Tuesday, 27 July 2010

Jururawat Tak Bertauliah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Naimah dan Nu'man


Sudah 3 hari  ummi  menjadi jururawat tidak bertauliah. Sejak bibik balik Indonesia, sorang-sorang jatuh sakit. Bermula Abdullah, diikuti Naimah dan hari ini Imran pulak demam.


Pada hari bibik berangkat naik 'pesawat terbang' (Naimah dan Imran sebut) Abdullah dan mula tidak sedap badan dan muntah-muntah. Petangnya Naimah masih lagi merengek-rengek "nak Mbah", terus panas badan juga.


Diberikan paracetamol hanya sekadar menurunkan suhu badan.Walaupun begitu, Naimah tetap juga masih boleh menyanyi lagu kegemarannya,"nenek,nenek sibongkok tiga" dan nasyid "nama-nama Nabi" Mudah Naimah menghafal lagu-lagu ini.


Hari ini Imran pulak. Pagi tu,Imran ke sekolah kebangsaan seorang diri,sebab Abdullah masih kurang sihat, baliknya, selepas makan tengah hari,bersiap pergi sekolah agama pula. Masa zauj jemput balik sekolah agama tu, nampak Imran lain macam je.


Bila dipegang badannya, rasa panas. Terus ummi berikan Imran paracetamol juga untuk menurunkan suhu badan. Selalu kalau balik sekolah, Imran akan makan nasi, ni semalam, tak selera nak makan nasi, terus sahaja tidor dengan pakaian sekolah agama.
Imran

Memang sejak bibik tak ada ni,Ummi lihat Imran dalam diam akan masuk bilik bibik dan menangis teresak-esak. Rindu seorang anak kepada pengasuhnya. Antara ramai-ramai anak ummi,Imran yang paling rapat dengan bibik. Dari umur 1 tahun 9 bulan bibik menjaga Imran. Dan kasih sayang tu boleh terjalin kerana bibik pun sayang dan kasih pada Imran sampai dia ajar Imran panggil dia mak.


Naimah pun sama,kadang panggil mbah,kadang panggil mak. Naimah pun di jaga bibik dari kecil juga selepas Naimah berumur 3 bulan. Masa Naimah lahir, 3 tahun lalu, bibik balik bercuti di kampungnya juga.


Maka jadilah ummi jururawat tak bertauliah, merawat anak cucu yang sakit rindu. Kalau budak rindu diluahkan melalui rengekkan dan tangisan. Orang tua pun sama juga,kalau rindu terbeban di hati akan diluahkan melalui tangisan dan diiringi dengan doa.


Sentiasa di doakan agar orang yang dirindu berada di dalam keadaan selamat sejahtera, berharap agar ada suatu ketika nanti dapat bertemu. Rindu akan menjadi bebanan dalam hati yang tidak dapat diterjemah melalui kata-kata. Kalau yang mahir membaca bahasa tubuh, memang akan tergambar pada wajah, bahawa orang itu di dalam kerinduan.


Zauj belikan mereka air hundred plus sebab muntah-muntah. Ummi masakkan bubur nasi. Tapi orang sakit, mana ada selera nak makan. Nasi goreng yang dibuat oleh menantu pun tak ada sapa yang sentuh. Selalunya kalau nasi goreng, sekejap sahaja dihidangkan licin semuanya.


Bekalan ubat masih ada, sebab lepas hantar bibik ke airport hari tu,terus ke Klinik Norila, ambik ubat-ubat paracetamol,ubat sakit tekak,ubat batuk dan ubat selsema. Jadi mereka makan ubat tu dulu,belum dibawa jumpa doktor,kecuali Abdullah dan Baihaqi dah jumpa doktor.

Abdullah yang tembam


Hari ini nampaknya, semua tak ke sekolah. Semua terlantar baring di katil. Ummi masih macam biasa,harap sihat untuk merawat mereka. Moga migrain tak datang menyerang ummi di waktu-waktu begini. "Think Postif,ummi perlu sihat" Kalau ada apa-apa pada ummi,kesian kat zauj.


Walau sibuk mana pun,ummi masih tetap ada masa untuk berhalaqah walaupun sekadar memantau dan membaca post, masih sempat menulis laman blog dan update fesbuk. Sambil tu ummi masak, mencuci pakaian dan menggosok baju-baju kerja zauj dan baju sekolah anak-anak. Memang fully suri rumah sepenuh masa.


Semalam lepas saja berbuka, ummi tergolek lena di sofa. Kepenatan juga akhirnya. Ummi memang mudah letih , tambahan kekuatan/stamina kaki yang tak berupaya. Kaki sakit bila berjalan lebih dari limit yang dibenarkan. Nak melangkah pun terasa payah dan sakit. Namun ummi perlu hadapi hari-hari mendatang dengan tabah,sabar dan redha.


Wahai anak mak, insan yang ummi rindu, semoga berada di dalam redha,rahmat dan kasih s ayang Allah walau di mana berada. Sikit pun mak tak pernah lupa pada anak mak.  Sesibuk mana, mak tetap ingat anak mak.


Sekian entri kali ini, ini kali kedua ummi tulis, semalam dah tulis kemudian shut down komputer masa turun bawah nak masak untuk berbuka puasa, ingatkan dah saved, tengok subuh ni, nak edit sambung tulis dan hilang. Ntah apa kenanya,selalu autosaved, semalam tak ada pula tulisan ummi tu. Ketemu lagi, semoga kita semua sentiasa berada dibawah payung rahmat Allah dan selamat sejahteran di dalam menjalani kehidupan harian.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





No comments:

Post a Comment