungkinan gangguan emosi. Sebabnya semuanya ok, tekanan darah normal, darah ok, luka jahitan baik.

Memang sejak mengandung emak bapa menyarankan anak mahu diserahkan kepada keluarga angkat. Anak akur kerana belum beranak. Selepas saja beranak, itu yang terganggu dalam fikiran. Tambah berat apabila sejak melahirkan anak, anak ditempatkan diwad bayi. Bila ibu dibenarkan pulang ke rumah, bayi belum boleh bawa pulang kerana masih menerima rawatan di wad bayi. Pagi semalam, ibu pergi melawat anak, dapat peluk cium dan menyusukan anak. Sudah rasa sangat sayang. Balik rumah, ibu ada bercakap , mahu pelihara anak sendiri, tak mahu menyerahkan kepada keluarga angkat, tapi macamana dengan emak bapa yang tidak benarkan saya jaga. Kemudian dia menangis hingga mengigil gigil badan.

Dan mula demam, hingga membawa ke pagi. Mana payudara bengkak walaupun dibuat urutan, dipam bercampur dengan gangguan emosi dalaman.

Syarat Baitus Solehah

Emosi ibu ibu lepas bersalin samada bersuami atau tidak bersuami tetap terganggu. Ada suami, ada sokongan suami, emak mertua, bapa mertua, emak, bapa, adik , kakak ipar duai. Namun masih ada yang tidak stabil emosi.

Sedangkan emosi ibu ibu yang tidak punya suami lagilah berganda ganda jika kita tidak jaga mental sejak bayi dalam kandungan. Sebab itu saya letak syarat, jika nak suruh saya tarbiyah anak di Baitus Solehah, anak mesti dipelihara sendiri oleh ibu kandung. Jika paksa serah anak kepada keluarga angkat, mesti atas kerelaan ibu. Ibu hanya boleh buat keputusan selepas menyusukan anak selama paling kurang 10 hari.

Keluarga kena sokong. Biar pun sokong dari jauh, biar pun tak jaga dalam berpantang, tapi tanya khabar dan benarkan ibu tu menjaga anak sendiri.

Saya dapat feedback, mana mana ibu yang terpaksa, dipaksa menyerahkan anak kepada keluarga angkat menanggung gangguan jiwa dalaman yang menyedihkan. Dihadapan orang nampak mereka kuat sebenarnya mereka lemah dan tidak berdaya. Menangis berhari hari hingga kini walaupun anak sudah berumur 2 tahun. Penyesalan yang tidak sudah sudah.

Tambah tambah anak yang dipaksa serah kepada saudara mara, konon nak menolong. Bila sudah bertukar hak, payah nak dapat jumpa, bila jumpa nak bahasakan diri mama pun tak boleh. Siap diberi amaran, " kalau kau buka rahsia kau emak kandung, lepas ni dah tak boleh tengok anak lagi". Alangkah duka dan pahit rasanya.

Ada kes bekas pelatih BS tahun lepas, selepas sebulan melahirkan anak, ibu kandung yang telah berkahwin semula, datang jemput bawa pulang. Selaku waris, saya benarkan kerana yang jemput ialah ibu kandung. Sedangkan masa daftar masuk, datang sendiri, masa tu ibu kandung belum tahu pelatih ni telah mengandung.

Setelah mendapat sebulan tarbiyah, ada kesedaran, pelatih telefon ibu memaklumkan keadaan dirinya yang sedang mengandung. Ibu tahu dan beri sokongan terus berada di Baitus Solehah. 3 bulan kemudian selamat melahirkan anak perempuan comel, anak kacukan orang putih.

Setelah sehat, dalam lingkungan sebulan, selepas bayi mendapat suntikan imunisasi pertama, ibu kandung datang dan menyatakan hasrat mahu bawa pulang. Ibu bawa pulang ke rumah mengikut procedur Baitus Solehah.

Setelah 4 bulan dibawa pulang, saya mendapat panggilan telefon staff dari sebuah hospital di Pantai Barat, bertanya adakah saya mengenali nama sekian . Saya mengakui saya kenal. Saya tanya kenapa? Rupanya Miss H ditemui berbogel di subuh hari dalam keadaan hilang ingatan. JPAM jumpa dan bawa ke hosiptal. Apabila dirawat, Miss H cuma boleh sebut nama dirinya dan hafal nombor telefon saya. Bila staff hospital tanya nombor siapa, ummi. Sebab tu staff hospital telefon saya untuk mengenal pasti.

Saya akui saya kenal dan saya bercerita. Saya tanya staff adakah dia bersama anaknya, Staff jawap tidak ada. Saya dibenarkan bercakap sendiri dengan pesakit, dan saya tanya,

"mana anak kamu?"

Dia meraung, " Mak beri orang, bapa tiri tak suka anak saya sebab anak haram."

Allahu akbar. Kasihan dia meroyan disebabkan dipaksa berpisah dengan anak sehingga jadi tidak waras. Selepas itu saya berikan maklumat keluarga dan nombor telefon agar pihak hospital menghubungi waris, iaitu ibu kandung supaya dapat dipanggil untuk dinasihati.

Ini antara kisah 1 dalam beratus ratus kisah bekas pelatih BS. Depan kita waris manis berjanji akan sokong ibu menjaga anak sendiri, tetapi bila sudah tiba di rumah lain kisahnya. Saya pun tidak berupaya untuk membantu lagi.

Jadikan iktibar dan pengajaran kepada ibu bapa yang sesuka suka memaksa bayi diserahkan kepada keluarga angkat. Memang maruah kena dijaga, bagaimana pulak keadaan gangguan jiwa pada anak. Penderitaan jiwa yang mereka tanggung hanya Allah yang tahu. Hanya yang benar benar kuat dan tabah berjaya melepasi ujian dengan iman.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah

#Selamatkan2Jiwa

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.