بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً
Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allahdengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
(Al-Ahzab, (33) : 41)
Menerawang memikirkan betapa asyiknya cinta lantas membayangkan kepedihan saat bersendirian tanpa si dia di sisi. Memang sunyi.
Itulah yang dikatakan kuasa cinta, sering diungkap dua sejoli. Kuasa cinta yang mampu menjadikan seseorang bertindak di luar jangkaan, mengubah diri seorang insan menjadi gila, kadangkala sanggup bertindak di luar batasan akal seorang insan.
Namun, cinta dan keimanan akan melahirkan keajaiban serta kekaguman, mengubah dunia yang suram menjadi terang serta membuatkan seseorang lebih peka mengenai kehormatan juga kemuliaan.
Menurut pakar psikologi, cinta adalah himpunan nilai kemanusiaan yang di dalamnya menjelmakan makna sebenar manusia dan kerana itu, orang yang tidak mampu mencintai akan kehilangan makna sebagai manusia. Hilangnya cinta adalah kehancuran bagi manusia.
“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”
Muqaddimah
Bait-bait nasyid kumpulan Quturunnada di atas sering mengingatkan kita kepada hakikat cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang dibawa oleh Qutrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kerancakan irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid pada masa sekarang.
Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :
1. Cinta kepada Allah
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah. Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap.
Firman Allah SWT :“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya. Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
Firman Allah SWT (yang bermaksud) :“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)
2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’
Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para anbiya’. Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.(Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)
Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dibuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.
3. Cinta Sesama Mukmin
Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)
Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."(Surah Israk, ayat 24)
Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...(Surah Al-Fath, ayat 29)
Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”(Surah Al-Hasyr, ayat 9)
Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu. Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.
Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu kuat bergelombang. Salah satu darinya ialah mainan cinta.
Tidak sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini. Dalam berbicara persoalan peringkat pembinaan ‘cinta lutong’, As-Syauqi pernah bermadah :Benar kata Syauqi, cinta lutong ini bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah.
Firman Allah SWT yang bermaksud :“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan...”(Surah An-Nuur, ayat 30)
Betapa bahayanya cinta lutong ini boleh dilihat apabila pasangan yang dihanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi dari memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak didodoikan dengan suara halus dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebur harapan masyarakat yang dipikulkan di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat demikian, layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing masyarakat? Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah perkahwinan.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”(Bukhari : no. 1772, Muslim : no. 2485)
Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari kekangan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak membuka pintu yang lain.
Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak, hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari turut terjun dalam arus ganas cinta lutong.Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan! Dan sekalipun kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam sebagai medan jihad dan perjuangan. Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal.
Usia emas yang diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu. Namun, kita manusia boleh tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita. Sekalipun kita arif malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah sekadar tipuan, namun kita bisa rebah dalam ketewasan yang kita sendiri sebenarnya merelakannya.Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?
2 hari selepas ummi keluar wad, ummi dapat jemputan walimah sahabat di Rumah Alumni,UTM. Bila dikhabarkan pada zauj, tentang majlis walimah tu, terus zauj kata "jom kita pergi". Sambil terpingga, ummi menjawap, "bang, muna malu nak pergi, jalan pun masih tidak berapa kuat lagi" Rupanya zauj, lupa keadaan ummi. Ini disebabkan sebelum ini, kemana pergi mesti berteman dan berdua. Oleh kerana tiada keuzuran syarie, zauj pergi seorang diri dan membawa salam ummi kepada tuan rumah.
Pagi semalam zauj telefon dari pejabat, " ada Bengkel Penulisan Journal di Desaru, nanti lepas Solat Jumaat kita pergi. Ummi siap-siap ya." Sekali lagi zauj lupa keadaan ummi. Ummi diam tidak berkata apa-apa.
Bila petang zauj balik, "kenapa tak siap lagi?" Ummi jawap, "esok angah nak balik, siapa nak hantar angah ke Hentian Bas?" Ummi memberikan alasan. Tak sampai hati ummi nak kata, yang sebenarnya keadaan ummi tidak mengizinkan untuk berjalan jauh. Zauj pun lupa sebab memang dah jadi kebiasaan dari awal perkahwinan , walau kemana jua zauj pergi, isteri selalu menemani. Sedihnya ummi tak dapat pergi temankan zauj kali ini.
Akhirnya, zauj tak jadi pergi ke Daesaru. Nampak tidak bersemangat untuk zauj pergi menghadiri Bengkel tu. Memang asalnya nama zauj tidak tersenarai sebagai peserta Bengkel kerana masa penyenaraian nama peserta, ummi masih di wad menerima rawatan. Pada masa itu, zauj tidak pasti bila ummi dijangka keluar wad.
Namun atas tanggungjawap sebagai pengurusan Fakulti, pagi tadi zauj pergi juga ke Desaru dengan ditemani oleh Abdullah Mubarak dan Muhammad Imran. Pergi menjenguk Bengkel yang di adakan oleh FTI dan semua staf akademik turut terlibat.
Memang benar pepatah 'disebalik kejayaan seorang lelaki, ada perempuan dibelakangnya'. Apa juga yang zauj lakukan, peranan ummi ialah memberikan sokongan dan dorongan. Mesti sentiasa memberikan kata semangat agar zauj tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam kerjaya zauj yang semakin hari semakin bertambah. Menjadi salah seorang ahli pengurusan tertinggi sebuah fakulti bukanlah mudah seperti ketika menjadi seorang pensyarah dahulu. Banyak kerja yang dilakukan memerlukan pemikiran dibandingkan tenaga. Bila malam sahaja, zauj pasti keletihan dan memerlukan belaian seorang isteri bagi meredakan ketegangan dalam kerja hariannya.
Zauj memang macam itu, apa juga yang dilalui dalam kehidupan harian mesti diberi sokongan dari isteri. Dari segi kerjaya atau amalan harian. Begitu juga untuk pergi kemana-mana, hatta ke pasar untuk membeli keperluan harian. Mahu sentiasa isteri menemani. Kalau berjauhan dengan isteri, ummi kira sehari berpuluh kali zauj akan telefon ummi.
Sebab itu, sejak ummi dan zauj memiliki telefon, ummi masih ingat,ummi tidak boleh off handphone, telefon zauj tidak boleh tak ada kredit,jika masa dulu guna prepaid.Lepas tu ummi tukar kepada pasca bayar. Guna bil, supaya tidak ada masalah berkaitan kredit panggilan. Kalau telefon zauj rosak, ummi kena cepat-cepat belikan yang baru. Segala kemudahan zauj ummi perlu pastikan yang terbaik. Ummi tidak mahu zauj mengalami sebarang kesukaran untuk zauj menghubungi ummi bila-bila masa yang dia inginkan. Sebab itu telefon sentiasa bersama ada bersama ummi,kalau tidor, telefon disisi kepala ummi, tak boleh senyap, takut tak dengar bunyi panggilan dari zauj. Memang ummi amat berhati-hati menjaga keutamaan ini jika zauj tiada di sisi ummi, walaupun sekadar ke pejabat sahaja.
Ummi sendiri pun jika zauj bermusafir, rasa kosong, dan hari dirasakan panjang sangat untuk berlalu. Jika zauj terpaksa bermalam, pastinya sebelum tidur, bergayut sebentar dan awal pagi zauj pasti dah telefon. Memang kami berdua rasa sukar bila berjauhan. Pasti saling rindu merindui. Ini kuasa cinta suami isteri.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
Salam Ziarah ummi..
ReplyDeleteAiii ummi..
2 tread cerita pasal cinta.. Romantiknya ummi dan ustaz...
hehe..
Alhamdulillah...
Semoga Ummi dan Ustaz Othman dilimpahi rahmatNya sentiasa...
Doakan siti dapat zauj yang soleh juga.. Aminnn...
Teringat kalau hadir kuliah hadis ustaz othman.. Ustaz buat lawak tapi riak mukanya selamber je...
Kimi semua dah tergelak2 tak tahan dengar ustaz buat lawak...
Aduii laaa...
Kebetulan anazahra, sebab perkara berturut-turut berlaku, jadi jiwa masih dibuai rasa rindu bila berjauhan.
ReplyDeleteMoga anazahra dipertemukan dengan jodoh yang baik disisi Allah.
Begitulah wibawa ustaz di mana jua...bercakap bila perlu, diam lebih baik dari berkata perkara yang sia-sia, orang ketawa, dia hanya setakat senyum.