بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Mengimbau kenangan lalu,
Rindu-rindu di jalanan,
kini anakku sudah berkahwin (bahagian 1)
Terasa baru sangat ummi melahirkan Aqbar. Selepas sahaja bernikah, ummi terus tak datang haid dan disahkan hamil pada minggu ke 5 apabila ummi dapati telah lewat seminggu haid tidak datang. Kiranya ummi dikatakan bunting pelamin, walaupun ummi berkahwin tak ada pelamin.
Perkahwinan ummi pun kira sempoi sahaja, ringkas dan mudah. 3 bulan selepas bertunang ,terus ummi bernikah dengan zauj sekarang. Ummi tidak pernah kenal siapa zauj ummi sebelum bertunang. Ummi hanya diperkenalkan semasa majlis ta'aruf untuk melihat wajah dan mengetahui serba sedikit maklumat keluarga.
Seminggu selepas ta'aruf,zauj datang merisik kepada keluarga ummi. Seterusnya keluarga zauj datang meminang. 3 bulan selepas bertunang, kami bernikah, abah dan mak buat majlis walimah dengan menjemput kaum keluarga dan sahabat handai beberapa kampung.
Walaupun sudah bernikah, hamil lagi, ummi tetap teruskan pengajian di UTM. Memang sukar juga untuk ummi memanjat tangga sebab bangunan kuliah di UTM Jalan Gurney 27 tahun yang lalu berbeza dengan bangunan UTM CityCampus , Jalan Semarak sekarang ini. Dulu bangunan 4 tingkat tidak disediakan lift, maka jika ada kuliah di tingkat 4, ummi perlu mendaki dengan perut memboyot. Lepas itu duduk kerusi yang ada meja lipat, lagilah tak boleh lipat meja tu ke depan sebab sangkut perut.
Bila kandungan ummi memasuki 9 bulan, ada sahabat yang pernah tinggal serumah dengan ummi dan zauj pada awal perkahwinan mengadakan walimah di Melaka. (Masa mula kahwin, ummi dan zauj masih lagi tinggal serumah dengan kawan-kawan bujangnya, sebab kami tak mampu nak sewa rumah sendiri, maklumlah duduk di Kuala Lumpur, sara hidup tinggi.) Kerana dia sahabat baik, maka ummi dan zauj pergi ke Melaka dengan kereta cadet kami yang buruk itu. Alhamdullilah, selamat pergi dan balik dari Kuala lumpur ke Merlimau, Melaka.
Petangnya kami balik ke Kuala Lumpur. Bila sampai di Kuala Lumpur, oleh kerana kandungan sulong, ummi bercadang nak bersalin di Perak, rumah mak abah ummi. Kereta cadet buruk tu zauj dah tak berani bawa jalan jauh, balik ke Perak antar ummi. Maka ummi dengan zauj naik keretapi malam itu juga sekembali dari Melaka, dari Kuala Lumpur ke Parit Buntar.
Seminggu di kampung, di mana date dua bersalin sepatutnya 15 September 1985,tapi tidak juga bersalin, zauj datang semula jemput ummi bawa balik Kuala Lumpur. Tak mampu ummi nak berjuahan dengan zauj,walaupun sebab nak bersalin. Maka zauj kata, biarlah sakit senang kita bersama-sama di rantauan. "Jom balik rumah kita "
Seminggu di rumah ummi, masa itu ummi tinggal di Kampung Baru,Kuala Lumpur, barulah ada tanda-tanda nak bersalin. Tapi tak mahu pergi ke klinik atau hospital. Baru terfikir, nak bersalin dimana? Nak ke pusat bersalin swasta,tak mampu sebab bayaran mahal, sedangkan duit simpanan tak pernah ada. Nak ke hospital pula,tak pernah buat pemeriksaan antenatal di klinik kerajaan. Kalau pergi , pasti kena bebel dan dimarahi. Camana ya...
Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.
No comments:
Post a Comment