Tuesday, 9 November 2010

Jariah Yang Terus Mengalir

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات



3 Minggu lepas zauj bagitahu rancangan Fakulti Tamadun Islam, UTM nak buat outreach ke Kemboja dan Vitenam pada bulan Zulhijjah ini. Mereka bercadang untuk melaksanakan ibadah korban di sana.


Zauj minta ummi uruskan mencari dana sesiapa yang ingin mewakafkan Al-Quran, telekung,sejadah dan muqaddam kepada penduduk kampung di sana.


Syukur kepada Allah, dalam sehari ummi war-warkan kepada sahabat-sahabat, ummi dapat kumpul dana membeli barang-barang keperluan itu. Ummi dapat kumpul dana sebanyak RM 1300.


Hari Jumaat, 5 November 2010,kebetulan cuti umum sempena Hari Deepavali, ummi ajak beberapa anak-anak halaqah temankan ummi ke Mydin. Mastura, Nurin dan Nisa temankan ummi ke Mydin, bantu memilih telekung, Al-Quran, Sejadah dan Muqaddam.


Dengan wang sebanyak itu, keberkatan yang Allah kurniakan, ummi dapat membeli 50 naskah Al-Quran, 100 naskah muqaddam, 30 helai sejadah dan 30 helai telekung. Di rumah pula terdapat sedikit telekung dan sejadah yang telah dikumpulkan oleh pelajar semasa kelas di KL tempoh hari.


Hari Isnin,zauj dah bawa semua barang-barang ke Fakulti untuk dibungkus dan dipos ke sana. Pihak Pos Malaysia telah menaja penghantaran barang-barang ke Kemboja. Barang-barang yang dihatar bukan itu sahaja, ada lagi barang-barang lain yang dikumpulkan oleh staff lain.


Jadi ketika kumpulan perserta berangkat ke Kemboja, barang yang dibawa tidaklah terlalu banyak lagi.


Rupanya amat mudah untuk mengumpul dana bagi membantu penduduk miskin di Kemboja. Barang-barang yang diwakafkan ini menjadi jariah yang sentiasa mengalir. Ummi pesan sahabat yang memberikan sumbangan agar meniatkan wakaf atas nama orang yang telah meninggal dunia.


Bila kita niatkan dengan nama arwah, ganjarannya jadi berganda. Orang yang telah meninggal tu pun dapat, orang yang mengeluarkan wang pun dapat. Alangkah Maha Pemurah nya Allah Ta'ala.



Ummi teringat kata-kata seorang ustaz, selain ibadah yang ganjarannya dapat ganda 2, ada juga ibadah yang boleh jadi ganda 3 ganjarannya. contohnya:


'Seorang anak membuat haji badal untuk arwah ibunya'. Bagaimana? Haji badal ialah mengupah orang lain mengerjakan haji untuk orang yang telah meninggal dunia. Jadi di sini, seorang anak, telah mengeluarkan duit dan mengupah orang lain mengerjakan haji buat arwah ibunya. Yang dapat ganjaran pahala haji itu ialah, arwah ibunya, anak yang mengeluarkan duit dan orang yang mengerjakan haji itu. Lihat betapa Maha Pemurahnya Allah Ta'ala.


Sebab itu selalu ummi galakkan sesiapa sahaja, jika ingin bersedekah,niatkan sedekah itu buat arwah yang tersayang. Ia akan jadi ganda 2. Lagi pun sedekah itu akan jadi saham untuk dirnya apabila meninggal dunia dan menjadi hadiah buat arwah di alam barzakh sana.


Begitu juga harta yang diwakafkan, selagi harta itu digunakan, ganjarannya berterusan, bagai air yang mengalir.


Sebab itu Dari Ibnu Umar Ra., Rasulullah bersabda:


“Apabila anak adam meninggal dunia, terputuslah semua amal perbuatannya kecuali tiga perkara: Sedeqah jariyah, Ilmu yang bermanfaat dan Anak soleh yang mendoakan orang tuanya”. (R. Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Jika kita lihat hadith ini,kenapa susunan ganjaran pahala boleh sampai kepada simati adalah dimulai sedekah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan akhir sekali baru doa dari anak soleh?


Ini kerana, untuk bersedekah, dengan apa pun boleh, samada wang, tenaga dan fikiran. Jika dia membantu orang membina surau,membantu menggunakan tenaga atau wang atau fikiran , selagi surau itu berfungsi sebagai surau hingga kiamat,ganjaran jariahnya akan terus mengalir. Perkara ini semua orang mampu lakukan.


Ilmu pula hanya orang yang ada ilmu sahaja boleh mengajar dan berdakwah. Sebab itu, Satu hadith yang tidak asing lagi di kalangan kita, walau apa jua latar belakang pendidikan kita sama ada daripada latar belakang sekolah biasa yang dikatakan masyarakat sebagai ‘sekular’ sehinggalah ke sekolah yang ada perkataan ‘maahad’ di hadapannya, pastinya kerap kedengaran:


“Sampaikan dariku walau satu ayat”-Riwayat Bukhari (no 3461) dari Abdullah ibn Umar.

Ini adalah pesanan Rasullulah SAW kepada kita, seolah-olah satu wasiat yang baginda tuliskan kepada kita supaya setiap daripada kita menyampaikan apa sahaja yang kita tahu kepada orang lain, walaupun satu ayat.


Sedangkan doa anak solah hanya orang yang punya anak, anak itu pula telah dididik dengan baik,sempurna agama dunia dan akhiratnya. Bagaimana dengan orang yang tidak punya anak? Mereka yang tidak berkahwin, berkahwin tetapi tak dapat zuriat, atau ada yang punya ramai anak, tetapi tidak dididik dengan sempurna agama akhiratnya. Bukan anak soleh, anak yang sering melawan, tidak mempedulikan ibu bapanya. Jadi walaupun ada anak tetapi tidak mendoakan ibu bapanya. Maka ganjaran pahala dari anak soleh hanya diletakkan susunan ketiga di dalam hadith itu.


Maka itu ummi galakkan biar sedikit rezeki yang ada, sumbangkan juga kepada orang lain. Rezeki yang jadi milik kita ialah yang kita belanjakan. Yang kita simpan belum tentu lagi jadi milik kita. Jika mati jadi pusaka, anak yang dapat. So...jom banyak-banyak bersedekah selain mengeluarkan yang wajib iaitu berzakat.




wallahualam...




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.






No comments:

Post a Comment