بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُوۡرَةُ العَلق
خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤)
Al-Alaq
Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4)
Untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa, kita memerlukan kunci dan petunjuk jalan. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dari bermacam sudut, kita memerlukan kunci dan petunjuk jalan juga. Untuk mengharungi segala cabaran hidup dengan penuh berkesan, kita memerlukan kuncinya. Apakah kunci tersebut? Kunci utama adalah ilmu.
Ilmu menerangi perjalanan kehidupan ini. Ia menunjukkan kita cara mengharungi kehidupan di dalam keadaan sentiasa diredhai Allah s.w.t. Peranan dan kesan ilmu ke atas individu, masyarakat dan umat begitu penting dan ketara sekali. Dan kerana sebab inilah, Islam menekankan peri-pentingnya ilmu pengetahuan. Islam meletakkan ilmu di kedudukan yang tinggi.
Allah s.w.t. berfirman di dalam surah AlMujadalah Ayat 11 :
سُوۡرَةُ المجَادلة
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قِيلَ لَكُمۡ تَفَسَّحُواْ فِى ٱلۡمَجَـٰلِسِ فَٱفۡسَحُواْ يَفۡسَحِ ٱللَّهُ لَكُمۡۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُواْ فَٱنشُزُواْ يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (11)
"Bayangkan sesuatu yang dilakukan tanpa ilmu. Apakah akibatnya? Saya ingin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Saya ingin berakhlak murni seperti Baginda Rasulullah s.a.w. Tetapi saya tidak tahu caranya. Maka tentu saya tidak mampu mencapai matlamat dan tujuan tersebut. Saya ingin berniaga, tetapi tidak tahu caranya. Saya ingin melabur, tetapi tidak tahu mengenai saham dan pelaburan. Pasti usaha itu tidak akan berjaya. "
Ilmu adalah kunci kejayaan. Ilmu adalah kunci kecemerlangan. Dan ilmu pemangkin pembangunan individu, masyarakat dan umat. Dan bagi umat ini terutama sekali, kita dapat merasakan betapa pentingnya ilmu dengan wahyu ilahi yang pertama diturunkan Allah s.w.t. ke atas Baginda Rasulullah s.a.w.
Di dalam Surah Al-Alaq ayat pertama, Allah berfirman
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١)
Maksudnya “Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan”
Kita telah yakini bersama pentingnya ilmu di dalam kehidupan. Mari kita bincangkan lebih lanjut mengenai proses mencari ilmu yang sangat-sangat digalakkan.
Pertama, bilakah seharusnya kita mencari ilmu. Adakah batasan usia dan waktu untuk mencari ilmu? Umpamanya, saya sudah mendapat ijazah, atau diploma, atau sijil dan sebagainya. Atau usia saya sudah mencapai usia tertentu. Maka saya rasakan tidak perlu meneruskan usaha mencari ilmu lagi. Bolehkah kita berpendirian sedemikian? Tentu ini bercanggah dengan keperibadian umat Rasulullah s.aw. Kita dididik oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. bahawa mencari ilmu tidak ada batasan. Ilmu itu satu lautan yang tidak berpantai. Kita akur bahawa kemampuan dan keupayaaan mungkin terjejas dengan usia, tetapi kematangan dan kebijaksanaan bertambah. Maka pergunakanlah semua peluang dan masa untuk menimba ilmu. Mari kita membuat janji atau azam untuk sekurang-kurangnya mempelajari sesuatu setiap hari. Proses menimba ilmu ini kita lakukan dengan penuh kesedaran.
Perkara kedua adalah apakah jenis ilmu yang perlu kita cari. Sebagai mukmin yang berpandukan panduan ilahi dan menjalani kehidupan dengan penuh keinsafan, kita harus mencari ilmu yang membawa kebaikan dan membantu di dalam urusan dunia dan akhirat. Oleh itu, ilmu tidak sepatutnya dibahagikan kepada ilmu dunia dan akhirat atau ukhrawi. Walau kita mempelajari ilmu sains yang membawa kebaikan kepada manusia, maka ilmu itu diterima Islam dan digalakkan kita untuk mencarinya.
Al-Quran sebagai kitab panduan mengandungi banyak dasar sains dan dasar bagi bermacam ilmu lain. Namun, Allah s.w.t. tidak menerangkan segala-galanya, kerana kita disuruh menyelidiki sendiri segala yang kita lihat dan dengar. Kita dapat mengembangkan ilmu dengan berfikir, merenung dan menggerakkan minda selalu. Di dalam banyak ayat Al-Quran, kita disuruh berfikir. Seperti di dalam surah Azzumar Ayat 21:
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ فَسَلَكَهُ ۥ يَنَـٰبِيعَ فِى ٱلۡأَرۡضِ ثُمَّ يُخۡرِجُ بِهِۦ زَرۡعً۬ا مُّخۡتَلِفًا أَلۡوَٲنُهُ ۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَٮٰهُ مُصۡفَرًّ۬ا ثُمَّ يَجۡعَلُهُ ۥ حُطَـٰمًاۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَذِكۡرَىٰ لِأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٢١)
Az-Zumar
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna. (21)
“Sesungguhnya di dalam perkara itu adalah peringatan bagi mereka yang berfikir”
Cuba kita renungkan ayat-ayat Al-Quran berikut yang sering dibacakan Imam di dalam solat Jumaat. Surah Al-Ghasyiyah ayat 17 – 20 :
أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ ڪَيۡفَ خُلِقَتۡ (١٧) وَإِلَى ٱلسَّمَآءِ ڪَيۡفَ رُفِعَتۡ (١٨) وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَيۡفَ نُصِبَتۡ (١٩) وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَيۡفَ سُطِحَتۡ (٢٠) فَذَكِّرۡ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَڪِّرٌ۬ (
Yang bermaksud “Tidakkah mereka melihat pada haiwan unta, bagaimana ia diciptakan; dan melihat kepada langit bagaimana ia diangkat, dan kepada gunung bagaimana ia dipacak di dalam bumi, dan kepada bumi bagaimana ia dibentang”
Jika kita perhatikan, kita dapati sebenarnya Allah s.w.t. mengajak manusia untuk mengkaji dan mencari jawapan. Dan caranya adalah dengan mempelajari ilmu biologi, falak, geologi dan lain-lain. Di dalam jawapan yang kita selidiki terdapat tanda-tanda kebesaran Allah dan bukti bahawa Allah Maha Pencipta Yang Maha Berkuasa.
Ketiga adalah cara mencari ilmu. Bagaimanakah dapat kita menimba ilmu dengan cara yang penuh berkesan? Para ulama menunjukkan contoh yang terbaik dan iltizam serta kejujuran niat mereka untuk mencari ilmu. Mereka melabur masa yang begitu banyak untuk menimba ilmu pengetahuan. Mereka mengambil masa bertahun-tahun dengan guru untuk mendengar, berbincang, bertanya dan kemudian berkongsi ilmu. Mereka sanggup menjalani pahit manis merantau dan kesusahan demi untuk mendapatkan sepotong hadis yang sahih umpamanya.
Di antara tokoh ilmuan seperti itu adalah Imam Al-Bukhari yang terkenal dengan kitab kumpulan hadis sahihnya dan Imam As-Syafi’e.
Persoalannya, sekarang ini, dengan berhujjahkan kesibukan, adakah cukup jika kita melungsuri lelaman internet, atau membaca buku untuk mencari ilmu dan merasa itulah proses mencari ilmu yang mencukupi?
Konsep penimbaan ilmu di dalam Islam lebih luas. Peranan guru begitu kritikal dan sangat diperlukan. Dan guru juga harus diteliti kebolehan dan kemampuan mendidik dan mengajar di dalam bab yang tertentu. Pilihlah guru yang mampu mendidik dengan baik, dan bertanyalah selalu.
Kita juga perlu menyemai semangat membaca dan bertanya. Membaca akan membuka minda dan meluaskan pemahaman. Kita juga dapat mengukuhkan ilmu yang telah kita pelajari apabila kita membaca dengan luas.
Segeralah kita merebut peluang untuk melabur yang membawa keuntungan yang berkekalan. Ilmu merupakan pelaburan terbaik. Ilmu yang baik akan melahirkan generasi terpimpin dan bertaqwa, serta dapat meneruskan kehidupan dengan keselesaan walau dipukul ombak perubahan dan cabaran kehidupan akan datang.
Di samping terus bersemangat menimba ilmu, marilah kita teruskan ketaqwaan dan mengamalkan apa yang telah dipelajari kerana itulah konsep sebenar ilmu di dalam Islam. Jangan kita sia-siakan ilmu itu atau kita mencarinya untuk tujuan dan matlamat sementara.
Doa yang kita sering baca harus direnungkan maksudnya iaitu “Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari ilmu yang tidak memberi manfaat”
Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu ini. Di dalam perkara ini adalah peringatan yang baik bagi mereka yang ingin memikirkannya.
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.