Monday, 28 June 2010

Menjariahkan Masa

"Kring..kring..."
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
"Hello,siapa bercakap?"


"Ya, saya Munaliza...
Kematian?
Siapa?
Bila?
Di mana?"


"Oh...insyaAllah saya datang membantu. Berikan alamat rumah,sekejap lagi saya sampai untuk memandikannya. Sediakan kain putih dan kapas. Tak apa, cukup saya seorang menguruskannya."




Malam itu, sekitar jam 9:15 malam,ummi terima panggilan telefon dari seorang sahabat yang tinggal satu taman perumahan dengan ummi. Dia memohon pertolongan, jiran sebelah rumahnya mengalami keguguran janin yang berusia 23 minggu.


Jiranya ini baru kematian suaminya dalam tempoh 2 bulan lalu. Oleh kerana haidnya datang seperti biasa, dia tidak tahu dirinya hamil sehinggalah dia mengalami keguguran kerana bekerja berat yang terpaksa dilakukan untuk menyara diri dan anak-anak yang lain.


Ummi pun terus pergi ke rumahnya. Dan di dapati janin itu masih kecil sebesar hp nokia 3315 tetapi semua anggota tubuh badan telah lengkap dan sempurna.Tetapi ummi tidak dapat memastikan jantina janin itu. Dia mengalami keguguran itu pada tengah hari lagi. Sebaik berlaku pendarahan, dia telah di bawa ke hospital dan diperiksa. Bila pihak hospital mendapati kelahiran bayi itu sempurna bersama uri,ibu ini dibenarkan pulang pada malam itu bersama janin.


Bila sampai di rumah, barulah dia memaklumkan pada jiranya,bagaimana untuk menguruskan janin tersebut. Itu yang sahabat ummi telefon memaklumkan pada ummi. Ummi ke sana dan memandikan janin tersebut seorang diri. Dengan berhati-hati kerana kulit janin ini sangat lembut, ummi memandikannya. Selepas itu ummi kapan janin ini secara ringkas sahaja. Untuk janin seusia begitu,tidak perlu lah menggunakan kapur barus atau lain-lain keperluan memandikan jenazah.


Ini kerana janin ini bersih,hanya ada kesan diselaputi darah. Ummi mandikan supaya tidak berbau hanyir. Sempurna dimandikan ,ummi kapan dengan kain putih dan di alas dengan kapas. Ummi kapan dengan menggunakan 3 lapisan kain putih.


Selesai di kapan,terus zauj dan suami sahabat ummi tu menyembahyangkan janin itu. Janin itu telah berusia 23 minggu di dalam kandungan, dan pasti telah ditiupkan roh ke atas jasadnya. Maka wajib kita untuk memandikan, mengkapan,menyembahyangkan dan mengebumikan janin tersebut dengan sempurna.


Oleh kerana hari telah melepasi 11:30 malam,selesai di solatkan, ummi dan zauj terus balik ke rumah. Saudara ibu telah sampai dan mereka menguruskan pengkebumian janin pada malam itu juga.


Ini adalah kisah pertama ummi memandikan janin yang berusia dalam lingkungan 5 bulan dalam kandungan.


Selang 5 bulan kemudian,ummi mendapat lagi panggilan telefon dari seorang sahabat baik ummi yang telah berkahwin selama 15 tahun. Dia hamil anak yang ke 8. Telah 7 kali sebelum itu mengalami keguguran di dalam usia kandungan 3 bulan.

Kali ini dia dapat bertahan dan hamil hanya setakat 5 bulan atau 20 minggu sahaja. Dia menjaga kandungan ini dengan baik dan berhati-hati. Amat berharap agar dapat melahirkan seorang zuriatnya sendiri. Namun kuasa dan kehendak Allah tidak mengizinkan perkara itu terjadi.


Setelah 2 minggu tinggal di wad,akhirnya kandungan itu gugur juga. Kenapa ummi istilahkan gugur kerana pengikut terma perubatan sendiri,usia kandungan yang lahir sebelum 22 minggu dikira bukan bersalin dan tidak mendapat cuti bersalin. Mereka hanya diberikan sijil cuti sakit selama 2 minggu sahaja.


Sekali lagi ummi diminta untuk menguruskan janin ini. Dari memandikan dan mengkafan. Ummi juga telah menghubungi tempat perkuburan untuk urusan gali kubur dan mengebumikan. Untuk janin usia 20 minggu ini,mengebumikan tidak perlu permit, hanya tunjukkan kad ibu hamil dan surat pengesahan dari doktor.


Janin ini pun serupa dengan janin yang pertama, masih kecil, sebesar tapak tangan ummi. Anggotanya lengkap tapi jari-jari belum terpisah antara satu sama lain. Ummi tidak dapat pasti apakah jantinanya kerana tidak mahu terlalu kuat meraba bahagian itu.Walaupun janin,kita tetap menghormatinya. Roh telah ditiupkan,maka selepas ummi mengkapankan,janin ini di bawa ke Masjid UTM untuk disolatkan.


Selepas itu barulah, bapanya membawa ke perkuburan di Kg Melayu Kangkar Pulai untuk dikebumikan. Sahabat baik ummi ini masih lagi di wad untuk menerima rawatan. Ketika ini, ummi masih bercuti sakit kerana baru lepas menjalani pembedahan TKR. Ada sahabat-sahabat lain berkata, walaupun ummi di rumah tetapi ummi tetap diperlukan oleh orang lain, dan sentiasa berusaha menolong orang yang dalam kesusahan.


Sebenarnya kita boleh memanafaatkan diri kita tidak kira apa jua keadaan dan situasi diri kita. Kita perlu berusaha menjariahkan diri mengikut kebijaksaan kita di dalam kemahiran dan pengurusan masa agar masa dan hidup kita ini sentiasa bermakna dan di dalam kategori beribadah. Kita juga boleh membantu orang lain, tidak semestinya hadir bertemu, tetapi menggunakan teknologi sedia ada seperti memberikan khidmat nasihat melalui telefon dan menulis yang bermanafaat buat bacaan masyarakat.


Begitulah antara aktiviti yang ummi buat selama ummi di rumah kerana cuti sakit dan sekarang ini telah bersara dari perkhidmatan pendidikan.Semoga ummi, zauj, anak-anak dan keluarga serta pembaca semua berada di dalam redha, rahmat dan kasih sayang Allah.



66:6 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



No comments:

Post a Comment