Saturday, 3 February 2018

Setiap Mereka Berbeza Kisah

Kisah Dari Fail Peribadi



Pelatih 1

Datang dengan rombongan. Bapa kandung, bakal bapa mertua, bakal calon suami, emak kandung, bakal emak mertua, emak saudara, guru kaunseling dan rakan guru kaunseling. Guru kaunseling yang menguruskan permohonan masuk ke Baitus Solehah. Sebab itu bila daftar masuk semuanya hadir.

Mengandung disebabkan terlanjur dengan teman lelaki.

Masih belajar di sebuah kolej. Semester 3. Bila emak menyedari perubahan fizikal anak, emak bawa pergi jalani pemeriksaan di klinik. Emak maklumkan kepada keluarga lelaki. Rancang nak menikahkan tetapi kandungan sudah lebih 7 bulan. Kursus praperkahwinan belum pergi. Cadangan nak bernikah semasa mengandung tertangguh. Tunggu selepas melahirkan anak.

Maka dihantar ke Baitus Solehah supaya memperkukuhkan iman dan membetulkan akhlak. Sama sama mengakui kesilapan diri.
.
.
.
 
Pelatih 2

Turun aja kereta monyok. Duduk depan saya asyik memegang telefon, berwhatsapp dengan seseorang. Borang pun emak bapa yang isi. Bila emak bapa mahu pulang, menangis tanpa henti. Berpeluk. Emak dengan penuh diplomasi menansihati kenapa kena duduk di Baitus Solehah.

Bapa tenang. " saya sudah nasihat berkali kali jaga diri, saya larang tetapi tidak dipatuhi. Apabila sudah terlanjur, samada rela atau tidak, inilah tempatnya. Sedih sedih pun, sendiri yang melakukan. Bukan tidak diperingatkan. Di rumah semua cukup, segala kehendak dipenuhi, tapi masih buat juga."

Bukan bapa tidak terkesan dengan tangisan dan rayuan anak tidak mahu tinggal di Baitus Solehah, tetapi bapa tegas menetapkan keputusan setelah sebelum ini memberikan nasihat dan peringatan. Bapa keluar bekerja tetapi dia yang tidak patuh kepada larangan bapa.

Bapa bukan buang anak tetapi bapa mahu anak menyedari kesilapan diri. Bapa mahu anak taat kepada Allah, taat kepada Rasul dan taat kepada emak bapa. Solat taubat semata yang dilakukan di rumah tetàpi masih berhubung dengan pihak lelaki, ( bermakna masih melakukan maksiat) tidak mengubah apa apa. Hati masih hitam. Jadi perlu kepada pembersihan jiwa.

Sebab itu bapa mahu anak ini tinggal di Baitus Solehah untuk membersihkan hati , bertaubat dan berubah.

Apabila mereka bergerak pulang, saya peluk anak ini dan bawa masuk ke dalam rumah dan ajak mengerjakan solat maghrib. Anak yang baik.
.
.
.
 
Pelatih 3

Kandungan ke dua. G2P1. Emak bapa bercerai. Hak penjagaan jatuh kepada bapa atas persetujuan bersama. Setelah 7 tahun bersama bapa, bersekolah di sekolah agama hingga tamat tingkatan 5. Selepas SPM mohon izin mahu tinggal dengan emak kandung.

Semasa tinggal bersama dengan emak kandung , telah terlanjur dengan lelaki yang baru dikenali. Oleh kerana kejadian berlaku ketika tinggal bersama emak kandung, maka penjagaan waktu mengandung hingga melahirkan anak diuruskan oleh emak kandung. Tapi bila anak lahir, emak kandung telah menyerahkan cucu kepada keluarga angkat. Merana anak apabila bayinya diserahkan kepada keluarga angkat.

6 bulan selepas itu, mengandung sekali lagi. Mengandung dengan lelaki yang ada kerbat dengan emak kandung. Kali ini menyesal dan mahu berubah. Minta bapa jemput bawa pulang ke rumah bapa semula. Bapa mahu anak ditarbiyah semula. Emak tiri berusaha mencarikan tempat yang sesuai. Maka permohonan masuk Baitus Solehah dilengkapkan.

Sambil bercerita, bapa menangis. 3,4 kali bapa mengesat air mata bila bercerita kisah anak ini. Seorang lelaki payah untuk menangis, tetapi apabila anak ditimpa musibah mengandung tanpa suami, bapa menangis. Betapa sedih dan kecewa terhadap perbuatan anak. Anak ini telah diberikan pendidikan agama. Dijemput dan dihantar pergi balik sekolah asrama. Memang dijaga baik baik.

Moga anak tersedar akan kesilapan langkahnya selama ini yang menjauhkan diri dari bapa. Moga anak ini taubat nasuha dan tidak mengulangi lagi.

.
.
.

3 kisah daftar masuk pelatih baru hari ini dan semalam. Esok lusa pun ada lagi permohonan masuk. Terluka dan kecewa ibu bapa memang tidak dapat digambarkan. Kekesalan terhadap apa yang terjadi kerana perlanggaran larangan yang telah bapa tetapkan.

.
.
.

Semoga menjadi iktibar kepada emak bapa dalam mendidik anak anak. Jadikan anak sebagai kawan untuk berbincang, berkongsi cerita dan bergurau senda dalam batas yang agama benarkan. Emak bapa rajin rajin cari ilmu dalam mendidik anak soleh. Walau pun anak sudah besar mereka masih perlu dipantau dan diberi perhatian.

.
.
.

Ummi Cucu Seribu,

Muna liza binti Ismail

#DariFailPeribadi



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment