بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Apa saja yang kita ingin lakukan dalam hidup ini memang memerlukan mujahadah. Terutama perkara-perkara yang Allah suka dan redha.
Dan disaat kita berjaya melepasinya, akan terasa nikmat.
Untuk bertindak, kadangkala kita kena kuat melangkah, mungkin seperti bahasa kasar menerajang sifat malas supaya berjaya.
Maha suci Allah, untuk bangun awal jam 4 .00 pagi pun, walaupun memang sudah rutin harian, adakalanya rasa malas menguasai diri. Dah terjaga, kena terus duduk, jika tidak, hanyut lagi dalam lena.
Sudah duduk, rasa ngatuk dan malas tetap menguasai diri. Rasa-rasa seperti mahu berbaring semula. "tak boleh jadi, nanti lena lagi."
Bangun melangkah turun katil, berjalan sedepa jumpa kerusi, duduk lagi bawah kipas konon nak sejukkan badan yang panas. Mengantuk dan malas tetap ada. Iskh..iksh...tak boleh jadi ni, ni bukan malas tetapi syaitan yang bertenggek di bahu dan bergayut di mata. Kena lawan juga.
Akhirnya, berjaya melangkah sampai ke bilik air, buka pakaian dan mandi. Itupun kadang-kadang masih dilalaikan oleh syaitan, nampak bilik air kotor, nak cuci bilik air dinihari. Ada ke nak jadi cleaner waktu dinihari pulak. Yang sebenarnya syaitan tak mahu kita menyembah Allah, bertahajud di waktu permata rahmat sedang turun ke bumi.
Ada saja usaha ikhtiar syaitan melalaikan hati untuk buat itu ini diwaktu -waktu begini. Memang memerlukan mujahadah dan perjuangan untuk bangun menyembah Allah waktu dinihari, waktu sedap diulit mimpi.
Sedangkan diwaktu dinihari , selepas dua per tiga malam adalah waktu permata rahmat Allah taburkan di bumi. Terpulang kepada manusialah samada nak kutip atau nak biarkan begitu saja permata-permata tu. MasyaAllah.
Inilah pentarbiyahan diri paling asas sebelum ada hajat nak mati syahid menegakkan agama melalui peperangan. Jihad dalam diri untuk bangun malam adalah asas perjuangan. Perjuangan bangun tahajud adalah asas membentuk ketahanan jiwa. Satu bentuk pentarbiyahan untuk melawan godaan syaitan dan nafsu.
Syaitan akan berusaha sedaya upaya untuk mengalih tumpuan manusia dari menyembah Allah diwaktu permata rahmat turun ke bumi. Ada orang suka berjaga malam sehingga waktu permata rahmat turun kebumi, tapi mereka tak ambik pun kesempatan tu untuk bertahajud.
Sebaliknya mereka lalai dengan perkara lain, menonton, chatting, main game atau apa jua yang tidak mendatangkan manafaat , masa mereka berlalu sia-sia begitu saja bagi memenuhi malam yang tidak ada rasa ngantuk. Siang pulak mereka tidor. Ini termasuk dalam orang yang amat rugi. Berlawanan dengan fitrah, kecuali mereka-mereka yang mencari rezeki mengikut shif. Mereka ini tetap dalam ibadah juga kerana mencari nafkah buat membiayai keluarga.
Alangkah ruginya jika membiarkan malam berlalu begitu sahaja tanpa di isi dengan sesuatu yang bermanafaat untuk dunia dan akhirat. Sebenarnya bangun malam itu merupakan satu pentarbiyahan diri untuk melawan nafsu, untuk bersifat sabar dan mendatangkan kecekalan dalam diri untuk menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam perjalanan hidup di dunia. Kekuatan doa, kesempurnaan hajat diperolehi sewaktu fokus di waktu ini ketika rahmat Allah melimpahi bumi.
Semoga anak-anak berusaha menjadikan bangun malam itu satu cara mentarbiyah diri dengan segala sifat terpuji dan mulia. Untuk meraih taqwa, ia perlu dididik bukan boleh datang bergolek atau melayang begitu sahaja.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
No comments:
Post a Comment