Monday, 6 February 2017

Postpartrum / Meroyan Selepas Melahirkan Anak


Meroyan Selepas Melahir
Apabila ada 2 kes keadaan ibu selepas melahirkan berada di dalam keadaan emosi tidak stabil, dan keadaan fizikal tidak stabil membuat saya risau. Postpatrum bukan boleh buat main main. Jadi apa apa payah nak menjawap banyak pihak.

Kita sudah berusaha mengawal tetapi tetap berlaku. Kes pertama minggu lepas, apabila ibu berada di dalam keadaan murung, menyendiri, menangis tanpa henti, hanya memangku tanpa menyusukan anak. Mula bercakap sendiri, nak balik, nak balik. Kes kedua, yang ibu demam tiba tiba sampai mengigil gigil tubuh badan hingga meracau racau kerana suhu badan yang tinggi. Bila saya bawa ke hospital kemungkinan gangguan emosi. Sebabnya semuanya ok, tekanan darah normal, darah ok, luka jahitan baik.

Memang sejak mengandung emak bapa menyarankan anak mahu diserahkan kepada keluarga angkat. Anak akur kerana belum beranak. Selepas saja beranak, itu yang terganggu dalam fikiran. Tambah berat apabila sejak melahirkan anak, anak ditempatkan diwad bayi. Bila ibu dibenarkan pulang ke rumah, bayi belum boleh bawa pulang kerana masih menerima rawatan di wad bayi. Pagi semalam, ibu pergi melawat anak, dapat peluk cium dan menyusukan anak. Sudah rasa sangat sayang. Balik rumah, ibu ada bercakap , mahu pelihara anak sendiri, tak mahu menyerahkan kepada keluarga angkat, tapi macamana dengan emak bapa yang tidak benarkan saya jaga. Kemudian dia menangis hingga mengigil gigil badan.

Dan mula demam, hingga membawa ke pagi. Mana payudara bengkak walaupun dibuat urutan, dipam bercampur dengan gangguan emosi dalaman.

Syarat Baitus Solehah

Emosi ibu ibu lepas bersalin samada bersuami atau tidak bersuami tetap terganggu. Ada suami, ada sokongan suami, emak mertua, bapa mertua, emak, bapa, adik , kakak ipar duai. Namun masih ada yang tidak stabil emosi.

Sedangkan emosi ibu ibu yang tidak punya suami lagilah berganda ganda jika kita tidak jaga mental sejak bayi dalam kandungan. Sebab itu saya letak syarat, jika nak suruh saya tarbiyah anak di Baitus Solehah, anak mesti dipelihara sendiri oleh ibu kandung. Jika paksa serah anak kepada keluarga angkat, mesti atas kerelaan ibu. Ibu hanya boleh buat keputusan selepas menyusukan anak selama paling kurang 10 hari.

Keluarga kena sokong. Biar pun sokong dari jauh, biar pun tak jaga dalam berpantang, tapi tanya khabar dan benarkan ibu tu menjaga anak sendiri.

Saya dapat feedback, mana mana ibu yang terpaksa, dipaksa menyerahkan anak kepada keluarga angkat menanggung gangguan jiwa dalaman yang menyedihkan. Dihadapan orang nampak mereka kuat sebenarnya mereka lemah dan tidak berdaya. Menangis berhari hari hingga kini walaupun anak sudah berumur 2 tahun. Penyesalan yang tidak sudah sudah.

Tambah tambah anak yang dipaksa serah kepada saudara mara, konon nak menolong. Bila sudah bertukar hak, payah nak dapat jumpa, bila jumpa nak bahasakan diri mama pun tak boleh. Siap diberi amaran, " kalau kau buka rahsia kau emak kandung, lepas ni dah tak boleh tengok anak lagi". Alangkah duka dan pahit rasanya.

Ada kes bekas pelatih BS tahun lepas, selepas sebulan melahirkan anak, ibu kandung yang telah berkahwin semula, datang jemput bawa pulang. Selaku waris, saya benarkan kerana yang jemput ialah ibu kandung. Sedangkan masa daftar masuk, datang sendiri, masa tu ibu kandung belum tahu pelatih ni telah mengandung.

Setelah mendapat sebulan tarbiyah, ada kesedaran, pelatih telefon ibu memaklumkan keadaan dirinya yang sedang mengandung. Ibu tahu dan beri sokongan terus berada di Baitus Solehah. 3 bulan kemudian selamat melahirkan anak perempuan comel, anak kacukan orang putih.

Setelah sehat, dalam lingkungan sebulan, selepas bayi mendapat suntikan imunisasi pertama, ibu kandung datang dan menyatakan hasrat mahu bawa pulang. Ibu bawa pulang ke rumah mengikut procedur Baitus Solehah.

Setelah 4 bulan dibawa pulang, saya mendapat panggilan telefon staff dari sebuah hospital di Pantai Barat, bertanya adakah saya mengenali nama sekian . Saya mengakui saya kenal. Saya tanya kenapa? Rupanya Miss H ditemui berbogel di subuh hari dalam keadaan hilang ingatan. JPAM jumpa dan bawa ke hosiptal. Apabila dirawat, Miss H cuma boleh sebut nama dirinya dan hafal nombor telefon saya. Bila staff hospital tanya nombor siapa, ummi. Sebab tu staff hospital telefon saya untuk mengenal pasti.

Saya akui saya kenal dan saya bercerita. Saya tanya staff adakah dia bersama anaknya, Staff jawap tidak ada. Saya dibenarkan bercakap sendiri dengan pesakit, dan saya tanya,

"mana anak kamu?"

Dia meraung, " Mak beri orang, bapa tiri tak suka anak saya sebab anak haram."

Allahu akbar. Kasihan dia meroyan disebabkan dipaksa berpisah dengan anak sehingga jadi tidak waras. Selepas itu saya berikan maklumat keluarga dan nombor telefon agar pihak hospital menghubungi waris, iaitu ibu kandung supaya dapat dipanggil untuk dinasihati.

Ini antara kisah 1 dalam beratus ratus kisah bekas pelatih BS. Depan kita waris manis berjanji akan sokong ibu menjaga anak sendiri, tetapi bila sudah tiba di rumah lain kisahnya. Saya pun tidak berupaya untuk membantu lagi.

Jadikan iktibar dan pengajaran kepada ibu bapa yang sesuka suka memaksa bayi diserahkan kepada keluarga angkat. Memang maruah kena dijaga, bagaimana pulak keadaan gangguan jiwa pada anak. Penderitaan jiwa yang mereka tanggung hanya Allah yang tahu. Hanya yang benar benar kuat dan tabah berjaya melepasi ujian dengan iman.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah

#Selamatkan2Jiwa

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment