Thursday, 31 December 2009

Lukisan Hati Ku



Lukisan hati seorang ummi.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman.” [ Surah Al-Imran : 139 ]

Tiada manusia sempurna

Tiada manusia sempurna. Selain Rasul dan Nabi, tiada lagi yang maksum selain mereka. Semua manusia melakukan dosa.

Namun, sebaik-baik pembuat dosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah SWT.

Memang, orang akan hina kita, orang akan perli kita, orang akan kata pada kita itu dan ini. Memang sukar berhadapan dengan semua kritikan dan hinaan itu. Namun kita kena tabah.

“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sematkan dalam diri kita bahawa, semua kritikan, perlian, hinaan itu adalah balasan terhadap dosa kita. Kita kena bersabar melalui balasan yang Allah beri itu, di samping kita juga bergerak mempertingkatkan diri kita. Jangan kita terfikir untuk membalas hinaan mereka dengan hinaan, atau berfikir untuk berhenti dari perubahan kepada kebaikan.

Kalau kita berhenti, maka kita sebenarnya telah tertipu oleh syaitan yang mati-matian cuba menghalang kita daripada Allah SWT. Tiada manusia sempurna, bila berbuat dosa itu adalah lumrah sebagai manusia.

Namun, apabila kita ini sedar dan berusaha bangkit dari dosa kita, maka kita sebenarnya adalah yang terbaik dari kalangan manusia. Hal ini kerana, kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah SWT.

“Sesungguhya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri” Surah Al-Baqarah ayat 222.

Dan sedikit kepada yang menghina orang yang berdosa, ketahuilah bahawa anda juga tidak sempurna, dan punya dosa yang perlu diperbaiki. Maka, apa kata dari anda menghina-sisih orang-orang berdosa, anda bersama-sama mereka berpimpin tangan memperbaiki diri ke arah redha-Nya?

Keampunan Allah

Wahai anak-anak yang terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat, bila kita bangkit dan ingin melakukan perubahan, ketahuilah bahawa yang mengampunkan kita adalah Allah SWT, bukan manusia.

Yang menentukan manusia itu kafir atau Islam adalah Allah. Yang mengira dosa pahala adalah Allah. Yang memberikan syurga neraka kepada kita adalah Allah.

Maka, berubahlah memohon keampunan-Nya. Jangan kita hirau pandangan manusia. Kita tidak meminta keampunan mereka. Jangan kita kisah hinaan mereka, bukan mereka yang mengampunkan kita.

Manusia, mereka mudah menyimpan di dalam hati. Tercalar, mereka simpan sampai mati. Bila kita berdosa, mereka sukar menerima kita kerana rasa dikhianati. Tetapi Allah, keampunan-Nya lebih luas dari kemarahan-Nya. Allah, sentiasa membuka pintu taubat-Nya. Walau hamba-Nya membunuh 100 nyawa, atau lebih dari itu, andai hamba itu kembali kepada-Nya, maka Dia akan menerima.

Lihatlah kecintaan Allah SWT dalam ayat-Nya:

“Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir” Surah Yusuf ayat 12.

Allah tidak meninggalkan kita, walau seluruh dunia menyisihkan kita. Dia, menyuruh kita menyambungkan harapan kita kepada-Nya. Maka jangan berputus asa. Allah bersama kita.

Sedikit kepada yang suka menghina pendosa, ketahuilah bahawa Allah itu lebih mulia dan lebih besar dari kamu. Namun Allah pun berkasih sayang dan memberikan peluang. Kamu?


Kepada penghina yang berdosa

Jangan sesekali kita rasa kita ini sudah sempurna. Hati kita ini, di hujung kekuasaan Allah SWT untuk membalikkannya. Jangan ingat, hari ini kita beriman, esok kita akan beriman lagi. Sepatutnya kita menjaga keimanan kita, dan menjaga pula keimanan kawan-kawan dan anak-anak kita. Bukan membiarkan mereka di dalam lubang kehinaan selama-lamanya.

Ada satu kisah, berkenaan seorang alim. Satu hari dia berjalan, kemudian terlanggar seorang nasrani. Semasa terlanggar itu, si alim berkata: “Tak guna punya ahli neraka”

Si Nasrani marah. Si Nasrani berkata: “Apakah kau yang memegang neraka? Maka saksikanlah bahawasanya aku ini naik saksi bahawa Allah itu tuhanku, tiada tuhan selain Dia, dan Muhammad itu Rasul-Nya” Kemudian Si Nasrani meninggalkan si alim itu.

Si Alim meneruskan perjalanan, akhirnya dia melalui sebuah rumah. Keluar dari rumah itu gadis yang sangat cantik, hingga memikat dirinya. Maka dia segera bertemu dengan ayah perempuan itu, meminta untuk dikahwinkan dengannya. Rupanya, keluarga itu adalah keluarga nasrani. Si Ayah berkata:

“Jika kau hendak mengahwini anakku, maka masuklah ke agamaku ini, dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan”

Oleh kerana hatinya sudah sawan dengan perempuan itu, tanpa sedar, lelaki alim tadi bersetuju.

Satu ketika, lelaki nasrani yang sudah Islam tadi, melalui kembali jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim tadi yang sedang mengembala khinzir.

“Apa yang sudah berlaku kepada kamu wahai muslim?”

Si alim tadi menjawab: “Kerana aku menghinamu, maka Allah menukarkan kedudukan kita”

Ini kisah buat ingat-ingatan kepada yang suka menghina pendosa.

Dan ini kisah ketinggian maratabat seorang wanita...

KUASA LAYANAN PEREMPUAN

* Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.


KUASA DOA PEREMPUAN

* Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya:"Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

KUASA TAQWA PEREMPUAN

* Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

* Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

* Kekuasaan taqwa ini pula adalah kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

* Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw: "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasannya)

Impianku menjadi isteri solehah

No comments:

Post a Comment