Sejak bersara dan menjadi suri rumah sepenuh masa, mesti ramai orang akan fikir, ummi akan mempunyai banyak masa lapang. Hingga ada yang bertanya, "muna buat apa kat rumah, tak bosan kah hari-hari melalui rutin yang sama?"
Tersenyum saya bila ada yang bertanya begitu, tambah tersenyum bila ada yang tanya bosan atau tidak, tinggal di rumah dan jadi suri rumah sepenuh masa.
Bagi ummi, semenjak berkahwin dan membina rumah tangga, tidak ada perkataan bosan, dan tak sempat nak rasa bosan. Walaupun rutin yang dilalui sama, tapi tidak rasa bosan. Sebabnya, bila kita redha dan rasa syukur dengan nikmat Allah yang dirasai maka mana nak rasa bosan.
Setiap hari, bangun tidor sudah rasa syukur kerana masih dikurniakan nyawa untuk mengirup udara segar, diberikan kesihatan yang baik untuk meneruskan ibadah, ada rezeki untuk dimakan, ada aktiviti untuk dilakukan.
Mulai dari bangun tidor, jika kita isi masa sebaik-baiknya dengan aktiviti yang Allah redha merupakan ibadah kepada Allah. Samada ibadah khusus atau ibadah umum. Membersihkan diri, berwuduk, bersolat, menyediakan makanan untuk zauj dan anak-anak, mengasuh dan mendidik anak-anak, mengemas rumah merupakan ibadah.
Sekiranya ada tamu yang datang, dilayan dengan sebaiknya, menegur sapa jiran tetangga, menziarahi sahabat handai atau saudara sakit atau meninggal dunia juga merupakan ibadah.
Ibadah ini tidak semestinya hanya duduk dalam masjid, bersolat,berzikir di atas sejadah. Banyak perkara menjadi ibadah jika apa yang dilakukan adalah dalam redha Allah. Sebab itu, jika apa yang dilakukan menurut apa yang Allah dan RasulNYA anjurkan adalah ibadah. Itu yang dikata menjadikan Islam satu cara hidup.
Mentaati Allah dan RasulNYA adalah merupakan ibadah. Melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Menjauhi maksiat dan perkara laghra dan sia-sia juga merupakan ibadah. "Amal makruf nahi mungkar" juga ibadah. Melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah ibadah.
Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu Bersedekah." Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?" Nabi menjawab: "Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya" Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi menjawab: "Menyuruh berbuat ma'ruf." Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi s.a.w. menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah." (Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Ibadah yang paling mudah dan ringan adalah memberikan senyuman. Tersenyum merupakan sedekah. Jika bangun pagi-pagi muka masam saja,suami yang tengok pun sudah rasa meluat. Tambah lagi jika pagi-pagi mulut sudah membebel merungutkan sesuatu. Bersedekah tidak semsetinya hanya dengan mengeluarkan barangan sahaja.
Sebenarnya sedekah bukan saja berbentuk kebendaan. Bagi yang tidak mampu atau tiada harta, Allah menghendaki mereka menyumbangkan usaha dan doa.
Usaha termasuk menjadi sukarelawan, daya upaya, idea dan ikhtiar, kegiatan, perbuatan untuk mencapai, melaksanakan dan menyempurnakan sesuatu usaha yang disumbangkan dan memanfaatkan mereka yang layak menerima sedekah. Walaupun hanya sekadar doa dan senyuman. ‘Senyum itu adalah sedekah’ (maksud hadis).
“Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).
Derma atau sumbangan adalah bersedekah yang boleh meringankan beban orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api” (Hadis Riwayat At Tirmidzi)
Hadis :
Dari Abu Dzar r.a katanya:"Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:"Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka." Jawab Rasulullah SAW:"Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah." Mereka bertanya:"Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?" Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala." (al-Bukhari)
Huraian
1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.
2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.
3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.
4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.
Baca lebih lanjut berkaitan sedekah di sini : Sedekah dan Derma
Merungut adalah tanda orang tidak bersyukur. Merungut bunyi bising disebabkan bunyi enjin motor jiran, merungut banyak kerja nak dibuat, merungut sampah diluar pagar bersepah sebab diselongkar anjing.
Lain halnya dengan membebel. Ada bebel yang jadi ibadah. Contohnya, bebel supaya anak bangun untuk solat subuh, bebel suruh anak mengaji quran,bebel anak kemas bilik, bebel jika anak buat kerja tidak sempurna. Lepas bebel tunjukkan bagaimana cara buat kerja yang betul.
Sebenarnya bukan istilah bebel atau berleter, tetapi anak-anak suka kata mak dia macam tu. Itulah cara atau kaedah pendidikan tidak formal di rumah. Bila ibu atau mak atau ummi atau mama cakap banyak, anak-anak akan kata bebel atau berleter. Sebenarnya cikgu kat sekolah pun banyak cakap juga, tetapi sebab kaedahnya formal, istilahnya mengajar. Padahal sama saja, bercakap dengan tujuan mendidik. Bezanya antara formal dan tidak formal. Di rumah dan di sekolah.
Kalaulah mengharap cikgu di sekolah sahaja untuk mendidik anak-anak, tak menjadi juga. Mana cikgu sempat nak memantau akhlak dan tingkah laku pelajarnya yang ramai. Cikgu kat sekolah hanya menyampai ilmu, isi kandungan mata pelajaran. Tapi ibu di rumah mendidik dari segi akhlak, tingkah laku, membentuk sikap dan peribadi menurut yang Allah dan RasulNYA tunjukkan melalui Al-Quran dan As-Sunnah.
Di dalam keduanya mengandungi panduan, hukum dan peraturan yang wajib untuk ditaati. Memang wajib sebagai manusia yang mukalaf untuk mentaatinya. Antara taat atau engkar terpulang kepada manusia. Sebab itu juga dinyatakan percaya perkara ghaib di dalam rukun Iman yang 6.
Apakah yang dikatakan Percaya Kepada Perkara Ghaib? Ianya seperti Percaya kepada Hari Kiamat, Percaya adanya hari Pembalasan, Percaya kepada Hisab, Percaya kepada Mizan, Percaya dosa pahala, dan Percaya kepada ada syurga dan Neraka.
Percaya kepada ujudnya makhluk selain manusia juga merupakan percaya kepada perkara ghaib seperti ujudnya malaikat,jin dan syaitan.
Kalau kita nak buat analogi dengan kehidupan harian tentang perkara ghaib mudah sahaja. Ujudnya beberapa benda tetapi tidak kelihatan seperti percaya ujudnya arus elektrik, gelombang mikro, laser, x-ray, dan suara. Boleh dilihatkah benda ini? Tak boleh dilihat tetapi ujudkan.
Jadi pada sesiapa yang masih meragui ujudnya syurga neraka, dosa pahala dan lain-lain berkaitan hari kiamat, tanya saja perkara yang berkaitan kehidupan harian tetapi tidak kelihatan ini.
Begitulah, jika ada yang bertanya kenapa kata "setiap apa yang dilakukan dalam hidup seharian iaitu mentaati Allah dan RasulNYA adalah ibadah." Bila yang dilakukan ibadah ia pasti akan mendapat pahala dan ganjarannya adalah syurga. Sebaliknya pula jika tidak mentaati apa yang Allah dan RasulNYA akan mendapat dosa dan ganjarannya neraka.
Memang itu yang Allah janjikan di dalam mempercayai rukun Iman. Jadi selagi apa yang kita lakukan di dalam kehidupan seharian,tidak bercanggah dengan apa yang Allah dan RasulNYA suruh akan dikatakan ibadah. Sehinggakan bersabar apabila orang marah, bersabar menghadapi ujian, bersabar bila dianiya juga ibadah.
Bila orang marah, kita tidak melawan kecuali jika orang menghina Allah dan RasulNYA, bila orang khianat, kita tidak menaruh dendam sebaliknya sudi memaafkan.
Mendidik diri untuk meninggalkan sifat tercela dan membimbing diri melengkap diri dengan sifat terpuji juga adalah ibadah. Jadi yang dikatakan ibadah itu tidak semestinya hanya berzikir dan bersolat sahaja.
Begitulah aktiviti harian yang ummi lalui bermula dari bangun tidor, membersihkan diri, mengESAkan Allah, menyediakan sarapan untuk anak-anak sebelum mereka ke sekolah, mengejutkan anak-anak dari tidor, mempastikan anak-anak bersolat, berpakaian kemas, mengisi makanan dalam bekas untuk dibawa bekal ke sekolah dan sebagainya. Lepas anak-anak ke sekolah,zauj pergi kerja, baru ummi mengemas rumah, mencuci pakaian, menggosok pakaian, sehinggalah menjelang tengah hari mula memasak makanan tengah hari pula. Jika dilakukan dengan hati bersih tanpa sebarang rungutan, memang akan dipandang Allah sebagai ibadah.
Selang masa itu, akan ummi isikan dengan menulis di laman blog, memantau laman web Halaqahnet dan berinteraksi dengan halaqian untuk silaturahim. Begitu juga akan ummi luangkan masa menjawap soalan, memberikah khidmat nasihat dan kaunseling kepada sesiapa yang menghadapi masalah. Termasuk meluangkan masa menguruskan Baitul Muslim.
Jadi bila masa ummi akan rasa bosan? Jika dari bangun tidor hingga tidor sentiasa melakukan sesuatu yang Allah dan RasulNYA perintahkan. Itu tidak termasuk lagi melayan suami di malam hari. Lihat hadith di bawah. Ummi hanya akan tidor bila rasa mengantuk, itu pun di malam hari. Jarang ummi tidor waku siang. Berehat dan tidor juga akan dikatakan menjadi ibadah jika ia diperlukan agar badan kita yang penat menjadi segar dan mudah untuk meneruskan ibadah lainnya.
Abu Dzarr R.a. berkata bahawa beberapa sahabat Rasulullah s.a.w. berkata, "Ya Rasulullah, orang-orang yang banyak hartanya memperoleh lebih banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka." Nabi s.a.w. lalu berkata, "Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar sedekah, Berjimak dengan isteri pun sedekah." Para sahabat lalu bertanya, "Apakah memuaskan nafsu syahwat mendapat pahala?" Nabi menjawab, "Tidakkah kamu mengerti bahawa kalau dipuaskan nafsu syahwat di tempat yang haram bukankah itu berdosa? Begitu pula kalau syahwat diletakkan di tempat halal, maka dia memperoleh pahala. (Hadis Riwayat: Imam Muslim)
Semoga entri hari ini menjadi suntikan dalam diri untuk kita memperbaiki hati dan sikap kepada yang lebih baik. Amin...