BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 28 February 2010

Ilmu kunci Menjadi Manusia Taqwa


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُوۡرَةُ العَلق
خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) 
Al-Alaq
Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4)


Untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa, kita memerlukan kunci dan petunjuk jalan. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dari bermacam sudut, kita memerlukan kunci dan petunjuk jalan juga. Untuk mengharungi segala cabaran hidup dengan penuh berkesan, kita memerlukan kuncinya. Apakah kunci tersebut? Kunci utama adalah ilmu.

Ilmu menerangi perjalanan kehidupan ini. Ia menunjukkan kita cara mengharungi kehidupan di dalam keadaan sentiasa diredhai Allah s.w.t. Peranan dan kesan ilmu ke atas individu, masyarakat dan umat begitu penting dan ketara sekali. Dan kerana sebab inilah, Islam menekankan peri-pentingnya ilmu pengetahuan. Islam meletakkan ilmu di kedudukan yang tinggi.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah AlMujadalah Ayat 11 :

سُوۡرَةُ المجَادلة
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قِيلَ لَكُمۡ تَفَسَّحُواْ فِى ٱلۡمَجَـٰلِسِ فَٱفۡسَحُواْ يَفۡسَحِ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُواْ فَٱنشُزُواْ يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (11)


"Bayangkan sesuatu yang dilakukan tanpa ilmu. Apakah akibatnya? Saya ingin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Saya ingin berakhlak murni seperti Baginda Rasulullah s.a.w. Tetapi saya tidak tahu caranya. Maka tentu saya tidak mampu mencapai matlamat dan tujuan tersebut. Saya ingin berniaga, tetapi tidak tahu caranya. Saya ingin melabur, tetapi tidak tahu mengenai saham dan pelaburan. Pasti usaha itu tidak akan berjaya. "

Ilmu adalah kunci kejayaan. Ilmu adalah kunci kecemerlangan. Dan ilmu pemangkin pembangunan individu, masyarakat dan umat. Dan bagi umat ini terutama sekali, kita dapat merasakan betapa pentingnya ilmu dengan wahyu ilahi yang pertama diturunkan Allah s.w.t. ke atas Baginda Rasulullah s.a.w.

Di dalam Surah Al-Alaq ayat pertama, Allah berfirman

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١)

Maksudnya “Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan”

Kita telah yakini bersama pentingnya ilmu di dalam kehidupan. Mari kita bincangkan lebih lanjut mengenai proses mencari ilmu yang sangat-sangat digalakkan.

Pertama, bilakah seharusnya kita mencari ilmu. Adakah batasan usia dan waktu untuk mencari ilmu? Umpamanya, saya sudah mendapat ijazah, atau diploma, atau sijil dan sebagainya. Atau usia saya sudah mencapai usia tertentu. Maka saya rasakan tidak perlu meneruskan usaha mencari ilmu lagi. Bolehkah kita berpendirian sedemikian? Tentu ini bercanggah dengan keperibadian umat Rasulullah s.aw. Kita dididik oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. bahawa mencari ilmu tidak ada batasan. Ilmu itu satu lautan yang tidak berpantai. Kita akur bahawa kemampuan dan keupayaaan mungkin terjejas dengan usia, tetapi kematangan dan kebijaksanaan bertambah. Maka pergunakanlah semua peluang dan masa untuk menimba ilmu. Mari kita membuat janji atau azam untuk sekurang-kurangnya mempelajari sesuatu setiap hari. Proses menimba ilmu ini kita lakukan dengan penuh kesedaran.

Perkara kedua adalah apakah jenis ilmu yang perlu kita cari. Sebagai mukmin yang berpandukan panduan ilahi dan menjalani kehidupan dengan penuh keinsafan, kita harus mencari ilmu yang membawa kebaikan dan membantu di dalam urusan dunia dan akhirat. Oleh itu, ilmu tidak sepatutnya dibahagikan kepada ilmu dunia dan akhirat atau ukhrawi. Walau kita mempelajari ilmu sains yang membawa kebaikan kepada manusia, maka ilmu itu diterima Islam dan digalakkan kita untuk mencarinya.

Al-Quran sebagai kitab panduan mengandungi banyak dasar sains dan dasar bagi bermacam ilmu lain. Namun, Allah s.w.t. tidak menerangkan segala-galanya, kerana kita disuruh menyelidiki sendiri segala yang kita lihat dan dengar. Kita dapat mengembangkan ilmu dengan berfikir, merenung dan menggerakkan minda selalu. Di dalam banyak ayat Al-Quran, kita disuruh berfikir. Seperti di dalam surah Azzumar Ayat 21:


أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ فَسَلَكَهُ ۥ يَنَـٰبِيعَ فِى ٱلۡأَرۡضِ ثُمَّ يُخۡرِجُ بِهِۦ زَرۡعً۬ا مُّخۡتَلِفًا أَلۡوَٲنُهُ ۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَٮٰهُ مُصۡفَرًّ۬ا ثُمَّ يَجۡعَلُهُ ۥ حُطَـٰمًا‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَذِكۡرَىٰ لِأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (٢١)

Az-Zumar
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna. (21)


“Sesungguhnya di dalam perkara itu adalah peringatan bagi mereka yang berfikir”

Cuba kita renungkan ayat-ayat Al-Quran berikut yang sering dibacakan Imam di dalam solat Jumaat. Surah Al-Ghasyiyah ayat 17 – 20 :


أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى ٱلۡإِبِلِ ڪَيۡفَ خُلِقَتۡ (١٧) وَإِلَى ٱلسَّمَآءِ ڪَيۡفَ رُفِعَتۡ (١٨) وَإِلَى ٱلۡجِبَالِ كَيۡفَ نُصِبَتۡ (١٩) وَإِلَى ٱلۡأَرۡضِ كَيۡفَ سُطِحَتۡ (٢٠) فَذَكِّرۡ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَڪِّرٌ۬ (


Yang bermaksud “Tidakkah mereka melihat pada haiwan unta, bagaimana ia diciptakan; dan melihat kepada langit bagaimana ia diangkat, dan kepada gunung bagaimana ia dipacak di dalam bumi, dan kepada bumi bagaimana ia dibentang”

Jika kita perhatikan, kita dapati sebenarnya Allah s.w.t. mengajak manusia untuk mengkaji dan mencari jawapan. Dan caranya adalah dengan mempelajari ilmu biologi, falak, geologi dan lain-lain. Di dalam jawapan yang kita selidiki terdapat tanda-tanda kebesaran Allah dan bukti bahawa Allah Maha Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Ketiga adalah cara mencari ilmu. Bagaimanakah dapat kita menimba ilmu dengan cara yang penuh berkesan? Para ulama menunjukkan contoh yang terbaik dan iltizam serta kejujuran niat mereka untuk mencari ilmu. Mereka melabur masa yang begitu banyak untuk menimba ilmu pengetahuan. Mereka mengambil masa bertahun-tahun dengan guru untuk mendengar, berbincang, bertanya dan kemudian berkongsi ilmu. Mereka sanggup menjalani pahit manis merantau dan kesusahan demi untuk mendapatkan sepotong hadis yang sahih umpamanya.

Di antara tokoh ilmuan seperti itu adalah Imam Al-Bukhari yang terkenal dengan kitab kumpulan hadis sahihnya dan Imam As-Syafi’e.

Persoalannya, sekarang ini, dengan berhujjahkan kesibukan, adakah cukup jika kita melungsuri lelaman internet, atau membaca buku untuk mencari ilmu dan merasa itulah proses mencari ilmu yang mencukupi?

Konsep penimbaan ilmu di dalam Islam lebih luas. Peranan guru begitu kritikal dan sangat diperlukan. Dan guru juga harus diteliti kebolehan dan kemampuan mendidik dan mengajar di dalam bab yang tertentu. Pilihlah guru yang mampu mendidik dengan baik, dan bertanyalah selalu.

Kita juga perlu menyemai semangat membaca dan bertanya. Membaca akan membuka minda dan meluaskan pemahaman. Kita juga dapat mengukuhkan ilmu yang telah kita pelajari apabila kita membaca dengan luas.

Segeralah kita merebut peluang untuk melabur yang membawa keuntungan yang berkekalan. Ilmu merupakan pelaburan terbaik. Ilmu yang baik akan melahirkan generasi terpimpin dan bertaqwa, serta dapat meneruskan kehidupan dengan keselesaan walau dipukul ombak perubahan dan cabaran kehidupan akan datang.

Di samping terus bersemangat menimba ilmu, marilah kita teruskan ketaqwaan dan mengamalkan apa yang telah dipelajari kerana itulah konsep sebenar ilmu di dalam Islam. Jangan kita sia-siakan ilmu itu atau kita mencarinya untuk tujuan dan matlamat sementara.

Doa yang kita sering baca harus direnungkan maksudnya iaitu “Ya Allah, aku berlindung kepada Mu dari ilmu yang tidak memberi manfaat”

Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu ini. Di dalam perkara ini adalah peringatan yang baik bagi mereka yang ingin memikirkannya.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 27 February 2010

Dunia Ibarat Permainan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam. MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat

DUNIA diibaratkan seperti ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan diperoleh di akhirat kelak. Hasil itu bergantung kepada apa yang diusahakan. Jika amalan diusahakan itu baik maka baiklah hasilnya dan begitu juga sebaliknya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihatNya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dilihatNya.” (Surah Al-Zilzal, ayat 7-8)

Sesungguhnya setiap langkah, gerak geri dan tingkah laku kita di dunia dalam pengetahuan Allah. Segala amalan manusia semuanya akan direkodkan dalam diari dan diari itu akan dibentangkan di akhirat nanti.

Allah menugaskan dua malaikat, Raqib dan Atid untuk mencatatkan segala rekod kebaikan serta kejahatan dilakukan setiap individu.

Ahli tasawwuf menganggap dunia seperti bangkai dan manusia seperti anjing. Sebab itulah manusia lebih sukakan dunia daripada akhirat. Al-Quran juga ada menerangkan yang dunia ini adalah permainan dan kelalaian.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir.” (Surah Al-An’am, ayat 32)

Dunia ini diibaratkan sebagai permainan dan melalaikan. Permainan itu akan tamat apabila tiba masanya. Kesenangan dan kemewahan dalam erti kata sebenarnya ialah kesenangan dan kemewahan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Hal ini jelas daripada firman Allah yang bermaksud: “Dan sebutlah (ingatlah) nama Tuhanmu serta sembahyang. Tetapi kamu lebihkan penghidupan dunia, pada hal akhirat lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’la, ayat 15, 16 dan 17)

Allah mengingatkan supaya manusia sentiasa ingat kepada-Nya dengan menunaikan sembahyang, mematuhi suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Namun, manusia lebih cenderung kepada penghidupan dunia.

Mungkin ini disebabkan dorongan syaitan dan hawa nafsu kerana syaitan itu sentiasa berusaha menyesatkan manusia di muka bumi ini, pada hal mereka sudah berkali-kali diberi peringatan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.

Islam bukan melarang manusia mencari kemewahan dan kesenangan di dunia tetapi kemewahan itu biarlah sekadar memadai untuk menunaikan tanggungjawab serta kewajipan yang membawa kepada kebahagiaan hidup di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Manusia disuruh mencari atau beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Di samping itu, Allah juga menegaskan bahawa dunia tidak boleh dilupakan langsung. Cuma antara dunia dan akhirat, Allah menguatkan supaya akhirat lebih diutamakan dari dunia.

Bagaimana halnya mereka yang lebih mementingkan dunia dari akhirat? Allah berfirman yang maksudnya: “Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 86)

Inilah balasan orang yang sanggup meninggalkan akhirat dan mengutamakan dunia. Mereka itu akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Sesungguhnya, untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan sama ada di dunia atau akhirat, kita disuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah segala larangan. Kita juga digalakkan membuat amal ibadat lebih banyak daripada urusan keduniaan.

Keadaan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari.” (Hadis riwayat Al-Asyakin)


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 26 February 2010

Rezeki akan menjadi luas sekiranya


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Daripada Abu Hurairah r. a berkata : " Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s. a. w lalu bertanya : Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila ruh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata : Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain. Riwayat Bukhari dan Muslim


Pesanan yang selalu ummi ingatkan kepada anak-anak ialah; “Kalau kesempitan rezeki, duit tak cukup, harta tak banyak mana, masa itulah masa paling sesuai untuk bersedekah.” Kenapa begitu? Kerana janji Allah bahawa "Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki." (Al Baqarah :261).


“Kalau sudah senang setelah sempit, banyakkan lagi sedekah pada masa tersebut. Nescaya Allah akan meluaskan pintu rezeki” .

Pengalaman hidup yang telah dilalui mendidik ummi menyakini amalan ini. Sejak mula berumah tangga lagi, ummi dan zauj membelanjakan rezeki kurniaan Allah hanya secupak untuk kegunaan dalam rumah tangga. Memang dari awal berumah tangga rezeki yang dapat hanya secupak. Dari yang secupak tu, kami bahagi-bahagikan kepada beberapa pecahan agar setiap yang berhak menikmatinya.

Tahun demi tahun, kemurahan rezeki dari Allah makin meningkat, dari secupak Allah menambah menjadi segantang, namun perbelanjaan untuk rumah tangga ummi tetap secupak juga, yang lainnya dibahagi kepada beberapa pecahan. Dan bilangan pecahan-pecahan ini yang bertambah, samada dari segi kualiti atau kuantiti.

Kami menganggap, kami ini hanya sebagai pemegang amanah sahaja, kerana di dalam keluasan rezeki yang Allah kurniakan kepada kami, ada hak orang lain. Maka kami sentiasa menunaikan hak-hak orang lain . Bila hak-hak ini ditunaikan melalui jalan infaq, rupanya rezeki Allah kepada kami semakin luas dan bertambah dari sumber yang tidak diketahui dan tidak terkira.

Selalu juga ummi buat perkiraan, jumlah perbelanjaan adalah lebih besar dari jumlah pendapatan, namun tidak pula kami kelaparan atau hidup dalam kesempitan. Ini semuanya dari pertolongan Allah yang sentiasa melapang rezeki buat kami. Bagaimana yang dikatakan kemurahan rezeki dan keluasan rezeki dari Allah?

Rezeki dari Allah bukan semestinya datang dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Rezeki tu boleh berupa dipermudahkan urusan tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan, contohnya jika kita sepatutnya kena bayar, tetapi kita tidak dikenakan bayaran atau mungkin kita dikenakan hanya sedikit bayaran. Mungkin dalam bentuk diskaun harga.

Boleh juga kemurahan rezeki itu, kita mahu mengadakan walimah atau majlis kenduri, tiba-tiba, ada orang hantar beras, hantar gula, hantar bawang atau apa jua bahan yang boleh digunakan untuk memasak dan menyediakan makanan. Maka kita tidak perlu mengeluarkan kos untuk bahan-bahan tersebut.

Boleh juga kemurahan rezeki tu, katakan apabila sesuatu projek yang sepatutnya dilakukan mengambil masa 2 bulan, tetapi dapat disiapkan dalam tempoh satu bulan, maka kos sepatutnya dibayar untuk dua bulan menjadi satu bulan, maka keuntungan yang diperolehi berganda-ganda.(contohnya, kena buat penyelidikan dengan kos telah dikirakan untuk 2 bulan sebanyak RM 30 ribu, di satu tempat luar kawasan, maka kena bayar kos makanan, kos penginapan , kos upah pekerja, untuk tempoh dua bulan, tiba-tiba, penyelidikan itu dapat disiapkan dalam tempoh satu bulan sahaja, maka jumlah penginapan yang kena bayar hanya satu bulan, begitu juga makanan dan upah pekerja, maka lebihan keuntungan itu dikira rezeki).Dan baki masa yang satu bulan tu, dah boleh buat kerja lain, dan dapat lagi tambahan rezeki.

Bentuk lain kemurahan rezeki, katakan mahu menuju kesuatu tempat, kena keluarkan kos pengangkutan, tiba-tiba ada orang yang sudi menumpangkan kita untuk sampai ketempat itu, maka duit yang sepatutnya kita keluarkan boleh kita gunakan ketempat lain.

Begitulah caranya yang dikatakan Allah mengurniakan keluasan rezeki dari sumber tidak diketahui dan tidak terhingga. Kita memang tidak menjangka akan dari mana sumber rezeki itu, yang pasti rezeki itu adalah halal.

Begitu juga jika sepatutnya harga barang adalah sekian harga, tiba-tiba bila giliran kita mahu membeli harga telah diturunkan sebanyak 50%.( Contonya baru ni, zauj pergi satu kedai, nak beli daging kambing dengan harga sebungkus RM 20.00, bila masa nak bayar, tuan kedai kata oleh kerana hanya tinggal 2 bungkus, ambiklah kedua-duanya dengan harga potongan 50%).Itu pun dikirakan kemurahan rezeki juga. Adakah halal? halal kaedah, barang dan sumbernya.

Bagaimana lagi yang dikatakan kemurahan rezeki? Penggunaan barang-barang yang ada tempoh hayatnya. Mungkin sesuatu barang itu tempoh hayatnya 5 tahun, jadi bila sampai masa tempoh 5 tahun, kita mungkin kena beli ganti semula dan keluarkan kos, tetapi bila dah lepas 5 tahun pun masih elok dan boleh digunakan, maka tidak lah perlu kita ganti dan beli yang lain.

Selain dari itu, keluasan rezeki Allah ialah , apabila kita menternak binatang, binatang kita cepat membiak, tak ada yang berpenyakit, risiko mati rendah dan orang selalu datang membeli tanpa perlu kita mengeluarkan kos mencari pasaran.

Begitu juga jika kita bertani atau berladang,hasil tanaman kita menjadi, kurang risiko pemangsa dan penyakit.

Ini semua dikatakan kemurahan dan keluasan rezeki dari Allah.

Bagaimana boleh memperolehi keluasan dan kemurahan rezeki dari Allah ini? Dengan kita sering melakukan infaq dijalan Allah. Kalau ada orang menjaja ikan kering atau buku-buku datang ke rumah, jangan hampakan mereka walaupun barang tu atau buku tu dah ada, kita beli juga, lepas tu kita beri pada orang lain. Bermakna kita tidak hampakan permintaanya untuk beli barangnya yang mereka kata sebagai jariah pembinaan masjid, surau atau bantuan anak yatim. (maksudnya bukannya beli barang di kedai atau di pasar).

Bila ada orang minta pertolongan , kalau ummi di sini, ialah pelajar, tidak kira pelajar universiti atau sekolah, yang kesempitan duit samada nak bayar yuran atau kadang tu nak makan, maka dengan mudah ummi dan zauj membantu. Tapi bukanlah bantu diberikan tanpa diselidiki kenapa dia tidak berduit atau tidak cukup duit.Kerana ada pelajar yang duit dari tajaan tidak cukup sebab duit tu dia juga guna untuk bantu adiknya sekolah, atau kursus yang dia jalani memerlukan banyak perbelanjaan macam kursus senibina yang banyak projek perlu disiapkan. Bukan mereka habis duit sebab beli top up telefon atau berfoya-foya.

Ada juga pelajar yang tajaan dihentikan atas sebab kegagalan beberapa mata pelajaran, mak ayah pula susah, maka mereka ini perlulah dibantu agar dapat juga menamatkan dalam masa tambahan yang universiti berikan,katakan 1 semester.( kalau 1 semester, tajaan tak diberi, macamana mereka nak teruskan belajar? sedangkan mereka boleh berjaya dalam semester tambahan tu, takkan kerana tak dapat tajaan 1 semester tu, mereka berhenti dan gagal dalam pengajian yang telah dilalui selama 4 tahun.)

Sebab itu, ummi dan zauj hanya suka membantu kepada orang yang ingin belajar tetapi tidak berduit. Bukannya ummi bantu mereka yang tidak cukup duit sebab mengamalkan hidup mewah,katakan tak cukup duit sebab nak isi minyak kereta.

Ummi mulakan mendidik anak-anak agar selalu menginfaqkan duit mereka melalui tabung masjid hari Jumaat. Setiap minggu atau setiap kali ke masjid atau surau, mesti masukkan duit dalam tabung masjid atau surau, paling sedikit 10 sen. Atau di sekolah jika ada kutipan derma, mesti berikan walaupun 10 sen. Biar sedikit asalkan ada, jangan hampakan orang yang memohon bantuan.

Lepas tu anak ummi selalu berpegang pada pesanan ini. Setiap kali rasa kesempitan, bila buka wallet ada RM2 mereka sedekahkan RM1. Kalau ada RM40 mereka sedekahkan RM10. Kalau ada sedikit mereka sedekahkan sedikit. Kalau ada rakan susah nak pinjam duit, mereka pinjamkan dengan niat kalau dibayar alhamdullilah, kalau tidak bayar, anggap sedekah. Alhamdullilah, rezeki Allah memang murah untuk setakat ini dan harapnya pada masa akan datang. Inilah amalan yang ummi lakukan dan didik kepada anak-anak.

Pernah suatu hari seorang rakan ummi seorang guru baru sahaja accident kereta. Dalam masa yang sama kena saman polis. Lepas tu duit dia hilang. Anak pulak sakit, pergi hospital dan kena bayar beberapa ribu. Ummi pesan pada dia, mungkin Allah mahu pesan agar dia memberi sedikit harta yang Allah berikan pada dia. Alhamdullilah lepas dia bersedekah, ummi nampak kehidupan dia nampak mudah dan rezeki dia nampak luas.

Tapi kita kena ingat juga. Rezeki luas tak bermakna akan jadi kaya raya. Kadang tu, bak kata arwah mak, walaupun rezeki luas, makan tetap seperti biasa, tapi rasa lebih kenyang dan puas. Gaji seperti biasa, tapi seolah-olah cukup. Dan paling utamanya kadang-kadang bantuan datang dari sumber yang kita sendiri tak sangka. “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah (ikhlas). Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup, sedangkan kamu sedikit pun tidak akan dianiaya.”(Surah al-Baqarah, ayat 272).

Dalam riwayat Ibnu Hibban dan Hakim dari ‘ Uqbah ia mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap orang bernaung di bawah perlindungan sedekahnya hingga ditetapkan hisab (perhitungan) di antara manusia di yaumil akhirat.”

Ummi bukan yg terbaik untuk memberikan nasihat hanyalah sekadar memperingatkan sesama insan betapa Maha Pengasihnya Allah kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa. Sekadar berpesan. Semoga ada manfaat.

p/s: renung-renungkanlah,semoga menjadi panduan bersama.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 25 February 2010

Pembedahan Total Knee Replecemant ~ Video

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Hadis riwayat al-Bukhari:
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: "Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya"


يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لاَ يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman."



Nampaknya belum habis lagi cerita pembedahan yang ummi lalui. Ummi uploadkan vidoe ketika pembedahan Total Knee Replecement tu di jalankan. Walaupun pesakit dalam vidoe ni bukan ummi, tetapi pembedahan yang ummi lalui adalah serupa dan sama procedurnya.








Lihatnya bagaimana pembedahan yang dijalankan ke atas ummi. Lihatlah dengan sabar, sekurangnya play dulu hingga habis, kemudian replay sekali lagi agar dapat lihat dengan lancar. Sebab tu sakitnya , walaupun dah 20 hari pembedahan berlaku, sakitnya masih terasa. dan tak hairanlah selepas pembedahan, ummi perlu diberikan drip morphine selama 8 hari kerana tidak sanggup menanggung kesakitan dari luka pembedahan itu.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday, 22 February 2010

Ihsan dekatkan diri kepada Allah

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Dari Amirul Mukminin,Abu Hafsh,Umar bin Khattab r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu tergantung pada niatnya,dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang ia niatkan.Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya,maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan RasulNya,dan barangsiapa berhijrah kerana dunia yang ia cari atau wanita yang hendak dinikahinya,maka ia akan mendapati apa yang ia tuju.”



Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga mengambarkan keikhlasan hati.


Sedikit coretan ummi hari ini, berkaitan ihsan dalam kerja harian. Pagi tadi jam 10:30 pagi,zauj bawa ummi pergi ke Pejabat Rekod Perubatan HSAJB, untuk ummi mohon laporan perubatan bagi tujuan takaful.

Kali ini, ummi berhadapan karenah birokrsi seorang kerani yang tidak mahu bertoleransi. Ummi datang dengan zauj, tetapi zauj tunggu dalam kereta sebab, tak ada tempat letak kereta, dan ummi masuk ke pejabat itu dengan berjalan kaki guna 'walk frame'. Ada seorang kerani tunggu di kaunter, buat tak kisah sahaja, bila ummi sampai di depan dia. Bila ummi kata saya nak mohon laporan perubatan, terus dia minta salinan kad pengenalan.

Setiap tahun, selepas sahaja ummi dirawat di hospital, ummi perlu dapatkan laporan perubatan ini. Maka fail ummi memang telah lama ujud.

Jika fail telah lama ujud, pemohon tidak lagi perlu untuk membawa salinan kad pengenalan.Tapi hari ini, kerani di kaunter berkenaan memberikan pelbagai alasan kepada ummi,sebab tak mahu cari fail tu,sebaliknya berkeras mahukan salinan kad pengenalan ummi, katanya, "fail ummi telah lama, dah diikat dan disimpan dalam stor." Macam pelik pula,Ummi jawap ,"telah lama, memang dah lama wujud tetapi sentiasa dikemaskini, sebab tahun lepas saya ada buat permohonan untuk dapatkan laporan perubatan, tak kan dah disimpan dalam stor?" Kerani berkenaan minta ummi buka fail baru dan dia memerlukan salinan kad pengenalan ummi.

Kebetulan pula, kad pengenalan tidak ada dengan ummi, sebab masih berada di dalam dompet zauj. Jadi ummi terdiam memikirkan, nak berjalan semula ke kereta dan masuk semula, nak cari kedai fotocopy.Ummi merayu pada dia, tak kan lah fail ummi sudah disimpan dalam stor. Namun kerani tu tetap buat tak hirau pada kata-kata ummi. Air mata dah mula bertakung dipenjuru mata ni, kesayuan dengan tindakannya itu.

Dalam ummi terdiam dan terus menulis borang tu,sambil akal memikirkan bagaimana nak ambik kad pengenalan, datang seorang kerani lain, yang dengan lemah lembut berkata, "kak,mana kad rawatannya , saya tolong ambikkan failnya.", Sekejab sahaja, kerani tu masuk ke dalam, tak sampai 5 minit, dah keluar,bawa fail ummi. Ada pun, bermakna fail ummi masih lagi ada di rak, bukannya telah diikat dan disimpan di stor. Nampak sangat, kerani pertama tu malas mencari fail.

Dengan kerani ini, terlalu mudah sangat ummi berurus, lepas saja ummi serahkan borang dan duit bayaran, terus selesai dan ummi balik. Dalam hati ummi berkata, kenapa kerani tu begitu? Adakah dia ikhlas bekerja sehingga memberikan pelbagai alasan kepada pelanggan. Kalau pelanggan tu tidak tahu prosedur, mungkin mereka akan keluar , pergi fotocopy kad pengenalan sekeping dan datang lagi. Ini akan menyusahkan pelanggan.Sedangkan salinan kad pengenalan memang sudah ada dalam fail, cuma fail tu kena di cari berdasarkan rujukan kad pengenalan pelanggan.

Bukan kah itu menyusahkan namanya. Bagi ummi,"jika hari ini kita menyusahkan orang lain, maka esok kita akan disusahkan oleh orang lain pula." Buatlah kerja dengan penuh ikhsan dan membantu setiap orang ,agar urusan orang dipemudahkan.

Alhamdulillah ,ini prisip yang ummi pegang, tidak suka menyusahkan orang, maka urusan ummi yang pada awalnya seperti sukar, tetap dipermudahkan oleh Allah akhirnya. Tanamkan ihsan dalam diri agar sifat ihsan itu menjadi amalan dan ibadah yang Allah pandang di akhirat kelak.




SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah”, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis: “Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat.

Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5) Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?


Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril AS yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud: “Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Dalam Kamus Dewan, ihsan dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”

Ihsan juga bererti perbuatan yang baik, murah hati, suka melakukan kebajikan dan dermawanan.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya.

Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Maka lakukan lah apa juga perbuatan dan amalan tanpa memikirkan ganjaran dan balasan dari manusia kerana apa yang kita lakukan akan di nilai oleh Allah SWT.

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 21 February 2010

Memelihara aib orang

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu;tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya, maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan” , Q.S. Al-Maa`idah/5: 105.


SEBAGAI orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan al-sunnah dalam menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini.


Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu, kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengembara dibekalkan dengan penunjuk arah.

Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup. Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan.

Justeru, ramai yang berpegang kepada motto jenama Nike, “Just do it“. Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambil kira kesannya pada diri mahupun orang lain. Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto itu. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan itu.

Dalam kehidupan seorang Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?

Walaupun seorang Muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara yang dilarang itu adalah membuka aib diri dan aib orang lain.

Membuka aib diri sendiri mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini adalah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.

Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Jadi, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri sendiri.

Namun, apabila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di akhirat kelak.”

Malangnya, ramai orang Islam lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan, menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu, mahupun menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.

Malah, ada yang mengaut keuntungan daripada keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan. Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?

Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan itu mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam daripada menyatakan keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan itu, ia menjadi fasik, maka hendaklah bertaubat.

Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya,” …dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…“. Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?

Dalam pengenalan mengenai surah al-Hujurat ini menyebut bahawa, surah ini menyentuh tentang adab yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakat Islam. Selain melarang mengaibkan orang, surah ini juga memerintahkan agar ketua dihormati, khabar angin diselidiki, damaikan dua pihak yang berkelahi, manusia lain jangan dicemuh atau diperlekeh, jangan melabel orang dengan perkataan yang buruk, jauhi prasangka, jangan mencari salah dan keaiban manusia, jangan mengumpat dan berkenalanlah sesama manusia.

Amat malang sekali apabila umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat tidak mengambil manfaat daripada panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya. Jadi, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding dengan masyarakat Barat atau Timur yang tiada ‘kompas’ penunjuk jalannya?


Hidup dan kehidupan kita adalah amanah yang akan kita pertanggungjawabkan kelak di hadapan Allah, sebagaimana penciptaan kita dan seluruh makhlukNya yang penuh makna dan nilai ( tidak sia-sia ) ketika diciptakan oleh Allah di muka bumi ini. Maka hal yang kita lakukan adalah berusaha menepati amanah Allah dengan senantiasa terus berusaha mencintai kebaikan dan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 20 February 2010

Kuasa Cinta?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اذْكُرُواْ اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allahdengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
(Al-Ahzab, (33) : 41)



Menerawang memikirkan betapa asyiknya cinta lantas membayangkan kepedihan saat bersendirian tanpa si dia di sisi. Memang sunyi.

Itulah yang dikatakan kuasa cinta, sering diungkap dua sejoli. Kuasa cinta yang mampu menjadikan seseorang bertindak di luar jangkaan, mengubah diri seorang insan menjadi gila, kadangkala sanggup bertindak di luar batasan akal seorang insan.

Namun, cinta dan keimanan akan melahirkan keajaiban serta kekaguman, mengubah dunia yang suram menjadi terang serta membuatkan seseorang lebih peka mengenai kehormatan juga kemuliaan.

Menurut pakar psikologi, cinta adalah himpunan nilai kemanusiaan yang di dalamnya menjelmakan makna sebenar manusia dan kerana itu, orang yang tidak mampu mencintai akan kehilangan makna sebagai manusia. Hilangnya cinta adalah kehancuran bagi manusia.


“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”

Muqaddimah

Bait-bait nasyid kumpulan Quturunnada di atas sering mengingatkan kita kepada hakikat cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang dibawa oleh Qutrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kerancakan irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid pada masa sekarang.

Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :

1. Cinta kepada Allah

Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah. Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap.

Firman Allah SWT :“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...” (Surah Al-Baqarah ayat : 165)

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya. Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.

Firman Allah SWT (yang bermaksud) :“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)


2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’

Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas yang begitu mulia. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para anbiya’. Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah SAW.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.(Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)

Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dibuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.

3. Cinta Sesama Mukmin

Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”(Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)

Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan pesanan :“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."(Surah Israk, ayat 24)

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...(Surah Al-Fath, ayat 29)

Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu. Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.

Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu kuat bergelombang. Salah satu darinya ialah mainan cinta.

Tidak sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini. Dalam berbicara persoalan peringkat pembinaan ‘cinta lutong’, As-Syauqi pernah bermadah :Benar kata Syauqi, cinta lutong ini bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan...”(Surah An-Nuur, ayat 30)

Betapa bahayanya cinta lutong ini boleh dilihat apabila pasangan yang dihanyutkan olehnya tidak akan berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi dari memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak didodoikan dengan suara halus dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebur harapan masyarakat yang dipikulkan di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat demikian, layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing masyarakat? Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah perkahwinan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”(Bukhari : no. 1772, Muslim : no. 2485)

Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan diri dari kekangan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak membuka pintu yang lain.

Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak, hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu menyelamatkan diri sendiri dari turut terjun dalam arus ganas cinta lutong.Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan! Dan sekalipun kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam sebagai medan jihad dan perjuangan. Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal.

Usia emas yang diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi ilmu. Namun, kita manusia boleh tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita. Sekalipun kita arif malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah sekadar tipuan, namun kita bisa rebah dalam ketewasan yang kita sendiri sebenarnya merelakannya.Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?

2  hari selepas ummi keluar wad, ummi dapat jemputan walimah sahabat di Rumah Alumni,UTM. Bila dikhabarkan pada zauj, tentang majlis walimah tu, terus zauj kata "jom kita pergi". Sambil terpingga, ummi menjawap, "bang, muna malu nak pergi, jalan pun masih tidak berapa kuat lagi" Rupanya zauj, lupa keadaan ummi. Ini disebabkan sebelum ini, kemana pergi mesti berteman dan berdua. Oleh kerana tiada keuzuran syarie, zauj pergi seorang diri dan membawa salam ummi kepada tuan rumah.


Pagi semalam zauj telefon dari pejabat, " ada Bengkel Penulisan Journal di Desaru, nanti lepas Solat Jumaat kita pergi. Ummi siap-siap ya." Sekali lagi zauj lupa keadaan ummi. Ummi diam tidak berkata apa-apa.


Bila petang zauj balik, "kenapa tak siap lagi?" Ummi jawap, "esok angah nak balik, siapa nak hantar angah ke Hentian Bas?" Ummi memberikan alasan. Tak sampai hati ummi nak kata, yang sebenarnya keadaan ummi tidak mengizinkan untuk berjalan jauh. Zauj pun lupa sebab memang dah jadi kebiasaan dari awal perkahwinan , walau kemana jua zauj pergi, isteri selalu menemani. Sedihnya ummi tak dapat pergi temankan zauj kali ini.


Akhirnya, zauj tak jadi pergi ke Daesaru. Nampak tidak bersemangat untuk zauj pergi menghadiri Bengkel tu. Memang asalnya nama zauj tidak tersenarai sebagai peserta Bengkel kerana masa penyenaraian nama peserta, ummi masih di wad menerima rawatan. Pada masa itu, zauj tidak pasti bila ummi dijangka keluar wad.


Namun atas tanggungjawap sebagai pengurusan Fakulti, pagi tadi zauj pergi juga ke Desaru dengan ditemani oleh Abdullah Mubarak dan Muhammad Imran. Pergi menjenguk Bengkel yang di adakan oleh FTI dan semua staf akademik turut terlibat.


Memang benar pepatah 'disebalik kejayaan seorang lelaki, ada perempuan dibelakangnya'. Apa juga yang zauj lakukan, peranan ummi ialah memberikan sokongan dan  dorongan. Mesti sentiasa memberikan kata semangat agar zauj tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam kerjaya zauj yang semakin hari semakin bertambah. Menjadi salah seorang ahli pengurusan tertinggi sebuah fakulti bukanlah mudah seperti ketika menjadi seorang pensyarah dahulu. Banyak kerja yang dilakukan memerlukan pemikiran dibandingkan tenaga. Bila malam sahaja, zauj pasti keletihan dan memerlukan belaian seorang isteri bagi meredakan ketegangan dalam kerja hariannya.


Zauj memang macam itu, apa juga yang dilalui dalam kehidupan harian mesti diberi sokongan dari isteri. Dari segi kerjaya atau amalan harian. Begitu juga untuk pergi kemana-mana, hatta ke pasar untuk membeli keperluan harian. Mahu sentiasa isteri menemani. Kalau berjauhan dengan isteri, ummi kira sehari berpuluh kali zauj akan telefon ummi.


Sebab itu, sejak ummi dan zauj memiliki telefon, ummi masih ingat,ummi tidak boleh off handphone, telefon zauj tidak boleh tak ada kredit,jika masa dulu guna prepaid.Lepas tu ummi tukar kepada pasca bayar. Guna bil, supaya tidak ada masalah berkaitan kredit panggilan. Kalau telefon zauj rosak, ummi kena cepat-cepat belikan yang baru. Segala kemudahan zauj ummi perlu pastikan yang terbaik. Ummi tidak mahu zauj mengalami sebarang kesukaran untuk zauj menghubungi ummi bila-bila masa yang dia inginkan. Sebab itu telefon sentiasa bersama ada bersama ummi,kalau tidor, telefon disisi kepala ummi, tak boleh senyap, takut tak dengar bunyi panggilan dari zauj. Memang ummi amat berhati-hati menjaga keutamaan ini jika zauj tiada di sisi ummi, walaupun sekadar ke pejabat sahaja.


Ummi sendiri pun jika zauj bermusafir, rasa kosong, dan hari dirasakan panjang sangat untuk berlalu. Jika zauj terpaksa bermalam, pastinya sebelum tidur, bergayut sebentar dan awal pagi zauj pasti dah telefon. Memang kami berdua rasa sukar bila berjauhan. Pasti saling rindu merindui. Ini kuasa cinta suami isteri.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday, 18 February 2010

Kasih Sayang dan Cinta

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Hari ini kiranya dah 2 minggu genap ummi  telah lalui pembedahan sendi kaki. Balutan luka 17 cm di kaki ni masih belum di buka. Last cuci luka  dan jahitan ini ialah pada hari Sabtu, sebelum balik ke rumah. Tiap kali mandi, kawasan balutan ini, ummi pakaikan 'shower cap' supaya tidak basah.


Kiranya dari hari Sabtu, dah 5 hari balutan tidak ditukar dan luka tidak di cuci. Hari ni, zauj bawa ummi ke Pusat Kesihatan UTM, untuk buat 'dressing' luka dan jahitan bekas pembedahan ni. Masa buat 'dressing' tu zauj masuk juga dan lihat luka dan bekas jahitan pembedahan. dia pun rasa ngeri bila lihat panjangnya lebih kurang 17 cm merentasi  kepala lutut. Zauj kata, padanlah ummi sentiasa rasa sakit, sebab bila luka nak bercantum, ummi terpaksa berjalan. jadi luka tu agak susah dan lambat mahu sembuh.


Itu luka yang kelihatan. yang tidak kelihatan , dibahagian dalam tu, lagi besar tempat daging-daging dilapah, lagilah sakit. Baru sahaja nak bercantum, ummi kena gerakkan kaki dan sendi. Ummi perlu bergerak , lakukan excersise dan berjalan agar implant tu tidak kaku.


Jadi berlaku pro dan kontra di sini. Tidak digerakkan kaki, implant yang di pasang akan kaku dan lama-lama keberkesanan fungsi akan berkurang. Tapi luka akan cepat sembuh. Jika digerakkan kaki dan buat exercises, buat latihan berjalan, fungsi implant akan baik, tetapi luka lambat sembuh pula. 


Begitulah keadaan nya, pro dan kontra, tetapi hidup tetap perlu diteruskan. Hati perlu tabah, semangat perlu kuat dan sabar mesti menguasai diri. Sokongan dari orang-orang yang disayang adalah faktor utama ummi mampu lalui semua susah payah dan kesakitan ini.


Lepas luka dan jahitan luka pembedahan di cuci, zauj bawa ummi ke pejabat Fakulti sekejap, untuk ambik beberapa surat. Sementara di sana, ummi ditemui beberapa staf FTI untuk mereka bertanyakan khabar. Ummi berjalan gunakan 'walk frame' .


Lepas tu, zauj kata lapar dan cari warung untuk makan.Dah lama tidak pergi 'warung Seri Menanti' ,ummi teringin nak makan mee rebusnya. Turun masuk warung, tak guna 'walk frame' , jalan berpaut dengan zauj sahaja, cukup romantik. Sampai di meja makan, zauj tarikkan kerusi untuk duduk, dan zauj dudukkan, betul-betul macam cerita love story, orang bercouple.


Walaupun kat warung tu penuh dan ramai orang, zauj tidak pernah kisah dengan apa yang orang pandang. Dari dulu lagi, zauj selalu beri ummi layanan yang terbaik. Zauj akan ambikkan makanan, tisu, air untuk ummi, bila makan di luar.


Pernah dulu, masa ummi sakit, memerlukan rawatan panjang di unit psiaktri, tiap kali pergi bertemu pakar psiaktri, zauj yang akan temankan. Pernah ummi tanya, "abang tak malu kah, jika orang kata isteri abang ni gila?"  Zauj jawap " nak malu apa, yang abang peluk, yang abang pimpin, yang abang temankan ni isteri sendiri, bukannya isteri orang, isteri abang bukan gila, tetapi sakit yang memerlukan rawatan ."  


Begitulah pengorbanan zauj ummi dari dulu hingga sekarang, yang kasih sayang dan cintanya tidak pernah berkurang walaupun sedikit. Allah telah uji kasih sayang dan cinta zauj terhadap ummi dan zauj telah membuktikan kasih sayang dan cintanya utuh kerana sentiasa ada bersama ummi ketika ummi sakit, derita dan berdukacita. Tapi kasih sayang dan cinta ummi pada zauj belum Allah uji apakah ummi mampu berbuat begitu terhadapnya. Semoga ummi juga mampu berbuat begitu terhadap zauj.


Masih ummi ingat, tiap kali ummi terlantar sakit, zauj yang suapkan makanan ke mulut ummi, mandikan ummi, pakaikan baju ke badan ummi, dan bantu ummi untuk berwuduk atau bertayamum.


Kalau ummi bersalin, dah 8 kali bersalin, 2 kali 'keguguran', zauj tidak pernah izinkan ummi balik kampung. Zauj yang akan jaga ummi siang malam di rumah sendiri sehingga lepas tempoh berpantang. Bayi yang baru lahir pun, zauj yang urus dan mandikan.  3 anak pertama, ummi cuma bersalin di rumah , zauj sambut bayi, dibantu oleh seorang bidan atau jururawat desa. Anak ke 4 barulah ummi mula bersalin di hospital, itu pun sebab, kes  pendarahan dan lewat dari 'date due'.


Dua kali pergi menunaikan haji di Makkah Al-Mukaramah, sudah cukup untuk ummi merasainya betapa nikmat berbulan madu dan hidup bagaikan di syurga bersama zauj . Sangat indah kenangan-kenangan kami semasa di sana.


Syukur Ya Allah , Anugerah MU kepada ku, seorang suami yang membahagiakan aku, yang mendidik dan membimbing aku menuju kepada MU. Moga kerukunan, kedamaian, ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan ini hingga akhir hayat ku membawa ke akhirat sana. Ameen....

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 17 February 2010

SOLAT MENGHORMATI WAKTU

 بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Kiblat disebelah kanan ummi

Semoga Allah menunjukki kita jalan kebenaran. Semoga kita sentiasa didalam limpahan Nur RahmatNya. Semoga Kita tidak mati melainkan didalam Iman dan Islam. MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Ingin  ummi berkongsi di sini berkaitan solat menghormati waktu. Ummi melakukan solat ini ketika di dewan pembedahan. Pada pembedahan yang ke 3 ke atas kaki  ummi, ummi dihantar ke dewan bedah pada pukul 11:00 pagi. Sudah pasti belum masuk waktu zohor.

Selesai proses pembedahan dan pemulihan di dalam dewan bedah pada pukul 4:00 petang. Ummi jangkakan untuk menguruskan ummi kembali ke wad juga akan ambil masa. Mengenangkan takut terlepas waktu zohor, terus sahaja ummi lakukan solat menghormati waktu tanpa berwuduk kerana ketika itu sudah pasti tak ada siapa yang mahu membantu ummi bertayamum atau berwuduk. (Mana boleh bawa debu tayamum ke dewan bedah )

Ummi masih dalam keadaan sedar kerana pembedahan bahagian kaki hanya menggunakan bius separuh badan. Dari pinggang ke kaki sahaja, ummi merasa kebas. Rasanya ibarat lumpuh separuh badan. Jadi semasa di dalam dewan bedah,ummi boleh bertanyakan masa kepada petugas di sana,walaupun ketika itu pembedahan sedang berjalan.


Ummi akan lakukan solat di dalam keadaan terlantar baring mengunakkan isyarat mata, tanpa menghadap ke arah kiblat kerana sudah pasti katil dewan bedah tidak mudah untuk digerakkan bagi mengarah kan wajah ummi ke kiblat. Yang pasti ummi perlu menunaikan solat di dalam waktunya, dan paling ummi takuti sekiranya terlepas waktu solat.

Pada jam 4:40 petang baru ummi dihantar ke wad. Sampai di wad, ummi mengalami keadaan yang tidak stabil,apabila berlaku penurunan suhu badan dan tekanan darah. Mereka mengambil masa juga untuk memulihkan keadaan ummi. (Sekiranya doktor atau jururwat  tidak menyedari keadaan ummi begitu , risikonya adalah 'koma', takdir berlaku, ummi dah lakukan kewajiban solat zohor didalam waktunya) . Keadaan ummi stabil semula pada jam 6:15 petang, dan ummi teringat ummi belum melakukan solat asar. Sekali lagi, ummi lakukan solat menghormati waktu didalam keaadan terlantar dengan menggunkan isyarat mata sahaja dan kali ini ummi dapat menghadapkan wajah ummi ke arah kiblat.

Dan apabila ummi mampu sahaja diwudukkan atau bertayamum, terus ummi buat solat qada keatas solat menghormati waktu yang telah ummi lakukan.

Ada juga ketikanya ummi lakukan solat jamak sekiranya ummi sukar dan perlukan bantuan orang lain untuk berwuduk atau bertayamum. Samada jamak takhir atau jamak takdim, bergantung kepada sesiapa yang dapat membantu ummi melakukan tayamum atau wuduk. Sekiranya ummi telah ditempatkan di wad.


Kenapa perlu melakukan solat menghormati waktu? Ini kerana waktu solat yang luput tidak dapat dikembalikan lagi.

APAKAH SOLAT MENGHORMATI WAKTU ?


Solat menghormati waktu ialah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayammum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat. Solat ini WAJIB di qada semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat kembali. Kita juga boleh mengqada' solat  hormat waktu ini secara jama' ataupun qasar dengan syarat kita masih berada di dalam musafir.

Apabila kita telah kembali ketempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada' secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayammun bagi mengqada' solat maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah.

Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada' solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah tetapi kita masih melengahkannya maka kita dikira berdosa.


Timbul persoalan tentang solat menghormati waktu, apakah ia wujud? Solat menghormati waktu sebenarnya telah dibincangkan oleh para ulama’ silam dan tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah oleh ilmuwan pada zaman sekarang. Sebenarnya ia merujuk kepada solat yang dilakukan bagi menghormati waktu yang akan luput sedangkan pada waktu itu terdapat sesuatu yang menghalang daripadanya sahnya solat seperti ketiadaan wuduk.

Contohnya ialah seseorang yang sedang berada dalam waktu Asar tetapi tidak dapat menunaikan solat Asar dengan sempurna kerana tidak dapat berwuduk atau bertayammum untuk memenuhi syarat wajib solat. Justeru, dia dikehendaki menunaikan solat Asar tersebut dalam keadaan tidak berwuduk ‘sebagai menghormati Asar’ yang akan luput. Ini kerana waktu yang luput tidak dapat dikembalikan lagi. Setelah itu, dia hendaklah mengqada solat Asarnya pada waktu yang lain apabila sudah dapat memenuhi syarat berwuduk atau bertayammum. (Sila rujuk kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib Syarbaini untuk keterangan lanjut).


Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan tentang solat bagi menghormati waktu. Antara dalil tersebut ialah seperti berikut:


‘A’isyah r.a mengatakan bahawa ia pernah meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung itu hilang. Rasulullah saw mengutus seseorang untuk mencarinya dan kebetulan ia mendapatkannya. Ketika datang waktu solat dan mereka tidak menemui air, maka mereka pun melakukan solat. Lalu mereka memberitahu perbuatannya itu kepada Rasulullah saw. Maka Allah SWT menurunkan ayat mengenai bolehnya tayamum. Demikian diriwayatkan al-Bukhari dan yang lainnya.


Dalam peristiwa yang lain, sahabat-sahabat Rasulullah saw pernah melakukan solat tanpa wuduk dan tanpa tayamum kerana mereka melakukan solat untuk menghormati waktu ibadat. Akan tetapi, sewajarnya diingat bahawa solat tanpa bersuci tidak sah, oleh itu mereka wajib mengulanginya atau menggantikannya. Perkara ini diisyaratkan oleh Rasulullah saw selepas sabdanya, “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci”(Hadis Riwayat Muslim ).


Inilah pengalaman-pengalaman yang jarang orang temui. Selalunya solat menghormati waktu ini, dilakukan samada ketika musafir, di dalam kenderaan awam atau ketiadaan debu tayamum atau air untuk berwuduk. Tetapi kes ummi ini lain dari yang lain. Bagi ummi walau apa jua keadaan, selagi ingatan masih ada dan waras, solat tidak boleh ditinggalkan. Sebab itu ada berbagai kemudahan bersolat mengikut keupayaan diri. Ummi nasihatkan, belajarlah mengerjakan solat di dalam pelbagai keadaan kerana kita tidak tahu, apa yang akan berlaku di dalam hidup kita pada masa depan. Syukur, ummi diilhamkan oleh Allah untuk mengetahui bersolat di dalam keadaan 'darurat' begini, disamping ada zauj tempat untuk ummi bertanya.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 16 February 2010

Bisanya Luka Ini


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Hadis riwayat al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: "Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya"


Hadis ini bermaksud, Allah Ta'ala menguji orang tertentu dengan pelbagai musibah untuk memberikan ganjaran kepadanya. Sekadar peringatan diri sendiri, bila sakit atau ditimpa musibah, janganlah  mengeluh, tapi hendaklah kita bersyukur kerana Allah masih lagi mengingati kita, hambaNya.. .

Selain tu,  hadis dari riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Daripada Abu Said al-Khudri r.a., dan Abu Hurairah r.a., Nabi saw bersabda: "Tidak menimpa seseorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya"

Maka bila sakit banyak-banyak kanlah selawat, zikir, mengingatiNya, sesungguhnya setiap penyakit itu pasti ada ubatnya, seperti yang tercatat dalam hadis riwayat al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda: "Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuh untuknya"

Doa melegakan kesakitan : Hadis riwayat Muslim

Daripada Uthman bin Abu al-Ass r.a., ia mengadu kepada Rasulullah saw akan kesakitan dirasai pada jasadnya sejak ia memeluk Islam, lalu Rasulullah saw bersabda kepadanya: "Letakkan tangan engkau pada bahagian jasad yang engkau merasai sakit, dan katakanlah: 'Dengan nama Allah', sebanyak tiga kali, kemudian katakanlah sebanyak tujuh kali: 'Aku mohon berlindung dengan Allah dan kekuasaanyaNya daripada keburukan yang aku dapati dan aku berwaspada"

Muhasabahlah diri sementara kita masih diberi peluang untuk bertaubat, diberi peluang untuk terus mengejar peluang mencari pahala, mencari keredhaanNya, bekalan untuk dibawa di alam akhirat nanti, ketika masa lapang, apakah yang kita lakukakan, apakah kita lebih banyak melakukan dosa daripada mencari pahala, fikir-fikir kanlah sementara masih ada...

Ingatlah firman Allah dalam surah al-'asr(103) ayat 1-3 yang bermaksud:


وَالْعَصْرِ : Demi masa!

إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ : Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian


إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ : Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Apa yang ingin ummi tulis hari ini bukan lah rintihan tetapi ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca bagaimana keadaan kesakitan yang ummi tanggung di dalam proses pemulihan ini. Sebab itu ummi cari hadith dan ayat quran sebagai penawar hati ini.

Selesai pembedahan, tulang yang rosak telah diganti baru, ummi masih simpan tulang-tulang yang doktor potong hari tu buat kenangan. Doktor bagi tulang-tulang yang telah dipotong tu, suruh tanam, tapi ummi masih belum tanam. Tulang tu ummi bawa balik rumah, dan ummi cuci keringkan.

Tulang tu putih bersih macam tulang kaki lembu. Masih melekat daging-daging ummi di tulang tu.Dah kering dan ummi simpan dalam sampul surat.

Apa yang ummi rasai dalam tempoh pemulihan ini ialah rasa sakit luka pembedahan itu sahaja lagi. Sakit asal, sebelum dibedah dah memang tak ada. Masa tulang dipotong dan digerudi, tak rasa sakit. Yang sakit ialah luka di bahagian daging-daging dan kulit.Amat berbisa, berdenyut-denyut rasanya.

Selain ada urat yang putus, menyebabkan ada bahagian tepi sendi yang hilang deria rasa, sentiasa kebas, som-som tulang juga disedut buang ketika pengerudian tulang untuk menanam implant. Sekarang ini sekitar tulang kering, bengkak, ada hematoma. (pendarah berlaku dan darah tu dah beku). Nampak macam lebam. Bahagian ini yang sakit bersambung dengan luka hingga ke buku lali.

Bisanya amat mencekam, kalau tak sabar, ummi cakap pada zauj, mahu rasanya meraung saja, meluahkan rasa sakit ni. Usaha doktor membantu ummi dengan membekalkan beberapa jenis 'pain killer' tetap membantu mengurangkan rasa sakit, namun kesakitan tu tetap terasa. Ada beberapa jenis 'pain killer' yang dibekalkan antaranya arcoxia 90mg tablet, tramadolHCL50mg capsule, PCM 500 mg dan celebrex 200mg celecixib capsule. Ummi makan ikut aturan, namun, rasa sakit tu memang berkurang, cuma tidak menghilangkan seluruhnya. Allah izinkan dengan meringkan rasa sakit tu sekejap sahaja. Zauj kata, apa yang boleh dia bantu hanyalah tolong usap, urut, picit dibahagian-bahagian yang sakit tu. Dia pun tak mampu nak tolong rasakan kesakitan tu, jika boleh pass rasa sakit pada dia, dia sedia untuk berkongsi sama. Anak-anak pun sama, bantu gosok mana bahagian yang patut, agar ummi rasa lega.

Jadi rasa sakit yang di alami ini beradun dari bisa luka, bisa daging nak melekat dengan implant, bisa urat putus, bisa som-som disedut buang hari tu menjadi satu. Memang doktor dah bagitahu, nanti dengan sakit, bisa dan rasa sengal-sengal akan di rasai dalam tempoh pemulihan selama 3 bulan ni. Cuba bayangkan dalam 3 bulan, bukan 3 hari atau 3 minggu...

Redha dengan apa yang Allah kurniakan dan bersabar dengan apa sedang dihadapi, itu sahaja yang ummi mampu lakukan. Sebab itu ummi tidak putus berdoa, agar diberikan sentiasa kekuatan, ketabahan, kecekalan dan kesabaran dalam menghadapi kesakitan ini. Tak mampu untuk ummi gambarkan rasa sakit tu, cukup sekadar ummi katakan, sapa yang mampu merasai jika kulit terguris pisau atau tercucuk duri. Jika kulit tercalar duri pun dah rasa pedih, apatah lagi jika tulang dipotong-potong, urat putus, daging dilapah dan kulit dibelah hingga ke tulang. Lukanya dalam dan panjang sekitar 17 cm.

Sebab tu jika ummi meraung pun, tak ada gunanya, kerana rasa sakit tu tetap ada. Ubat penahan sakit hanyalah ikhtiar untuk membantu mengurangkan rasa sakit dengan izin Allah. Dan penawar utama supaya ummi leka (agar rasa sakit tidak berapa dilayan sangat) adalah dengan berhalaqah, menulis blog dan menjawap persoalan di forum Halaqah.net selain berbual-bual jika ada tetamu yang datang ziarah.

Begitulah gambaran rasa sakit yang dialami sekarang ini. Kalau orang tanya, "apa khabar?"  Pasti ummi jawap "khabar baik." Badan memang sihat, tetapi sakit tu yang tidak dapat di luahkan. Semoga Allah membantu ummi dalam mentaati NYA dan RasulNYa.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.