Sebenarnya kisah ibu tinggal sebatang kara bukanlah fenomena yang luar biasa pada zaman sekarang. Ini zaman anak-anak tidak lagi tinggal bersama ibu bapa apabila dewasa, apatah lagi apabila sudah berumah tangga.
Memang sedih jika terjadi pada orang yang kita kenali. Menjaga orang tua memang sukar. Hatinya yang perlu dijaga,bukan keperluan fizikalnya saja. Selalunya ibu tua tidak lagi memandang kemewahan dan wang ringgit, apa yang mereka perlukan adalah perhatian dan kasih sayang.
Kalau kita tanya,ramai akan jawap mereka sayang ibu, tapi bagaimana mahu menyayangi seorang ibu yang telah tua? Ibu pun tahu anaknya sayang, tapi di saat usia begini,dia lebih memerlukan perhatian, selalu diziarahi, selalu dihubungi...
Kalau seorang perempuan atau lelaki yang kita cinta, kenapa hari-hari rasa nak bergayut di telefon...
Tapi kenapa tidak dengan ibu sendiri? Ibu yang melahirkan kita, disaat tua sendirian,mereka nak kan perhatian, mereka nak berteman...
Kenapa tidak kita mahu meniru budaya orang cina, mereka suka tinggal ramai-ramai didalam satu rumah, terutama adik beradik lelaki. Mereka bawa ibu bapa yang telah tua, telah bersara tinggal bersama mereka...
Tapi kenapa orang Islam jarang ada yang berbuat begitu? Apa yang pernah ummi temui,
bila mereka bawa ibu tua tinggal bersama mereka, ibu tua tu dibuat seperti pembantu, suruh jaga anak,suruh masak. Tu kadang ibu tua tak mahu tinggal dengan anak-anak...
Sedangkan bila dah tua, suami tiada, masa muda dulu mungkin mereka selalu lalai dan leka, jadi bila dah tua mereka nak beribadah sepenuh masa tanpa gangguan. Tak nak ada hingar bingar teriak dan tangisan cucu. Masa tua ini kalau boleh mereka ingin selalu dapat ke surau atau masjid mengikuti kuliah maghrib, kelas mengaji quran untuk membetulkan bacaan , tajwid dan mahraj.
Jadi bila ibu tak mahu tinggal dengan anak,bukan salah ibu...
Tapi keadaan yang tidak sesuai dengan situasi dirinya...
Semakin bertambah usia emas seseorang, hatinya lebih mudah tersentuh, jiwanya mudah terasa, emosinya sangat sensetif, sanubarinya selalu pilu...
Yang dah Insaf,kepada Khaliknya dia berserah...
Tu maka ibu tua suka tinggal sendiri...
Jadi anak pula...
jangan biarkan dia terus sendirian...
selalulah ziarah, telefon dan kalau mampu sediakan pembantu buat teman dia di rumah.
walaupun dah ada pembantu,jangan pula terus abaikan...
Perhatian seorang anak tidak sama dengan perhatian pembantu...
Dan ibu tu lebih memerlukan anak dari pembantu...
Tapi ibu faham keadaan anak.
Anak-anak perlu bekerja untuk mencari rezeki, anak-anak juga ada keluarga sendiri, cucu-cucu perlu bersekolah, perlu belajar. Mereka bukan tidak suka cucu, cuma mereka cuma mahu cucu tu datang sekadar berziarah melihat mereka, tapi bukan tinggal bersama...
Ummi bawakan 2 contoh ibu tua tunggal. Jalan untuk tidak membiarkan ibu tua tinggal sendirian.
Kisah 1.
Seorang ibu tua, tinggal di utara tanah air kita ini, mempunyai ramai anak-anak yang bekerja dan tinggal jauh dari kampung halaman. Apabila suami meninggal, dia tidak mahu tinggal bersama anak-anak. Hatinya tetap mahu tinggal di rumah sendiri, yang terletak dipinggir sawah padi.. Bila melihat keadaan begini, seorang anak lelakinya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai pensyarah sebuah universiti di selatan tanah air. Alasannya, rezeki ada di mana-mana, boleh di cari, tapi ibu nya cuma satu sahaja. Dah kalau ibu tidak mahu tinggal bersama dia, dia yang perlu tinggal bersama ibunya.
Tidak tergamak dia mahu meninggalkan ibunya seorang diri di rumah. Maka terus dia meletakkan jawatan 24 jam dan balik kampung tinggal dengan ibunya, jaga ibunya hingga akhir usia ibu. Hati nya bahagia kerana dapat membahagiakan ibu hingga saat akhir usia ibu. Hidup rumah tangganya dirahmati Allah, bahagia dan rezeki melimpah dari sumber tidak dijangka.
Kisah 2.
Apabila suami meninggal, ibu tua ini faham, sukar untuk anak-anak bertukar tempat kerja, maka dia dengan hati yang lapang, bersedia tinggal bersama dengan anak-anak. Oleh kerana anak lelakinya ramai, dia membuat giliran untuk tinggal dengan anak lelaki mengikut giliran. Baginya semua menantu perempuannya baik-baik belaka. Dia pun memang baik dengan semua menantu perempuan. Tidak pernah dengar dia bercerita buruk tentang menantu-menantu yang dia tinggal bersama.
Ibu tua ini cuma balik rumahnya setahun 3 atau 4 kali. Setiap tahun, tiap kali hari raya,samada hari raya puasa atau hari raya haji, semua anak-anak akan balik berkumpul di rumah pusaka. Tinggal di rumah itu seminggu untuk dibersihkan sahaja.
Walaupun tinggal dengan anak, ibu tua ini bahagia juga, kerana dia dari awal redha dan berlapang dada. Dia tetap dapat meneruskan amal ibadahnya seperti biasa. Dapat berpuasa sunat, bersolat sunat, berzikir mengikut waktunya. Dia menjadikan rumah anak seperti rumahnya sendiri, bukan dia anggap menumpang di rumah anak. Ibu tua ini pandai sesuaikan dirinya. Walau di mana dia tinggal, dia tidak perlu masak, atau nak berkemas atau mencuci pakaian. Semua menantu menyediakan kemudahan untuk dirinya.
Menantu juga sentiasa boleh meluangkan masa untuk berbual dengan mentua, meluangkan masa untuk duduk memicit badannya, selalu bertanya keperluan dirinya.
Alhamdullilah, anak-anak lelakinya adalah anak-anak yang soleh, maka isteri kepada anak-anaknya juga terdidik untuk mentaati suami dan ibu mentua. Sebab itu ibu tua ini tidak tinggal dengan anak perempuan. Anak perempuannya tidak bekerja, maka bginya tidak mahu membebankan menantu lelaki yang memang telah sedia menanggung anak isteri. Bagi ibu tua ini, menantu perempuan sama dengan anak perempuannya, rapat dan mesra.
Setiap kali dia akan bergerak tinggal ke rumah yang lain, akan dibawanya satu beg besar, yang mana di dalamnya telah tersedia semua peralatan menguruskan jenazah. Dia dah pesan pada anak menantu, jika dia meninggal, buka saja beg itu, semua perkakas dah ada. Dia akan bisik di telinga menantunya, "mak minta maaf kalau ada salah silap, dan mak maafkan semua salah silap kamu semua, mak halalkan semua makan minum." Bila menantu cium pipinya dia akan peluk pula menantu. Jadi menantu mana yang tidak sayang kepadanya.
Begitulah satu situasi antara anak dan ibu yang telah tua. Salah satu perlu bertolak ansur dan memahami keadaan masing-masing. Jangan ada yang saling berkeras dan tidak mahu bertolak ansur demi membina keberkatan hidup yang sementara ini. Semoga bila kita berhadapan dengan situasi begini kita mohon petunjuk Allah untuk menunjukkan jalan, memberi penyelesaiannya, memudahkan urusan.
Semoga kita tergolong menjadi anak yang soleh dan solehah.
Impianku menjadi isteri solehah
No comments:
Post a Comment