Tuesday, 9 October 2012

Pecahkan Ego Untuk Bersifat Tawaduk




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Qanaah, makan apa yang ada
Sebenarnya banyak cara untuk kita melakukan perkara yang Allah redha. Banyak cara juga untuk kita menyumbang dalam agama. Jika kita hanya fokus pada sesuatu perkara, mengikat dengan sesuatu cara, itu yang payah untuk berfikir dengan lebih luas untuk melakukan ibadah dalam kehidupan harian.


Masih lagi saya ingin bercerita hal-hal mendapat baraqah dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan ini. Satu cara paling mudah tetapi mungkin remeh pada orang lain. Ia memerlukan sifat tawaduk dalam diri.


Melakukan kerja-kerja seperti buruh, bukan semua orang sedia dan rela melakukannya. Padahal di situ terhimpun sifat tawaduk dalam diri manusia. Menyapu lantai, mengutip sampah atau dedaun kering yang bertaburan di laman masjid atau dimana-mana merupakan satu cara untuk kita mentarbiyah diri untuk sifat tawaduk.


Selain ia merupakan sedekah, sedekah kudrat, seperti mana sabda Rasullulah,

 “Senyuman kamu pada wajah (di hadapan) saudara kamu adalah sedekah, suruhan kamu ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah, kamu menunjuki orang yang tersesat juga merupakan sedekah bagimu, kamu menuangkan air dari timbamu ke timba saudaramu juga merupakan sedekah, membuang kesakitan (menyingkirkan batu, duri, tulang dan lain²) dari jalan juga merupakan sedekah, membantu orang yang kurang penglihatannya juga merupakan sedekah, dan satu suapan seorang lelaki ke mulut isterinya ialah sebesar-besar sedekah.” (HR Tirmizi)


Kenapa perlu mendidik diri supaya bersifay tawaduk?  Ini kerana ia ada kaiatan dengan solat.  Allah s.w.t. telah menyebut dalam sebuah hadith qudsi;

“Sesungguhnya Aku menerima solat daripada orang yang merendahkan diri (tawaduk) kerana kebesaran-Ku dan tidak berlaku sombong terhadap makhluk-Ku dan tidak terus-menerus melakukan maksiat kepada-Ku. Dan dia menghabiskan hari siangnya dalam ingat kepada-Ku (zikrullah), dan dia sayang kepada orang yang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan) dan janda (yang kematian suami) dan sayang kepada orang yang ditimpa musibah.” (HR az-Zabidi)

Lihatlah hubungan antara solat dan akhlak (tawaduk dan kasihan belas). Bahawasanya sekiranya solat kita tidak mampu untuk menjadikan kita seorang yang tawaduk dan mengasihani sesama makhluk, maka di sana solat itu adalah sia-sia dan langsung tidak membuahkan sebarang hasil yang sempurna.







Maka kita kena usaha untuk berakhlak mulia dengan mentarbiyah diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita mengajak orang lain turut serta melakukannya. Tawaduk adalah salah satu akhlak terpuji yang Allah suka kerana ia menjadikan kita bukan seorang yang sombong dan angkuh.


Musnahkan rasa ego dalam diri jika mahu sifat tawaduk menyaluti diri. Tidak ada siapa yang lebih mulia di sisi Allah melainkan yang taqwa. Dari mana datangnya taqwa? Dengan mentarbiyah diri bersifat tawaduk. Orang yang bersifat tawaduk selalunya bersyukur dengan apa yang ada. Qanaah adalah gandingan kepada tawaduk. Qanaah dengan apa yang disediakan oleh suami , dengan apa yang mampu dibeli.


Jangan rasa rendah diri jika tetamu yang datang, kita hanya mampu menyediakan telor dadar bersama sop kaki ayam. Walaupun hanya itu yang ada, namun kita masih mampu untuk meraikan tetamu yang datang, memuliakan mereka dengan menghidangkan makanan. Ini sifat terpuji yang Allah dan RasulNYA suka.  Kepada tetamu pula, syukuri tuan rumah yang sedia menghidangkan makanan, bukan melihat apa jenis makanan yang dihidangkan. Tuan rumah dan tetamu yang sama-sama tawaduk akan mendapat redha Allah.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment