بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Hadis riwayat al-Bukhari:
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: "Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya"
Hadis ini bermaksud, Allah Ta'ala menguji orang tertentu dengan pelbagai musibah untuk memberikan ganjaran kepadanya. Sekadar peringatan diri sendiri, bila sakit atau ditimpa musibah, janganlah mengeluh, tapi hendaklah kita bersyukur kerana Allah masih lagi mengingati kita, hambaNya.. .
Selain tu, hadis dari riwayat al-Bukhari dan Muslim:
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., dan Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: "Tidak menimpa seseorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya"
Maka bila sakit banyak-banyak kanlah selawat, zikir, mengingatiNya, sesungguhnya setiap penyakit itu pasti ada ubatnya, seperti yang tercatat dalam hadis riwayat al-Bukhari:
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda: "Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuh untuknya"
Doa melegakan kesakitan : Hadis riwayat Muslim
Daripada Uthman bin Abu al-Ass r.a., ia mengadu kepada Rasulullah saw akan kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam, lalu Rasulullah saw bersabda kepadanya: "Letakkan tangan engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit, dan katakanlah: 'Dengan nama Allah', sebanyak tiga kali, kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: 'Aku mohon berlindung dengan Allah dan kekuasaanyaNya daripada keburukan yang aku dapati dan aku berwaspada"
Muhasabahlah diri sementara kita masih diberi peluang untuk bertaubat, diberi peluang untuk terus mengejar peluang mencari pahala, mencari keredhaanNya, bekalan untuk dibawa di alam akhirat nanti, ketika masa lapang, apakah yang kita lakukakan, apakah kita lebih banyak melakukan dosa daripada mencari pahala, fikir-fikir kanlah sementara masih ada...
Ingatlah firman Allah dalam surah al-'asr(103) ayat 1-3 yang bermaksud:
وَالْعَصْرِ : Demi masa!
إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ : Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ : Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Apa yang ingin ummi tulis hari ini bukan lah rintihan tetapi ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca bagaimana keadaan kesakitan yang ummi tanggung di dalam proses pemulihan ini. Sebab itu ummi cari hadith dan ayat quran sebagai penawar hati ini.
Selesai pembedahan, tulang yang rosak telah diganti baru, ummi masih simpan tulang-tulang yang doktor potong hari tu buat kenangan. Doktor bagi tulang-tulang yang telah dipotong tu, suruh tanam, tapi ummi masih belum tanam. Tulang tu ummi bawa balik rumah, dan ummi cuci keringkan.
Tulang tu putih bersih macam tulang kaki lembu. Masih melekat daging-daging ummi di tulang tu.Dah kering dan ummi simpan dalam sampul surat.
Apa yang ummi rasai dalam tempoh pemulihan ini ialah rasa sakit luka pembedahan itu sahaja lagi. Sakit asal, sebelum dibedah dah memang tak ada. Masa tulang dipotong dan digerudi, tak rasa sakit. Yang sakit ialah luka di bahagian daging-daging dan kulit.Amat berbisa, berdenyut-denyut rasanya.
Selain ada urat yang putus, menyebabkan ada bahagian tepi sendi yang hilang deria rasa, sentiasa kebas, som-som tulang juga disedut buang ketika pengerudian tulang untuk menanam implant. Sekarang ini sekitar tulang kering, bengkak, ada hematoma. (pendarah berlaku dan darah tu dah beku). Nampak macam lebam. Bahagian ini yang sakit bersambung dengan luka hingga ke buku lali.
Bisanya amat mencekam, kalau tak sabar, ummi cakap pada zauj, mahu rasanya meraung saja, meluahkan rasa sakit ni. Usaha doktor membantu ummi dengan membekalkan beberapa jenis 'pain killer' tetap membantu mengurangkan rasa sakit, namun kesakitan tu tetap terasa. Ada beberapa jenis 'pain killer' yang dibekalkan antaranya arcoxia 90mg tablet, tramadolHCL50mg capsule, PCM 500 mg dan celebrex 200mg celecixib capsule. Ummi makan ikut aturan, namun, rasa sakit tu memang berkurang, cuma tidak menghilangkan seluruhnya. Allah izinkan dengan meringkan rasa sakit tu sekejap sahaja. Zauj kata, apa yang boleh dia bantu hanyalah tolong usap, urut, picit dibahagian-bahagian yang sakit tu. Dia pun tak mampu nak tolong rasakan kesakitan tu, jika boleh pass rasa sakit pada dia, dia sedia untuk berkongsi sama. Anak-anak pun sama, bantu gosok mana bahagian yang patut, agar ummi rasa lega.
Jadi rasa sakit yang di alami ini beradun dari bisa luka, bisa daging nak melekat dengan implant, bisa urat putus, bisa som-som disedut buang hari tu menjadi satu. Memang doktor dah bagitahu, nanti dengan sakit, bisa dan rasa sengal-sengal akan di rasai dalam tempoh pemulihan selama 3 bulan ni. Cuba bayangkan dalam 3 bulan, bukan 3 hari atau 3 minggu...
Redha dengan apa yang Allah kurniakan dan bersabar dengan apa sedang dihadapi, itu sahaja yang ummi mampu lakukan. Sebab itu ummi tidak putus berdoa, agar diberikan sentiasa kekuatan, ketabahan, kecekalan dan kesabaran dalam menghadapi kesakitan ini. Tak mampu untuk ummi gambarkan rasa sakit tu, cukup sekadar ummi katakan, sapa yang mampu merasai jika kulit terguris pisau atau tercucuk duri. Jika kulit tercalar duri pun dah rasa pedih, apatah lagi jika tulang dipotong-potong, urat putus, daging dilapah dan kulit dibelah hingga ke tulang. Lukanya dalam dan panjang sekitar 17 cm.
Sebab tu jika ummi meraung pun, tak ada gunanya, kerana rasa sakit tu tetap ada. Ubat penahan sakit hanyalah ikhtiar untuk membantu mengurangkan rasa sakit dengan izin Allah. Dan penawar utama supaya ummi leka (agar rasa sakit tidak berapa dilayan sangat) adalah dengan berhalaqah, menulis blog dan menjawap persoalan di forum Halaqah.net selain berbual-bual jika ada tetamu yang datang ziarah.
Begitulah gambaran rasa sakit yang dialami sekarang ini. Kalau orang tanya, "apa khabar?" Pasti ummi jawap "khabar baik." Badan memang sihat, tetapi sakit tu yang tidak dapat di luahkan. Semoga Allah membantu ummi dalam mentaati NYA dan RasulNYa.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment