Friday, 22 March 2013

Magik: Berniaga tanpa rugi




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

tangan di atas lebih mulia
Sesungguh setiap manusia telah ditentukan rezeki, jodoh, suratan nasib dan ajal sejak azali lagi. Namun Allah telah menyatakan usaha tetap ada sebelum kita bulat-bulat berserah kepada takdir.

Begitu juga rezeki orang lain, mungkin kita ini hanyalah pengantara saja. Kita ini sebagai pemengang amanah urusan kewangan dan rezeki seseorang. Allah kurniakan rezeki melalui tangan kita.

Sebanyak mana rezeki yang kita dapat, ingat ada hak orang lain. Allah wajibkan zakat, Allah muliakan wakaf dan sadaqah.

Belajarlah bagaimana seseorang itu menjadi jutawan melalui sadaqah. Saya suka berkongsi cerita benar...

Magik: Berniaga tanpa rugi
5 Rabiul Awal 1434

Logik kehidupan kelihatan sangat mudah. Setiap manusia sepatutnya mengejar nikmat akhirat dan dunia secara maksima. Garis panduannya juga cukup mudah, melaksana (meninggalkan) apa yang disuruh (dilarang) oleh Allah SWT. Ia tidak perlu dimanipulasikan dalam apa keadaan sekali pun.

Prinsip usahawan akhirat dan kekayaan dunia perlu dilihat dalam konteks matlamat utama iaitu kehidupan yang kekal abadi di syurga. Maksudnya, kita meyakini betapa memberi keutamaan kepada akhirat tetapi kemudahan dunia yang dianugerah Allah – In'sya Allah – akan menyusul secara semulajadi. Malah kehidupan dunia itu menjadi menarik sekali.

Perhatikan ayat 14, surah al-Imran yang boleh dikaitkan dengan nikmat maksima dunia yang disukai oleh manusia,

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".

Kemudian perhatikan pula ayat 15 surah yang sama. Allah menyatakan secara jelas tentang nikmat syurga yang perlu dikejar oleh setiap manusia.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.

Kisah mengejar "akhirat dan dunia" ini mengembalikan ingatan saya kepada masa lampau. Ia kisah hampir 25 tahun yang telah berlalu. Kerjaya saya bermula dengan jawatan Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat pengedaran barangan perkakasan rumah. Ia perniagaan menggunakan skim bayaran kredit ansuran bulanan secara Murabahah. Pada dasarnya, ia merupakan skim kredit pertama secara Islam. Ada proses akad dan tidak mempunyai unsur-unsur riba.

Kami mempunyai 15 usahawan Islam sebagai franchisee. Mereka sangat gigih berkerja walaupun berbeza hasil pendapatan. Salah seorang daripada mereka – Rahman – sangat berjaya. Jumlah perolehannya bernilai jutaan ringgit sebulan. Beliau boleh digambarkan sebagai seorang yang sangat berbudi bahasa, fokus, berpandangan luas dan tegas dalam membuat keputusan perniagaan. Hasilnya, apa sahaja kelihatan mudah buat beliau. Saya pernah bertanya kepada Rahman

"Kenapa Allah sayangkan kamu? Dia memberi segala kekayaan kepada kamu dengan senang sekali berbanding dengan yang lain. Bagaimana aku ingin capai kekayaan seperti ini?"

Beliau diam. Langsung tidak mempedulikan soalan anak muda yang masih mentah dalam kehidupan dunia. Namun saya terfikir mungkin juga Allah memakbulkan doa-doa yang dipohon oleh beliau. Itulah lintasan hati. Dan ia tentunya berkait dengan keyakinan saya sendiri betapa manusia perlu berdoa kepada Allah SWT.

Malah saya selalu teingat bagaimana Prof MKI berdoa kepada saya dan rombongan usai solat Dhuha di masjid Segamat. Ketika itu kami mahu memulakan perjalanan ke dalam hutan untuk berdakwah kepada orang Asli. Beliau sangat bersemangat, bersungguh dan teliti menyampaikan baris-baris permohonan kepada Allah SWT. Beliau berdoa agar Allah melempahkan rezeki yang halal dan berkekalan kepada kami. Prof MKI memohon agar rezeki ini dipermudah, tidak disangka-sangka dan datangnya dari semua arah.

Barangkali Rahman juga sentiasa berdoa seumpama itu.

Umumnya, setiap usahawan mengharapkan setiap perniagaan membawa untung. Mereka tidak mahu rugi, ditipu dan tentu sekali mahu perniagaan ini kekal selama mungkin. Lalu usahawan pastinya berdoa agar sentiasa sihat sejahtera bagi memajukan perniagaan mereka. Mungkin banyak lagi perkara sisi yang didoakan oleh mereka agar perniagaan membawa kepada hasil yang dicitakan.

Rahman cemerlang. Beliau berkerja keras dari pagi sehingga lewat malam bagi mencapai sasaran jualan. Di antaranya, beliau seorang yang pemurah dan suka berhibur dengan rakan-rakan. Apa pun, beliau tetap akan sampai ke pejabat sebelum jam 8 pagi.

Saya melihat beliau juga mudah mendapat pinjaman bank. Kemudahan kredit ini membolehkan beliau membeli stok barangan dalam kuantiti besar dan dapat pula menjualnya dengan harga yang berpatutan berbanding harga pasaran. Malah khidmat selepas jualan beliau terpuji. Beliau sering mendapat kejayaan dari tawaran tender kerajaan. Pada saya, beliaulah orangnya yang mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka, mudah, senang, seolah-olah ia turun dari langit dan keluar dari bumi.

Hasilnya, kedudukan kewangan syarikat sangat kukuh. Bank lebih mempercayai untuk memberi kemudahan kredit, keuntungan bertambah dan pertumbuhan perniagaan melebihi 20 peratus. Ia luar biasa.

Suatu hari – usai solat Jumaat – Rahman bertanya, "apakah doa yang awak mohon Zaini?". Ia soalan mudah. Saya bercerita, "saya mohon ampun, sihat, murah rezeki dan …….. ". Kemudian beliau berkata, "hari ini saya akan menjawab soalan kamu dahulu, bagaimana mahu menjadi kaya-raya".

Rahman membawa saya menaiki Mercedes S300nya ke sebuah rumah di Ulu Klang. Ketika inilah beliau bercerita,

"Saya suka membaca buku-buku biografi mengenai kejayaan seseorang dan amat suka bertanya mengenai pengalaman perniagaan dari usahawan-usahawan yang lain sebagai panduan dan sempadan untuk saya amalkan dalam perniagaan sendiri"

Kami tiba ke destinasi. Ia sebuah rumah anak yatim. Lalu beliau meminta saya memberi RM100 sebagai derma kepada rumah Anak Yatim tersebut. Gila. Ia jumlah besar bagi seorang Pegawai Pemasaran yang baru berkerja. Ia jumlah amat lumayan untuk diberi-beri begitu sahaja.

"Zaini, kau kata mahu kaya macam aku. Jika mahu kaya ikutlah cara aku. Janganlah takut untuk mengeluarkan wang bersedekah. Mereka yang bersedekah diibaratkan memberi pinjaman ikhlas kepada Allah. Allah sudah berjanji dengan menyebut yang ia merupakan pelaburan yang menjaminkan pulangan berlipat kali ganda baik dari segi harta serta nikmat dunia yang lain. Lebih penting ia membawa kita kepada keseronokan kehidupan abadi".

Ya! Kini saya sangat memahami.

Saya mempercayai dan meyakini hakikat ini. Ramai di antara kita agak keliru dengan hanya membuat perbuatan kebaikan yang berbentuk "percuma" untuk mendapatkan kekayaan. Mereka hanya berkerja keras, mengikut suruhan dan larangan Allah secara khusus semata-mata – misalnya – solat malam, dhuha dan berpuasa sunat. Namun mereka amat kikir mengeluarkan wang setimpal dari kekayaan yang sedia ada untuk bersedekah.

Islam mengajar manusia untuk bersedekah dan berzakat. Ia sudah jelas termaktub dan dipersetujui oleh ramai orang betapa ia perlu diamalkan untuk menjadi manusia yang kaya. Malahan seorang kenalan saya – bukan beragama Islam – bukan sahaja menderma harta benda tetapi termasuk juga organ-organ beliau. Pertalian di antara mereka yang bertaraf jutawan dengan amalan berderma telah dibuktikan secara statistik.

Ia tidak mudah mahu menjadi jutawan. Ia memerlukan ketabahan, kesabaran dan sikap tidak berputus asa jika menghadapi sebarang masalah perniagaan. Di antara rintangan besar yang menghantui ahli perniagaan adalah untuk mendapatkan pinjaman kewangan yang melibatkan riba, sogokan untuk mendapatkan projek, "bersosial" dan yang paling digeruni adalah timbulnya perasaan tamak dan bangga diri. Menjaga diri sangat penting dalam perjalanan perniagaan dan penghidupan seseorang usahawan akhirat.

Tentu sekali tidak salah mempunyai Villa, berkereta mewah atau bergelar Dato atau Tan Sri asalkan janganlah menjadikan kehidupan dunia ini sebagai tujuan tunggal. Kekayaan membuat kita terlupa pada diri sendiri yang akhirnya akan membinasakan diri di dunia dan akhirat. Paling baik, ikutlah resam padi, lagi berisi lagi tunduk. Jadilah jutawan yang sentiasa memberi, membantu, bersedekah dan menderma agar semua orang gembira dan mendoakan kebaikan bersama.

Sebagai usahawan akhirat kita perlu beringat betapa perniagaan dunia hanya bersifat sementara. Perniagaan yang sebenarnya adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui surah As-Saff, Ayat 10 dan11 yang bermaksud,

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui".

Saya mohon maaf kerana menyampaikan kuliah yang agak panjang pada kali ini. Biarlah saya akhiri dengan memohon pada Allah,

Hanya padaMu kami pohon,

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, Kami berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, kami berlindung kepada-Mu dari sikap sombong dan bangga diri, kami berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia. Ameen. ~Tulisan Zaini Ariff.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

No comments:

Post a Comment