Friday, 5 November 2010

Indahnya Namaku

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركات
Namaku Nu'man Al-Farisy


Nama adalah identiti dan nilai diri. Pengenalan awal diri seseorang bergantung kepada nama. Bahkan, harta pertama yang diberikan ayah atau ibu kepada anaknya adalah nama.


Islam menetapkan ibu bapa menamakan anak dengan nama yang bermaksud baik. Sifat manusia sukakan yang indah dan baik. Islam itu indah. Allah sukakan yang indah.


Justeru, pemilihan nama anak tidak harus dipandang ringan. Nama anak yang didaftarkan tidak boleh ditukar, melainkan atas keperluan tertentu.


Sebagai Muslim kita percaya kepada hari kebangkitan atau hari akhirat.Sesungguhnya nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat. Setiap anak Adam dibangkitkan dan dipanggil dengan nama seperti nama di dunia.


Sabda Rasulullah bermaksud: “Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud).


Pemilihan nama anak secara tidak langsung melambangkan identiti ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak mereka dengan penuh teliti dan berhemah.
Nama yang baik adalah doa, harapan ibu bapa kepada anak mereka. Dengan memberikan nama yang baik, mencerminkan niat suci ibu bapa supaya anaknya menjadi manusia yang baik seperti tersirat di sebalik namanya.


Sebaliknya, nama yang bermaksud buruk diumpamakan seperti sumpahan. Nama buruk mencemarkan taraf kedudukan manusia sebagai makhluk paling mulia di muka bumi.


Setiap ibu bapa ingin melihat permata hati mereka membesar dan hidup dalam baik, berjaya dan selamat. Permulaan hasrat itu perlu dilakukan dengan memilih nama yang baik. Nama dapat memberi pengaruh terhadap orang yang diberi nama.


Memilih nama baik untuk diberikan kepada anak adalah kewajipan ibu bapa. Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat mengenai kewajipannya sebagai ayah.

Lalu Rasulullah menjawab dengan sabda bermaksud: “Hendaklah kamu memperelokkan namanya, didik dan asuhlah dia serta letakkan dia di tempat sebaik-baiknya. ” (Hadis riwayat at-Tausi).


Proses memberi nama anak perlu dilakukan sebaik mungkin mengikut garis panduan yang diberikan Islam. Jangan pakai ikut suka hati tiru pengaruh Barat. Makin ramai tertarik dengan nama berbau kebaratan yang didakwa lebih moden dan sedap itu.


Pada zaman Rasulullah, ramai sahabat mempunyai nama tidak elok maknanya. Nama buruk itu dipilih ibu bapa ketika zaman jahiliah lagi yang tidak peduli soal pemilihan nama untuk anak. Justeru, Rasulullah mencadangkan nama baru untuk menggantikannya.


Diceritakan oleh Aisyah seperti diriwayatkan Tarmizi, bahawa Rasulullah biasa mengubah nama yang tidak baik kepada nama yang baik. Malah nama baik juga diberikan Rasulullah kepada nama tempat atau bandar.


Rasulullah pernah menukarkan nama anak perempuan Umar al-Khattab daripada Ashiyah yang bermaksud penderhaka kepada Jamilah bererti cantik.


Diriwayatkan juga pernah Rasulullah menukar seorang bernama Hazan (duka cita) kepada nama Sahel yang bermaksud mudah. Namun pemuda itu tidak mahu menukarkan nama diberikan bapanya itu. Akibatnya, dia sendiri mengakui perasaan duka cita tidak pernah lekang daripada dirinya.


Ketika Rasulullah tiba di Madinah, nama tempat itu ialah Yathrib yang bermakna `keburukan’. Lantas, Rasulullah menyatakan kepada penduduknya agar ditukar kepada nama baru iaitu Madinah yang membawa makna `yang indah’.


Jika nama tempat tidak boleh di nama dengan nama buruk, tentulah lebih lagi kepada manusia. Maruah manusia banyak bergantung kepada namanya. Penggunaan nama baik lambang betapa Islam amat mementingkan kepada imej baik. Nama baik diharapkan memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.


Pendapat lain mengatakan nama bayi perlu diberikan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Hujah ini berdasarkan kepada hadis yang menyebut setiap anak bergantung kepada akikahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuh kelahirannya dan dinamakan serta dicukur kepalanya.


Pemilihan nama anak mestilah indah disebut dan membawa makna yang baik. Maksud indah ialah senang disebut, mudah diingati dan ringkas. Nama itu hendaklah melambangkan nama yang biasa digunakan orang Islam.


Nama yang biasa digunakan orang kafir sebagai melambangkan agama mereka hendaklah dielak. Sesetengah ulama mengharamkan penggunaan nama yang jelas melambangkan penganut agama lain.


Namun, nama orang Islam tidak semestinya dalam bahasa Arab seperti yang difahami sesetengah orang. Bagaimanapun, lebih elok jika nama yang dipilih untuk anak dirujuk maknanya mengikut bahasa Arab. Ia penting bagi mengelak makna buruk dalam bahasa Arab.


Didapati banyak nama Melayu diterjemahkan ke dalam bahasa Arab mempunyai makna buruk dan mengaibkan, biarpun amat baik bunyinya dalam sebutan Melayu. Nama binatang, perbuatan buruk, maksud buruk dan nama berhala banyak dinamakan kepada anak tanpa diketahui maksudnya oleh ibu bapa ketika menamakan anak mereka.


Nama dalam bahasa Arab hendaklah dieja dan disebut betul-betul. Tambahan atau tertinggal satu huruf membawa makna berbeza. Justeru, elok jika dirujuk dulu kepada pakar bahasa Arab bagi mendapatkan ejaan dan sebutan tepat nama untuk mengelak salah makna.


Sekarang ini ramai ibu bapa yang sengaja menambah huruf kepada ejaan nama anak supaya kelihatan agak pelik dan panjang. Penambahan huruf q, e, y, f dan z banyak dilakukan kepada nama kerana dikatakan menarik. Banyak masalah timbul akibatnya.


Pemilihan nama anak juga perlu menunjukkan perbezaan jantina. Pemilihan nama anak lelaki dengan nama melambangkan anak perempuan adalah tindakan mengaibkan anak. Anak akan berdepan dengan masalah pengenalan identiti jantina.


Biarpun, dalam masyarakat Islam di Malaysia penggunaan bin dan binti untuk membezakan lelaki dan perempuan, penggunaannya hanya digunakan dalam urusan rasmi atau ketika nama ditulis. Sedangkan ketika panggilan harian tidak disebut bin atau binti.


Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak. Hanya ibu bapa tidak senonoh memilih nama tidak baik untuk anaknya. Nama Allah berjumlah 99 juga perlu dihindari daripada diberikan kepada anak. Nama itu hanya tertentu untuk Allah. Dijelaskan bahawa Rasulullah pernah menukarkan nama seorang sahabat yang digelarkan Abul Hakam kepada Abu Syuraih. Nama Abul Hakam seperti nama Allah al-Hakam yang bermaksud terserah kepada-Nya segala hukum.


Nama yang boleh menimbulkan rasa sombong juga ditegah diberikan kepada anak. Ini berdasarkan kepada kisah Rasulullah yang bertemu seorang wanita bernama `Barrah’ bererti `Yang selalu berbuat baik’. Lantas Rasulullah memanggil nama wanita itu Juwairiyah.


Ibu bapa juga dinasihatkan mengelak daripada menggunakan nama panjang yang mengandungi gabungan beberapa nama. Ia biasanya berlaku apabila ibu dan bapa tidak sepakat memilih nama terbaik.


Ibu dan bapa perlu bertolak ansur untuk menentukan nama bagi anak yang baru dilahirkan. Bersabarlah, nama pilihan masing-masing boleh digunakan kepada anak seterusnya.


Islam tidak membenarkan penggunaan nama yang mendatangkan masalah untuk disebut dan diingati. Pemilihan nama panjang membuktikan kecelaruan fikiran ibu bapa dalam memilih nama anak.


Soal memilih nama anak bukan perkara mudah. Berilah nama yang terbaik dan menggembirakan anak apabila dewasa nanti. Ada anak berusaha menukar nama selepas menyedari masalah timbul akibat nama yang diberikan oleh ibu bapa.



INTI PATI


# Nama diberikan kepada anak di dunia kekal digunakan di akhirat.
# Ibu bapa bertanggungjawab memilih nama anak dengan penuh teliti dan berhemah.
# Islam menegah sama sekali ibu bapa melakukan sesuatu yang mengaibkan anak.
# Ada nama Melayu diterjemahkan ke bahasa Arab mempunyai makna buruk dan memalukan.
# Nama baik boleh memberikan kesan jiwa atau rohani kepada pemilik nama untuk berkelakuan baik seperti namanya.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment