Wednesday, 9 December 2009

Ulangtahun ke 25 Usia Perkahwinanku

Alhamdullilah ku panjatkan syukur, sampai juga tarikh ini 09/12/09 di dalam hidup ku. Masuk saja tarikh ini jam 12:00 tengah malam, terus aku menulis di sini. Sekian hari aku menunggu tarikh ini, genap usia perkahwinan ku yang ke 25 tahun.

Dari jam 10:30 malam aku terasa mengantuk, penat, aku rehat dan lelapkan mata sekejap dengan harapan nanti apabila menghampiri jam 12:00 tengah malam aku boleh terbangun. Nyata, jam 11:21, aku terjaga dan bangun duduk menghadap komputer ini. Sempat aku menerbitkan satu artikel bertajuk Manusia Unggul di Laman Utama Halaqah.net.

Entah kenapa tarikh ini ku nanti pada tahun ini. Pada tahun-tahun sebelumnya, tidak pula pernah aku nantikan. Aku tidak tahu kenapa pada tahun ini aku rasa suatu keistimewaan, mungkin juga angka 25 itu agaknya. Orang kata Jubli Perak. Bermakna aku menyambut Jubli Perak perkahwinan ku pada tahun ini.

Apa yang mahu aku buat malam ini? Muhasabah diri dan rumah tangga? Merenung kembali segala suka duka yang telah dilalui bersama zauj ku ini selama 25 tahun bersama dengan nya. Mengimbas kembali kenangan-kenangan hidup dari mula zauj bernikah dengan ku hingga saat ini dalam melayari bahtera rumah tangga.

9 Disember 1984, bersamaan 15 Rabiul Awal 1405 H , hari Ahad, jam 10 :30 pagi rasmilah sudah aku menjadi isteri apabila abah menikahkan aku di rumah sebelah( Rumah Tok Cik/isteri muda arwah atuk).

Selepas bernikah, zauj datang bertemu dengan aku di dalam bilik pengantin, aku hulur tangan untuk bersalam dan zauj mencium dahi ku. Pernikahan gadis zaman dulu tidak sama pernikahan gadis zaman sekarang. Aku tidak mendengar pun lafaz ijab dan kabul semasa akad nikah. Pengantin perempuan hanya duduk dalam bilik menanti pengantin lelaki datang menjenguk ke bilik apabila selesai akad nikah.

Mula awalnya, aku menanti di dalam bilik dengan berpakaian kebaya songket hitam , rambut disanggul tinggi serta bercucuk sanggul lintang. Aku berpakaian demikian kerana menanti zauj untuk melihat aku dalam keadaan tanpa tudung. Ya lah...untuk pertama kali zauj nak lihat wajah isteri tanpa tudung. Namun tidak pula aku bersolek tebal macam di andam. Aku cuma memakai bedak nipis, mencalit sedikit pewarna merah di bibir. Tak adalah aku pakai bulu mata palsu atau pemerah pipi atau pembayang mata biru.

Selepas saja zauj melihat wajah asliku , cepat-cepat zauj suruh pakai tudung hitam labuh kerana adik lelakinya sebagai jurugambar nak ambik gambar. Hari perkahwinan ku, tanpa ada pelamin, kami cuma bergambar berdua sebanyak 3 keping sahaja. Gambar itulah yang ku simpan hingga hari ini. Aku besarkan saiznya sedikit, dan ku gantung di tepi tangga laluan turun dan naik rumah.

Saja je gantung gambar tu di situ, buat kenangan kepada anak-anak. Melihat wajah ummi ayahnya ketika muda. Moga mereka boleh mengambil teladan keadaan rumah tangga ummi ayahnya yang tidak pernah berlaku sebarang pertengkaran atau pergaduhan. Ini yang aku ingat, sepanjang usia perkahwinan ku, aku tidak pernah bergaduh dengan zauj. Orang kata sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Antara aku dan zauj, tidak pernah tergigit lidah. Sentiasa manja dan harmoni. Apatah lagi jauh untuk bertengkar.

Masih ingat lagi, hiasan kamar pengantinku, baldu merah menyala. Simple saja hiasannya.Memang samada walimah dan persiapan kamar tidur, persiapan diri sebagai pengantin, sangat sederhana. Memang aku agak naif dan daif dari segi persiapan untuk berkahwin,maka aku tidak tahu apa-apa perlu disiapkan.

Mana tidaknya, 3 hari sebelum walimah untuk bernikah, aku baru habis peperiksaan akhir semester 1 ketika aku di tahun 2, UTM. Sebaik habis exam, terus aku balik ke rumah, ditemani sahabat baikku Norlida Ali. Sampai di rumah, terus aku di inai pada malamnya. Kiranya ketika aku sampai di rumah, semuanya telah siap, aku cuma perlu hulur tangan untuk diinaikan.(Sebenarnya betapa rapatnya aku dengan Norlida, sehingga aku pernah terniat untuk berpoligami dengannya. Rasa macam nak ajak dia bernikah juga bersama dengan ku ketika itu.)

Pada hari pernikahan tu, ramai sahabat-sahabat dari aku sekolah rendah, menengah hingga aku di universiti yang datang. Kiranya, antara kami semua, aku terawal bernikah.Sahabat pun suka, tambahan sahabat semasa di universiti, lagilah nak datang meraikan, kerana aku berkahwin dengan pensyarah mereka. Pensyarah subjek Pendidikan Islam, subjek wajib universiti dimana semua pelajar wajib ambil, tidak kira muslim atau non-muslim.

Mereka tertarik dengan cara perkahwinan ku yang tidak langsung bercinta. Aku dan zauj hanya mula berkenalan selepas bertunang dalam tempoh 3 bulan sahaja. Itu pun kami berkenalan melalui surat. Kiranya berutus suratlah. Cuma aku tidak ingat adakah surat ku itu melalui pos atau melalui tangan (by hand).

Langsung aku tidak ingat bagaimana cara kami berutus surat tu.Tapi tak banyak mana pun surat-surat yang aku terima, sekadar surat untuk mengenalkan diri sendiri sahaja. Tak ada surat-surat yang isinya meluahkan perasaan.Tapi surat begitu pun, sudah membuat dada ku berdebar tidak terkira disaat membacanya. Maklumlah surat dari seorang tunang. Yang membuat aku jadi berdebar ialah, cuma perkataan yang zauj guna bahasakan dirinya , sebagai 'abang'.

ihks..ikhs...memang berdebar. Hati mula bercambah sayang, tapi tidak terlahir dan terzahir. Rupanya itu hikmah bertunang.Walaupun tidak kenal, tidak jumpa melainkan masa berta'aruf sahaja, boleh membuai rasa dan menimbulkan perasaan kasih sayang.

Sebab itu sebaik bernikah, terus rasa nak peluk zauj dan zauj pun kata,kalau tidak ada orang di bilik pengantin ketika itu, mahu dikucupnya bibir sebab seumur hidupnya dia belum pernah menyentuh mana-mana perempuan,apatah lagi untuk mencium.

Kiranya selepas bernikah, hubungan kami sangat intim penuh kasih sayang.Ibarat orang bercinta, dan cinta itu subur hingga hari ini. Indah dan mengasyikkan.Rumah tangga yang kami bina penuh dengan kerukunan dan kebahagiaan.

Dan memang ini doa yang selalu aku lafaz, panjatkan kehadirat Allah SWT;

Ya Allah,
Aku pohon pada MU,

Kurniakanlah
ke atas rumah tangga ku ini,

Kerukunan, kedamaian,
ketenangan,
Keselamatan,
Kesejahteraan, Kebahagiaan

di dalam redha MU,
rahmat MU
dan kasih sayang MU,

hingga akhir hayat ku,

di dunia dan di akhirat.


Kekalkan jodoh ku ini

hingga akhir hayatku
di dunia dan akhirat.

Satukan hati kami

dengan kasih sayangMU

Suburkan cinta kami
dengan
rahmat dari MU
Limpahkan hati kami berdua
dengan
ketenangan dan redha MU.

Ya Allah,
Kurniakan kepada aku,
zauj dan anak-anakku
Iman yang sempurna,
akhlak yang terpuji
Pekerti yang mulia
Satukan kami sekeluarga
dengan ikatan akidah
dan kasih sayangMU.

Ameen...

Inilah doa yang selalu terdetik dihati ummi tidak kira bila masanya. Asal teringat sahaja zauj, terus ummi berdoa di dalam hati samada ketika tengah malam, ketika masak, ketika memandu, ketika sakit atau ketika sihat. Pendek kata selalu berdoa begini di dalam hati.




Impianku menjadi isteri solehah

4 comments:

  1. Assalamualaikum ummi.

    Indah sungguh gambaran perkahwinan ummi yang diceritakan. Semoga perkahwinan ummi akan sentiasa beroleh barakah dan rahmatNYA..

    Amin..


    (",)

    ReplyDelete
  2. Ameen...begitulah perkahwinan yang ummi lalui dari awal hingga saat ini. Usahkan untuk melukai, menguriskan hati ini pun tidak pernah dilakukan oleh zauj pada ummi.

    ReplyDelete
  3. "Ya Allah Ya Tuhanku, seandainya telah kau catatkan dia milikku, tercipta buatku, dekatkanlah dia padaku, satukan hatinya dengan hatiku, titipkanlah kemesraan di antara kami agar kebahagiaan itu abadi.
    Dan Tuhanku Yang Maha Pengasih, seiringkanlah kami dalam melayari ketepian yang sejahtera, sepertimana yang Engkau kehendaki."
    ~ Amin Ya Rabbal 'Alamin ~

    ReplyDelete
  4. “ Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayangMu, bertemu di atas ketaatan kepadaMu, bersatu di jalan dakwahMu dan berjanji menegakkan AgamaMu... Maha Suci Engkau, perteguhkanlah tali ikatan antara kami ini, limpahkanlah kasih sayang di dalam hati kami ini. Engkau tunjukkanlah kami jalan hidayahMu, sesungguhnya padaMu kami berserah dan tempat kami memohon pertolongan “
    ~ Amin Ya Rabbal Alamin ~

    ReplyDelete