السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam. MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Hari ini mungkin ummi mahu meluahkan apa yang terbuku di hati ini. Mungkin entri hari ini agak emosi. Namun ummi hanya manusia biasa yang kadang kala terguris juga hati, dan terusik perasaan yang tenang selama ini. Ianya bermula dengan satu mesej bertanya," ummi dah sihat,bila balik rumah?"
Selama ummi sakit dan diperlukan tinggal di wad, bukan sekali ini, ummi tinggal di wad, tapi dah selalu dan banyak kali, dan ummi akur akan keterbatasan seseorang untuk datang menziarahi orang sakit kerana kekangan waktu dengan urusan dunia, jarak perjalanan dan kehendak kerjaya. Namun bagi ummi , jika sekadar menghantar mesej bertanyakan perkembangan ummi pun, ummi dah rasa syukur dan gembira, tapi jangan terus bertanya soalan seperti di atas. Emosi ini tambah terganggu apabila dalam ummi bertenang, mencari bahan untuk renungan dan santapan rohani , menjumpai pula hikmah menziarahi orang sakit yang digalakkan oleh Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam dan disukai Allah Subhanhu Wata'al.
Menziarahi orang sakit adalah amalan yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Rasullulah amat menggalakkan menziarahi orang sakit? Apa sebab dan hikmahnya?
Sesungguhnya amalan menziarahi orang sakit itu banyak hikmahnya dan fadilatnya, diantaranya mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam, melahirkan rasa kasih sayang dan sifat belas kasihan, sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, mendatangkan keinsafan kepada kita, ingat kepada kematian dan seterusnya mendorong kita untuk bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Ali Radiallahuanhu ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada seorang Muslim itu melawat seorang Muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan tiada dia melawatnya pada waktu petang melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu pagi dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam Syurga". (Riwayat Al-Imam At-Termizi)
Sesungguhnya orang-orang Islam itu adalah bersaudara dan persaudaraan yang diikat dengan perasaan cinta-mencintai dan kasih mengasihi akan dapat menghasilkan hubungan yang harmoni dan bahagia dalam kehidupan. Islam menganjurkan beberapa amalan yang boleh kita lakukan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam, antaranya seperti menziarahi saudara-saudara kita yang sakit.
Menziarahi orang sakit adalah amalan yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, hukumnya adalah sunat mua'akad dan ia merupakan salah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai seorang Muslim sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Hak seorang Muslim keatas Muslim yang lain ada lima perkara : Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Namun begitu, menziarahi orang sakit tidaklah hanya terbatas kepada menziarahi ahli keluarga sahaja bahkan menyeluruh kepada sesiapa sahaja, baik sahabat handai mahupun jiran tetangga.
Ketika menziarahi orang sakit, Islam menetapkan adab-adab yang perlu kita patuhi, antaranya tidak duduk terlalu lama ketika berziarah kerana dikhuatiri orang yang sakit itu merasa kurang selesa, keluh kesah dan menghalang pergerakannya. Akan tetapi tidaklah makruh duduk lama jika kunjungan itu dapat mententeramkan dan menghiburkan hatinya.
Sebenarnya bagi ummi yang selalu diuji dengan sakit dan kesakitan, selalu perlu tinggal di rumah sakit untuk berikhtiar mendapatkan rawatan, kehadiran sahabat, saudara, teman-teman amatlah di tunggu-tunggu sebagai teman untuk berbual bagi mendapat mententeramkan jiwa dan menghiburkan hati melalui kata-kata nasihat dan semangat dari orang sihat. Orang sakit akan dirasai, bahawa dia dihargai bila ada yang datang menziarahi.
Ummi tahu ramai orang sibuk dengan urusan dunia, (menziarahi orang sakit ini,hanyalah sebahagian urusan akhirat), terbatas dengan kekangan masa, jarak perjalanan dan kerjaya yang memerlukan tumpuan. Jadi bagaimana kita mahu mengambil pengajaran saranan menziarahi orang sakit jika kita tidak berusaha meluangkan masa itu. Kita kah tuan atau masa kah tuan?Jika kita tuan,maka kita yang menguruskan masa, jika masa itu tuan ,maka kita terpaksa akur dengan masa yang sentiasa sibuk sehingga membataskan hati kita ingin menziarahi orang sakit.
Menziarahi orang sakit adalah amalan yang disukai Allah Subhanahu Wata'ala dan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, hukumnya adalah sunat mua'akad, begitu juga membaca doa qunut menjadi sunat mua'akad ketika solat subuh, sehingga jika ada yang tidak melakukan sanggup orang mempertikaikan, namun menziarahi orang sakit, mereka buat tidak kisah? Dan banyak lagi sunat-muakad lain orang cuba melakukan, tetapi sunat mua'akad yang satu ini tidak berapa dipedulikan?
Tahukah orang yang sihat bahawa, orang sakit itu, memang sentiasa redha, bersabar atas segala ujian dan dugaan Allah, namun jika ada orang datang ziarah, hati akan ceria dan gembira? Sebenarnya orang sakit, orang tua sentiasa sunyi dan suka jika ada yang menziarahi mereka. Mereka ini sentiasa menunggu-nunggu kedatangan sahabat, teman , saudara dan kenalan tidak kira jauh atau dekat.
Bagi orang yang sakit itu, memang dia sudah sedar dan faham bahawa jika dia bersabar serta redha kepada ketentuan Allah maka dia akan mendapat pengampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Selain itu doa orang yang sakit adalah mustajab sehingga diumpamakan doa mereka itu seperti doa para malaikat dan kita disunatkan meminta daripada orang yang sakit itu supaya dia mendoakan bagi kita.
Akhirnya jadikanlah amalan menziarahi orang sakit sebagai budaya kita kerana ia mencerminkan perpaduan umat Islam dan dapat memberikan banyak pengajaran yang berfaedah bagi kita dan sama-samalah kita berdoa semoga kita dikurniakan keafiatan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Asy Syu'araa' ayat 78-80 tafsirnya :
"Tuhan yang menciptakan daku dari tiada kepada ada, maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku. Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku".
Maaf, pembaca entri hari ini, ummi emosi kerana pagi-pagi lagi, tanpa tanya keadaan diri ummi, terus tanya,bila balik/keluar hospital? Tak datang ziarah, tak tanya tahap keadaan kesihatan ummi, samada dah boleh duduk sendiri kah, dah boleh suap makan sendiri kah, tetapi terus bertanya bila balik? Nak balik macamana, duduk pun belum boleh, perlu bantuan untuk di dudukkan , lepas itu , bila dah boleh duduk, kena belajar gerakkan kaki, buat exercise, kena belajar bertatih guna tongkat, dan belajar melangkah dengan betul.Apabila sudah boleh menguruskan diri, berjalan ke bilik air, barulah doktor akan membenarkan pesakit balik ke rumah.
Ummi tetap tersenyum di katil, kelihatan seseolah seperti orang tidur sahaja.
Sekarang ni, keadaan ummi, baru hari ni,boleh duduk dengan sendiri tanpa pertolongan orang lain, boleh menyuap makanan sendiri,tidak lagi menunggu zauj datang untuk menyuapkan makanan tetapi masih pagi-pagi dimandi oleh jururawat di atas katil ini, buang air masih menggunakan tiub, (tiub urine masih lagi terpasang). Segala aktiviti ummi masih sekitar atas katil. Solat duduk menggunakan tayamum sahaja. Menggunakan tayamum sebab tangan ada balutan dan tiub urine yang sentiasa terpasang dari saluran vigina.(Seseolah menanggung najis).
Tangan ummi masih diselirati dengan tiub-tiub menyalurkan ubat dan bius
Jadi dengan mengangkat hadas secara tayamum, terangkat hadas yang lain juga. Bukannya ummi boleh pergi ke bilik air untuk bersuci setiap kali bersolat. Mengangkat hadas besar pun ummi hanya bertayamum sahaja sebab ketika ummi dikira suci dari haid,waktu itu ummi masih terlantar dipembaringan tanpa boleh bergerak. Solat pun secara isyarat mata sahaja.Mengangkat hadas yang mudah untuk ummi hanyalah bertayamum. ( Jika siapa yang ahli dalam fiqh,jika ummi silap,harap tegur untuk betulkan)
Mohon maaf kepada yang bertanya jika jawapan ummi dengan emosi tanpa hikmah.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
Terima Kasih ummulqurra atas doa ummulqurra terhadap ummi.
ReplyDelete9 Feb 10, 02:36
ummulqurra: salam. semoga ummi cepat sembuh dari luka. moga selepas ini skala sakit ummi ialah 0/10. amin..