Wednesday, 10 March 2010

Yakinlah pada Janji Allah


Kalam Hikmah ke 7 Imam Ibnu Athaillah Askandary "Jangan anda diragukan pada janji Allah oleh (sebab) tidak (belum) terjadi sesuatu yang dijanjikan, meskipun zaman nya telah tertentu. Hal ini supaya jangan ada keraguan itu (menimbulkan) kerosakkan pada matahati dan memadamkan nur cahaya rahsia hati anda."


 Bagi hamba-hamba Allah SWT, yang selalu patuh dan taat pada menjalankan ajaran-ajaran agamanya, di dalam hidupnya pasti akan timbul sewaktu-waktu suatu "keputusan hati" atau dengan kata lain "ketetapan hati" pada sesuatu yang tidak bertentangan dengan agama.

Contohnya,ketetapan hati untuk berkahwin dengan seorang perempuan yang menurut kita adalah baik pada pandangan agama, untuk menjaga kita jangan sampai jatuh pada sesuatu yang tidak diridhai oleh agama. Ketetapan hati yang kita buat adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti petunjuk melalui mimpi yang bukan dikacau atau diganggu syaitan dan Iblis. Seseolah mimpi itu datangnya dari Malaikat.

Cuma yang terang hal keadaan itu kita terima dari hamba Allah yang soleh dan taat, ataupun keputusan hati itu datang dengan perantaraan ilham yang betul-betul dari Allah SWT.

Apabila keputusan hati atau ketetapannya datang seperti di atas, tetapi kenyataannya bahawa yang terjadi tidak seperti demikian, atau betul terjadi tetapi meleset dari waktu yang ditetapkan, maka dalam hal ini, kita mesti yakin dan tidak boleh ragu-ragu pada janji Allah. Janji Allah adalah benar, cuma belum sampai masanya.

Allah belum mahu menyampaikan janjiNya, berkemungkinan salah satu daripada 3 perkara berikut:

1) Mungkin janji itu akan ditukar oleh Allah dengan sesuatu yang lebih baik menurut Allah, jika merujuk contoh  yang  diberikan, kita tidak diizinkan oleh Allah untuk berkahwin dengan "A", tetapi Allah merealisasikan janjiNya bahawa kita mengkahwinkan dengan "B".

2)Adakalanya janji Allah ditepati olehNya di akhirat, dengan menjanjikan hal keadaan ini sebagai pahala buat kita.

3) Janji Allah itu dilaksanakan juga olehNya, tetapi agak lambat dari waktu yang telah ditetapkan, oleh kerana mungkin saja Allah melaksanakan janjiNya ada pertalian dengan syarat-syarat atau sebab-sebab di mana kita tidak mengetahuinya sama sekali.  Seperti contoh di atas, Allah melambatkan perkahwinan dengan "A" , kerana Allah menghendaki agar persiapan-persiapan kita telah begitu lengkap sebelum menghadapi perkahwinan.  Allah SWT tidak memperlihatkan syarat-syarat untuk terlaksana janjiNya itu, tidak lain selain hikmah yang dikehendaki olehNya.  Dan apabila kita menoleh pada hikmah tersebut, maka tentu saja dalam hati kita tidak timbul keraguan apa-apa tentang Allah melaksanakan janjiNya.

Wajib keatas kita selaku hamba Allah mengetahui dimana ukuran kita,  yang dalam hal ini kita tidak boleh mendahului Allah,  dan kita juga harus menjaga adab kita kepadaNya. Dengan demikian maka tenanglah hati kita, yakin dan tidak ragu-ragu atas keputusan hati dan ketetapanNya dimana telah kita anggap keadaan ini sebagai janji Allah.  Apabila pendirian kita seperti ini, maka bererti aqidah kita terhadap Allah telah begitu mendalam dan pasti tidak akan tergoyang oleh apa pun. Maka barang siapa yang telah diberi hikmah oleh Allah seperti aqidah ini, nescaya orang tersebut telah dapat disebutkan dengan 'Aarif-Billah (yang betul-betul mengenal Allah),  Saliimul Bashiirah (yang sejahtera katahtinya).

Tetapi jika pada hamba Allah itu tidak ada dalam keyakinannya seperti yang telah disebutkan tadi,  maka tentu  saja orang tersebut adalah tidak mengetahui Allah, matahatinya rosak dan hatinya penuh dengan kegelapan yang bermacam-macam.

Demikian lah erti kalam hikmah di atas, dan mudah-mudahan menjadi petunjuk buat kita dalam menghadapi berbagai permasalahan dalam hidup dan kehidupan ini. InsyaAllah.


Berulangkali ummi baca untuk menenangkan hati sendiri,namun air mata juga yang tumpah membasahi pipi. Sukar untuk ummi menerima keadaan yang berlaku sekarang ini. Hilang segala kekuatan diri dan kepercayaan pada diri sendiri. Semangat untuk ummi meneruskan segala usaha yang Allah redha ini runtuh sekelip mata. 

Ummi muhasabah diri, merenung segala kesilapan dan kesalahan yang ada di dalam pengurusan baitul muslim ini, namun segalanya jadi kaku dan musnah. Ummi telah mengadaikan maruah dan masa depan seseorang. Ummi telah mematahkan hati dan harapan seseorang. Adakah perlu ummi teruskan usaha ini atau ummi berhenti setakat ini. Inilah tamparan paling hebat yang ummi alami dalam hidup ini. Jika hanya hati ummi yang terluka, mungkin ummi cuma ambik masa untuk pulih, tetapi ummi telah mematahkan hati orang dan membunuh semangat orang lain.

Keyakinan di dalam dirinya juga musnah, dan untuk bangun semula terlalu payah dan sukar. Kalau diri ummi begini, semangat , kecekalan dan kekuatan dalam diri hilang, macamana ummi nak membantu dan menasihati orang lain?

 
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

4 comments:

  1. ummi, bersabarlah. apa yang ummi buat selama ini adalah suatu usaha yang sangat murni disisi Allah swt. saya tak pandai bagi pandangan cuma saya nak ummi tau, kita manusia tidak semuanya sempurna. dalam banyak-banyak kejayaan yang kita kecapi pasti ada satu yang menemui kegagalan. itulah tanda kelemahan kita dan bukti kekuasaan Allah swt.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Ya Allah, betapa hiba hati saya membaca artikel ini... lebih tersentuh bila sy sedang mengalami situasi ini... keyakinan saya pada Allah tetap teguh... Saya yakin janji Allah dan tidak akan sesekali menghilanglkn rasa itu dlm hati sya.. terima kasih atas artikel ini....

    ReplyDelete