بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Malam itu jam 8:30 malam mak dengan adik bongsu tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Zauj pergi jemput mak. Mak datang dari Parit Buntar untuk menziarahi ummi yang telah cukup bulan hamil anak yang ke dua.
Rindu seorang ibu pada anaknya, walaupun tak ada pengangkutan sendiri, sanggup naik keretapi untuk melihat keadaan anaknya yang sarat hamil. Mak datang hanya ditemani oleh adik bongsu yang berusia 6 tahun.
Seharian mak naik keretapi. Bertolak dari Parit Buntar jam 8:30 pagi. Mak datang bawa buah mangga ranum. Buah pelam tengah masak elok,kuning dan harum baunya. Oleh kerana dah malam,ummi simpan buah tu untuk makan esok siang.
Lepas sahaja hidangkan mak,adik dan zauj makan malam,ummi terus baring untuk berehat. Orang sarat hamil mudah letih. Lagipun ikutkan tarikhnya, esok 'due date' lahir anak kedua ini.
Oleh kerana esok adalah 14 Sya'ban, ummi berniat nak berpuasa. Bercadang untuk bangun awal bersahur.
Kira-kira jam 2:00 pagi , ummi tersedar untuk bangun buang air kecil. Ibu hamil yang sedang sarat memang kerap kencing sebab kandungan yang besar telah menekan pundi kencing. Dah bangun buang air, ummi akan terus berwuduk untuk bersolat malam.
Tapi malam itu, ketika nak buang air,ummi terlihat ada tanda darah pada kain ummi. Terus tersentak ummi, dan bila ingat tarikhnya due, "oh...nak bersalin rupanya aku ini."
Ummi teringat buah pelam yang mak bawa. Kalau ummi tak makan sekarang, dah bersalin,mana boleh makan buah pelam lagi, tambahan pelam kuinin. Baunya cukup harum semerbak. Kalau orang jenis alahan,akan mudah batuk. Tapi ummi jenis orang kampung,semua benda boleh telan tanpa ada pantang larang.
Nak gelak bila teringatkan semula,kerana dah tahu akan bersalin tak lama lagi,terus ummi kupas buah pelam tu dan makan sorang-sorang pada jam 3:00 pagi. Mana ada orang makan pelam dinihari.
Sedap dan nikmatnya tidak terkira. Walaupun darah tanda nak bersalin dah keluar,tapi belum ada rasa sakit lagi. Tak jadi ummi nak bersahur dan berpuasa. Lepas sahaja solat subuh,baru ada rasa resa nak bersalin. Baru ada "contractions" dibahagian abdomen tanda kelahiran akan berlaku.
Bila selang masa makin kerap,baru zauj pergi ke rumah Mak Pah, bidan bersara yang bantu sambut kelahiran along dahulu. Selepas sarapan, cepat-cepat ummi berkemas rumah. Selagi belum bersalin, ummi akan baut kerja yang patut untuk meringankan zauj. Ummi cuci pinggan mangkuk,cuci pakaian dan sapu lantai. Lagi pun berjalan ketika hampir melahirkan akan memudahkan proses kelahiran anak.
Bila bidan Mak Pah dah sampai baru ummi baring di atas tilam dalam bilik. Tak sampai 30 minit, jam 9:30 pagi , hari Isnin bersamaan 14 Sya'ban 1407 H,anak kedua ummi lahir dengan selamat. Berat anak kedua ini 3.3 kg,lelaki.Zauj juga yang sambut dibantu oleh bidan Mak Pah. tali pusat dipotong oleh Mak Pah. Sementara menunggu uri keluar,Mak Pah bersihkan bayi, mandikan dengan air suam dan dipakaikan pakaian bersih.
Setelah bersih,barulah zauj azan dan iqamatkan bayi itu. Mak Pah menguruskan ummi pula. Setelah pasti semua uri telah keluar,ummi dibersihkan dan ditukarkan pakaian. Kemudian Mak Pah berikan ummi minum air suam agar badan bertenaga setelah bersabung nyawa untuk melahirkan anak.
Walaupun rezeki dan anugerah Allah ummi mudah untuk bersalin,tetapi kesakitan untuk melahirkan anak tetap sama. Sakitnya tidak terucapkan dengan kata-kata.Hanya hati sahaja berbicara dengan Allah memohon keredhaan dan rahmatNYA. Disamping tu,air mata mengalir lesu di penjuru mata. Zauj akan kesat air mata tu menunggu "contractions" seterusnya agar bayi dapat keluar.
Seorang suami, walaupun dia tidak merasai kesakitan tu,tetapi dia memahami. Sebab itu suami yang soleh,tidak tergamak untuk menganiya isterinya. Usahkan untuk melukakan hati isteri,nak menguris atau mencalarkan pun dia tidak mahu. Akan ditatang isterinya, kerana isterinya telah berjuang antara hidup dengan mati untuk melahirkan zuriatnya.
Dari awal kehamilan, mabuk, loya, pening, muntah, tak berselera makan dan macam-macam keadaan yang tidak menyelesakan dirasai oleh ibu hamil. Suami cuma boleh tengok dan bantu untuk meringankan keadaan sahaja. Bila dah sarat pulak,bawa kandungan lebih kurang 10kg kesana-kemari. Pertambahan normal berat ibu hamil ialah sekitar 10 kg. Maka 10 kg itu akan hilang bila anak lahir. Walaupun berat anak cuma dalam 3++ kg sahaja,lain-lain seperti darah,uri,air mentuban yang menyebabkan pertambahan dalam 10 kg kepada ibu hamil.
Zauj pernah tanya ummi,macamana beratnya bawa perut tu kesana-kemari. Ummi jawap,"kalau nak tahu,macama mana rasanya, ambik sekampit beras 10 kg,ikat dipinggang dengan kain dan pergi jalan sana sini."
Sapa saggup bawa beras 10kg dipinggang, tak kira siang atau malam,samada dalam tidor atau sambil buat kerja?
Sebab itu ibu hamil,ummi lah,tak tahu pula orang lain, bila kandungan dah mencecah 5 bulan,ummi sudah tidak boleh tidor telentang. Bila baring telentang,ummi rasa lemas. Jadi sepanjang kehamilan,ummi hanya boleh baring mengiring kiri atau kanan dan perut di alas dengan bantal kecil supaya selesa. Bila ummi berjalan, ummi perlu ampu perut ummi agar dapat berjalan lebih pantas dan selesa.
Kalau ikutkan doktor yang merawat ummi,sarankan ummi gunakan kain sokongan yang dipaut ke leher untuk ampu perut. Ini disebabkan sewaktu hamil,urat-urat dari paha ke betis ummi bengkak dan berpintal-pintal warna biru seperti biji guli. Kalau tengok pun mengerikan. Dokotr sentiasa berpesan,agar ummi berhati-hati jangan sampai luka pada urat itu, sebab kalau luka,darah yang keluar akan memancut-mancut. Itulah azabnya seorang isteri untuk melahirkn zuriat suaminya.
Sebab itu kenapa zauj tatang ummi bagaikan ratu. Selalu zauj sediakan makan minum untuk ummi. Tetapi walaupun zauj begitu,ummi tidak ambik kesempatan untuk menyuruh itu ini,sebab ummi pun nak gelaran isteri solehah yang menyediakan khidmat kepada suaminya. Berbakti kepada suami dalam hal-hal yang boleh mengeratkan kasih sayang.
Selesai urusan kelahiran,ummi pun telah nampak sihat,barulah zauj hantar Mak Pah balik rumah. Tengah hari tu,zauj tak lupa suapkan ummi 3 ketul nasi panas yang dikepal dengan jari-jarinya. Agaknya itu petua kasih sayang suami isteri.
Malamnya nisfu Sya'aban, zauj dan mak baca Yassin depan ummi dan anak yang baru lahir ini. Baru ummi teringat niat nak berpuasa tetapi terbatal sebab melahirkan anak.
Hari ke 7,zauj namakan anak yang kedua ini dengan nama Ahmad Ali Mahfuz. Ummi tanya apa maknanya? Zauj kata,"kan ummi selalu baca doa tu,minta Allah pelihara kandungan dan ummi." Mahfuz = terpelihara.
Mahfuz lahir pada tarikh due yang dijangkakan oleh doktor. Tepat harinya. Kalau along dahulu,lewat 7 hari dari tarikh jangkaan doktor. Syukur semuanya selamat walaupun keadaan Mahfuz lahir sama keadaan abangnya dahulu di mana tali pusat membelit dan terselempang di badannya. Alhamdullilah Allah menyelamat dan memudahkan kelahiran Mahfuz tanpa sebarang komplikasi.
Setiap tahun pada hari ini,14 Sya'aban,pasti ummi teringat akan kelahiran Mahfuz. Pada tahun itu juga ummi tidak berpuasa 1 bulan Ramadhan kerana nifas. Lepas bersih nifas sahaja, ummi beransur-ansur mengqada' puasa Ramadhan yang tertinggal selama sebulan. Ummi dapat selesaikan mengqada' puasa sebelum menjelang Ramadhan tahun berikutnya. Tak adalah fidyah yang perlu dibayar. Cumanya ummi berselang hari puasa kerana ummi menyusukan anak dengan susu ummi sendiri, maka tidak dapat berpuasa secara terus menerus atau hari-hari.
Masa ummi hamilkan Mahfuz,ummi telah tamat belajar di UTM. Sementara menunggu panggilan penempatan guru, umm berehat di rumah mengasuh dua orang anak ummi ini. Alhamdullilah kedua-dua anak ini di asuh dan dididik oleh tangan ummi sendiri sehingga berusia 6 tahun sebelum ummi dipanggil untuk bekerja sebagai guru.
Sekian entri kali ini, semoga bermanafaat buat pembaca. Mana yang baik itu dijadikan teladan yang kurang sempurna dijadikan iktibar.
Wassalam.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment